- 603Share sekarang!
- Email4
- Facebook599
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, TahanUni)
Tengah kelam-kabut nak pergi kerja, ditambah lagi stress sebab kena beratur kat ATM, tiba-tiba, tempat kereta korang parking dah kena block dengan kereta lain. Memang boleh jadi drama lah kan sebab bergaduh.
Sebenarnya, situasi double parking ni secara faktanya adalah antara perkara biasa yang orang Malaysia akan hadapi saban hari. Kebanyakan kita hanya akan mengadu, bising dan komplen pasal masalah ni. Jarang kita dengar ada orang ambil satu langkah ke depan untuk selesaikan isu ni.
Tiga pelajar Malaysia cipta apps untuk selesaikan masalah double parking
Tahun lepas, tiga orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dah ambil bahagian dalam pertandingan yang dikenali sebagai Innovate Malaysia Design Competition 2017 (Innovate Malaysia). Edward Chan, Gan Yi Reng dan Leow Tan Chun Kit pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik dah berjaya mencipta aplikasi ParkKing untuk seleasikan masalah double parking di kawasan bandar. Ciptaan aplikasi ni tadi dah menyebabkan diorang sapu habis dua kejuaraan bagi kategori Cyberview Design Challenge dan Motorola Solutions.
“Kami merasakan yang segala kerja keras kami terbalas. Kami berhadapan dengan banyak kekecewaan dalam membangunkan projek ini, tapi akhirnya, semua berbaloi.”- Edward, ketika dihubungi TahanUni.
Rakan kami dari TahanUni bercakap sendiri dengan diorang mengenai pertandingan dan aplikasi ini. Ada beberapa perkara menarik yang diorang bagitahu. Antaranya…
Empat tahun jadi pelajar tanpa sebarang pencapaian membanggakan
Daripada tiga orang tu, Edward adalah orang pertama yang tahu pasal pertandingan Innovate Malaysia pada Julai 2016 waktu tengah praktikal di Motorola Solutions, Bayan Lepas. Lepas tu, dia ajak dua lagi kawannya, Yi Reng dan Chun Kit yang masa tu tengah praktikal di sekitar Pulau Pinang juga. Dari situ, berlakulah perjumpaan untuk bincangkan pasal pertandingan dan projek.
“Saya sudah berada di universiti selama empat tahun waktu itu dan saya tak pernah ada apa-apa pencapaian, jadi, saya rasa pertandingan seperti ini akan menjadi jalan terbaik untuk saya lakukan sesuatu sebagai seorang pelajar.”- Edward
Walaupun tengah praktikal, diorang bertiga ni akan lepak bersama bila hujung minggu di kawasan bandar Pulau Pinang. Masa tu memang tak ada idea nak buat projek apa untuk masuk pertandingan tu. Bila lepak di kawasan bandar, diorang perasan di mana ramai orang buat double parking yang menyebabkan jalan jadi sesak.
Idea ni juga datang bila diorang sendiri ada pengalaman berada dalam situasi di mana kereta diorang tak boleh nak keluar dari parking bila kereta lain double park. Dari masalah ni, maka datanglah idea untuk diorang mencipta satu apps yang akan membantu pemandu cari tempat parking kosong dan selesaikan masalah double parking.
Kiranya apps ni akan membantu bukan seorang atau dua orang, tapi seluruh komuniti yang terlibat yang juga boleh elak sebarang drama pergaduhan yang bakal viral. Tapi, macam mana sebenarnya apps ni boleh berfungsi?
Hanya belajar dari Youtube untuk bangunkan sistem untuk kesan tempat parking kosong
Disebabkan diorang ni adalah pelajar kejuruteraan elektronik, pembangunan software dan mereka bentuk apps adalah satu perkara yang sangat baru bagi diorang. Untuk belajar semua ni, diorang mengambil keputusan untuk tengok video tutorial berkaitan software yang ada termasuk video di YouTube.
Keseluruhan idea untuk sistem yang dibangunkan ni dah dibincangkan serta mendapat bimbingan Dr Kamaludin Yusof sebagai penyelia projek diorang. Diorang perlu mencipta sensor untuk kawasan parking serta perlu merangka apps tu sendiri. Tugas-tugas juga dah dibahagikan yang mana Edward akan mencipta apps manakala Chun Kit dan Yi Reng mencipta sensor dan mereka bentuk apps.
Macam mana agaknya apps ni berfungsi? Nod-nod sensor (sensor nodes) akan diletakkan di kotak-kotak parking sama ada di atas jalan atau lantai parking lot. Nod sensor ni tadi akan kesan bila kereta park dalam kotak parking tu atau boleh juga mengesan jika berlaku double park. Boleh tengok gambar bawah kalau tak faham.
Maklumat dari sensor ni tadi akan dihantar ke apps dan juga sistem kawalan yang ada pada Dewan Bandaraya/Majlis Perbandaran dan juga pengurus parking lot. Untuk pengguna apps, maklumat tu akan bantu diorang untuk tahu kat mana ada tempat letak kereta yang kosong. Manakala, majlis dan pengurus parking lot boleh towing mana-mana kereta yang buat double park berdasarkan maklumat dari sensor tadi.
Contoh korang ada dalam satu program dan memang kawasan parking dah penuh, apps tadi akan tunjukkan tempat terdekat yang korang boleh park walaupun kena berjalan sikit. Sekurang-kurangnya apps ni boleh membantu untuk elakkan pemandu pening kepala kena pusing-pusing cari tempat letak kereta yang kosong. Akhirnya, ia akan bantu seseorang untuk berusaha dapatkan parking berbanding buat double parking.
Dengan kerja-kerja ni, diorang berharap yang usaha ni akan berbaloi. Akhirnya…
Bandar Cyberjaya berminat nak guna sistem diorang ni nanti
Pertandingan Innovate Malaysia dikendalikan oleh sebahagian besar syarikat-syarikat teknologi dunia termasuk Intel, Microsoft dan Motorola. Pertandingan turut disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia Digital Economy Education (MDEC), Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM).
Untuk masuk pertandingan ni, taklah semudah yang kita semua sangka. Edward, Yi Reng dan Chun Kit perlu melalui beberapa pusingan untuk menghantar permohonan dan draf projek diorang. Diorang juga perlu tunggu keputusan sama ada projek diorang disenarai pendek atau tak. Bila dapat masuk senarai pendek, barulah diorang boleh mula membina aplikasi untuk beberapa bulan sebelum berdepan dengan para juri.
Waktu di pusingan akhir, para juri dari Cyberview dan Motorola ambil keputusan untuk anugerahkan diorang dua hadiah tempat pertama sekaligus. Bagi juara kategori Motorola Solutions, diorang dapat hadiah tunai berjumlah RM 5,000 dan RM 3,000 untuk juara kategori Cyberview Design Challenge. Bukan setakat duit, Cyberview dah menyatakan minat untuk guna sistem diorang ni di bandar Cyberjaya sebagai satu inisiatif Bandar Pintar.
“Kami menghargai pengiktirafan dari para juri dan berharap dapat menyediakan lebih banyak jalan dalam menyelesaikan masalah kehidupan untuk dihadapi masyarakat pada masa akan datang.”- Yi Reng.
Menang pun dah menang. Sekarang mereka bertiga ada misi baru untuk komersialkan apps diorang ke pasaran.
“Walaupun kami berpuas hati dengan kemenangan, ia juga memberi momentum kepada kami untuk meneruskan projek ini.”- Chun Kit.
Diorang juga berharap yang apps ciptaan diorang ni akan diambil oleh mana-mana pemaju bandar, kerajaan tempatan (majlis bandaraya/majlis perbandaran) termasuk parking lot di mall dan bangunan awam lain. Dalam masa yang sama, diorang sedang bekerja untuk menaik taraf prototaip sebelum ada pelabur yang berminat dan melancarkannya ke dalam dunia pasaran.
Pembangunan projek diteruskan walau sudah mula bekerja di syarikat kejuruteraan
Walaupun niat asalnya nak buat sesuatu lepas empat tahun bergelar pelajar, tapi, akhirnya ia menjadi penyelesaian untuk masalah yang dihadapi oleh bandar di seluruh dunia. Edward, Yi Reng dan Chun Kit mungkin tak percaya yang idea diorang yang dulu boleh jadi kenyataan pasa masa akan datang. Begitu juga, dari pengalaman sebenar jadi mangsa double parking bertukar menjadi pencipta aplikasi ParkKing untuk pemandu kereta.
Walaupun diorang dah ada peluang untuk melihat ciptaan diorang berada di atas jalan sekitar bandar-bandar di Malaysia, usaha keras tetap diteruskan. Sekarang ni pun, diorang bertiga dah habis belajar dan bekerja di syarikat kejuruteraan. Projek membangunkan aplikasi ni dijalankan secara part time.
Pelajar universiti banyak menyumbang dalam dunia inovasi
Sebelum ni, kita banyak mendengar sikap pelajar atau mahasiswa Malaysia yang dikatakan terlalu manja oleh sesetengah pihak. Tak lupa juga, keterlibatan pelajar dalam gejala negatif yang semakin banyak. Tapi, sebenarnya, ramai je pelajar yang dah mencetuskan idea baru dalam dunia inovasi yang bukan sahaja membantu negara kita, malah dunia. Bakat-bakat pelajar ni akan timbul kalau kita fokus untuk manfaatkan bidang kreativiti dan inovasi.
Dalam Bajet 2018, kerajaan dah tingkatkan peruntukan penyelidikan dan pembangunan Universiti Awam (UA) daripada RM 235 juta kepada RM 400 juta. Harapannya supaya dapat menyumbang pembangunan negara. Kejayaan tiga pelajar UTM mencetuskan idea mencipta aplikasi ParkKing adalah salah satu pembangunan yang patut diberi perhatian kerana bukan semua pelajar ada semangat inovasi macam diorang untuk selesaikan isu masyarakat. Moga-moga diorang terus berjaya.
- 603Share sekarang!
- Email4
- Facebook599
- Share