- 1.3KShare sekarang!
- Email16
- Facebook1.3K
- Share
Negara kita memang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan etnik. Sampai dalam The Guardian sebut yang Malaysia ni contoh kejayaan kepelbagaian bangsa yang jarang ada.
Namun, isu kaum yang merupakan titik sensitif bagi ramai pihak kadang kala timbul. Itulah apa yang berlaku sewaktu apabila Waytha Moorthy mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan buat ratifikasi (menjadikan sesuatu perjanjian tu rasmi) untuk enam perjanjian yang dibuat PBB. Salah satunya adalah perjanjian Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Nampaknya, cadangan ni dah timbulkan reaksi ramai pihak terutamanya dari kalangan Melayu dan Bumiputera. Sebab apa?
ICERD akan mencabar hak Melayu dan Bumiputera?
Pada 31 Oktober lalu, satu perhimpunan dah dilakukan oleh beberapa NGO Islam dan Melayu bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohamed Farid Md Rafik. Sebelum perhimpunan ni juga, satu petisyen dah dikumpul oleh Pendokong Perlembagaan yang kini dah melebihi 60,000 tanda tangan.
Sekarang kita nak tahu juga, apa benda ICERD ni yang dikatakan boleh mencabar hak Melayu dan Bumiputera dalam perlembagaan?
Menurut pakar undang-undang, Dr Hazmi Rusli, salah satu elemen penting ICERD adalah menjamin kesamarataan dan kesaksamaan bagi semua kaum. Undang-undang ni tak terpakai di Malaysia secara automatik. Tapi, kalau Malaysia dah tandatangani, Malaysia terikat dan perlu laksanakannya dalam sistem perundangan dan akta-aktanya. Dari situlah, berkemungkinan hak-hak orang Melayu-Bumiputera melalui perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terhakis agar selari dengan tujuan ICERD.
Pihak kerajaan melalui Dr. Mujahid Yusuf Rawa, mengatakan ratifikasi ni akan dilakukan dengan reservasi. Ini bermaksud kita akan ada perlembagaan kita sendiri yang tak boleh diubah dengan menandatangani ICERD. Menurut Tun Mahathir pula, perjanjian ni hanya akan ditandatangani selepas rundingan dibuat dengan semua kaum di Malaysia. Baginya, perkara ni bukannya mudah untuk dibuat kerana Malaysia ada pelbagai kaum.
Begitulah suasana yang berlaku dalam negara kita. Tapi, itu semua pendapat orang Melayu-Bumiputera yang tinggal dalam negara kita. Kalau korang nak tahu, orang Malaysia yang tinggal luar negara sebenarnya ramai yang dah melebihi sejuta orang pada tahun 2017. Ada yang belajar, ada yang bekerja dan menjadi orang kedutaan. Dalam sejuta tu, mesti kita nak dengar pendapat anak Melayu-Bumiputera diluar sana.
Ianya satu kontrak sosial atau dipergunakan secara tidak bertanggungjawab?
Kita pun tahu, Malaysia ni dulu adalah salah satu kawasan yang termasuk dalam rantau Nusantara atau Malay Archipelago seperti yang dibukukan oleh Alfred Wallace pada 1869. Negara-negara lain termasuklah Brunei. Aisya (bukan nama sebenar) yang dah tinggal di Brunei selama 6 tahun tetap bersetuju bahawa hak Melayu dan Bumiputera perlu dijaga dan diteruskan. Pendapat yang sama juga diberikan oleh Eiman Asyraf yang sudah 4 tahun tinggal di Mesir.
Bagi Harith Kamal yang sudah 5 tahun tinggal di Dublin, Ireland, dia lebih tegas mengatakan ia patut diteruskan. Sejarah kontrak sosial perli dirujuk semula yang menetapkan orang Melayu dan Bumiputera bersetuju bagi kerakyatan kepada orang Cina dan India dengan bersyarat. Iaitu mengiktiraf hak Melayu dan Bumiputera. Maklumat penuh kontrak sosial baca kat link ni.
“Jadi, bila mereka memperlekeh dan bertindak mahu hapuskan perkara 153, dalam masa yang sama golongan Bumiputera masih belum mahu melepaskan hak-hak ini, seeloknya dilucutkan kewarganegaraan individu-individu yang terbabit dengan serta-merta.”- Harith Kamal
Bila sebut mengenai isu ni, golongan Bumiputera yang berada di Sabah dan Sarawak juga merasa sangat terkesan. Seperti pengakuan Grace walaupun yang dah menetap 4 tahun di US. Tapi dia merasakan kadang kala isu hak Melayu-Bumiputera ni terlalu dipolitikkan sampai bukan Bumiputera rasa dipinggirkan dari negara yang turut mereka bangunkan. Lagi satu, banyak kajian menunjukkan jurang antara kaum tak berubah pun dengan polisi ni. Mungkin satu hari nanti perlu dihapuskan.
“Tapi lepas beberapa ketika, orang mula ambil kesempatan- kumpulan kaya ambil manfaat untuk kontrak yang terhad hanya untuk pemegang hak Bumiputera, diskaun pembelian rumah dan sebagainya, menjadi ianya suatu perkara bukan sahaja teruk tapi mempergunakan kelebihan.”- Tanner Nagib, seorang Bumiputera yang 7 tahun menetap di Singapura
Sekarang ni, Dasar Pandang Ke Timur mula muncul balik lagi-lagi Jepun jadi destinasi pertama lawatan luar negara Tun Mahathir. Sedar tak sedar, kita juga ada orang Melayu-Bumiputera yang menetap di sana. Menurut Liyana yang dah 7 tahun menetap di Jepun, dia berpendapat hak Melayu-Bumiputera tak patut lagi diteruskan tetapi lebih baik utamakan dan diberikan kepada orang miskin tak kira kaum.
Semestinya isu ini dianggap ‘butang panas’ jika disentuh dan membawa kita kepada persoalan seterusnya. Apakah hak Melayu-Bumiputera ni boleh menjadi punca perpecahan dalam negara ni?
Punca perpecahan bukan kerana hak Melayu-Bumiputera, tapi pendidikan?
Beberapa orang yang kami interviu ni tak bersetuju bahawa hak Melayu-Bumiputera ni yang jadi punca perpecahan kaum di negara kita. Daripada jawapan-jawapan responden, ada dua punca saling berkait bagi mereka dalam perpecahan kaum yang berlaku dalam negara ni.
- Kegagalan sistem pendidikan negara kita yang menyediakan sistem pendidikan primer (sekolah rendah) yang terpecah kepada sekolah vernakular
- Keengganan kaum lain yang tak mahu berasimilasi (menyerap ke dalam suatu kesatuan) dengan penduduk asal negara ni
“Sejak awal pendidikan mereka telah diletakkan dalam kelompok mereka sahaja, bertutur dalam bahasa mereka, bergaul dengan sesama bangsa.”- Eiman Asyraf, menetap di Mesir
Tapi, tak semua responden bersetuju bahawa ni bukan punca perpecahan. Menurut Liyana, hak istimewa ni lah punca kita berpecah. Bila salah satu kaum merasakan dia berada di level ‘boss’, maka kita takkan dapat bersatu. Zliqa yang menetap di UK serta pelajar Universiti Sheffield ada menerangkan yang Malaysia ni nampaknya saja aman. Hakikatnya, kita hanya harmoni (harmony) tapi tiada perpaduan (unity).
“Harmoni hanya memerlukan untuk setiap kaum tidak kacau kaum lain, hidup di lorong sendiri. Ia nampak bagus. Ya, tetapi, sedikit push akan menyebabkan kekacauan. Maka, kita perlu capai perpaduan (unity).”- Zliqa
Jika tiada hak istimewa lagi, maka semua kaum perlu diberi hak sama rata?
Kegusaran tetap ada dalam kalangan responden kami kerana ia mungkin boleh menjadikan Malaysia negara sekular dan nasib Melayu akan ditindas. Orang Melayu-Bumiputera akan terus ketinggalan. Sedangkan waktu ada Perkara 153 dalam perlembagaan pun masih ketinggalan, apatah lagi kalau tak ada. Ianya tak boleh disamakan dengan keadaan kaum lain kerana…
“Kaum-kaum pendatang telah memiliki head start berpuluh tahun lebih awal apabila kolonial British memberi peluang pendidikan dan ekonomi kepada mereka dan meminggirkan orang Melayu di kampung-kampung.”- Eiman Asyraf
Menurut Eiman lagi, memang orang Melayu-Bumiputera dah diberi head start melalui Dasar Ekonomi Baru untuk rapatkan jurang. Tapi, DEB baru berusia 40 tahun lebih sedangkan head start yang diberikan kolonial British kepada kaum pendatang sudah beratus tahun. Namun, ianya bertentangan dengan pendapat Debbie Amboy-Paine, seorang Bumiputera yang menetap di US. Dia mengatakan bahawa perpecahan kaum ni lah agenda British sejak mereka menjajah. Dia setuju agar hak perlu disama ratakan.
“Majoritinya ada empat bangsa yang berbeza: Melayu, Cina, India dan ‘lain-lain’. Kita pernah hidup dengan stereotaip lama generasi mengikut bangsa sejak mencapai kemeredekaan, dan ada pihak yang ambil kesempatan dari benda ni (British atau orang Malaysia) secara tak sengaja membentuk negara mengikut agenda berdasarkan bangsa.”- Debbie Amboy-Paine
Ada juga responden yang inginkan situasi win-win macam yang disebut Harith Kamal. Boleh sama rata tapi dengan syarat kaum-kaum lain mesti berusaha untuk menampilkan imej sebagai rakyat Malaysia. Benda paling asas mestilah fasih berbahasa Melayu, boleh nyanyi lagu Negaraku dan sebagainya. Baginya, kaum-kaum lain ni ada kefahaman yang salah pasal hak Bumiputera.
“Mereka beranggapan mereka ditekan dan tidak ada peluang untuk mereka menjadi bumiputera. Sedangkan hakikatnya, jika mereka mahu berasimilasi dari dahulu, anak-anak mereka mungkin sudah diangkat menjadi bumiputera sekarang.
Kahwinlah dengan orang Melayu. Kalau benci Melayu dan Islam pun, banyak lagi kadazan, bidayuh yang molek-molek. Berusaha untuk bersatu, bukan menuntut hak yang sama tanpa lakukan apa-apa. Ada kawan-kawan saya yang bukan Bumiputera, yang saya tak kisah pun kalau dikongsikan hak bumiputera, sebab mereka lebih Melayu dari Melayu sendiri.”- Harith Kamal
Dari situ kita nak tahu juga, kenapa ada orang Melayu-Bumiputera yang setuju hak semua kaum diberi secara sama rata. Bagi Liyana, hak istimewa ni hanya bagi manfaat denga Orang Kaya-Kaya (OKK) saja, sedangkan orang miskin macam tak dapat apa pun.
Satu benda lagi yang disebut adalah mengenai peratusan bilangan Melayu-Bumiputera di negara kita ni pun dah semakin meningkat menuju 80% keseluruhan rakyat. Manakala kaum lain Cina dan India makin hari makin berkurang. Jadi, memang tak perlu lagi lah hak-hak istimewa melibatkan kuota-kuota di tempat kerja dan pendidikan tinggi. Apa yang lebih penting adalah peluang untuk semua bersaing secara meritokrasi. Maknanya, siapa yang punyai bakat dan kesungguhan, dialah yang dapat ganjaran tu.
“Dekat mana-mana yang kita tinggal mesti ada ketaksamaan. Ianya memerlukan semak dan imbang, contoh asas yang terbaik adalah Singapura, ianya dibentuk agar semua orang diberi peluang bersaing.”- Tanner Nagib
Disebabkan negara yang Tanner tinggal dijadikan contoh, maka nak tahu juga pemerhatian mereka terhadap negara yang mereka tinggal serta dibandingkan dengan Malaysia.
Negara lain ada jaga ke hak keistimewaan kaum tertentu?
Macam yang kita tahu, Malaysia ni memang negara ‘rare’ yang hidup dengan kepelbagaian kaum. Kat Asia Tenggara ni pun kita memang lain macam dari segi kaum. Aisya yang menetap di salah sebuah negara Asia Tenggara, Brunei bagitau kami yang hak isitimewa orang Melayu di sana dijaga betul-betul oleh Sultan. Untuk kaum lain dapatkan warganegara sangat dikawal dan ada je yang belum dapat kewarganegaraan sekalipun lahir di sana.
Kalau dilihat kepada negara Asia pula, Jepun mestilah yang nak kita contohi kan? Cumanya, menurut Liyana, Jepun ni negara yang masyarakat dia sama asal-usul yang tak timbul lah isu berkaitan hak kaum ni. Di negara-negara lain yang juga mempunyai satu sahaja kaum seperti bangsa Arab di Mesir, orang sana tetap lebihkan bangsanya sendiri berbanding bangsa lain yang datang dari segi perkhidmatan perubatan, urusan-urusan pejabat dan lain-lain.
Elok juga kalau kita bandingkan dengan negara Eropah yang selalu jadi contoh dalam banyak hal. Kita pun biasa dengar penceramah ke pakar ke akan ambil contoh negara Eropah untuk jadi model terbaik. Namun, bagi Harith Kamal, Ireland memang tiada hak spesifik untuk penduduk asal. Cumanya, warganegara bukan asal mereka yang menjadi rakyat sana tiada masalah untuk berasimilasi dengan rencah pembentukan bangsa sana. Maka, jurang kaum pun tak wujud.
“…tidak ada mahu menuntut diwujudkan sekolah untuk kaum mereka dan sebagainya.”- Harith Kamal
Selain negara-negara Eropah, US juga sentiasa menjadi contoh untuk beberapa perkara berkaitan hak asasi. Bagi Debbie Amboy-Paine, kalau nak beza Malaysia dengan US agak sukar sebab situasinnya berbeza. Cara orang Malaysia melayan satu sama lain lebih terkawal.
Di US, layanan terhadap orang bukan berkulit putih semakin baik walaupun kadang-kadang ada je tak baik. Orang Amerika yang berkulit gelap dan coklat memang diberi suara dan mewakili negara, tapi mereka tetap hidup dalam ketakutan disebabkan keganasan polis dan agen imigresen.
“Orang Asia-Amerika masih dikira model minoriti, tapi sekarang diminta ‘balik ke China’ oleh mereka yang rasis.”
Sekalipun di luar negara, masing-masing tetap ada pendapat yang tersendiri
Korang pun mesti dah banyak baca status atau artikel yang ditulis golongan pakar dan kerajaan dalam isu hak Melayu-Bumiputera serta ICERD ni. Kami dari SOSCILI pula hanya mengumpul pendapat anak-anak Melayu-Bumiputera yang tinggal di luar negara lama. Tujuan nak bagitau kat korang yang rakyat Malaysia di mana pun dia berada tetap ambil tahu pasal negara sendiri.
Pengalaman dan pemikiran yang terbentuk sepanjang mereka di luar negara tu juga penting untuk bagi korang baca. Berbalik kepada isu ratifikasi ICERD ni, semuanya akan bergantung kepada keputusan kerajaan sekarang. Apa yang pasti, ia akan diratifikasi dengan reservasi yang menjamin hak Melayu-Bumiputera takkan diganggu. Itu pengakuan pihak kerajaan. Jadi, apa pendapat korang terhadap kenyataan kerajaan ni.
- 1.3KShare sekarang!
- Email16
- Facebook1.3K
- Share