
- 108Share sekarang!
- Facebook102
- Twitter0
- LinkedIn3
- Email3
Kalau korang pergi bazar Ramadan kat Kuala Lumpur tahun ni, mesti perasan ada satu benda yang lain macam kan? Semua khemah warna oren! Dulu kita biasa nampak khemah warna-warni, macam-macam saiz dan bentuk. Tapi sekarang, banyak bazar dah pakai khemah yang seragam. Nampak lebih kemas, tersusun, dan sedap mata memandang.

Salah satu yang mencuri perhatian tahun ni ialah Bazar Ramadan Wangsa Maju yang dikatakan antara paling panjang di Malaysia dengan lebih 350 khemah tersusun rapi.
Tapi sebalik khemah oren yang viral ni, rupanya ada drama menarik yang ramai tak tahu. Jadi, kitorang pun turun padang dan borak dengan peniaga-peniaga kat sana untuk korek cerita daripada diorang.
DBKL mulanya kena kecam sebab ambil alih urusan tapak bazar
Setiap tahun mesti timbul isu “kartel bazar Ramadan” – orang tengah sewa tapak banyak-banyak, lepas tu sewa balik kat peniaga kecil dengan harga melampau, sampai boleh cecah RM30,000 untuk satu tapak! Benda ni bukan je bukti ekonomi gelap tengah hidup segar bugar, tapi juga menindas peniaga yang cari rezeki halal.
Tapi bermula tahun ni, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ambil alih sepenuhnya pengurusan bazar Ramadan sekitar ibu kota, dari lesen, pengurusan tapak, sehinggalah penyelenggaraan.
Sebelum ni, persatuan penjaja yang urus. Tapi bila DBKL ambil alih, ramai dari persatuan ni mula panas, siap ada yang bising terbuka dan tuduh DBKL tak reti handle bazar tahun ni.

Jadi sebab tu, kitorang pun sangka peniaga bazar tak happy sebab mesti urusan jadi leceh. Tapi bila turun padang, kitorang terkejut sebab…
Peniaga cakap tahun ni “tiada kroni-kroni”
Rata-rata peniaga yang kami temui sebenarnya puji sistem baru ni. Malah, peniaga gerai Nasi Khao Mok yang tulis “Kalau tak sedap kasi tumbuk” (steady abang ni), sudi berkongsi harga tapak tahun ni:
“Sewa tahun ni, murah kau. Tahun ni, RM500. Deposit RM200, lepas dah habis, mereka bagi balik. Jadi jumlah sewa RM300 je. Semua dapat merasa, takde kroni-kroni”
– Abang Aaron, pengusaha gerai Nasi Khao Mok

Seorang peniaga lain yang kami temui juga berkongsi pendapat yang sama. Walaupun ni kali pertama dia mengusahakan gerai di bazar Ramadan, dia sangat berpuas hati:
Ini kali pertama saya berurusan dengan DBKL. Rasa macam senang je lah untuk dapatkan tapak, asalkan kita ada dokumen yang lengkap lah. [Harga] bagi saya tak mahal lah. Hanya RM300 untuk tapak, RM200 untuk deposit. Jadi semuanya RM500 saja.
– Kak Nia, pengusaha gerai akok Terengganu

Yang paling best, disebabkan sewa murah, diorang pun boleh turunkan harga makanan, dan meniaga dua hari je pun, dah boleh cover modal.
Netizen pun ramai yang setuju dengan perubahan ni:



Selain proses permohonan yang lebih telus, peniaga-peniaga juga…
Terkejut sebab dapat hadiah percuma dua hari sebelum Ramadan

Khemah oren tu bukan sekadar tema warna tahun ni, tapi satu sumbangan DBKL dengan tajaan dari Bank Muamalat. Yang lebih mengejutkan, peniaga juga siap dapat mesin QR yang boleh bercakap, lengkap dengan sambungan internet. Mengikut Abang Aaron, benda ni tak murah.
“QR mesin (yang) cakap. Bukan yang biasa, yang luar biasa. Kalau beli dekat Shopee ke, RM350 tak lari. Termasuk dengan internet, maksudnya kita buka je, terus boleh pakai. Tak payah nak sambung internet, wifi, tak payah. Dia memang ada dalam.
Dua hari sebelum masuk bazar, ada orang baru bagi tahu. Ya. Kita pun terkejut. Special betul tahun ni.”
– Abang Aaron, pengusaha gerai Nasi Khao Mok

Dan benda ni sangat lah berguna, bukan sahaja sebab majoriti pelanggan sekarang dah tak bawa cash dalam dompet. Sebenarnya, mesin QR ni diberikan kepada peniaga untuk tujuan yang sangat penting.
Mesin QR tolong peniaga cipta bukti pendapatan

Peniaga yang kami temu ramah kata lebih daripada 60% pelanggan akan guna QR untuk bayar, dan diorang pun lebih suka benda ni.
Sebab masa kita pun terhad. Bila orang bayar guna QR, kita tak perlu susah payah cari duit kecil, atau buat pelanggan beratur tunggu lama-lama.
– Kak Nia, pengusaha gerai akok Terengganu

Lebih dari tu, mesin QR ni bukan sekadar memudahkan urusan, tapi sebenarnya jadi nyawa kedua untuk peniaga kecil. Ramai antara diorang berniaga dalam sektor tak formal, takde slip gaji, dan takde dokumen rasmi. Jadi bila nak mohon pinjaman perniagaan atau rumah, asyik sangkut je walaupun sebenarnya ramai yang mampu.
Tapi sekarang, dengan transaksi QR yang direkod secara automatik, peniaga ada bukti hitam putih untuk tunjuk pendapatan sebenar diorang.
Sebab kita ni peniaga, kebanyakannya bank tak percaya kita punya pendapatan sehari. Jadi, dengan QR ni, kita boleh buktikan pada bank pendapatan kita berapa sehari, berapa sebulan. Kebaikan dia, kita boleh buat pinjaman ke ataupun buat urusan dengan bank dengan senang.
– Abang Aaron, pengusaha gerai Nasi Khao Mok
Dulu, kalau peniaga nak mula berniaga atau beli peralatan, selalunya kena guna duit simpanan sendiri. Ada yang terpaksa pinjam daripada keluarga, ada juga yang kena tunggu bertahun-tahun kumpul modal. Akses kepada pembiayaan memang susah, lagi-lagi untuk peniaga kecil yang takde penyata pendapatan.
Bila dah ada bukti pendapatan daripada transaksi QR, lebih mudah nak mohon pinjaman bank. Malah, ada Skim Pinjaman Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang boleh bantu jadi penjamin untuk peniaga kecil yang layak. Dengan jaminan ni, peluang nak lulus pinjaman lebih cerah, tapi mestilah ikut syarat yang ditetapkan oleh pihak bank dan SJPP.

Masalah nak beli rumah pun boleh settle. Sebab ada bukti pendapatan, peniaga layak mohon pinjaman rumah dengan pertolongan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP). Takde slip gaji pun, sekarang dah ada harapan untuk mendapatkan pembiayaan untuk beli rumah sendiri. Kalau korang nak maklumat lanjut pasal skim lain yang ada, boleh tengok dekat laman web SJPP.
Khemah oren ni bukan sekadar gimik, tapi simbol reformasi
Walaupun pendapatan bazar Ramadan ni boleh jadi lubuk duit, bulan puasa hanya berlaku setahun sekali je. Dan 11 bulan yang lain, para peniaga masih perlu cari sumber pendapatan yang konsisten.
Jadi usaha untuk digitalkan pendapatan diorang, sistem yang telus dan sewa dan murah, boleh bantu peniaga keluar dari kitaran cari pendapatan harian semata-mata dan mula bina masa depan yang lebih stabil.

Jadi, kalau korang tengok khemah oren tersusun cantik kat bazar Ramadan KL tahun ni, ia bukan saja satu gimik viral, tapi juga satu simbol perubahan. Dari sistem kartel ke sistem terbuka, dari urusan manual ke digital, dan dari ekonomi gelap ke ekonomi yang lebih telus, selaras dengan Ekonomi MADANI.
Siapa sangka, rupa-rupanya di sebalik khemah oren pun, ada banyak kisah-kisah menarik.
- 108Share sekarang!
- Facebook102
- Twitter0
- LinkedIn3
- Email3