Kerajaan pernah hantar Lim Kok Wing bantu kempen pilihan raya Afrika Selatan

Nama Lim Kok Wing ni memang sinonim dengan Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing. Mana taknya, dia adalah pengasas universiti tersebut. Universiti ini ni juga sudah mempunyai beberapa kampus di luar negara seperti Bostwana dan Lesotho. Selain itu juga, mempunyai kampus di London.

Namun, nama universiti ini menjadi isu kembali apabila terdapat satu papan iklan yang tertulis ‘King Of Africa’ seperti kat bawah ni …

Imej dari Malay Mail

Papan iklan ni menunjukkan Lim Kok Wing bersama seekor cheetah dalam ilustrasi digital serta gambar di sebelah kiri pula menunjukkan dirinya dikelilingi pelajar-pelajar dari negara Sierra Leone. Ilustrasi ni mendapat kritikan macam ni,

“Penggunaan binatang hutan dan merujuk kepada” raja ” mengabadikan idea-idea bahawa Afrika sebagai satu hutan besar dan menambahkan ciri-ciri haiwan kepada pelajar.

Ini mengabadikan anggapan bahawa orang kulit hitam perlu diselamatkan, mengambil kuasa mereka dan secara psikologi menempatkan mereka dalam peranan yang lebih rendah,” – Petikan dari Malay Mail

Satu petisyen dah dilancarkan menerima beribu sokongan. Akhirnya, papan iklan tersebut diturunkan walaupun tiada permohonan maaf secara rasmi. Dalam isu yang berlaku ni, korang tahu ke macam mana Lim Kok Wing boleh mencipta nama dan siapa orang telah membawanya ke puncak? Mari kita mulakan kisahnya …

Mahathir menyamakan Afrika Selatan dengan Israel di persidangan Komanwel

Nelson Mandela dan Mahathir. Imej dari Rockybru

Kalau bercakap soal tokoh pejuangan kebebasan dunia, antara nama yang tak terlepas pandang adalah Nelson Mandela iaitu Presiden Afrika Selatan yang pertama dipilih secara demokratik. Mandela sejak zaman mudanya, berjuang menentang dasar penindasan apartheid terhadap orang bukan kulit putih di Afrika Selatan.

Dasar penindasan ini dikutuk oleh banyak negara, termasuk juga Malaysia sejak di zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Disebabkan itu, Malaysia tak jalinkan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sampailah dasar apartheid dimansuhkan. Ketika di zaman Dr Mahathir, tekanan terhadap dasar apartheid semakin kuat melalui Komanwel.

Sila duduk. Imej dari The Star

“Buat pertama kali beliau menghadirkan diri di Persidangan Komanwel dan Dr. Mahathir telah menggunakan platform Komanwel dengan mencadangkan agar sekatan ekonomi yang lebih tegas dikenakan ke atas Afrika Selatan…

Di dalam persidangan Komanwel ini, beliau dengan berani melabelkan negara Afrika Selatan sebagai sebuah negara seperti Israel yang tidak mematuhi dan menghormati peraturan antarabangsa ” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar

Nampk macam sembang santai. Imej dari The Star

Bagaimanapun, Komanwel gagal lakukan sekatan apabila ia ditentang oleh Britain. Tapi masa tu hubungan Malaysia dengan Britain pun tak berapa baik sebab Dr Mahathir ada lancarkan kempen ‘Buy British Last’. Walaupun begitu, Malaysia tetap dengan pendirian supaya apartheid dimansuhkan dan Mandela dibebaskan. Sehinggalah pada tahun 1990 apabila Mandela dibebaskan.

Kerajaan Malaysia membantu kempen Mandela dengan menghantar Lim Kok Wing

Lim Kok Wing pandan kamera seorang-seorang. Imej dari Utusan

Afrika Selatan ketika itu juga kemudiannya mengadakan Pilihan Raya Presiden yang mana Mandela turut bertanding. Dr Mahathir yang selama ini menentang dasar apartheid dan menyokong Mandela menghantar Lim Kok Wing (Tan Sri) untuk membantu kempen pilihan raya Mandela.

Dalam kempen itu Lim Kok Wing ada bagi nasihat kat parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), pimpinan Mandela untuk gunakan pendekatan mesra. Ia dibuktikan apabila munculnya poster yang menunjukkan Mandela tersenyum bersama kanak-kanak Afrika Selatan, termasuk yang berkulit putih. Poster ni cukup popular kat Afrika Selatan masa tu.

“Saya masih ingat kata-kata Mandela ketika itu iaitu: lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama. Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama.” – Tan Sri Lim Kok Wing. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Poster yang direka oleh Lim Kok Wing. Imej dari limkokwing.net

“Secara politik, Mandela adalah seperti Tuhan kepada orang kulit hitam Afrika Selatan dan kulit putih pula menghormatinya. Apabila dia muncul untuk bercakap, dengan mudah setengah juta manusia akan muncul.

Dia seorang yang pandai berkomunikasi dan seorang pemidato yang hebat. Dia boleh bergerak dengan cepat dari satu tahap ke tahap seterusnya. Dia membaca permainannya dengan baik dalam keadaan apa pun, di hadapan penonton. Matanya dan fikirannya sangat tajam.” – Tan Sri Lim Kok Wing. Dipetik dari Malay Mail Online.

Lim Kok Wing dilantik jadi pegawai strategik perhubungan awam Najib serta menentang Mahathir

Imej dari Oh Media

Pada tahun 2015, dilaporkan bahawa Lim Kok Wing dah dilantik oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak sebagai salah seorang penasihatnya bagi kempen politik menentang Tun Mahathir. Ini tanda dia akan menentang Tun Mahathir juga. Dia telah menunjukkan penentangan terbuka dengan menyuruh Tun Mahathir menutup mulut kerana mengkritik kepimpinan Najib.

“Jika saya terus mengkritik, Kok Wing memberi amaran saya akan hilang legasi. Saya beritahu apa yang orang fikir tentang legasi kerana bimbangkan apa yang telah berlaku di negara ini. Reputasi kita sudah tercemar. Saya amat menghargai kebimbangannya, dia seorang kawan dan prihatin. Kita berpisah sebagai kawan,” – Tun M, petikan dari Awani

Namun, pada PRU-14, Pakatan Harapan telah pun mendapat undian majoriti sekaligus memilih Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Bagi pihak Lim Kok Wing, dia telah menulis satu tweet, “Betul kata Mahathir bahawa kita hanya perlu tetapkan di dalam minda dan hati kita untuk mencapai matlamat dan negara maju.”

Mahathir hanya tersenyum di situ. Imej dari Weehingthong

Ia dibalas oleh Marina Mahathir yang mengatakan bahawa kalau PH tak menang, dia takkan datang tanpa dijemput ke rumah untuk meminta maaf kepada Mahathir. Walaupun begitu, Mahathir telah pun memaafkannya kerana memahami ramai orang begitu.

Siapa pula yang Lim Kok Wing sokong selepas ini dan apa nasib universiti miliknya?

Lim Kok Wing telah pun melebarkan sayap institusi pendidikannya hingga ke negara Afrika seperti yang disebut sebelum ni. Pada tahun 2019, universiti ini melahirkan seramai 1,100 graduan dari 70 negara yang berbeza.

Macam yang kita tahu, ahli perniagaan bernama Lim Kok Wing telah bertukar-tukar memberi sokongan kepada pemimpin. Sekarang ini pula, Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Dan kita tak tahu siapa pula yang disokong oleh Lim Kok Wing. Persoalannya, apakah nasib Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing pada masa akan datang?

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT