Jenayah & Undang-undang

Kenapa pelajar undang-undang bukan Islam di UKM kena hafal ayat al-Quran?

Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dah timbulkan macam-macam perdebatan. Orang yang tak ambil undang-undang pun tak ketinggalan mengeluarkan pandangan mereka masing-masing. Isu agama dan bangsa juga tak berhenti dinaikkan sebagai hujah. Tapi, korang tahu tak yang mahasiswa jurusan undang-undang negara kita ni ada yang diwajibkan belajar undang-undang Islam walaupun tak boleh mereka amalkan?

Pada tahun 2016, Mahkamah Persekutuan memutuskan peguam bukan Islam tak boleh beramal dan bertindak sebagai peguam syarie bagi mengendalikan kes-kes syariah. Jadi, orang yang bukan Islam TAK boleh jadi peguam syarie.  Antara sebabnya, peguam syarie kena bantu Mahkamah Syariah untuk tegakkan Undang-Undang Syariah yang memerlukan Aqidah Islam. Oleh itu, dari perspektif Syariah, penting untuk Peguam Syarie dipilih di kalangan orang Islam dan beriman kepada Allah SWT.

Imej dari drshafie.blogspot.

Walaupun macam tu, pelajar bukan Islam di Fakulti Undang-Undang (FUU) UKM perlu belajar kursus berkaitan Islam macam muamalat, undang-undang jenayah dan keluarga Islam, usul fiqh (jurisprudens Islam), perbankan Islam dan lain-lain. Kali ni, SOSCILI nak bincang mengenai mahasiwa bukan Islam yang belajar undang-undang Islam di negara kita. Persoalan bermula dengan…

Mengapa mereka perlu belajar undang-undang Islam yang mereka tak boleh praktis?

Selain undang-undang Islam, mahasiswa FUU juga wajib belajar bahasa Arab selama 3 semester untuk fahami subjek berkaitan agama Islam. Biasa ustaz-ustaz je cakap bahasa Arab. Mai datang UKM, ada Cina dan India boleh cakap Arab. Selain tu, mereka juga hafal ayat-ayat Quran yang mana ianya penting kerana undang-undang Islam ada yang disepakati dan sumber yang tak disepakati.

Menurut buku Apa Itu Undang-undang Islam, sumber yang disepakati ialah al-Quran, hadis Nabi dan ijmak ulama. Manakala sumber yang tak disepakati ialah al-qiyas, istihsan, uruf dan masalih mursalah. Kesemua ini ialah sumber-sumber dalam perundangan Islam. Jadinya, penghafalan perlu sebab sumber utama undang-undang Islam berdasarkan al-Quran dan hadis. Memang wajiblah nak kena hafal semua yang menjadi sumber undang-undang kalau nak dapat A!!!!

Tak pun pi Korea, kutip kobis. Imej dari Vulcan Post.

Contohnya dalam undang-undang keluarga Islam bab pernikahan ada dalili-dali penting macam surah An-Nisaa’: ayat 1, 3, 32, dan 72, Surah Ar-Rum: ayat 21 dan Surah Luqman: ayat 10.  Kalau tak hafal, macam mana nak jawab exam? Itu belum lagi bab-bab penceraian, nafkah, harta dan undang-undang Islam lain. Korang jangan terkejut kalau jiran korang yang bukan Islam tapi pandai kira pembahagian harta dan faraid. Ada kemungkinan besar pelajar FUU UKM lah tu.

Ini contoh soalan yang diorang kena jawab. Sumber dari UKMpastyear.

Selain itu, ada perkara lain macam nusyuz, taklik, talak dan segala macam isu dan jenis-jenis perceraian pun yang mereka kena tahu konsep dan cara-cara pengurusan. Jangan main-main. Tak percaya tengok bawah ni.

Penulis tunjuk bakat sikit. Imej dari Fb Taiko Tai. (Klik imej untuk resolusi yang terbaik)

Cara pengajaran dan pembelajaran undang-undang di UKM lebih unik berbanding universiti lain

Di Malaysia kalau nak belajar undang-undang hanya ada enam IPTA yang tawarkan kursus ni iaitu UIA, UM, UUM, UiTM, UKM dan UniSZA. Kebanyakan IPTA ni tadi tak wajibkan pengambilan kursus berkaitan perundangan Islam berbanding UKM. Malah UiTM dan UM sendiri pun jadikan kursus tu elektif yang mana pelajar boleh pilih sama ada nak ambik atau tak.

Kursus-kursus teras dan pilihan kat UM. Sumber dari website UM

Sebab apa kat UKM wajib walaupun mahasiswa bukan Islam? Kalau diikutkan, penubuhan UKM bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperjuangkan sebuah pusat pengajian tinggi bercorak kebangsaan. Jadi, belajar kat kuliah pun dalam BM dan kelas tutorial pula BI. Waktu exam, kena jawab dua-dua bahasa yang mana ada satu bahagian wajib dalam BM dan ada lah Arab sikit-sikit.

Penulis ada interviu pensyarah FUU, Dr. Rama untuk tanya kenapa fakulti wajibkan subjek-subjek Islamik diambil walaupun pelajar bukan Islam. Dia cakap,

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Fakulti hanya mewajibkan minimum empat subjek-subjek elektif malah fakulti memberikan penekanan kepada subjek penting seperti undang-undang kontrak, tanah, syarikat dan perlembagaan dan perlu dipelajari selama dua semester.” – Dr. Rama, Pensyarah.

Kalau tengok kulit buku pun dah menguap. Eloklah jangan ambik law. Imej dari Ukm press.

Maksudnya, subjek yang penting diajar selama dua semester dan subjek islamik wajib diambil juga. Cuma bezanya subjek-subjek elektif kena ambik minimum empat je. Trend universiti-universiti di Malaysia berbeza dengan UKM. Sebab dasar dan tujuan pun berbeza mengikut ideologi penubuhan.

Contohnya di UIA, jumlah pelajar bukan Islam sikit dan jika diwajibkan pelajar ambil subjek Islamik pun tidak memberikan kesan yang besar. UiTM pula ada ikut sikit cara Universiti of London ala-ala England.

Takkan takde mahasiswa bukan Islam merungut kalau diwajibkan? Kami tanya…

Prabakaran pelajar tahun 3 dan Aiman Syahmi pelajar tahun akhir fakulti undang-undang UKM.

Penulis juga ada tanya sendiri pelajar FUU UKM, Prabakaran yang merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa FUU UKM. Dia mengatakan subjek Islamik bagus kerana membuka skop yang lebih besar dan merupakan ilmu yang pelajar IPTA lain mungkin tak dapat belajar. Menurut Prabakaran lagi:

“Benar yang non-muslim tak boleh praktis tapi boleh beri nasihat undang-undang. Kita boleh beri perspektif dari dua sudut undang-undang yang berbeza.”- Prabakaran ketika diinterviu Soscili.

Mungkin korang fikir yang tak adil untuk pelajar bukan Islam belajar subjek Islamik. Tapi baginya, takde isu adil ke tak adil sebab semua belajar benda yang sama. Ada pelajar yang masuk tak ada latar belakang undang-undang dan kena belajar dari A to Z.  Jawab exam pun semua soalan yang sama. Akhirnya, bergantung kepada pelajar tu sama ada belajar atau tak.

Ada tu yang malas belajar, nanti bagi alasan Bill Gates pun tak habis belajar. Imej dari Imgurl.

“Selain beri nasihat, kita lihat bagaimana undang-undang bergerak. Ada undang-undang naturalis iaitu undang-undang yang berpunca daripada Tuhan dan ini bertembung dengan undang-undang positif iaitu undang-undang buatan manusia. Kita boleh buat analisis dan belajar tentang pertembungan dua undang-undang ini.”- Prabakaran, ketika diinterviu SOSCILI.

Undang-undang Islam jelas dalam Quran seperti Hudud manakala undang-undang sivil pula asal daripada Common Law dan Ekuiti atau undang-udang yang dibuat oleh Hakim. Menurut Prabakaran lagi, rungutan memang ada berkaitan subjek Islamik atas sebab diwajibkan.

“Kalau soal kenapa diwajibkan di FUU UKM, ia saya rasa kelebihan kita dan cara pemartabatan undang-undang Islam. Kita tidak boleh jadi peguam yang mahir sebab kena mahir dalam kedua-dua ilmu dan berhujah dalam kedua-dua ilmu sebab sistem perundangan yang kita amalkan.” – Prabakaran, ketika diinterviu SOSCILI.

Bahagian bawah Mahakamah Sivil. Imej dari Sejarawann blogspot.

Aiman Syahmi, pelajar tahun 4 FUU pulak cakap yang belajar undang-undang Islam ni lagi banyak manfaat dari konteks masyarakat. Pemahaman ni akan bentuk satu perpaduan dan persefahaman. Baginya, UKM bijak dengan menampilkan satu keunikan dalam silibus sebab universiti lain kalau sivil, akan belajar sivil je.

“Pelajar UKM akan ada kemahiran tambahan berbanding yang tidak belajar subjek berkenaan. Persaingan sihat dan adil wujud kerana dalam keadaan pembelajaran ia nilai tambah dalam dapatkan pekerjaan selepas graduasi. Subjek Islamik dapat menunjukkan satu kelebihan kepada bakal majikan.

Kalau isu aduan pelajar memang ada tapi sesama mereka sahaja. Batch saya biasanya akan buat study group dan ajar kawan-kawan bukan Islam untuk mereka faham.” – Aiman, pelajar tahun akhir ketika diinterviu SOSCILI.

Kalau study ok lagi, kalau group assignment? Imej dari Letsgetpsyhd.

Macam mana penerimaan mahasiswa bukan Islam dalam subjek-subjek ini? 3 pensyarah berkongsi…

Dr. Rama, PM Dr. Ruzian dan Prof. Faridah yang diinterviu.

Dr. Rama dan Prof. Faridah asalnya pelajar undang-undang UKM dan pernah melalui proses yang sama seperti mahasiswa sekarang ini. PM Dr. Ruzian Markom pula merupakan pakar dalam perundangan Islam dan mempunyai pengalaman mengajar dan research dalam Undang-Undang Islam.

Menurut Dr. Rama, dulu dia pelajar jurusan undang-undang UKM juga pada sesi 2003 dan pada asalnya masa masuk UKM beliau tidak tahu bahawa subjek Islamik wajib diambil oleh semua pelajar. Namun, tak jadi masalah untuknya sebab masa SPM dia ada ambik Tasawwur Islam.

Waktu dia belajar juga, ada je pelajar-pelajar bukan Islam merungut, tapi tiada sebarang aduan rasmi dibuat kepada fakulti. Menurutnya lagi, subjek Islamiklah yang membantunya mendapat CGPA yang tinggi. Apa yang menarik, siap jadi subjek kegemaran lagi yang mana dia juga pencinta bahasa dan mengajar Bahasa Melayu untuk undang-undang.

Bahasa Melayu ni makin indah kalau guna untuk mengorat awek. Imej dari Says.

“Bagaimana seorang peguam yang bijak boleh berhujah mengenai sistem undang-undang Malaysia tanpa mengetahui tentang perundangan Islam.“- Dr. Rama ketika diinterviu SOSCILI.

Disebabkan Malaysia amalkan dua sistem (sivil dan syarie), pelajar UKM adalah unik yang boleh buat perbandingan kedua-keduanya. Jadi, bila bagi pandangan taklah bias. Pengalaman dan info yang Dr. Rama share semua positif dan penerimaan pelajar bukan Islam juga tiada yang negatif keseluruhannya. Tapi kalau ada pun hanyalah pendapat sendiri dan prejudis mereka sendiri.

Prof. Madya Dr. Ruzian pula mengatakan bahawa dah menjadi dasar dan objektif pengajaran subjek-subjek Islamik di FUU UKM malah sejarah penubuhan fakulti berkait rapat dengan dasar yang diamalkan. FUU UKM ditubuhkan pada tahun 1986 dan bertujuan untuk berikan pendedahan tentang undang-undang sivil dan syariah kepada pelajarnya.

Struktur mahkamah Syariah. Imej dari Slideshare Bab Mahkamah.

Pada asalnya semua pelajar terdiri daripada pelajar Melayu dan Islam sahaja semasa matrikulasi undang-undang UKM diperkenalkan. Mulai tahun 2004 barulah sistem meritokrasi diamalkan di semua universiti tempatan dan FUU UKM membuka tawaran kepada pelajar bukan Melayu dan kekal dengan kurikulum sedia ada. Walaupun kini dalam proses semak semula untuk ikut keperluan standard program subjek-subjek Islamik dikekalkan kerana keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja dalam pelbagai sektor perniagaan.

“Walaupun terdapat desas desus ada pelajar yang tidak berpuas hati tapi tiada aduan rasmi yang diterima. Proses pembelajaran ini menggalakkan mereka untuk lebih berusaha.” – Dr. Ruzian ketika diinterviu SOSCILI.

Prof Faridah dalam sesi interviu menerangkan sebab subjek diwajibkan polisi Bahasa Melayu di mahkamah dah diperkenalkan. UKM nak wujudkan pengamal undang-undang yang mempunyai kesedaran mengenai keperluan tempatan dalam mempraktiskan undang-undang. Selain tu, undang-undang syariah adalah sebahagian dari sistem perundangan yang perlukan pemahaman pelajar penting untuk diorang guna nanti.

Dulu masa Dr. Faridah masih belajar pada tahun 1986, skop pembelajaran ialah 70% berteraskan undang-undang sivil dan 30% berkaitan syariah. Dalam bank Islam ada banyak peluang untuk orang bukan Islam guna. Malah, orang yang belajar undang-undang Islam ada kelebihan sebab tahu selok-belok dalam kedua-dua sistem undang-undang.

“Fakulti mengambil kira perkembangan semasa dan situasi di luar dan di dalam Malaysia. Malah universiti-universiti terkemuka seperti HarvardCambridge dan Oxford  juga mempunyai pusat pengajian untuk hal-ehwal Islam.“- Prof. Faridah ketika diinterviu SOSCILI.

Imej dari iinanews.

Kalau universiti terkemuka dunia pun mula mengambil perhatian tentang undang-undang Islam, kita juga patutlah sokong seperti dasar pembelajaran di FUU UKM. Malah, United Kingdom kini menjadi pusat untuk sektor kewangan Islam berdasarkan laporan The City UK pada tahun 2015. Jadi peluang pekerjaan selepas tamat pengajian pun makin besar.

Masalah yang wujud disebabkan pengamalan dwi-sistem juga boleh berkurang. Mereka boleh nasihatkan klien seperti dalam kes-kes tukar agama dan boleh elakkan konflik perundangan yang sama seperti dalam kes-kes sekarang. Bayangkan masa yang diambil untuk selesaikan kes Indira Gandhi…9 tahun!

Berguna ke tak kepada yang bukan Islam belajar?

Ketiga-tiga pensyarah menyatakan yang objektif FUU UKM mewajibkan subjek-subjek Islamik kepada semua pelajar kerana berkait dengan tujuan dan fungsi asal sejarah penubuhan FUU UKM dan untuk memenuhi keperluan dwi-sistem yang diamalkan di Malaysia iaitu undang-undang sivil dan Islam. Walaupun graduan undang-undang bukan Islam tidak boleh beramal di mahkamah syariah tetapi mereka boleh memanfaatkan ilmu tersebut dengan memberikan nasihat kepada klien.

Mereka hanya tidak boleh praktis di mahkamah syariah tetapi dari segi pemberian nasihat boleh dan masih terdapat pelbagai bidang-bidang lain seperti perbankan dan undang-undang antarabangsa untuk mereka ceburi.

Tajuk Islamic, yang tulis pakar undang-undang yang bukan Islam. Hebatnya ilmu undang-undang ni. Imej dari morebooks.de.

Kalau korang nak tahu kat Malaysia pun kajian tentang bidang syariah dan perbankan Islam giat dijalankan. Ada macam-macam institut seperti International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA). ISRA juga ada tawarkan scholarship dan yang berminat bolehlah apply. Pusat pengajian tinggi awam dan swasta dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta banyak lagi juga berkembang. Rajin-rajinlah kita fahami benda-benda ini sebab peluang banyak terbuka.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend