
- 21Share sekarang!
- Facebook21
- Twitter0
- LinkedIn0
- Email0
Dulu-dulu mesti ramai antara kita yang layan lagu-lagu daripada Peterpan, Sheila on 7, Rossa dan ramai lagi penyanyi dari Indonesia. Tak kurang juga geng mak-mak yang layan sinetron yang banyak gila drama, sampaikan nak tahu siapa anak siapa pun boleh ambil masa dua minggu nak dapat jawapan.

Tapi korang perasan tak? Bahasa yang digunakan dalam lagu-lagu Indonesia tak jauh beza dengan bahasa Melayu yang kita guna kat Malaysia. Tapi bila tengok sinetron, bahasa yang diorang guna lain sangat sampai kadang-kadang kena tengok subtitle untuk faham. Bukan tu je, kadang kalau kita berbual dengan orang Indonesia pun ada ayat yang digunakan kita tak faham.
Kenapa ada perbezaan ni? Bukan kedua-dua bahasa ni sama je ke asalnya?
Titik pemisah Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824
Kenapa pula perjanjian ni jadi titik pemisah? Sebelum perjanjian ni dibuat, bahasa Melayu dah lama jadi lingua franca di Kepulauan Melayu sejak zaman Srivijaya lagi. Senang cerita, macam mana kita guna Bahasa Inggeris sekarang untuk bercakap dengan warga asing, macam tu la orang dulu kat sini guna Bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudahkan diorang faham satu sama lain.
Perjanjian British-Belanda 1824 terjadi sebab British dan Belanda nak elak konflik dan bahagi kawasan jajahan masing-masing di Nusantara. British ambil Tanah Melayu dan Singapura, manakala Belanda pegang Indonesia. Senang cerita, “Kau jaga tempat kau, aku jaga tempat aku” supaya tak berebut lagi.

Jadi lepas perjanjian ni, Kepulauan Melayu terpecah dua kepada British dan Belanda. Tanah Melayu dan Singapura jatuh ke tangan British manakala seluruh kepulauan Indonesia jadi milik Belanda. Sejak dari tu, Bahasa Melayu yang digunakan pada ketika tu mula berpecah dan berkembang ikut pengaruh penjajah masing-masing.
Tapi masih ada usaha untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu yang digunakan waktu tu dilakukan oleh seorang ulama dan sasterawan daripada Riau iaitu Raja Ali Haji. Beliau berusaha mencatat dan mengumpulkan daftar kata melayu huraikan asas tatabahasa dalam dua kitab iaitu Bustan Al-Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa.

Walaupun usaha beliau bagi impak besar kepada perkembangan Bahasa Melayu moden dan jadi asas bahasa kebangsaan bagi Indonesia dan Malaysia, keadaan politik yang berbeza di bawah penjajahan British dan Belanda mempengaruhi perkembangan bahasa-bahasa ni sampai sekarang.
Bahasa Melayu semasa penjajahan British di Tanah Melayu
Masa penjajahan British kat Tanah Melayu, diorang tak haramkan pun penggunaan Bahasa Melayu ni. Cumanya penggunaan bahasa ni terhad kepada penggunaan harian rakyat biasa jelah. Bahasa Inggeris jadi bahasa utama untuk pentadbiran dan pendidikan pada waktu tu.

Disebabkan Bahasa Melayu ditulis dalam tulisan jawi sebelum ni, pada tahun 1904, British perkenalkan sistem Ejaan Wilkinson yang dihasilkan oleh Sir R.J Wilkinson untuk menyeragamkan sistem ejaan rumi Bahasa Melayu. Pengenalan sistem ejaan ni dah meluaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan di sekolah-sekolah dan memudahkan urusan pentadbiran British di Tanah Melayu.
Selain tu, beliau juga susun kamus Bahasa Melayu sebagai usaha selaraskan Bahasa Melayu pada ketika tu. Kamus yang dimaksudkan adalah A Malay-English Dictionary dan diterbitkan sebanyak dua jilid pada tahun 1901 dan 1903. Kamus ni jadi rujukan penting oleh pegawai British kat Tanah Melayu pada ketika tu.

Tapi Ejaan Wilkinson ni disemak semua oleh Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad atau yang kita kenal sebagai Za’ba sebab tak mencerminkan sebutan sebenar Bahasa Melayu. Contohnya dalam Ejaan Wilkinson huruf vokal boleh ada dua atau lebih bunyi tapi dalam Bahasa Melayu tak boleh.

Beliau kemudian perkenalkan sistem Ejaan Za’ba pada tahun 1924. Waktu tu, barulah ejaan Rumi Bahasa Melayu kat Tanah Melayu mula diselaraskan. Sistem ejaan ni diterima baik oleh kerajaan British pada ketika itu dan digunakan secara meluas dalam bidang pentadbiran, pendidikan dan penerbitan termasuklah digunakan di Singapura dan Brunei. Sistem ni terus digunakan selepas kemerdekaan sehingga tahun 1974 apabila sistem Ejaan Rumi baru diperkenalkan.
Penggunaan Bahasa Melayu semasa penjajahan Belanda di Indonesia
Kat Indonesia pula. Belanda lebih sibuk menjajah dan perah hasil bumi Indonesia berbanding kenalkan budaya dan bahasa diorang kat masyarakat tempatan. Bahasa Belanda pada waktu tu cuma digunakan oleh orang-orang Belanda sahaja dalam pentadbiran dan pendidikan diorang.

Tapi kemudian, disebabkan Bahasa Melayu ni dah digunakan secara meluas, diorang akhirnya jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua selepas Belanda. Penggunaan Bahasa Melayu pada ketika tu diperluaskan dalam pendidikan rendah dan juga digunakan dalam Volksard (Dewan Rakyat).

Sama kes dengan Tanah Melayu, Bahasa Melayu kat Indonesia takde sistem ejaan rumi yang tetap dan tak konsisten. Jadi disebabkan Belanda pening macam-macam sangat cara orang tulis, jadi pada tahun 1901, Ejaan van Ophuijsen diperkenalkan dengan penyesuaian cara sebutan Belanda. Sistem ejaan ni digunakan secara meluas dalam pendidikan, pentadbiran dan penerbitan kat Hindia Belanda waktu tu.

Walaupun Bahasa Melayu ni terus digunakan dalam pentadbiran, kebangkitan gerakan nasionalisme Indonesia mengukuhkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan di Indonesia. Pada 28 Oktober 1928, Kongres Pemuda Kedua kat Indonesia melahirkan Sumpah Pemuda, satu ikrar persetujuan untuk bersatu sebagai satu bangsa, negara dan bahasa. Perkara ketiga dalam ikrar tu ada sebut:
“Kami putera dan puteri Indonesia menjunjung bahasa persatuan, bahasa Indonesia”

Sejak daripada peristiwa Sumpah Pemuda ni, Bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa komunikasi harian penduduk dinamakan sebagai Bahasa Indonesia untuk kukuhkan identiti nasional dan tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja. Bahasa Indonesia kemudian berkembang secara sendiri dengan serapan Bahasa Belanda dan bahasa-bahasa daerah lain di sana.
Perkembangan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sekarang
Pada tahun 1956, setahun sebelum merdeka, kerajaan pada ketika tu tubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan berkanun yang mengawal selia Bahasa Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. DBP ditubuhkan untuk membakukan ejaan, sebutan, cipta istilah-istilah yang sesuai, mencetak bahan bacaan dan apa saja perkara yang melibatkan Bahasa Melayu.
Sewaktu kemerdekaan, Bahasa Melayu telah diletakkan dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara sekaligus angkat status Bahasa Melayu di negara kita.

Sama kes dengan Tanah Melayu, Indonesia juga ada Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa. Peranan dia lebih kurang macam DBP iaitu laksanakan pegembangan, pembinaan, dan perlindungan dalam bidang sastera dan Bahasa Indonesia.
Pada tahun 1947, Kerajaan Indonesia rasa dah takde keperluan untuk guna Ejaan van Ophuijsen yang ada pengaruh penjajah selain susah nak difahami dan dipelajari. Jadi menteri pendidikan diorang pada waktu tu, Raden Soewandi perkenalkan Ejaan Soewandi atau dikenali juga sebagai sistem Ejaan Republik.

Macam yang korang baca dari tadi, dua-dua bahasa ni asal dari akar yang sama tapi lepas penjajahan British dan Belanda, ia bekembang dengan cara yang berbeza. Bahasa Melayu kat Malaysia dipengaruhi bahasa Inggeris, manakala Bahasa Indonesia pula serap banyak perkataan Belanda. Contohnya:
Bahasa Inggeris | Bahasa Melayu | Bahasa Indonesia | Bahasa Belanda |
Card | Kad | Kartu | Kaart |
Whistle | Wisel | Peluit | Fluit |
Tomato | Tomato | Tomat | Tomaat |
Bag | Bag | Tas | Tas |
Police | Polis | Polisi | Politie |
Korang tau tak kenapa walaupun Bahasa Indonesia ni lain sikit dari kita tapi kita masih lagi boleh baca? Pada tahun 1972, kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk seragamkan sistem ejaan rumi masing-masing. Malaysia perkenalkan sistem Ejaan Rumi Baru dan Indonesia perkenalkan sistem Ejaan Yang Disempurnakan (EYD).
Malaysia dan Indonesia juga tubuhkan Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) pada tahun yang sama dengan tujuan untuk selaraskan istilah, ejaan, dan tatabahasa. Namanya kemudian ditukar kepada Majlis Bahasa Brunei Darussalam Indonesia Malaysia (MABBIM) lepas Brunei jadi anggota tetap pada tahun 1985. Singapura pula jadi negara pemerhati bermula tahun yang sama sampai sekarang.

Macam mana masa akan datang?
Dah lebih daripada satu abad kedua-dua bahasa ni terpisah dan berkembang ikut haluan masing-masing. Kita mungkin masih dapat dengar lagu-lagu jiwang dari Indonesia dan feeling-feeling bila korang broken. Tapi disebabkan bahasa ni dia sentiasa berubah ikut peredaran zaman, mungkin kedua-dua bahasa ni akan lebih terpisah dan penutur dia langsung tak faham satu sama lain dah.

Jangan cakap Indonesia je. Bahasa Melayu kat Malaysia ni pun berubah. Tengok macam mana bahasa yang P.Ramlee guna dalam filem-filem dia dulu sampailah tahun 80-an – 90-an macam tu. Itu pun dah dengar lain kat telinga kita sekarang.
Jadi tak mustahil kedua bahasa ni akan terpisah lebih jauh dan masing-masing kena guna Google Translate bila nak bercakap satu hari nanti.
- 21Share sekarang!
- Facebook21
- Twitter0
- LinkedIn0
- Email0