Jenayah & Undang-undang

Kami terima panggilan scammer LHDN & ini apa yang kami lakukan

Perasan tak, baru-baru ni ramai orang terima panggilan dari scammer LHDN? Katanya kita ada tunggakan cukai selama beberapa bulan dari sebuah syarikat.

Benda dah viral dalam Twitter dan Facebook:

Sebenarnya kami pun ada terima panggilan tu! Mula-mula tu malas layan sebab tahu ia scammer, tapi bila dia call balik kami pun seperti “if you wanna play a game, bring it on!“.  Jadi, kami pura-pura percaya mereka dan buat apa mereka suruh kerana kami nak tahu serta bongkarkan cara mereka tipu duit orang.

Haaa…inilah cara-cara yang mereka lakukan:

1. Scammer LHDN bagitahu ada orang guna data peribadi kita untuk daftar LHDN

Baiklah, cerita dia macam ni, pada hari Jumaat pukul 9.18 pagi, kami ada terima satu panggilan daripada nombor telefon tak dikenali.


Jadi, kami pun menjawabnya, lepastu individu yang telefon kami ni kata nama dia Encik Zulkifli bin Mohammad, mengatakan dia ialah Pegawai Operasi Cukai HQ LHDN Cyberjaya. Dia bagitahu yang kami ada tunggakan cukai sebanyak RM39,690 dari sebuah syarikat di Terengganu.

Kami tahu dah yang Zulkifli ni scammer, tapi kami pura-pura terkejut yang kami tak tahu pasal perkara tu dan dia pun turut serta terkejut. Dia pun minta IC pura-pura semak dan sahkan cukai tunggakan tu betul. Tanpa fikir panjang, kami pun tamatkan terus panggilan.

Mari kita ganyang semua scammer ni! GIF dari giphy.

Tak lama lepastu, Zulkifli ni menelefon balik, tapi guna nombor telefon ofis pula (ibarat ni plan B la, plan A guna nombor telefon tak berjaya). Dia cakap kenapa tamatkan panggilan, kami pun cakaplah takut ni scammer. Dia cakap macam ni:

“Takkanlah kami ni scammer, buat apa kami tipu tuan. Kami tahu panggilan scammer ni bahaya kadang-kadang sampai orang tak percaya kami.” (yang ni tak tepat pun tapi bunyinya macam ni la).

2. Scammer LHDN menyambungkan talian kepada IPK Terengganu suruh kami buat laporan polis, kononnya!

Lepastu, si Zulkifli ni suruh buat laporan polis mengenai pendedahan data peribadi di IPK Terengganu, tapi yela kami ni duduk Lembah Klang macam mana nak pergi sana. Zulkifli kata yang panggilan ini akan disambungkan terus ke IPK tersebut dan kalau polis kata kenapa tak datang saja ke balai, cakap saja luar kawasan Terengganu.

Kami juga diberitahu oleh Zulkifli supaya pihak polis menghantar laporan tersebut kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Mahkamah Terengganu sebelum 11.30 pagi. Kalau tak pihak BNM akan menolak terus wang kami daripada bank pada pukul 11.30 pagi.

3. Scammer LHDN bagi butiran penuh syarikat yang guna data peribadi kita untuk daftar LHDN

Sebelum talian disambungkan, Zulkifli menyatakan butiran penuh syarikat yang guna data peribadi kami untuk diberikan kepada pihak polis. Korang jangan terkejut sebab semuanya memang nampak asli sangat.

Ini butiran yang dia bagi kepada kami:

  • No file: PRG133-079-2022
  • No. SSN:PR0015921-W
  • Nama syarikat: Delcom Network Centre (Pemprosesan Alat Eletronik dan kemudahan komunikasi) menyediakan kompomen alatan eletronik telefon, komputer, tv, wifi
  • Tempat daftar: SSN Cawangan Kuala Terengganu.
  • Tarikh daftar: 10 November 2020 (selasa).
  • Jumlah tunggakan cukai: RM 39690 (15 bulan).

Kalau korang cari di internet, syarikat tu memang wujud!

Tak lama lepastu, Zulkifli ni pun sambungkan talian terus ke IPK Terengganu…

4. Scammer polis ni meminta kami menyemak nombor telefon di laman web sebagai pengesahan

Kami pun terima panggilan yang kononnya dari IPK Terengganu, lalu kami pun cakaplah nak buat laporan mengenai pendedahan data peribadi. Eh, si scammer polis ni pun pura-pura terkejut pula kerana kenapa tak buat laporan di balai dan kami pun cakaplah luar kawasan, jadi nak buat dalam talian saja.

Si scammer polis ni pun setuju dan teruskan untuk buat laporan. Sebelum itu, dia memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Hadi bin Mohd. Shah serta memberitahu kami yang dia akan berikan nombor angka giliran pita perakam, iaitu 099. Pita perakam ni katanya untuk merakamkan panggilan ni nanti boleh dijadikan bahan bukti.

Sarjan Hadi ni memakulumkan, panggilan akan ditamatkan sebab dia akan menelefon semula guna nombor telefon dari IPK dari Terengganu, tapi depannya akan ditambah dengan nombor angka giliran pita perakam. Macam ni lah nombornya: 099 (angka giliran)+096354722 (nombor IPK Terengganu) = 099096354722.

Ini buktinya.

Sarjan Hadi ni pun tamatkan panggilan, dalam beberapa saat macam tu dia menelefon semula guna nombor telefon 099096354722. Dia ada menyuruh kami duduk di tempat sunyi, tanpa gangguan, ambil pen dan kertas serta matikan semua gajet yang ada supaya rakaman panggilan tidak diganggu oleh sebarang bunyi.

Tapi kami pun taklah bendul sangat, kami biarkan je semua gajet hidup, tapi kami duduk di tempat sunyi la. Sebelum memulakan rakaman panggilan, Sarjan Hadi minta kami menyemak nombor telefon IPK Terengganu di laman web rasmi PDRM. Jangan terkejut, sebab nombornya sama!

Boleh tengok sendiri (gambar laman web PDRM):

Imej dari laman web rasmi PDRM.

4. Scammer polis ni menawarkan pertolongan berhubung dengan pihak BNM

Rakaman panggilan pun bermula, Sarjan Hadi minta kami ceritakan segalanya. Dia beritahu laporan ini akan diposkan dan akan sampai pada kami pada hari Isnin.

Dia ada beri kami dua pilihan sama ada nak telefon BNM sendiri atau dia yang tolong. Kami pun minta dia tolong. Sarjan Hadi pun cakap tunggu sekejap sebab buat panggilan dengan pihak BNM untuk melaporkan kes ini.

5. Scammer polis ni meminta kami untuk memindahkan semua wang dalam satu akaun bank

Sarjan Hadi dapat satu info dari pihak BNM, katanya ada salah satu bank kami yang mempunyai keselamatan rendah. Mereka pun meminta kami untuk memindahkan semua wang yang ada ke dalam satu akaun bank saja bagi tujuan keselamatan. Kami pun buat tapi bukan semua wang dipindahkan.

6. Scammer polis beri nombor lain untuk WhatsApp supaya mudah untuk dia maklumkan info

Pada masa yang sama, Sarjan Hadi bertanyakan kami, “ada guna WhatsApp tak?” Mestilah kami pakai, siapa saja yang tak pakai WhatsApp pada zaman era kemajuan teknologi ni. Dia pun berikan satu nombor lain yang digunakan untuk aplikasi tersebut.

Ini adalah buktinya:

 

7. Scammer meminta kami untuk muat turun satu aplikasi dari laman web BNM palsu

Lepas bahagian WhatsApp tu dah selesai, Sarjan Hadi mengatakan pihak BNM menyuruh kami untuk memuat turun aplikasi BNM dari satu laman web (ia palsu!). Kiranya laman web itu akan menyediakan satu fail jenis apk dan perlu dipasangkan dalam telefon.

Info dari pihak BNM kata aplikasi ni bertujuan untuk perlindungan wang serta data bagi pihak BNM supaya mereka tak terus ambil duit kita untuk bayar cukai itu. Katanya lagi, aplikasi itu tiada dalam Google PlayStore atau App Store sebab bukan sembarangan orang boleh muat turun aplikasi ni.

Cara untuk muat turun fail apk itu agak rumit juga, mula-mula:

  1. Mereka suruh buka Google, tulis perkataan Malaysia dan cari.
  2. Lepastu mereka suruh kami padam URL carian Malaysia itu dan tulis satu html, iaitu http://172.104.101.22/905817/04589401.html (korang cuba la cari).
  3. Lepas dah masuk ke dalam laman web dari html yang diberikan, akan muncul laman web BNM, dan korang akan perasan ada butang pilihan muat turun, satu untuk Android satu lagi untuk Apple.
  4. Korang tekan untuk muat turun apk itu, install apk itu dan aplikasi itu akan muncul dalam telefon.

Pihak BNM kata perlu tutup anti-virus telefon kami, supaya aplikasi itu boleh digunakan. Tapi kami taklah lurus sangat, kami aktifkan saja anti-virus tu. Nak tahu virus apa yang muncul semasa kami install aplikasi tu? Virus Trojan. Sarjan Hadi ada kata kalau ada notifikasi virus abaikan, sebab yang itu tipu saja (kononya!).

Bahaya!

Kami pun berlakon cakap yang aplikasi tak boleh dibuka, Sarjan Hadi mula pelik kenapa tak boleh dibuka.

Mereka pun guna cara lain untuk dapatkan perlindungan wang dari BNM, iaitu…

8. Scammer meminta butiran bank dan suruh bacakan kod TAC transaksi

Sarjan Hadi kata dia akan cuba maklumkan kepada pihak BNM apa yang berlaku. Beberapa minit kemudian, dia kata pihak BNM menyuruh kami untuk memberikan segala butiran bank kami.

Adakah kami buat? Ye! kami bagi segala mak nenek butiran bank. Tujuannya ialah kami nak tahu apa langkah seterusnya mereka akan buat untuk dapatkan duit. Kenapa kami berani bagi segala butiran bank kami? Sebab pihak bank boleh sekat kad debit dan akaun perbankan internet kita.

Baiklah, lepastu Sarjan Hadi kata pihak BNM akan berikan kod TAC melalui mesej, katanya itu merupakan kod nombor untuk wang perlindungan dan insurans PIDM. Dia kata dalam mesej tu, hanya kod TAC saja yang betul, info lain semua salah.

Tahu tak sebenarnya mesej itu adalah kod TAC transaksi. Maksudnya, mereka telah memasuki akaun perbankan internet kami dan cuba memindahkan semua wang daripada bank kami ke dalam akaun bank mereka.

Adakah transaksi itu berjaya? jawapannya tidak kerana semasa mereka cuba nak pindahkan wang kami, awal-awal tu kami dah minta pihak bank untuk sekat kad debit dan akaun perbankan internet kami.

Mereka juga cuba menukar had transaksi wang bank kami melalui internet kerana nak pindahkan semua wang kami ke dalam akaun bank mereka. Kami ada menerima mesej pertukaran had transaksi wang itu dari emel:

Kami cakap kepada Sarjan Hadi bahawa pihak bank tak benarkan transaksi itu. Dia mengatakan akan cuba untuk uruskan isu tersebut (padahal mereka cuba untuk lakukan transaksi lagi).

Dia ada suruh kami menelefon pihak bank bagitahu yang kami ada satu transaksi gagal kepada individu bernama Shamsul Amer bin Ismail melalui dua cara, pemindahan wang kepada akaun bank bernombor: 1499041000026890 dan secara DuitNow melalui nombor telefon: 01172582163.

Tak lama lepastu, dia tutup telefon kami sebab nak berurusan dengan pihak LHDN serta pihak BNM, katanya nanti nak menelefon balik.

Lama juga menunggu, tapi senyap saja. Kami pun menelefon Sarjan Hadi, tapi melalui nombor WhatsApp yang diberi, untuk dapatkan info terkini. Namun, waktu kami telefon tu cara dia cakap tu macam tergagap. Kami tanya pasal info terkini, dia berkata “haa..” saja.

Lepastu, dia mesej balik minta emel dari kami sebab nak hantar laporan itu. Kami bagi emel dan lepastu, tergantung sepi sampai sekarang. Kiranya misi mereka untuk dapatkan duit kami telah GAGAL!

Kenapa kami berani buat perkara sebegini?

Isu penipuan wang orang secara talian ni makin teruk dah, korang tengoklah berapa ramai hilang simpanan duit gara-gara percaya dengan scammer ni. Oleh itu, kami buat semua ni bagi membongkarkan bagaimana cara mereka tipu duit orang supaya lepas ni masyarakat kita tidak menjadi mangsa penipuan ni.

Isu ni juga boleh dikaitkan dengan isu data peribadi dan gambar eKYC dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang telah dijual secara dalam talian berharga RM44,000. Mungkin ini sebab mereka boleh tahu nombor kita.

Kami tutupkan kisah kami bongkarkan aktiviti scammer dengan soalan tinjauan, (kalau tak keberatan jawab la okay! 🥺 Kalau soalan ni tak muncul, boleh tekan di sini).

To Top

Send this to a friend