- 1.2KShare sekarang!
- Email3
- Facebook1.2K
- Share
Penggunaan kenderaan persendirian kat jalan raya semakin meningkat walaupun negara kita mengalami pelbagai isu ekonomi. Malah Malaysia merupakan antara negara paling tinggi kat ASEAN yang rakyatnya ada kenderaan sendiri. So bila banyak kenderaan atas jalan raya, maka keraplah terjadi masalah traffic jam.
Kalau korang perasan kebiasaannya traffic jam ni berpunca dari traffic light yang terlalu lama nak tunggu sehingga terpaksa yang lebih 3 minit. Memang bengang jugak lah sebab ada yang kena keluar awal nak pergi kerja sampai tak sempat nak breakfast.
Jadi siapa yang nak bantu mengisi perut pemandu-pemandu, pekerja-pekerja dan budak kecik yang hari-hari tak bersarapan semata-semata nak mengadap traffic light ni?
Haa.. kami ada salah satu jalan penyelesaiannya. Korang pernah dengar pasal sekumpulan anak muda yang berjual kopi, sandwich dan nasi lemak kepada pemandu yang stuck kat traffic light dan terpaksa menunggu sampai 5 minit? Kat sini SOSCILI akan berkongsi pasal kareer perniagaan diorang sebagai motivasi dan rujukan untuk korang.
Mula-mula sekali, betulkan mindset kita kepada penjaja kat jalanan ni
Kat negara kita ni memang ada beberapa kumpulan anak muda yang menjadikan perniagaan kat traffic light ni sebagai pendapatan utama seperti Budak Kopi di Selayang dan Gombak serta Nasi Lemak Subuh di Bintulu.
Berniaga kat traffic light ni mula jadi viral pada tahun lepas kerana konsep perniagaannya yang unik – dorang hanya menjalankan sesi jual beli ketika lampu isyarat sedang merah.
Perniagaan tanpa bangunan atau kedai khas macam ni dinamakan sebagai street vendor. Malah aktiviti perniagaan street vendor ni sangat popular di Asia Tenggara. Contohnya street food vendor sampai ada pihak penguasa nak ambil tindakan kat diorang.
Dalam kajian ekonomi jugak ada bezakan antara dua sektor kegiataan ekonomi iaitu sektor formal dan tidak formal. Penjaja kat kawasan jalanan dikategorikan sebagai sektor perniagaan tak formal yang diakui juga menyumbang ekonomi tempatan dan tak patut dipandang hina.
Pada amnya, kebanyakan aktiviti sektor tidak formal telah menjadi satu warisan yang perlu dikekalkan kerana ia merupakan salah satu faktor yang membezakan bandar-bandar di Asia Tenggara dengan negara-negara maju di barat mahupun Jepun.
Pandangan seumpama ini telah menjadi satu aktiviti penting kepada bandar-bandar di Asia Tenggara, yang mana ianya semakin pupus di negara-negara maju. Para pelancong juga berpendapat bahawa aktiviti sektor tidak formal telah menambahkan iras (texture) kepada bandar dan menjadi satu tarikan atau ‘romantic light’ yang menghidupkan suasana bandar di waktu siang atau malam hari. – Tesis tulisan Rohaya Hj. Abdullah (Klik sumber PDF)
Macam mana dapat ilham nak jual kat kawasan traffic light?
Baru-baru ni, nama Budak Kopi memang naik sebab masuk Majalah 3 kat TV3. Selain tu, diorang sebelum ni rupanya pernah dijemput untuk rancangan kat SIS TV9, Bernama Radio dan Malaysia Hari Ini (MHI). Jadi, beberapa minggu lepas tu, kami sempat interview sendiri diorang dan tanya pasal idea ni.
“Idea ni dapat pada asalnya, kami cuma nak bantu atau memudahkan perjalanan pelanggan-pelanggan kami untuk mendapatkan breakfast sebelum pergi kerja atau hantar anak ke sekolah. Sebab bagi kami, pentingnya sarapan pada waktu pagi ni untuk menyihatkan badan dan kekal cerdas sepanjang hari selain untuk menjaga perut dari buncit. InsyaAllah. Hehehe.” – Mohd. Iqbal, Founder Budak Kopi Selayang ketika dihubungi SOSCILI
Nama Budak Kopi ni dipilih sebab mula-mula diorang hanya menjual kopi je. Tapi bila dah dapat sambutan dan permintaan pelanggan, diorang mula tambah menu macam sandwich, nasi lemak dan yang terbaru nasi dagang. Apa yang menariknya, pada tarikh kami interview tu lah hari pertama nasi dagang dilancarkan. Dapatlah satu nasi dagang free.
Budak kopi ini ada dua kumpulan, satu kumpulan jual dekat traffic light jalan menuju Hospital Selayang (#budakkopiselayang) dan satu lagi di traffic light Greenwood, Gombak. Macam yang kita sebut sebelum ni, jenis perniagaan ni street vendor. Jadi mereka hanya perlu berjalan di sepanjang traffic jam tu sambil bawa makanan dalam bekas. Inilah konsep yang diorang buat.
“Konsepnya mudah kerana pelanggan tidak perlu mengambil masa untuk membeli, apabila lampu isyarat menunjukkan tanda berhenti selama tiga minit, kami mula mencari pelanggan untuk menjual sarapan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia
Dalam banyak-banyak traffic light, kenapa pilih traffic light kat situ?
Bila sebut street vendor, selalunya penjual tak ada bangunan dan kedai sendiri. Jadinya, pemilihan lokasi bagi mendapat pelanggan adalah sangat penting. Macam diorang ni pilih kawasan simpang yang ada traffic light, tapi bukan sebarangan traffic light. Macam Nasi Lemak Subuh yang berniaga dekat Bintulu, lokasi yang diorang pilih di persimpangan lampu isyarat Jalan Nyabau (laluan dari Hospital) menuju ke RPR Kidurong, Bintulu.
Kalau Budak Kopi kat Gombak pilih Taman Greenwood sebab traffic light dia berhenti tiga minit. Macam budak Budak Kopi Selayang pulak, diorang pilih persimpangan lampu isyarat dekat jalan menuju Hospital Selayang sebab traffic light kat situ berhenti lima minit.
“Traffic light tu lima minit. Tak percayakan? Kita boleh pergi kat sana. Kita set masa.” – Abdul Muizz Abdul Rahman, Krew Budak Kopi Selayang ketika di interview SOSCILI
Traffic light yang lama ni memang peluang besar untuk diorang berjalan dan menjual makanan. Tapi, kita tertanya-tanya juga, adakah perniagaan di kawasan jalan raya ni tak langgar undang-undang ke? Sedangkan kedai tepi-tepi jalan pun boleh kena roboh.
Salah seorang krew Budak Kopi Selayang ni ada bagitahu yang sebelum ni diorang pernah minta permission atau lesen menjaja dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Tapi, MPS tak tahu nak keluarkan permit atau lesen macam mana, sebab belum ada lagi perniagaan atau penjaja jenis macam ni sebelum ni.
Jadi, MPS hanya bagi diorang permission menjual tapi risiko adalah tanggungjawab sendiri. Selain tu, diorang jugak kena pastikan kebersihan terjaga dan kemalangan mesti dielakkan.
“Tapi, Alhamdulillah lah. Setakat setahun kitorang buat ni, belum ada report apa-apa lagi pasal kitorang” – Abdul Mu’izz, Krew Budak Kopi Selayang ketika di interview SOSCILI
Betul ke boleh buat duit dengan hanya beberapa jam berjual kat traffic light?
Perniagaan jenis macam ni biasanya memerlukan modal harian sebab diorang menjual pada hari bekerja (Isnin sampai Jumaat). Maknanya untung hari ni mesti dibahagi-bahagikan balik untuk modal esoknya dan upah pekerja secara harian.
“Kita cerita percent-lah. Keuntungan seharian biasanya 40 hingga 50 percent daripada modal yang Iqbal (founder) keluarkan. Dan untung dibayar kat kitorang sebagai partner atau upah kawan-kawan.” – Abdul Mu’izz, Krew Budak Kopi Selayang ketika di interview SOSCILI
Selain dari menjual kat traffic light, diorang juga mendapat tempahan delivery makanan kat beberapa Stesen minyak Petronas, UNISEL dan UiTM. Dalam sehari dengan tambahan delivery makanan, boleh dapat keuntungan minimum RM 400 sampai RM500. Terbaru ni, diorang akan dapat tempahan delivery dari Politeknik kat Shah Alam. Semua permintaan delivery ni customer contact melalui Instagram. Ni menunjukkan perniagaan diorang makin berkembang.
Pakej delivery diorang macam ni:
1) Kalau dalam kawasan Selayang, minimum order adalah 10 unit
2) Kalau luar kawasan Selayang, minimum order adalah 20 unit
Macam Nasi Lemak Subuh pulak, diorang pun sekarang dah berkembang dengan memulakan perkhidmatan delivery. Diorang namakan perkhidmatan ni sebagai Nasi Lemak Subuh Online yang mana customer sekitar boleh order dengan isi google form yang disediakan dan dapat secawan Kopi Kaw.
Bila berkembang maju ni, kami tertanya-tanya juga pasal cukup ke manpower? Macam Budak Kopi ni ada 4 orang sahaja pekerja core dia. Jadi macam mana diorang nak handle semua ni?
“Selalu kitorang bagi part time. Diorang boleh tunggu kat traffic light. Traffic light buat pagi. So, kalau diorang tak ada kelas waktu pagi, diorang boleh join. Nama pun Budak Kopi so target belia. Tapi ada juga yang bekerja. Macam ada cikgu ni mengajar waktu petang, so, pagi dia jual” – Zulmajdi Zainal, Krew Budak Kopi Selayang ketika di interview SOSCILI
Jadi diorang ada sediakan pekerjaan part time kepada yang berminat. Gaji yang diorang bagi pulak dua jam RM15 hingga RM20.
Apa-apa pun, setiap perniagaan makanan, mesti customer akan tengok menu. Kiranya, menu adalah penyumbang utama untuk tarik customer beli. Macam Nasi Lemak Subuh kat Bintulu, diorang jual makanan sarapan macam biasa, ada sandwich telur, sandwich sardin dan nasi lemak Subuh. Jadi tarikan diorang adalah nama nasi lemak tu sebab lain macam.
Seharum wangian sambal Bilis S’boh, bersama wangian Nasi Lemak Penuh berkrim dengan salutan Santan kelapa yang pekat dan wangian haruman pandan pasti memikat selera anda sekeluarga serta rakan sekerja mahupun anak-anak. – Sumber FB page Nasi Lemak Subuh
Budak Kopi Selayang pulak, diorang ada beberapa menu juga walaupun pada asalnya hanya menjual kopi sahaja. Lama-kelamaan, menu diorang makin bertambah. Antara menu diorang adalah:
1) Kopi saiz cawan 16 oz: RM 1.00
2) Satu set Sandwich Telur+ Tuna atau Sandwich Chicken Cheese: RM 3.00
3) Nasi Lemak: RM 2.00
4) Mee Hun Goreng: RM 2.00
5) Nasi Dagang: RM 6.50
Macam Nasi Dagang tu, bukan diorang buat, tapi ada peniaga lain upah diorang untuk jual lepas tengok Majalah 3. Selain tu, pada masa akan datang, akan ada satu syarikat ni akan minta tolong diorang jualkan kopi yang syarikat tu buat. Memang nice!
Apa yang menarik, menu-menu ni pulak dikatakan bertambah di atas permintaan customer diorang kat traffic light tu. Kalau permintaan untuk menu tu banyak, maka diorang akan tambah lagi menu. Selain tu, ada juga menu yang diorang jual ni hanya test market sahaja. Bila dapat sambutan diorang akan teruskan.
Ada yang panggil diorang pengotor dan memundurkan negara
Setiap perniagaan mesti ada cabarannya bak berjalan di lorong-lorong penuh taik anjing dan kucing. Apatah lagi perniagaan jenis menjaja tepi jalan ni. Krew Budak Kopi Selayang ada berkongsi pengalaman waktu mula-mula diorang mula menjual. Perasaan malu dan takut tu memang ada sebab tak tahu apa reaksi customer. Lepas dah dapat customer pertama, diorang terus semangat nak menjual dan memenuhi misi diorang nak bagi orang bersarapan.
Ada banyak jenis customer, ada yang bagi semangat serta positif tapi ada juga yang pandang serong (usha panas). Antara banyak-banyak customer tu, pernah ada yang marah diorang sebab customer tu rasa perbuatan diorang berniaga kat traffic light ni macam kotor dan tak nampak maju. Tapi diorang terus konsisten menjual, lagipun, makanan dan minuman diorang jual tu semuanya packing dan bertutup.
Tapi tak banyak yang macam tu sebab ramai yang support. Sampai bangsa lain pun puji diorang dan terkejut sebab ada anak muda Melayu yang bangun pagi-pagi dan menjual.
“Yang baik ada. Yang teruk ada. Yang kelakar pun ada. Kita suka ambil yang kelakar. Tengah-tengah jual tu. Ada pak cik tu tanya, ‘Rokok ada?’ Ada juga, dia dah nampak kitorang jual nasi lemak. Tapi buat-buat tanya. ‘Pisang goreng ada?'” –Zulmajdi Zainal, Krew Budak Kopi Selayang ketika di interview SOSCILI
Bagi diorang, bila ada macam-macam jenis customer ni, itulah kelebihan diorang selain konsisten meniaga. Sebab sekali customer dah percaya, diorang akan terus beli dan sebarkan pada orang lain. Kita pun tahu, orang Malaysia ni ada kuasa viral yang sangat tinggi tak kira bangsa apa pun. Kuasa viral ni memang terbukti dapat menaikkan atau menjatuhkan orang lain mengikut kes.
“So far kitorang tak minta viral. Viral ni satu rezeki. Setakat ni kitorang tak pernah minta sesiapa viral-kan. Kalau ada pun sebab diorang yang offer” – Zulmajdi Zainal, Krew Budak Kopi Selayang ketika di interview SOSCILI
Dikatakan, mereka mula jadi viral bila ada seorang Chinese ni snap gambar Zulmajdi tengah jual dari kereta ke kereta. Chinese tu post dengan caption yang sangat memberi inspirasi bila baca. Kemudiannya ada page berita Chinese yang share dan mendapat perhatian ramai. Selain daripada laman sosial, diorang sangat beruntung sebab ada antara customer diorang ni pekerja di syarikat media macam Bernama Radio dan Utusan Malaysia. Diorang memang pernah dipanggil dan ditemu ramah oleh kedua-dua media ni.
Pagi ini nampak penjual sandwich dekat traffic light.
Dia tak kisah macam mana orang lain pandang dia, tak kisah panas atau hujan, tak takut pelanggan menolak.
Dia hanya ingin mencari sesuap nasi dan majukan perniagaan dia. Saya puji dan nak bagi dia 100 like… – Status orang first yang viralkan diorang dan kami minta staf Cilisos tolong translate.
Bila nampak diorang bersungguh, makin ramai yang sponsor
Sekarang ni, kesungguhan anak-anak muda ni makin berbaloi. Budak Kopi sebagai contoh, telah dijemput sendiri oleh Tan Sri Haji Badruddin Bin Amiruldin yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk berjumpa. Hasil perjumpaan tu, diorang akan mendapat dana sebanyak RM 50 000 untuk memajukan lagi perniagaan.
Lepas kita hayati kisah-kisah diorang ni, ternyata sokongan daripada masyarakat sekeliling merupakan faktor utama untuk penjaja jalanan ni terus berjaya. Dalam kajian ekonomi dan perniagaan, hubungan peniaga dengan masyarakat luar ni dinamakan modal sosial.
Modal sosial adalah sumber di mana pengusaha memperoleh jaringan personal, rakan kongsi, entiti perniagaan dan lain-lain kumpulan yang menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada
sesuatu perniagaan yang diceburi. – Jurnal tulisan Noorasiah Sulaiman dan Mohd Nasir Mohd Saukani (Klik sumber PDF)
Modal sosial yang baik telah berjaya membantu anak-anak muda ni. Bagi Mohd Iqbal, Founder Budak Kopi Selayang, anak muda perlu buang sifat malas dan perlu ada keinginan untuk berjaya. Selain tu, buat sesuatu benda tu biarlah konsisten walaupun untung sikit.
“Pergi mana-mana memang susah. Kerja apa-apa memang mencabar. Yang penting, semua atas diri sendiri. Berniaga kan sunnah Nabi Muhammad sebagai orang Islam. Hubungan dengan Allah kena jaga. Baru Allah mudahkan perjalanan kita. InsyaAllah.” – Mohd. Iqbal, Founder Budak Kopi Selayang ketika dihubungi oleh SOSCILI
- 1.2KShare sekarang!
- Email3
- Facebook1.2K
- Share