Nasrun – Anak muda Perlis yang memodenkan sawah padi dengan penggunaan dron

Cuba bayangkan yang korang nak ambil gambar #ootd sambil feeling feeling kampung gitu. Kat mana lagi kalau bukan Perlis, negeri paling utagha di Semenanjung?

Dalam perjalanan ke sana, mungkin korang dah terbayang-bayang sawah padi yang luas menghijau, kerbau berdansa, dan petani-petani yang sedang tekun menuai. Tapi jangan terkejut pula kalau korang nampak dron beterbangan di tengah-tengah bendang. Alamak, robot dah memberontak dan ambil alih ke?!

Ambil alih kerja keras je kot. Sebab kemungkinan besar, dron yang korang nampak tu bukannya dron hobi semata-mata…

Dah ada dron pertanian yang boleh sembur racun, tabur benih, dan membaja sekali!

Baru baru ni, kita orang terjumpa video tentang Mohammad Nasrun Saad, salah seorang penerima Geran Khas Prihatin (GKP), iaitu bantuan one-off untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro. Perniagaan Nasrun ni bukan calang-calang, sebab beliau menyediakan servis dron pertanian yang boleh meracun, membaja dan menabur benih. Walaupun dron pertanian ni bukanlah benda baharu di Malaysia, kitorang masih kagum sebab beliau berjaya yakinkan pesawah-pesawah di Perlis untuk menggunakan servis beliau.

Jadi kitorang pun hubungi Nasrun untuk tanya apa rahsia kejayaan beliau, dan benda pertama yang kitorang dapat tahu ialah… beliau masih single.

Gambar Nasrun, sekadar hiasan.

Eh, apa kaitan pulak? Camni, selepas Nasrun tamat pengajian di UniKL dengan ijazah dalam bidang kejuruteraan kimia, Nasrun mula bekerja sendiri, dan kadangkala berurusan dengan pesawah padi. Masuk tahun 2020, beliau tetiba dapat idea untuk mulakan servis dron untuk sawah padi selepas berbincang dengan kawan beliau yang berpengalaman dalam hal ni.

“Modal permulaan daripada duit simpanan saya, apa orang panggil? Tabung kahwin. Jadi tak kahwin lagi (ketawa)”

– Nasrun, kepada Soscili.

Jadi, bermulalah perniagaan Aero Nord Solutions and Services. Pada mulanya, mereka mengiklankan diri di laman Facebook dan menguar-uarkan servis dron ni kepada kenalan pekebun diorang. Walaupun teknologi dron pertanian ni agak baharu di Perlis pada masa tu, ramai yang mula berminat selepas mereka melihat keberkesanan dron tu sendiri.

“Masa mula-mula dulu, orang kampung macam tak tau benda tu, dia macam benda baharu. Tapi bila dia tengok kita buat, dia macam oh, nanti buat untuk saya boleh? Jadi bermula dari situ lah. (Melalui) buah mulut.

– Nasrun, kepada Soscili.
Antara komen yang berminat dengan servis dron Nasrun di laman Facebook diorang.

Menurut Nasrun, seorang pekerja akan mengambil masa 1 hingga 2 jam untuk meracun satu relung sawah. Kalau pakai dron pula, kerja tu boleh selesai dalam lebih kurang 15 hingga 20 minit je, tanpa sakit belakang.

Tenaga kerja yang diperlukan pun tak banyak. Buat masa ni, syarikat Nasrun ada dua kumpulan, dan setiap kumpulan cuma perlu dua orang: seorang juruterbang dron dan seorang pembantu.

Selain daripada pesawah, nampaknya servis Nasrun juga mendapat sambutan daripada petani-petani lain, contohnya petani harumanis dan kenaf. Tapi semasa bisnes diorang baru mula rancak…

Disebabkan PKP, bisnes diorang perit seketika

Kalau korang perasan tadi, bisnes diorang bermula pada tahun 2020… iaitu tahun yang kita semua disuruh #dudukrumah. Halangan rentas negeri menyekat pergerakan pasukan Nasrun untuk pergi ke bendang pelanggan di Alor Setar dan sekatan jalan raya menyukarkan diorang untuk merentas daerah dalam Perlis sendiri. Ye, jangan ingat Perlis tu kecil sangat sampai takda daerah tau.

Ada 15 kerusi DUN eh. Jangan main-main. Gambar oleh Derkommander0916.

Jadi tak sampai setengah tahun beroperasi, bisnes diorang mengalami kesukaran. Dalam masa tu, Nasrun ternampak post dari laman Facebook Kementerian Kewangan yang mengiklankan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro – memang kena mikro betul untuk mohon, sebab tak boleh lebih daripada 4 orang pekerja dan jualan tak boleh lebih daripada RM30k setahun. Lalu, beliau pun memohon dan menerima geran tersebut.

“Bagi saya, apa yang penting ialah bantuan kewangan sebab waktu pandemik tu, bisnes agak perlahan. Kemudian kita ada kos overhead dan commitment untuk kita bayar. GKP ada membantu sedikit sebanyak untuk kos pengurusan semasa pandemik.”

– Nasrun, kepada Soscili.

Jadi, macam mana bisnes diorang setakat ni? Nasrun memberitahu kami yang bisnes mereka agak sederhana. Walaupun pada mulanya bisnes dron Nasrun boleh dikatakan sangat unik di Perlis, sekarang penyedia servis dron pertanian dah ramai, dan persaingan pun semakin sengit. Selain itu, sawah padi juga makin berkurang. Sesetengah petani juga lebih selesa beroperasi cara tradisional dan mengupah orang kampung untuk mengerjakan sawah.

Selain peluang pekerjaan, peluang #ootd juga masih terbuka. Imej daripada Astro Awani.

Tapi diorang masih ada pelanggan setia, dan persaingan hanyalah sekadar lumrah alam.

“Sekarang ni pesaing makin bertambah, jadi macam siapa yang bagi servis terbaik, diorang akan dapat extra lah. Tapi kitorang masih ada pelanggan tetap. Bisnes sederhana buat masa sekarang.”

– Nasrun, kepada Soscili.

Namun sedemikian…

Nasrun masih berjaga-jaga dengan perubahan ekonomi

Bila ditanya tentang rancangan masa depan beliau, Nasrun bercadang untuk menambah baik dron sedia ada, dan mungkin melebarkan cabang bisnes beliau kepada servis dron lain, seperti ukur tanah dan pemetaan. Namun begitu, beliau juga agak risau tentang keadaan ekonomi yang mendatang.

“Saya rasa, kesan daripada pandemik ni semua orang memang dah terkesan. Dan sekarang ni pun semua orang pun dah merasa. Mungkin tahun 2022 ni cuma permulaan, dan tahun 2023 kita akan rasa permainan sebenar, sebab kesan daripada (dasar) Bank Dunia dan sebagainya.”

– Nasrun, kepada Soscili.
Gambar dari Bajet tahun lepas. Imej daripada Berita Harian.

Menjelang Bajet 2023, beliau berharap supaya akan ada lebih banyak bantuan untuk rakyat, dan agar bantuan seperti GKP ini diteruskan lagi. Sungguhpun Nasrun mengakui yang beliau bukanlah orang arif dalam matematik dan ekonomi, beliau merasakan yang bantuan atau moratorium sekecil mana sekalipun boleh banyak membantu bisnes kecil seperti mereka.

“Harapan saya untuk Bajet yang akan datang ni adalah bantuan lagi dari segi moratorium, bantuan khas kewangan dan sebagainya. Sedikit tu mungkin boleh bantu, sebab (bagi kami) BKM semua tu memang dah tak layak. Ini yang saya cuba sampaikan,”

– Nasrun, kepada Soscili.

Adakah Bajet 2023 yang akan datang ni bakal memenuhi harapan rakyat seperti Nasrun? Kami pun takda jawapan lagi. Apa yang kami tahu setakat ni, Kementerian Kewangan dah pun mengumpulkan ribuan pandangan dan cadangan daripada rakyat, NGO, dan bisnes-bisnes, manakala pengumuman daripada Tengku Zafrul juga nampaknya menjanjikan sesuatu untuk semua lapisan masyarakat. Kalau nak tahu lebih lanjut, jomlah kita tunggu pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ni!