Grab Malaysia Menyumbang RM1 juta kepada Program Bantuan Kemanusiaan Gaza MERCY Malaysia

[SIARAN AKHBAR]

PETALING JAYA, 6 November 2023 – Grab Malaysia amat bersimpati dengan nasib komuniti yang terjejas akibat konflik di Gaza dan mengutuk sebarang tindakan keganasan yang mengancam kemanusiaan. Justeru, Grab Malaysia sekali lagi berganding bahu dengan MERCY Malaysia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Tabung Bantuan Palestin, bagi membantu komuniti yang disokong oleh MERCY secara aktif sejak 2008. Grab Malaysia telah menjalin kerjasama yang erat dengan MERCY Malaysia sejak 2021, menerusi pembabitan dalam pelbagai bantuan kemanusiaan di Malaysia, termasuk tabung bantuan banjir serta pengurusan bencana.

Bagi mengatasi keperluan mendesak yang dihadapi oleh komuniti rentan yang terjejas di Gaza (Palestin), berikutan konflik yang berterusan, Grab Malaysia akan menyumbang bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui MERCY Malaysia. Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha MERCY Malaysia, sekaligus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas.

Grab Malaysia turut menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan pelbagai lagi, dan mengutamakan kesejahteraan mereka. Ia juga menekankan komitmennya kepada prinsip kemanusiaan dan keamanan, dan secara keras menentang sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia. Syarikat ini menyokong sebarang usaha yang membawa kepada keamanan yang berkekalan serta adil.

Grab Malaysia dan MERCY Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan, dalam memastikan kesan positif yang berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas, dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang. Selain itu, bermula 8 November 2023 hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini.

[TAMAT]

Maklumat lanjut: