Kisah sedih MEASAT-1: Satelit komunikasi pertama Malaysia

Pernah terpikir tak pasal kehidupan korang sebelum adanya internet? Ataupun kehidupan korang sebelum ada siaran TV satelit dan hiburan? Dulu, Malaysia cuma ada beberapa je siaran televisyen dan satu syarikat telco, tapi disebabkan benda bernama MEASAT-1 ni, kita semua dapat jadi manusia yang ketagih dengan internet macam hari ni. :)

Imej: Reddit

MEASAT-1 ni sebenarnya satu benda penting untuk negara kita sampaikan gambarnya dicetak pada duit kertas RM2 dulu. Budak-budak sekarang mungkin tak kenal duit ni. Tapi kan, kenapa satelit pertama negara ni dilupakan sekarang? Untuk jawab persoalan tu, jom kita lihat sejarah MEASAT-1 dan dekat mana lokasi satelit ni sekarang. 

Disebabkan satelit komunikasi pertama nilah kita ada Maxis!

Imej: The Star

Diilhamkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1993, MEASAT-1 merupakan satelit komunikasi pertama Malaysia. Ia memberikan perkhidmatan kepada penyiar Malaysia, memperkenalkan platform DTH (Direct-to-home) dan juga pengendali telco. Ringkasnya satelit ni, berikan kita lebih banyak siaran TV dan telco macam hari ni.

Sebab kenapa Mahathir cadangkan pembinaan MEASAT-1 adalah untuk menamatkan monopoli kerajaan terhadap perkhidmatan komunikasi. Masa tu, cuma Telekom Malaysia Berhad (TM) yang sediakan perkhidmatan telekomunikasi dekat negara kita. Tapi semua tu tamat bila Dr Mahathir perkenalkan syarikat swasta bernama Binariang Sdn Bhd. Syarikat apa pulak tu? Korang mungkin kenal nama diorang sekarang, Maxis.

Pada tahun 1994, diorang tandatangan kontrak dengan Huges Space & Commnunications Company, yang mana sekarang syarikat tu bernama Boeing Satellite Systems yang bekerjasama dengan NASA. MEASAT-1 dibina di El Segundo, California dan dibina berdasarkan satelit Model 376.

Pelancaran MEASAT-1. Imej dari Youtube

Akhirnya pada 1996, ia dilancarkan menggunakan Ariane Rockets di French Guiana. MEASAT-1 diletakkan diletakkan dalam orbit geopegun pada kedudukan 91.5 darjah Timur dengan perkhidmatan yang mencapai dari India hingga ke Hawaii dan Jepun hingga Australia Timur. Orbit geopegun ni terletak 36km di atas garisan khatulistiwa dan memberi liputan kepada kira-kira 1/3 permukaan bumi.

Sekarang korang dah tau kan kenapa satelit ni penting untuk negara kita dan kenapa orang zaman tu siap buat stem dengan gambar MEASAT-1. Tapi bukan tu je pasal satelit ni…

MEASAT-1 kenalkan kita pada sebuah syarikat TV yang mungkin korang kenal

Bayangkan korang kena bawak benda ni kehulu-kehilir sekarang. Imej: Facebook

Sebelum MEASAT-1. Malaysia cuma ada satu je syarikat telco. Seawal 1985, ATUR 450 menjadi sistem telekomunikasi tanpa wayar pertama di Malaysia danmenandakan ketibaan perkhidmatan mudah alih di Malaysia. ATUR 450 diperkenalkan oleh Telekom Malaysia Berhad, yang  ada hubungan dengan kerajaan.

Dari segi penyiaran, semua orang tonton program kat Radio Malaya a.k.a Radio Televisyen Malaysia (RTM). Lepastu, kita dapat program TV dari Media Prima yang lancarkan Mega TV pada 1995, tapi pilihan masih terhad. RTM juga adalah syarikat berkaitan kerajaan.

Budak-budak sekarang tak tahu yang dulu kita boleh main game kat Astro. Image: Reddit & Twitter

Dengan itu, pada 1996, hanya enam bulan selepas MEASAT-1 dilancarkan, Astro ditubuhkan. Mega TV, yang pernah popular dan merupakan perkhidmatan TV berbayar berasaskan langganan pertama di negara kita, akhirnya gulung tikar kerana kepelbagaian siaran yang ditawarkan oleh pesaingnya. Macam mana dengan TM? Walaupun masih lagi salah satu syarikat besar hari ini, ia telah dipintas sebagai syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia oleh  Maxis.

Terima kasih kepada MEASAT-1 atas khidmat pada kita! Tapi dekat mana satelit ni sekarang? Sementara duit kertas RM2 dah tak digunakan sejak 2002, MEASAT-1 ada jangka hayat yang lebih panjang, tapi ada kesudahan yang tragik….

MEASAT-1 sekarang ni adalah sampah angkasa.

Imej dari: howstuffworks.com

Jangka hayat satelit adalah selama 12-16 tahun…lebih kurang macam kucing lah. Pada tahun 2009, MEASAT-1 masih lagi berfungsi lebih dari 12 tahun yang dijangka, tapi kemudian ia dipindahkan untuk memberi perkhidmatan kepada Afrika dengan nama baru, AFRICAST-1.

Akhirnya pada tahun 2013, pada usia 17 tahun, MEASAT-1 dinyah orbit dan dihantar ke tempat digelar Orbit Pelupusan. Satelit ni akan perlahankan pergerakannya sebelum akhirnya keluar dari orbit dan terbakar di atmosfera.

Tapi janganla sedih sangat sebab…

Legasi MEASAT-1 diteruskan oleh adik-beradiknya

Satelit MEASAT-1 sebenarnya ada ‘kembar’ iaitu MEASAT 2 yang dilancarkan pada November tahun yang sama. Perbezaan keduanya cumalah liputan geografi dan lebar jalur transponder. Tak macam MEASAT-1, tak banyak maklumat yang kita ada untuk MEASAT-2 ni. Tapi disebabkan jangka hayat yang sama, kita anggap jelah kedua-dua satelit ni dah tak ada. Tapi kalau korang nak tau, satelit MEASAT-3 pula ‘mati’ dalam keadaan yang misteri.

Ia dilancarkan pada 2006, tapi lepas 15 tahun di angkasa, pada Jun 2021 (waktu pandemik) MEASAT-3 terkeluar dari orbit atas “sebab-sebab yang tidak diketahui”. Pada asalnya ia cuma dianggap masalah kecil tapi lepas Measat lakukan beberapa percubaan untuk pulihkan satelit ni, syarikat tu buat keputusan untuk tamatkan perkhidmatan MEASAT-3. Kejadian tu dah buatkan siaran Astro terganggu seketika sebelum dipulihkan semula.

Satu-satunya satelit yang kita ada sekarang-MEASAT-3d Imej: Digital News Asia

MEASAT-3 ada beberapa variasi seperti MEASAT-3a, 3b dan 3c, tapi jom kita cakap pasal satelit terbaru kita, MEASAT-3d yang dilancarkan pada Jun 2022. Tak macam pendahulunya, MEASAT-3d akan meliputi 42% permukaan bumi, lebih dari 33%yang diliputi MEASAT-1. Ini bermaksud kita dapat hubungan yang lebih baik bukan saja dalam penyiaran dan telekomunikasi tapi juga perkhidmatan broadband. Dengan satelit baru ni, kerajaan Malaysia menjangka kita akan mencapai 100% liputan 4G, yang mana termasuklah kawasan luar bandar yang selama ni dipinggirkan.