- 708Share sekarang!
- Email30
- Facebook678
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 5 September 2019.
Memandangkan banjir yang berlaku baru-baru ni di beberapa kawasan di Selangor, Gurdwara PJ la salah satu NGO yang terus membantu dari segi memasak untuk mangsa banjir. Bagaimanapun, ia mencetuskan debat dalam kalangan netizen yang was was dengan makanan yang dimasak oleh bukan Islam.
Bagi yang tak tahu, Gurdwara hanya memasak makanan vegetarian dan takkan memasukkan mana-mana daging dalam masakan mereka. Apatah lagi untuk diberi makan kepada orang awam. Lagipun, Mufti Wilayah sendiri dah menjawab isu tersebut dan mengatakan makanan tersebut adalah halal dan dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka. Jadi, kita semua dah boleh berhentilah mempertikaikan halal haram dalam kes ni.
____________________________________________________________________________________
Di Malaysia, kejap je dah kecoh bila orang bagitau sesuatu makanan tu tak halal. Lepas tu, mula la penuh kat media sosial sebagai medium untuk disebarkan, demi kemaslahatan majoriti yang beragama Islam di negara ni. Dan masyarakat kita pun mulalah mudah menjatuhkan hukum:
Tapi, berbeza pula dengan apa yang terjadi di India. Nampaknya, rakyat negara tu beramai-ramai memboikot sebuah restoran makanan segera di negara tersebut disebabkan pengiktirafan halal makanannnya. Sebabnya, majoriti dari rakyat negara tu, iaitu 80% daripada 1.3 billion beragama Hindu.
Walaupun restoran makanan segera popular dunia tu tak menghidangkan hidangan lembu atau khinzir, malah mempunyai banyak pilihan vegetarian terutama sekali di India, tapi nampaknya ia tetap menjadi isu besar bagi majoriti rakyat beragama Hindu yang percaya haiwan yang nak dikorbankan perlulah menjalani proses Jhatka, atau Chatka.
Jhatka, daging haiwan yang dikorbankan berbeza dengan penyembelihan bagi Islam
Kalau mengikut kitab Hindu dan Sikhism, daging Jhatka ni kiranya macam daging yang dapat pengiktirafan halal tersendiri dalam agama mereka. Kalau umat Islam kena makan sumber daging yang disembelih secara halal dan mengikut piawaian agama, macam tu juga la daging Jhatka yang ada piawaian sendiri untuk untuk tujuan makanan.
Kalau sembelihan cara Islam, penyembelih mestilah menggunakan alat sembelihan yang sangat tajam, dan memotong arteri darah utama di tekak haiwan dengan hanya satu kelaran saja.
Tujuannya supaya darah dapat dikeluarkan sebanyak mungkin, dan supaya haiwan mati dengan cepat dan tak begitu terseksa.
Bagi proses jhatka karna atau jhatkaund pula, mereka ada dua cara. Sama ada membunuh haiwan korban dengan mengetuk kepala haiwan tu dengan begitu kuat supaya haiwan tu mati serta merta, atau memancung leher haiwan dengan laju dengan sekali libasan saja sehingga kepala haiwan tertanggal dari badan.
Sesuai dengan namanya, Jhatka berasal dari perkataan Sanskrit, Jhatiti yang bermaksud “dengan serta-merta, cepat, sekaligus”, sesuai dengan tatacara yang dilakukan untuk mengorbankan haiwan yang akan dijadikan makanan. Selain tu juga, haiwan yang dikorbankan juga seelok-eloknya tak boleh ditakut-takutkan sebelum dikorbankan.
Dalam kepercayaan mereka, haiwan yang dibunuh dengan satu pukulan senjata yang menyebabkan kematian serta-merta bagi megelakkan haiwan menderita adalah sesuai untuk dimakan oleh manusia. Dan bagi Hindu dan Sikhism, sembelihan cara orang Islam adalah salah satu daripada jenis daging Kutha.
Kutha, daging haram bagi Hindu yang tak disembelih cara Jhatka
Haiwan yang tak dikorbankan dengan cara Jhatka (termasuklah daging sembelihan cara Islam) pula biasanya kurang diyakini oleh penganut Hindu dan Sikh, di mana haiwan korban tu kemungkinannya mati dengan cara terseksa, dan mati dalam keadaan pendarahan yang perlahan.
Daging yang mati dengan cara ni dipanggil daging Kutha, di mana ia adalah haram untuk dimakan oleh orang Sikh, terutama sekali bagi golongan Khalsa (Sikh yang dibaptis). Kesalahan ni juga merupakan salah satu jenis dosa yang tertulis dalam Tatakelakuan agama tersebut.
Punyalah diorang jaga, sampaikan masa zaman pemerintahan British Raj (zaman British mengambil alih pemerintahan India sekitar tahun 1858 hingga 1947), diorang tak bagi daging Kutha ni dihidangkan kepada banduan beragama Hindu dan Sikh yang ada dalam penjara tu.
Tapi kalaulah terjadinya sesuatu bencana dan makanan tu disediakan di Gurdwara (tempat sembahyang orang Sikh), korang jangan risau sebab makanan yang disediakan adalah vegetarian dan takkan dicampurkan dengan apa-apa daging sembelihan diorang kalau itulah concern korang.
Tapi selain daripada halal dan jhatka, korang juga mesti pernah dengar pasal…
Kosher, piawaian diet ketat undang-undang Yahudi tradisional
Korang yang biasa travel mesti pernah nampak pilihan Kosher atau Vegetarian yang ada dalam flight, tapi tahu tak apa makanan Kosher ni?
Kosher sendiri bermaksud suci, baik, dan sesuai untuk dimakan, melalui Taurat, iaitu kitab suci bangsa Yahudi. Ia sendiri adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan makanan yang mematuhi piawaian diet ketat undang-undang Yahudi tradisional. Kalau nak diikutan, kosher dan halal adalah benda yang sama diamalkan oleh Yahudi dan Islam, cuma berbeza nama.
Yang membezakan kedua-duanya adalah kosher Yahudi yang lebih ketat, contohnya ada bahagian lembu yang boleh dimakan, dan tak.
Punyalah special kosher ni sampaikan ada beberapa McDonald’s kat Israel yang ada pengiktirafan kosher ni. Ini bermakna diorang menggunakan hanya bahagian-bahagian tertentu je, dan juga bermaksud kualitinya adalah lebih baik kalau nak dibandingkan dengan daripada mana-mana restoran sama yang takde pengiktirafan kosher ni.
Selain daging daripada haiwan sembelihan, nampaknya ada juga jenis makanan laut yang kosher dan tak. Kalau nak diikutkan haiwan yang kosher terdiri daripada ikan yang bersisik dan bersirip. Selain daripada tu, tak boleh, dan ni termasuklah ikan keli, belut dan haruan. Malah, makanan laut yang bercangkerang nampaknya tak kosher seperti kerang-kerangan, ketam, udang, atau binatang bersepit.
Bukan sekadar makanan, malah kosher adalah cara penyediaan yang sangat bersih
Kalau halalan toyyiban bermaksud makanan yang bersih dan halal melalui cara penyedian, sama jugalah dengan kosher ni. Undang-undang pemakanan kosher juga agak menyeluruh sebenarnya, sampaikan ada rangka peraturan yang sangat tegas. Bukan setakat makanan mana yang dibenarkan atau dilarang, tapi juga makanan macam mana makanan tu mesti dihasilkan, diproses dan disediakan sebelum penggunaan, tak tertakluk kepada binatang yang disembelih saja.
Kosher Yahudi ni kalau nak diikutkan tak jauh bezanya macam halal bagi Islam, iaitu lagi menyeluruh, sampaikan hidangan pencuci mulut diorang pun perlu menggunakan garam dan gula yang Kosher, kalau tak, dikira haram la buat penganutnya.
Bukan setakat makanan yang nak dimakan, malah kosher juga merupakan adab, di mana mereka takkan makan makanan bercampur. Contoh tepatnya, mereka takkan minum susu atau apa-apa produk tenusu lepas makan daging. Sekurang-kurangnya, kena tunggu lebih daripada satu hingga enam jam, bergantung kepada kumpulan Yahudi mana.
Macam orang Islam, orang alim Yahudi juga sangat menjaga makanan mereka. Kalau kita pernah mempersoalkan sama ada minuman boba tu halal atau tak, diorang ni pun ada forum tersendiri, contohnya macam Jewish Telegraphic Agency yang akan bagitahu komuniti diorang di Amerika makanan mana yang sekarang ni masih kosher, dan yang tak digalakkan diharamkan untuk makan.
Piawaian Kosher yang ketat, menjamin kebersihan dan keselamatan
Malah dari segi penyediaan makanan Kosher pula, semua perkakas dan peralatan yang digunakan untuk memproses dan membersihkan daging dan produk tenusu juga mesti dipisahkan – dibasuh dan disimpan secara berasingan, maksudnya tak boleh basuh bersama-sama, kena basuh different trip macam kita basuh baju berwarna dan baju warna putih je.
Mungkin korang pernah nampak, mungkin juga tak, tapi ada sesetengah produk dalam pasaran ada tanda kosher (macam tanda halal), contohnya macam ni.
Yang atas ni antara makanan yang dapat pensijilan kosher dari OU Kosher, agensi persijilan kosher terbesar di dunia. Antara syarikat pengeluar makanan terbesar yang ada pensijilan daripada OU ni adalah Nestle, Kraft dan juga Nabisco, iaitu antara makanan yang ada kat supermarket dalam Malaysia ni.
Nak dapat pengiktirafan ni bukan senang-senang, habis kena audit daripada cara pembuatan kat kilang, bahan-bahan yang digunakan, sampailah periksa tanaman diorang tu kosher ke tak.
Korang jangan tak tahu pulak yang kita sebagai umat Islam pun boleh makan makanan yang disediakan dengan cara kosher ni.
“Malah Rasulullah SAW sendiri di Khaibar, baginda menerima jemputan dan menjamah hidangan yang disediakan oleh wanita Yahudi,” – Dr Maza
Bagi kebanyakan orang Yahudi, kosher adalah lebih daripada sekadar kesihatan atau keselamatan makanan. Ia adalah mengenai penghormatan dan kepatuhan kepada tradisi agama. Sebab tu la kalau kita travel ke luar negara, lebih recommended kalau kita cari makanan kosher berbanding vegetarian sebab bahan-bahan yang digunakan adalah piawaian tinggi.
Pengiktirafan halal dari Malaysia yang paling tinggi, melebihi negara-negara Islam yang lain
Apa yang menariknya, antara ketiga-tiga kepercayaan untuk mendapatkan makanan halal, kosher dan juga jhatka, nampaknya kita ada satu persamaan yang agak jelas, di mana kita digalakkan makan daripada makanan yang baik.
Malah makanan yang baik juga dipercayai akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati, dan keseluruhan kehidupan.
Bagi kita yang beragama Islam, sejak kecil lagi kita diwajibkan makan makanan yang halal. Dan untung bagi kita sebab sebenarnya, sebab makanan halal kita bukan saja mudah diperolehi, malah sampaikan kita merupakan destinasi percutian halal terbaik dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lain.
- 708Share sekarang!
- Email30
- Facebook678
- Share