Hidu gam sampai berkhayal buat seks dan pergi ke bulan, parahnya anak remaja kita

UPDATE 28/12/2018: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dah membuat ujian saringan air kencing ke atas 41,000 pelajar sekolah menengah dari Januari hingga Oktober tahun ni. Apa yang mengejutkan, seramai 1,709 pelajar sekolah didapati positif dadah. Selain tu, Sarawak mencatatkan negeri paling tinggi pelajarnya positif dadah.


Waktu kejadian tergempar Tahfiz Ittifaqiyah terbakar, laporan polis dikeluarkan yang mana remaja-remaja terlibat tu rupanya positif ganja. Macam tu jugak, kisah Cikgu Azizan yang disaman sebab lempang seorang pelajar yang dikatakan terlibat menghidu gam. Nampaknya, macam-macam yang anak remaja kita hisap ni.

Sebelum ni, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dah keluarkan laporan di mana lebih 1200 pelajar sekolah terbukti positif dadah. Jumlah ni lagi banyak dari tahun sebelumnya. Bagi yang tak berkemampuan, remaja-remaja ni telah memilih untuk menghidu gam. Aktiviti menghidu gam ni sebenarnya agak serius walaupun dilaporkan masih tiada data yang tepat pernah dikeluarkan mana-mana agensi.

Aktiviti ni memang serius sampaikan buka puasa dengan gam. Imej dari Voiceofsunnah.blogspot.my.

Nak tahu serius ke tak pasal hidu gam ni, kita kena tahu yang…

Malaysia pernah digemparkan dengan kes kematian tiga sekawan

Penyalahgunaan bahan-bahan ni dah berleluasa dari abad ke-19 lagi. Di Malaysia, dari tahun 1990-1994 ada 63 kes yang dilaporkan secara rasmi. Kalau yang tak rasmi tak tahulah. Negara kita pernah dikejutkan apabila ada kematian tiga remaja sekaligus (14 tahun, 18 tahun dan 20-an) yang ditemui bersama empat tin gam ditempat kejadian.

Menurut kajian UUM, denyutan jantung tak stabil boleh berlaku kalau benda ni diambil secara berlebihan. Antaranya, penghidu boleh juga jadi sawan sebab gam yang disedut tu bagi gangguan pada otak; ataupun koma sebab oksigen dalam otak dah digantikan dengan gam. Yang paling teruk sekali, ia boleh membawa maut secara tiba-tiba, di mana fenomena ini dinamakan sebagai Sudden Sniffing Death Syndrome (SSDS).

Janganlah try, boleh maut terus masa try tu. Imej dari Slideplayer.

Kenapa diorang tak serik buat walaupun boleh bawa maut? Sebab kesan jangka pendek yang diorang nak sangat. Kesan tu adalah pelaku akan rasa teruja atau gembira tanpa sebab pada peringkat awal. Bila lama-lama sikit, pelaku tadi takkan sedarkan diri. Sebab tu lah, ada kejadian kanak-kanak umur 7 dan 9 tahun dijumpai tidur bersama tin gam atas kotak dekat sebuah shopping mall di Miri, Sarawak.

Tadi yang mati pun remaja bawah umur dan yang jumpa tertidur kat shoppping mall pun kanak-kanak. Memang diorang yang umur-umur macam ni ke yang banyak terlibat?

Remaja berkhayal jadi Goku serta berebut naga peliharaan

Walaupun tak ada data untuk menunjukkan hidu gam ni serius, tapi ada juga kajian-kajian yang berjumpa direct dengan individu yang terlibat. Majoriti 127 individu yang diorang jumpa, semua mengaku terlibat dengan penyalahgunaan gam sejak umur 11 sampai 15 tahun lagi.

“Kajian Professor Dr. Hussain Habil mendapati gejala ini kerap kali berlaku di kalangan remaja berusia 18 tahun ke bawah dan di kalangan kanak-kanak seawal usia 11 tahun.”- Petikan makalah tulisan Haslina Hashim & lain-lain.

Tak semua tengok Anime masa ni. Imej dari Portalsulawesi.com

Kita pun tahu kesan menghidu gam ni boleh buat orang berkhayal, apalah sangat budak kecil ni nak berkhayalkan? Rupa-rupanya, masing-masing berkhayal nak ada kuasa mistik. Kebanyakan diorang fokus untuk jadi karakter komik macam Goku, Bezita dan Naruto.

“Responden (pelaku) turut memberitahu bahawa mereka melihat naga berterbangan di langit, selain mampu memegang awan dan pernah berlaku pergaduhan antara responden dengan rakannya kerana beliau menyangka naga peliharaannya dicuri.”- Petikan makalah tulisan Haslina Hashim dan lain-lain.

Bukan setakat kuasa, ada yang berkhayal kononnya buat hubungan seks dengan perempuan. Ada tu, berkhayal pergi terbang ke bulan. Ingatkan Neil Armstrong je yang boleh sampai bulan. Ramai dari pelaku mengaku lagi suka buat berkumpulan sebab boleh join khayalan kawan sebelah. Ianya lebih selamat sebab boleh sedarkan kawan yang cuba buat benda bahaya.

Masuk dalam khayalan member.

Lokasi untuk diorang berkhayal ni biasanya ditempat-tempat awam yang sunyi macam lorong belakang kedai, tepi sungai, tempat parking kereta serta bangunan kosong. Tempat sunyi ni penting supaya diorang dapat fokus dengan khayalan diorang tanpa diganggu.

Selepas berkhayal, diorang akan rasa letih dan lapar. Sebabnya dah guna tenaga yang banyak untuk dapatkan khayalan yang diorang nak sangat tu. Ada juga yang akan rasa mual dan muntah serta hidung dan mata berair. Rasa mual dan muntah ni pun bukanlah sebab kena serang dengan kame kame ha dari member, tapi sebab bau gam tu yang menusuk hidung.

Siap tambah gula-gula pudina lagi bagi bau sedap

Kalau yang baru mencuba, hidu gam ni akan memeningkan kepala dan terasa nak muntah. Disebabkan diorang ni terlalu kreatif, ada yang tambah gula-gula pudina dan limau untuk bagi rasa nyaman dan kurangkan bau gam yang menusuk tu. Bau wangi ni juga akan cover diorang dari disyaki oleh mak ayah.

Ada yang siap tambah thinner, petrol dan liquid paper untuk tambah kecepatan masuk ke alam khayal. Maknanya tak loading sangatlah. Menghidu gam ni dilaporkan ada banyak sangat cara, tapi cara paling popular adalah bagging. Bagging ni maksudnya pelaku tu akan letakkan gam dalam beg plastik atau kertas dan kemudian hidu gas yang terkumpul tu. Tapi, gam apa yang diorang beria-ia hidu ni?

Atas bumbung boleh lah pegang awan kot. Imej dari RMP.gov.my.

Gam yang popular dikalangan penghidu adalah gam:

  1. Gam kasut dalam tin
  2. Pelekat getah untuk baiki tayar

Gam dalam tin harganya tak sampai RM5 setin. Kalau untuk budak sekolah, kira mahal jugaklah lagi-lagi yang bukan dari keluarga senang.  Tapi ada pulak tu yang kaya ni. dia jual dekat kawan-kawan dalam bentuk paket (kuantiti sikit) dengan harga lebih murah.

Banyaknya tin gam. Imej dari landaslangkawi.blogspot.my.

Kalau diperhatikan, aktiviti jual beli gam ni memang berleluasalah dengan macam-macam pilihan ada contohnya paket atau tin. Kenapa aktiviti ni tak dibanteras?

Daun ketum sudah ada akta, tapi kenapa gam masih belum ada?

Salah satu sebab kenapa aktiviti gam ni menjadi pilihan diorang adalah kerana tak ada sekatan undang-undang melibatkan bahan ni. Merujuk pendapat kajian UKM, gam ni tak termasuk dalam sekatan undang-undang sebab ianya bahan keperluan untuk pelbagai aktiviti harian. Tak macam daun ketum yang mudah dijadikan sekatan sebab bukan bahan keperluan harian tapi hanya alternatif untuk perubatan.

Daun ketum…bar rupanya. Salah label kena serbu. Imej dari Utusan.

Gam juga tak termasuk dalam kumpulan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Tapi hanya dalam Akta Racun 1952. Dalam akta ni, ianya tetap boleh dijual secara terbuka dan dibeli oleh sesiapa sahaja. Akta ni tak membendung langsung gejala ni. Sedangkan, negara jiran kita Singapura dah pun ada akta untuk membendung penyalahgunaan gam (inhalan) sejak dari tahun 1987 lagi. Disebabkan takde akta yang serius ni,

“Pihak berwajib tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka, melainkan si pelaku terlibat dalam aktiviti jenayah ketika sedang khayal akibat inhalan (contohnya gam)” – Petikan makalah tulisan Haslina Hashim dan lain-lain.

Dulu, rancangan 360 di TV3 pun ada tayangkan sekumpulan remaja yang tak malu pun untuk hidu gam depan kamera. Disebabkan tu, dari tahun 2000 hingga 2005, hanya ada 75 kes je yang dilaporkan seluruh Malaysia. Kes sebanyak ni tak mampu menggambarkan betapa teruknya aktiviti ni di negara kita. Apa yang ada untuk membendung isu ni adalah pekeliling oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

“Langkah-langkah pencegahan diambil dengan mengedarkan pekeliling tersebut di sekolah-sekolah untuk memastikan pelajar sekolah tidak menyalahgunakan bahan tersebut yang senang didapati sama ada di rumah, sekolah ataupun kedai-kedai harian.”- Petikan jurnal tulisan Maizatul Farisah Mokhtar.

Hanya kerana gam, sanggup gadai maruah. Imej dari Sekamarrindu2009.wordpress.com.

Kementerian Pelajaran juga ada keluarkan sebuah buku kecil bertajuk “Penyalahgunaan Inhalan- Panduan Untuk Para Guru” sebagai asas untuk menangani gejala ni.  Antara cara menangani yang disebut dalam buku tu adalah:

“Jika terdapat kes-kes menyalahgunakan Inhalan di kalangan pelajar, ia hendaklah dikendalikan melalui proses menolong dengan penuh hati-hati tanpa diheboh-hebohkan, dimana kebajikan dan kesejahteraan pelajar tersebut hendaklah diutamakan.”- Petikan jurnal tulisan Maizatul Farish Mokhtar.

Kalau pihak polis jumpa pelajar hidu gam luar sekolah, diorang hanya boleh bagi nasihat serta hantar balik ke rumah atau sekolah semula. Pihak sekolah pulak, boleh bagi nasihat dan bagitahu ibu bapa. Hukuman paling tinggi pun hanya dengan gantung atau buang sekolah.

Kalau tak berjaya dihentikan waktu remaja, diorang akan beralih kepada dadah pulak

Sebahagian penghidu gam berjaya berhenti, tapi, yang lainnya beralih pulak kepada pil khayal, arak, syabu dan ganja. Gejala ni jugak telah menyebabkan pelaku akan berhenti belajar waktu tingkatan 3 atau pun tingkatan 5. Akhirnya, kebanyakan bekerja dengan pendapatan lebih kurang RM549.65 sebulan.

Bukan je masa depan gelap, hubungan keluarga pun ranap. Imej dari tulahan.blogspot.my.

Walaupun pekeliling KPM cuba membendung di peringkat sekolah, tapi menurut para guru di sekolah, pelajar yang terlibat ni sorokkan bungkusan gam dalam baju. Pelajar tadi akan menghidunya sepanjang hari secara perlahan-lahan.

Kita tahu betapa teruknya gejala ni. Sementara menunggu cadangan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) untuk memasukkan hidu gam dalam Akta Dadah Berbahaya untuk dilaksanakan satu hari nanti, ibu bapa pulak kena berusaha untuk buat sesuatu. Kalau dah ada anak yang terlibat, jangan malu-malu untuk hantar anak ke balai polis atau pusat pemulihan, sebab nilah cara paling berkesan menurut kajian.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT