Kita tau yang kos kahwin makin mahal, tapi macam mana ada yang kahwin muda?

Beberapa bulan lepas, tular di media sosial tentang pasangan yang baru berusia 15 tahun, tapi dah kahwin. Macam biasa, ada yang tumpang gembira, ada yang mengeji dan tak kurang juga yang menyirap sebab masih single.

Bagi kami yang berhempas pulas kumpul duit nak kahwin ni pulak, persoalan yang bermain di benak kami adalah ‘mana diorang ni dapat duit nak kahwin sedangkan sekolah pun tak pergi?’

Imej dari laman X @atikayazidd

Dan sebenarnya bukan diorang ni je kahwin muda. Ikut statistik daripada Jabatan Perangkaan Negara, tahun 2022 sahaja sebanyak 1,948 lelaki bawah umur 20 tahun berkahwin. Adakah sia-sia kami berjaga malam tulis artikel demi sesuap gaji?

Untuk menenangkan hati, kami pun tanya netizen dan tak lupa kawan sepejabat yang dah kahwin berapa banyak duit yang diorang belanjakan masa kahwin dulu, dan sebenarnya…

Sezuhud manapun korang, mesti ada sekurang-kurangnya RM500 untuk kahwin

Sebab Malaysia ada banyak kaum dan budaya, kitorang cuma fokus dekat perkahwinan Melayu/Islam je untuk artikel kali ni. Kalau korang nak artikel pasal perkahwinan kaum lain jugak, requestlah dengan editor kami, mana tau dapat.

Kalau korang kahwin sekadar sah dari segi hukum agama dan undang-undang, kahwin ni sebenarnya tak lah pakai duit sangat pun. Kita dah tengok masa PKP dulu, rakyat Malaysia kemain share bajet kahwin yang serendah RM5k, tapi yang wajibnya untuk korang sah bergelar suami isteri tak sampai banyak tu pun.

Dari segi undang-undang, korang wajib pergi kursus kahwin, sebab sijil kursus ni diperlukan untuk dapat kebenaran berkahwin dari pejabat agama. Kos di sini antara RM100-120 seorang untuk dua hari kursus, tapi kebanyakan harga ni berbeza ikut negeri tempat korang pergi.

Pastu, korang juga kena bayar dalam RM100 untuk urusan dokumen-dokumen lain dan sijil nikah, dan dalam RM2 untuk ujian HIV dan talasemia kat klinik kerajaan. Jadi untuk dua orang setakat ni, kos dalam RM300 dah.

Kadar mas kahwin mengikut negeri. Tangkap layar dari ecentral

Bayaran yang diperlukan masa akad nikah termasuklah dua orang saksi (sekitar RM50 seorang), jurunikah/tok kadi (sekitar RM150), dan mas kahwin. Mas kahwin ni wajib dan berbeza ikut negeri, serendah RM22.50 kat Johor sampailah RM300 kat Selangor/KL. Tapi ada juga beberapa negeri yang tak tetapkan macam Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Jadi sebab harga mas kahwin yang banyak berbeza, sebuah perkahwinan yang zuhud paling kurang perlukan antara RM500 hingga RM800. Tapi banyak benda yang takdelah, macam cincin, jamuan ringan, dan sebagainya. Sebab tu…

Kos kebanyakan perkahwinan kat Malaysia ni selalunya mencecah 5 angka

Bila sembang pasal perkahwinan, banyak sebenarnya benda yang tak wajib, tapi nak ada atas pelbagai sebab; antaranya sebab adat dan tradisi, jaga air muka, nak istimewa sebab kahwin sekali je…mungkin.

Jadi ikut selera dan kemampuan masing-masing, tak ada nilai maksimum atau minimum untuk belanja perkahwinan, tapi kami cuba senaraikan benda-benda yang memerlukan duit untuk tatapan korang.

Biasanya orang akan bertunang sebelum kahwin, dan majlis pertunangan libatkan perbelanjaan macam cincin pertunangan, dulang hantaran, pakaian dan juga jamuan ringkas. Dulang hantaran ni kedua-dua pihak kena bagi pada satu sama lain, dan dalam dulang hantaran tu biasanya akan ada sirih junjung, al-Quran, cincin pertunangan, pakaian dan barang seperti beg tangan dan kasut

Kat sini jugaklah masuk wang hantaran, yang berbeza dari mas kahwin yang wajib. Nilai wang hantaran ni bergantung pada persetujuan kedua belah pihak.

Selesai bertunang, antara belanja yang terbesar berkaitan perkahwinan ni adalah majlis resepsi, atau dalam bahasa pasarnya, majlis kenduri. Majlis kenduri ni biasanya diadakan di dewan ataupun di rumah pengantin tu sendiri. 

biasanya sehari sebelum kenduri kahwin
Kenduri dulu-dulu akan ada gotong-royong. Dari sinilah munculnya makcik bawang. Imej dari PAHANGfm

Bagi yang sewa dewan, harga sewaan mungkin berbeza ikut jenis dewan, lokasi dan mungkin termasuk juga dengan caj penghawa dingin dan elektrik dan mungkin bermula dengan harga RM300 sehari. Kalau korang buat kat hotel, mungkin harga dia lebih lagi. 

Untuk yang buat kat rumah pulak, dah tentulah kena ada khemah kenduri kan, biasanya harga sewaan khemah ni tak mahal sangat dan pakej sekali dengan kerusi dan meja. Harganya bermula dalam RM500 ke atas. 

Kalau buat kenduri dah tentulah nak kena jemput tetamu. Dari dulu lagi orang akan guna kad jemputan. Tapi sekarang ni ada yang ada kad jemputan secara digital. Kos kad digital ni lebih murah dalam RM8 hingga RM12 untuk satu design.

Tetamu yang hadir pula dah tentulah nak makan, jadi kat sini korang kena dapatkan khidmat katering. Bergantung pada jumlah tetamu yang korang jemput dan jenis lauk yang korang nak, kos makanan untuk tetamu korang mungkin antara RM5k ke RM10k.

Kek kahwin mahal tau tak, boleh sampai RM1k

Bagi pengantin pulak, dah tentu kena ada persalinan pengantin. Yang ni berbeza dengan pakaian akad nikah yang biasanya simple saja. Persalinan ni biasanya akan disewa dan harganya bermula dari RM500 ke atas. Lepastu, dah mestilah nak kena upah mak andam pulak kan, untuk ni harga dalam RM350 ke atas.

Dalam majlis resepsi ni, akan ada acara bersanding. Untuk tu mesti kena ada pelamin. Kos pelamin ni bergantung pada jenis pelamin korang. Kalau korang sewa, pelamin ni mungkin agak mahal sebab masuk dengan upah pasang dan deco tambahan, tapi kalau DIY sendiri mungkin lagi murah. Cuma harga pelamin ni antara RM500-RM10k lah, terutama kalau pelamin korang tu grand macam kenduri kahwin artis. 

Contoh pelamin dengan dekorasi yang simple. Imej dari pinterest

Sepanjang majlis berlangsung, pasti korang nak ada gambar yang cantik-cantik kan. Korang boleh dapatkan khidmat jurugambar kahwin dalam harga bermula RM1.5k hinggalah mencecah RM5k. Gambar kahwin korang tentu akan cantik dan siap dengan editing lagi. 

Jadi, majlis kahwin ni sebenarnya terpulang kat korang nak belanja banyak mana. Kalau sekadar cukup syarat, seribu pun dah cukup tapi mestilah mak ayah korang nak buat majlis yang paling-paling pun sederhana je kan. So untuk majlis sederhana korang sekurang-kurangnya kenalah ada dalam RM10k. Atleast kuranglah modal makcik bawang nak mengata nanti. 

Mungkin korang tak fikir panjang dan fikir, alah bukannya selalu. Setakat RM10,000 tu buat pinjaman peribadi jelah. Tapi sebelum korang niat pun nak buat pinjaman, korang kena sedar…

Lagi banyak duit nak kena guna lepas kahwin

Dalam kesibukan kumpul duit nak kahwin, mungkin ramai terlepas pandang yang kahwin ni cuma permulaan je. Selepas berkahwin, pasangan pasti akan hadapi tanggungjawab kewangan yang lebih besar.  Selain perbelanjaan yang korang kena hadap kalau tinggal bersama macam barang dapur, sewa rumah, hutang kereta/motor, bil utiliti, dan sebagainya, korang kena bersedia dengan perbelanjaan kalau tiba-tiba dapat anak. Dan anak ni bukanlah benda yang murah.

Korang tau tak yang bayi pakai banyak gila lampin pakai buang sebulan?

Harga lampin pakai buang bayi je boleh mencecah RM60 satu pek mengikut jenama dan mungkin anak korang akan guna 4 ke 5 pek sebulan. Sementara susu formula lebih mahal iaitu antara RM52 hingga RM100 satu tin dan mungkin korang kena beli 3-4 tin sebulan. Dua benda ni saja boleh tambah hampir RM1.6k kepada perbelanjaan bulanan keluarga untuk setiap anak

Tu belum lagi tambah kos-kos lain termasuk losyen bayi, bayaran pengasuh dan lain-lain, yang boleh mencecah sehingga RM1200 sebulan. Ni tak termasuk lagi kos barang lain macam pakaian, stroller bayi, kerusi kereta bayi dan sebagainya pula boleh mencecah  hingga lebih RM1,000. 

Boleh je pakai alternatif yang lebih murah, macam pakai kain lampin dan susu badan misalnya. Tapi ni bermakna yang suami kena cari sebahagian besar pendapatan keluarga, sebab isteri dah terikat dengan cuci lampin dan jaga anak. Jadi pendapatan keluarga dah berkurang di situ. Dan ni senario kalau kahwin bila dah berkerjaya.

Ataupun tukar peranan, lelaki jaga rumah, isteri pulak yang kerja

Kalau yang kahwin terlalu muda pula, melainkan mentua kaya, mungkin lebih sukar nak tampung keluarga. Selain keciciran pelajaran kalau berhenti sekolah disebabkan kahwin, peluang untuk kedua-duanya melanjutkan pelajaran ataupun membina kerjaya di masa depan jadi terhad.

Penting juga untuk pastikan yang kedua belah pihak dah cukup matang untuk hadapi hidup berumahtangga. Statistik tunjukkan ramai pasangan muda yang bercerai disebabkan masalah macam tak sefahaman, curang, tak bertanggungjawab serta campur tangan mentua dalam hubungan.

Lakonan Fauziah Dato’ Ahmad Daud sebagai mentua dalam drama ni akan buatkan korang rasa nak hempuk TV. Imej dari Iluminasi

Terdapat risiko lain yang terjadi apabila pasangan hamil. Kehamilan pada usia yang terlalu muda berisiko tinggi untuk untuk dapat komplikasi kesihatan pada bayi termasuk kelahiran pramatang dan anemia. Jadi bila kita fikir tentang semua cabaran yang dihadapi orang yang nak berkahwin ni, lebih-lebih lagi yang kahwin muda, mungkin persoalannya sekarang adalah… 

Bila waktu yang sesuai untuk berkahwin?

Kalau tanya ibu bapa, mungkin diorang akan kata kahwin muda. Elakkan maksiat, dan cepat sikit dapat cucu. Kalau tanya orang yang bimbang dengan ekonomi sekarang pula, mungkin diorang akan jawab tunggu sehingga stabil, ada rumah, kereta dan sebagainya.

 Tapi jawapan sebenarnya adalah korang kena tanya diri sendiri dan pasangan sama ada korang dah bersedia ke untuk tanggungjawab ni. Kahwin muda memang dapat elakkan dosa, tapi perkahwinan ni bukan semata-mata untuk puaskan nafsu secara halal je. 

Kalau korang dah faham dengan tanggungjawab korang sebagai suami, isteri, dan ibu bapa, dan rasa dah bersedia, kahwin je la. Tapi kalau korang terburu-buru nak kahwin semata sebab tengok kawan-kawan korang dah kahwin, atau sebab makcik bawang asyik tanya dan sebagainya, tangguhkan je la dulu, sebab bukannya diorang yang kena tukarkan lampin anak korang nanti. Ambil masa dan rancang sebaiknya supaya dapat elak sebarang konflik buruk pada masa akan datang.