Hakim junior jadi Ketua Hakim Negara? Siapa sebenarnya Wan Ahmad Farid ni?

Pada 18 Julai 2025, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang berusia 62 tahun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, menggantikan Tengku Maimun yang bersara wajib pada 2 Julai. Namun pelantikan ni cetuskan beberapa persoalan bukan saja berkaitan dengan latar belakang politik beliau tapi juga dari senioriti serta dakwaan adanya campur tangan politik dalam proses pemilihan.

Hakim
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Hakim Negara yang baru. Imej Mahkamah Persekutuan

Tapi apa yang kami jumpa, dalam perlembagaan, takde pun nyatakan yang nak pilih Ketua Hakim Negara kena seorang hakim yang senior. Dalam Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan cuma nyatakan:

(a) dia seorang warganegara; dan

 (b) bagi tempoh sepuluh tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah itu

-Petikan dan diubahsuai daripada Perlembagaan Persekutuan

Jadi, soalnya sekarang, siapa dia sebenarnya? Kenapa dia dipilih? Dan perlu ke kita sebagai orang awam risau? Adakah sebab dia…

Pernah jadi setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri 

Datuk Wan Ahmad Farid lahir pada 13 November 1962 kat Kuala Terengganu. Beliau datang dari latar belakang keluarga politik dimana adiknya Wan Hisham Wan Salleh pernah berkhidmat sebagai ADUN dan juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau mulakan kerjaya sebagai peguambela dan peguamcara pada tahun 1987, lepas tamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di Thames Valley University, London dan memperoleh Sijil Amalan Guaman (CLP) daripada Universiti Malaya. Beliau kemudian jadi peguam sampai tahun 2003.

Datuk Wan Ahmad Farid (Tengah) jadi calon BN dalam Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu 2009. Imej Wikipedia

Untuk yang tak tahu, beliau juga merupakan ahli UMNO dan berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu pada tahun 2001. Beliau juga pernah jadi setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari tahun 2004 hingga 2008 dan kemudiannya berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari tahun 2008 hingga 2009.

Jadi peguam balik lepas tinggalkan dunia politik

Lepas berkhidmat sebagai timbalan menteri selama setahun, beliau kemudian tinggalkan arena politik dan kembali jadi peguambela dan peguamcara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur bermula dari tahun 2011 hingga tahun 2015.

Dan bermula tahun 2015, beliau mulakan kerjaya beliau dalam bidang kehakiman lepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sehingga tahun 2019. Beliau bertugas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kota Bharu sepanjang tempoh tersebut.

Menjelang tahun 2019 hingga tahun 2024, beliau bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan bertugas kat Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).

Kes kontroversi yang pernah beliau kendalikan

Dalam kerjaya beliau sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau pernah buat beberapa keputusan yang luar biasa antaranya tarik diri daripada mendengar permohonan Queen’s Counsel (QC) dari UK untuk mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International.

Kes ni penuh dengan kontroversi dan buatkan Najib Razak masuk penjara

Beliau buat macam tu kerana wujud konflik kepentingan memandangkan latar belakang politik beliau yang pernah aktif dengan UMNO dan juga sebahagian ahli keluarga beliau yang merupakan anggota parti itu.

Selain daripada tu, pada Mei 2023, beliau juga putuskan bahawa anak-anak kepada Loh Siew Hong telah memeluk agama Islam secara sah mengikut undang-undang dan berdasarkan bukti daripada pihak berkuasa agama yang sahkan ketiga-tiga kanak-kanak tu dah lafazkan syahadah pada tahun 2020.

Beliau juga terlibat dalam penghakiman terhadap kes saman terhadap kerajaan Malaysia kerana isytihar darurat pada 2021. Dalam kes tu, Datuk Wan Ahmad Farid putuskan yang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytiharkan darurat adalah di luar kuasa mahkamah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Waktu PKP dulu hari-hari ada live kat TV, siapa ingat?

November tahun lalu, beliau juga keluarkan perintah kepada PDRM untuk lengkapkan siastan kes kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan kerana kelewatan yang dianggap luar biasa memandangkan kes tu berlaku pada tahun 2009. Beliau juga benarkan semakan semula kehakiman oleh keluarga mangsa berkenaan kes tu.

Dengan pengalaman beliau kendalikan kes yang macam ni, rasa-rasanya…

Boleh ke beliau laksanakan tugas yang besar ni?

Walaupun Datuk Wan Ahmad Farid ada pengalaman yang luas dalam bidang guaman, politik dan kehakiman, pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara yang baru tetap timbulkan persoalan bukan saja pasal hierarki dan kelayakan tapi juga cetuskan persoalan pasal sejauh mana institusi kehakiman kita bebas daripada pengaruh politik.

Tapi apa pun, pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara dah dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Apa yang kita boleh harapkan adalah beliau dapat laksanakan tugas dengan adil, bebas dan mampu tangkis persepsi yang mahkamah kita semakin dipengaruhi dengan kuasa politik.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Datuk Wan Ahmad Farid di Istana Negara hari ni. Imej FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Beliau juga perlu bina semula keyakinan orang ramai pada institusi kehakiman. Sama ada mampu atau tidak, masa dan tindakan beliau yang akan jawab semua persoalan ni.

About Hafiz Sabran 24 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"