Kau cakap, kau kena: kenapa bahaya jadi pemberi maklumat kat Malaysia

KEMASKINI(05/06/2024): Pelajar perempuan yang membuat kiriman di media sosial telah memenangi kes fitnah yang difailkan terhadapnya oleh guru MRSM Tumpat.


Bayangkan korang pelajar perempuan dekat sekolah menengah berasrama penuh kat Malaysia. Korang cuma boleh jumpa keluarga mungkin beberapa minggu sekali, jadi korang kena bergantung pada orang dewasa terdekat macam cikgu atau kakitangan sekolah.

Imej dari The Vocket.

Satu hari, masa korang tengah tukar baju dalam tandas, tetiba ada cikgu lelaki keluar dari dalam salah satu bilik tandas tu.

Benda ni didakwa terjadi kat seorang pelajar MRSM Tumpat, sebuah sekolah berasrama penuh di Kelantan, dan kisah ni diceritakan kat Twitter/X oleh salah seorang bekas pelajar sana iaitu @naylisabirawr_. Tapi bukan setakat tu je…

 

Cikgu tu didakwa memang dah lama buat perangai camni

Bekas pelajar tu juga mendakwa yang masa dia berusia 13 tahun dan masih belajar kat MRSM Tumpat, senior-senior akan bagi amaran tentang sorang cikgu ni yang akan hantar teks berbaur lucah kepada sesiapa yang menarik perhatiannya.

Klik sini untuk baca teh penuh.

Daripada beberapa tangkap layar yang dikongsi, memang nampaknya benda-benda yang dihantar ke budak-budak ni ada yang pelik

Imej dari akaun X @naylisabirawr_.

…dan ada yang menjurus ke arah jenayah.

Imej dari akaun X @naylisabirawr_.

Dikatakan jugak, cikgu tersebut pernah masuk bilik asrama pelajar perempuan untuk buat spotcheck, dan dia dituduh ambil gambar beberapa pakaian yang disidai, termasuk seluar dalam.

Imej dari akaun X @naylisabirawr_.

Sama ada dakwaan-dakwaan ni betul atau tak, kes ni menonjolkan sesuatu yang penting…

 

Sesetengah undang-undang Malaysia menyukarkan mangsa gangguan seksual (atau jenayah lain) untuk bersuara

Mungkin korang tak tau, tapi kalau korang cerita kes korang kena gangguan seksual kat orang lain secara terus, post kat media sosial, atau WhatsApp kat orang lain sekalipun, korang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Salah satu cara korang boleh kena ialah disaman sebab fitnah. Kalau korang ada cakap, tulis, post, emel, WhatsApp, atau benda-benda serupa yang:

  • Merendahkan reputasi seseorang di mata orang ramai;
  • Mendedahkan identiti atau merujuk kepada dia sama ada secara langsung atau tak langsung; dan
  • Menutur, menerbit atau menghantar perkara terbabit;

…korang boleh didakwa sebab fitnah. Kalau orang yang korang bawangkan tu sendiri tak saman korang, kerajaan sendiri boleh dakwa korang di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Pastu, ada lagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 1998), yang membuatkan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara ‘tidak wajar’ sebagai satu kesalahan.

“(1) Seseorang yang—

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar—

(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan

(ii) memulakan penghantaran,

apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganayai, mengugut atau menganggu orang lain; …

melakukan suatu kesalahan.”

-sebahagian dari Seksyen 233, CMA 1998

Benda ni termasuk menyebarkan kata-kata berbaur fitnah kat media sosial. Sekarang, @naylisabirawr_ sedang disiasat polis di bawah Kanun Keseksaan dan CMA 1998 sebab cikgu tersebut dah buat laporan polis pada 31 Mac. Melalui salah satu hantaran Xnya, dia juga sedang disaman sebanyak RM3 juta.

Kalau korang rasa korang tak buat salah dari segi undang-undang bila bagi maklumat kepada orang awam sebab ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, korang silap. Akta ini cuma melindungi pemberi maklumat yang laporkan salah laku kepada agensi kerajaan yang berkaitan, dan tak akan lindungi korang jika sebarkan maklumat kepada orang ramai.

Jadi ya, memang susah nak dedahkan salah laku, sama ada undang-undang atau moral, tanpa diri sendiri terkena. Bukan sebab tak cuba, tapi…

 

Ramai rakyat Malaysia dah pun didakwa sebab buka mulut

Imej dari The Rakyat Post.

Ingat lagi tak kes Ain Husniza? Dulu, Ain dan ayahnya pun kena disaman fitnah lepas kritik cikgunya yang didakwa buat lawak rogol dalam bilik darjah pada tahun 2021 yang lalu.

Mereka sekeluarga akhirnya terpaksa pindah dari Puncak Alam ke Cheras, sebab kecaman yang diterima dari sekolah, pelajar lain dan orang kawasan kejiranan diorang terlalu dahsyat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pulak senyap je sepanjang kes tu.

Imej dari The Star.

Pastu ada pulak kes Lalitha Kunaratnam, yang pernah tulis tentang kepentingan perniagaan Azam Baki, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2021. Dia nyatakan perkaitan Azam dengan dua syarikat tersenarai termasuklah dokumen sokongan yang boleh dicapai orang awam.

Lalitha kemudian disiasat polis bawah Seksyen 233 CMA 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, dan Azam Baki menyaman Lalitha kerana fitnah, sebab katanya penulisan Lalitha menggambarkan dirinya sebagai ‘penjawat awam korup yang salah guna kedudukannya sebagai pegawai kanan SPRM’.

Bukan dua ni je kes yang pernah jadi. Al Jazeera, saluran berita Qatar yang dianggap ada kredibiliti pun pernah kena dengan CMA 1998 dan Akta Hasutan.

 

Dah tu, macam mana nak laporkan salah laku?

Macam ni, kalau korang atau kenalan korang diganggu secara seksual oleh pedofil atau dianiaya, pilihan terbaik korang adalah laporkan dekat pihak berkuasa sama ada polis, SPRM, SKMM atau mana-mana je yang korang rasa sesuai. Faham je kalau korang nak malukan orang yang dah buat salah dengan viral kan isu, tapi…

  1. Undang-undang sekarang tak menyebelahi pemberi maklumat yang nak dedahkan kes kepada orang awam; dan
  2. Undang-undang jadi macam ni sebab taknak galakkan fitnah-memfitnah.

Kami faham kalau korang jadi mangsa gangguan seksual dan rasa macam tak boleh nak bersuara, dan situasi tu sangatlah mengerikan. Tapi penting untuk kita elakkan ditimpa tangga lepas dah jatuh.

Berbalik dengan situasi MRSM Tumpat dan kes antara @naylisabirawr_ dan cikgu yang dituduh, dah ada berita nanti kitorang update. Sekian.