Sejarah & Politik

Kerajaan diperintah dua wanita? Ini 5 kerajaan warisan Sarawak yang hilang

Ilmu sejarah tak pernah henti dikaji sehingga sekarang. Penemuan-penemuan baru juga dah menyebabkan penulisan sejarah perlu dikemas kini agar hal-hal yang hilang disusun dan dimasukkan semula. Ini bukan bermaksud hendak mengubah sejarah, tetapi melangkapkan lagi warna-warni sejarah kita.

Di dalam buku-buku sejarah dirumuskan bahawa Malaysia mewarisi kerajaan-kerajaan tua seperti Kataha (Kedah), Panpan, Chih-tu, Langkasuka, Baruas, Gangganegara, Srivijaya, Pasai, Perlak, Jambi, Acheh dan Pagaruyung walaupun dimasukkan secara ringkas sebagai latar belakang.

Namun, penyelidikan mengenai kerajaan-kerajaan tua yang pernah wujud di Sarawak perlu diteliti kerana sebelum ini bukti-buktinya tidak wujud, kini telah ditemui oleh sejarawan. Artikel ini akan menceritakan secara ringkas mengenai lima kerajaan yang hilang di Sarawak sebelum ini.

(Artikel ini banyak merujuk kepada jurnal kajian bertajuk Sejarah Awal Kepulauan Melayu: Lima Buah Negeri Warisan Sarawak yang Hilang tulisan Sanib Said)

1) Kerajaan Bo-Ni dengan 14 wilayah takluknya

Kawasan Teluk Brunei. Imej dari Waterbodies

Seorang lelaki telah tiba di Pantai Teluk Brunei lalu mengahwini 14 orang wanita. Daripada perkahwinan itu maka lahirlah 14 orang ketua wilayah (saparadian) yang akhirnya bersetuju membina sebuah negeri di kuala sungai itu.

Zaman dulu-dulu biasanya akan pilih yang paling tua untuk jadi ketua mereka.  Daripada 14 orang itu, orang yang paling tua bernama Awang Alak Betatar yang dinobatkan sebagai raja pertama kerajaan-negeri itu. Manakala orang yang kedua tertua, Awang Sama’un dipilih memegang jawatan panglima. Kehandalannya sebagai panglima memang terserlah hingga terdapat sebuah syair bertajuk Syair Awang Sama’un.

Kegagahan Awang Sama’un juga telah menyebabkan wujudnya Hikayat Sama’un yang agak terkenal di Kepulauan Melayu ketika itu. Sehinggakan terdapat hikayatnya dalam versi Bahasa Sunda di Pulau Jawa. Hikayat ini dikatakan disulamkan dengan sebuah cerita Arab mengenai kehebatan seorang panglima Nabi Muhammad.

Imej dari PNM

Bukti-bukti dari syair ini menunjukkan kewujudan sebuah kerajaan bernama Bo-ni dengan 14 buah kawasan takluknya. Laporan China ada menyebut mengenai kewujudan kerajaan Bo-ni sejak tahun 860 masihi lagi. Dengan catatan nama beberapa raja Bo-ni seperti Hiangta (977 masihi), Si-li-ma-je (1082 masihi), Ma-ho-mo-sa (1370 m), Ma-na-je-ka-na (1408 m) dah Hsiawang (1408 m). Sumber Jawa, Nagarakertagama menunjukkan bahawa kerajaan Bo-ni telah dikuasai kerajaan Majapahit kemudiannya.

2) Nama kerajaan Santubong ditukar menjadi Sawaku (Sarawak)

Gunung Santubong yang indah dan permai. Imej dari Borneotalk

Kerajaan Majapahit pada masa dahulu memang terkenal seperti yang kita belajar dalam sejarah. Dengan aktiviti perluasan kuasa, menyebabkan beberapa nama kerajaan yang dikuasai hilang dalam sejarah kerana ditukar nama.

Ini termasuklah salah satu kawasan yang pernah menjadi kerajaan iaitu Santubong. Bukti-bukti arkeologi sendiri membuktikan apabila penemuan oleh James Brooke selepas menjadi raja Sarawak. Penemuan batu-batu besar emas menunjukkan kawasan ini pernah didatangi oleh orang dari India. Pada tahun 1949, kajian arkeologi oleh Muzium Sarawak berhasil mengumpulkan ribuan pecahan tembikar China di Santubong.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Bila dikaji secara terperinci ke atas tembikar dan artifak-artifak keagamaan Hindu, para pengkaji mengatakan bahawa Santubong dah wujud sejak abad ke-7 dan kekal hingga ke abad ke-10 atau 14. Santubong ni bukan biasa-biasa kawasannya, ia dibuktikan sebagai sebuah kota pelabuhan dengan penemuan tahi besi yang dianggarkan sebanyak 40,000  tan.

Tahi besi yang sikit. Kalau 40 ribu tan lagi lah banyak. Imej dari Rawatan

Kehebatan Santubong ini pastinya dah menarik perhatian kerajaan Majapahit untuk ditakluk. Setelah dikuasai Majapahit, nama Santubong telah ditukar kepada nama Sawaku (Sarawak).

3) Penemuan hampir 80 ribu serpihan tembikar bukti kerajaan tua Samarahan

Samarahan kini daerah Sarawak. Imej dari Sarawak Gov

Terdapat dua sungai di Sarawak yang juga dianggap utama. Iaitu Sungai Samarahan dan Batang Sadong. Dalam Silsilah Raja-Raja Brunei ditulis bahawa kawasan ini dikenali sebagai negeri Samarahan dan kadang-kala disebut sebagai negeri Sadong. Pada tahun 1850-an, James Brooke dan Spenser St. John dah mendengar tentang sejenis patung yang diperbuat dari batu yang mempunyai nilai-nilai sembahan keagamaan Hindu di kawasan itu.

Selain itu, penemuan tembikar China abad ke-14 dan ke-15 di kawasam lembah Sungai Sadong menunjukkan terdapatnya kesinambungan kerajaan yang wujud di pantai dan di pedalaman. Di kawasan tertentu, ditemui 79,754 pecahan tembikar dan ratusan benda lain termasuk manik, duit siling dan emas. Apa yang membezakannya dengan kawasan lain adalah penemuan 143 serpihan tembikar Sawankhalok. Ia adalah tembikar Siam!

Tembikar Sawankhalok dari Siam. Imej dari Southeast Asian Ceramic Society

Walaupun begitu, tiada catatan mengenai kerajaan ini di dalam tulisan-tulisan China dan Jawa. Tapi, bukti penemuan peninggalan Hinduisme dan tembikar-tembikar di lembah Sungai Samarahan dan Batang Sadong memungkinkan kewujudan sebuah kerajaan tua Samarahan.

4) Kerajaan Kalaka diperintah dua orang wanita adik-beradik

Kerajaan yang agak luas. Imej dari The Sarawak Legacy

Dalam catatan Jawa, Negarakertagama menjelaskan bahawa Kalka (Kalaka) sebagai sebuah jajahan Majapahit. Manakala dalam Silsilah Raja-Raja Brunei, Kalaka juga disebut sebagai sebuah negeri yang dianugerahkan oleh kerjaan Johor kepada kerajaan Brunei serta mendapat keutamaan.

Apa yang menarik, dalam Syair Tarsilah Negeri Saribas dicatatkan bahawa negeri ini diperintah oleh dua orang wanita adik-beradik.

Terhenti dulu kisah itu
Tersebutlah pula habar suatu
Di Negeri Kalaka’ habarnya tentu
Dayang Hubu’ Dayangnya Ruku

Lembah Sungai Kalaka tidak jauh dari lembah-lembah sungai yang lain. Para pengkaji telah menemui 9,469 serpihan tembikar China termasuk jenis Sawankhalok. Setelah dikaji, tembikar ini adalah tembikar abad ke-16 dan ke-17.  Daripada abad tembikar tu, ini menunjukkan kerajaan Kalaka bukanlah terlalu tua.

5) Pelarian dari Kerajaan Brunei, membina kerajaan Saribas

Sungai Saribas. Imej dari DID Sarawak

Pada tahun 2002, sebuah manuskrip yang hilang ditemui semula. Manuskrip itu berjudul Syair Tarsilah Cetera Abang Gudam dan Temenggong Qadir Negeri Saribas yang mengisahkan mengenai penubuhan negeri Saribas. Dikisahkan mengenai seorang pelarian dari ibu kota Kerajaan Brunei di utara bernama Pengiran Temenggong Abdul Qadir. Anak gadisnya bernama Dang Chi’ dah diambil oleh sultan.

Apabila sampai di muara Batang Saribas, dia dah mendirikan sebuah negeri dengan ibu kota di Tandang Sari di tebing Sungai Rimbas. Kemudiannya, muncul seorang anak raja Pagaruyung, Dato’ Gudam yang merantau dari Sumatera kerana gagal dalam ujian naik takhta. Ketika itu, Pengiran Temenggong Abdul Qadir dah memujuk Dato’ Gudam untuk mengambil dan membawa pulang anaknya, Dang Chi’ keluar dari istana.

Pertempuran yang dibyayangkan. Imej dari Kajian Melayu Saribas

Usaha Dato’ Gudam berjaya yang menyebabkan dia dikahwinkan kerana jasanya. Dia kemudian memegang teraju pemerintahan Negeri Saribas yang menurunkan waris kepada keturunan Abang. Mereka memegang jawatan dengan gelaran Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu Hakim di lembah Batang Saribas.

Kerajaan-kerajaan warisan Sarawak layak dimasukkan dalam buku sejarah Malaysia dan Alam Melayu

Seperti yang kami ceritakan secara ringkas tentang beberapa kerajaan-negeri yang muncul sejak abad ke-7 di Sarawak. Beberapa penemuan dan bukti arkeologi telah menyokong mengenai taraf kerajaan-negeri yang pernah muncul hingga ke taraf kota pelabuhan.

Keududukan kerajaan yang kami ceritakan tadi. Imej dari Kajian Melayu Saribas

Kerajaan-negeri ini pernah wujud dan penting lama sebelum menjadi jajahan takluk empayar Brunei dan Majapahit pada abad ke-14. Oleh itu, dengan sumber-sumber yang ada, kami harap suatu hari nanti,  cerita-cerita kerajaan warisan Sarawak ini akan dimasukkan di dalam buku sejarah Nusantara, Sarawak dan juga Malaysia jika selama ini ia telah hilang.

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend