- 7.8KShare sekarang!
- Email372
- Facebook7.5K
- Share
Kita selalu dengar pasal atlit paling pantas yang memecahkan rekod dunia, tapi macam mana pula dengan atlit paling lambat? Kiranya pecah rekod juga, bila seorang pelari marathon Olimpik menghabiskan larian selama 54 tahun, 8 bulan, 6 hari, 35 minit dan 20.3 saat.
Ini kerana dia telah hilang selama 50 tahun, dan ini kisahnya…
Shizo Kanakuri, atlet terpantas Jepun ke Sukan Olimpik Sweden 1912
Pada November 1911, Shizo yang berusia 20 tahun terpilih dalam ujian kelayakan untuk memilih atlet pelari pertama negara Jepun ke Sukan Olimpik tahun 1912.
Shizo ni ada satu habit yang kurang sihat, dia takkan makan atau minum sebelum perlumbaan sebab dia ada teori yang berpeluh semasa lari akan membuatkan pelari berasa lebih cepat penat (tapi terbukti salah).
Tapi memang dah rezeki Shizo, dia berjaya mencatat masa terpantas, yang melayakkan dirinya untuk mewakili Jepun ke Sukan Olimpik 1912.
Selain Shizo, ada beberapa atlit lagi yang terpilih untuk ke Sukan Olimpik tersebut iaitu:
- Yahiko Mishima – pelari pecut
- Jigoro Kano – atlit Judo
- Hyozo Omori – pegawai pakar perubatan
Untuk pergi ke Sweden, mereka menaiki kapal dan keretapi selama 18 hari, termasuk 10 hari di Keretapi Trans-Siberia. Ini membuatkan mereka semua takde masa untuk berlatih betul-betul.
Tapi, ia bukanlah alasan buat Shizo. Dia lari je atas dek kapal, atau mana-mana stesen sementara menunggu. Lagipun, ini kali pertama Jepun menyertai Sukan Olimpik.
Atlit Jepun yang dilaporkan hilang dalam acara larian marathon!
Hari yang ditunggu-tunggu tiba. Pada 14 Julai 1912, suhu di Sweden mencecah lebih dari 32 darjah Celcius. ni. Ini membuatkan ramai atlit rasa tak selesa dengan cuaca yang lebih panas dari biasa.
Bersama 67 orang peserta lain dari seluruh pelusuk dunia, acara larian marathon kemudiannya dimulakan sepanjang 17 batu (27.36km), dengan lebih daripada 18,000 penonton.
Shizo pun turut sama terkesan, dengan tak makan mahupun minum sebelum memulakan larian. Lepas tu, dia baru perasan yang kasut larinya yang diperbuat dari kanvas dah rosak disebabkan banyak sangat berlari dan dia pula tak bawa kasut lebih. Lagipun, Olimpik dulu belum ada tajaan sana sini macam sekarang.
Tapi sebab nak harumkan nama Jepun, Shizo cuma fokus kepada larian saja tanpa memikirkan masalah kasut mahupun kepanasan melampau.
Lebih separuh dari peserta marathon tak dapat habiskan larian mereka disebabkan cuaca tersebut. Jadi, penganjur mula mengira kesemua peserta yang ada sehingga tamat masa.
Tapi, pihak yang mencatatkan masa kemudiannya panik. Mereka tak dapat mengesan Shizo! Cari punya cari, pelari marathon dari Jepun tu tetap tak dijumpai. Ini menyebabkan pegawai terlibat terpaksa mengumumkan,
“Shizo Kanakuri dari Jepun telah hilang!”
Shizo hilang dari radar sehingga lebih 50 tahun
Walaupun ia terjadi di Stockholm, tapi ini bukanlah penculikan, apatah lagi Stockholm Syndrome. Shizo sebenarnya bernasib baik sebab diselamatkan oleh penduduk berdekatan yang membawanya ke rumah di mana dia diberi minum jus oren. Disebabkan kepenatan melampau, Shizo kemudian tertidur.
Shizo dah sampai pada jarak 27 km, bila dia hampir pengsan kerana mengalami hipertermia. Suhu badannya jauh lebih tinggi daripada paras normal, yang menyebabkan badannya over-heating. Ia juga memerlukan rawatan serta-merta bagi mencegah kehilangan upaya atau kematian seperti yang terjadi pada salah sorang pelari dari Portugal.
Pelari jarak jauh terbaik Portugal tersebut, Francisco Lázaro pengsan selepas 30 km sebelum tiba di garisan penamat. Padahalnya, dia merupakan seorang pelari berpengalaman, yang juga merupakan pemenang maraton Lisbon 1910.
Setelah sedar, Shizo berasa sangat malu disebabkan gagal menamatkan perlumbaan tersebut. Dia mengambil keputusan untuk tak meneruskan larian dan terus balik ke hotelnya, tanpa memberitahu pegawai perlumbaan.
Entah macam mana, Shizo pulang ke Jepun senyap-senyap. Untuk menebus malu, dia membuat persiapan sekali lagi untuk Sukan Olimpik yang seterusnya, yang bakal berlangsung pada tahun 1916. Bagaimanapun, Perang Dunia Pertama meletus di Eropah yang menyebabkan Sukan Olimpik ke-6 yang sepatutnya berlangsung di Berlin, dibatalkan.
Hakone Ekiden, atau Marathon berganti-ganti di Jepun yang diperkenalkan Shizo
Shizo tak putus asa, dan cuba untuk bertanding sekali lagi dalam Sukan Olimpik yang berlangsung di Antwerp, Belgium selepas dua tahun tamatnya Perang Dunia Pertama. Shizo bagaimanapun mendapat tempat ke-16.
Pada tahun 1924 di Olimpik Paris, Shizo gagal menamatkan lariannya ketika berusia 32 tahun. Malah disebabkan itu juga, Shizo kemudiannya bertindak menamatkan kariernya sebagai pelari jarak jauh kebangsaan negara.
Walaupun beberapa kali gagal, ia tak membuatkan Shizo membenci sukan tersebut. Malah, Shizo mengasaskan acara larian jarak jauh berganti-ganti, iaitu Hakone Ekiden. Shizo juga melatih pelari-pelari muda agar mereka dapat mengharumkan nama Jepun di peringkat dunia, satu hari nanti.
Acara ni juga kini menjadi tradisi tahunan negara Jepun yang juga menjadikan Jepun sebagai “Marathon Capital of the World”.
50 tahun berlalu selepas kejadian Shizo yang tak menamatkan lariannya di Sukan Olimpik 1912. Kalau di Jepun dia terkenal sebagai bekas pelari jarak jauh negara, tapi di Sweden pula namanya kerap disebut-sebut sebagai misteri pelari Olimpik yang hilang 50 tahun yang lalu.
Kehilangan Shizo terjawab, dan dijemput menghabiskan lariannya selepas 54 tahun
Walaupun Shizo ada masuk Sukan Olimpik di tahun-tahun seterusnya, tapi rupa-rupanya di Sweden, dia merupakan urban legend, di mana kisah kehilangannya dah menginspirasikan sebuah buku cerpen misteri.
Malah dalam salah satu kisah urban legend tu mengatakan yang Shizo menukarkan nama kepada Svensson yang bekerja sebagai tukang kebun, pembersih cerobong asap dan juga menjadi seorang pembuat roti, dan pelbagai lagi khabar angin lain.
Namun pada tahun 1962, seorang wartawan Sweden dari Sveriges Television (stesen TV Sweden) kemudiannya mendapat info yang Shizo Kanakuri sebenarnya masih hidup di Tamana, Jepun. Dia merupakan seorang pesara guru geografi yang juga pengasas acara larian di negaranya.
Kisah yang dilaporkan wartawan tersebut akhirnya sampai ke pengetahuan Majlis Olimpik Sweden. Ia menamatkan misteri kehilangan atlit Jepun tersebut, dan segala mitos yang wujud. Majlis Olimpik Sweden kemudiannya menjemput Shizo ke Stockholm pada 1967 dalam sambutan ulang tahun ke-55 larian Olimpik mereka pada tahun 1912.
Jemputan tersebut juga sebenarnya sebagai tanda penghormatan buat bekas atlet Jepun itu untuk menyelesaikan perlumbaannya yang tak pernah selesai 54 tahun yang lalu.
Dari atlit Marathon terpantas Jepun, kepada atlit paling lama nak habiskan larian
Terharu dengan penghormatan tersebut, Shizo kemudiannya bersetuju untuk menamatkan larian yang dah lama tergendala, disaksikan oleh pegawai-pegawai majlis Olimpik Sweden.
Masa rasmi yang direkodkan Shizo melepasi garisan penamat, adalah ’54 tahun, 8 bulan, 6 hari, 5 jam, 32 minit dan 20.3 saat’, menjadikan Shizo pelari yang memegang rekod larian marathon paling lama dalam dunia.
Sebelum balik ke Jepun, dia ke rumah keluarga yang pernah menyelamatkannya dulu dan dihidangkan jus oren, minuman sama yang diminumnya selepas pengsan 54 tahun yang lalu oleh Bengt Petré, anak tuan rumah asal tersebut.
Shizo akhirnya meninggal pada usia 92 tahun pada tahun 1983. Dia diingati oleh Jepun dan Sweden sampai kini, dan dalam sebuah temuduga mengatakan:
“Ini adalah perjalanan marathon yang sangat panjang. Sepanjang perjalanan marathon ini, saya dah berkahwin, mempunyai 6 anak, dan 10 cucu.”
- 7.8KShare sekarang!
- Email372
- Facebook7.5K
- Share