5 reaksi ORANG BESAR yang tersingkir masa siasat 1MDB, kini dilantik semula

Sejak Pakatan Harapan (PH) ambil alih pemerintahan ni, macam-macam benda yang kita dengar. Kita juga ada dengar pasal tindakan orang-orang besar yang letak jawatan macam – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi FeldaPengarang Urusan Berita TV3 dan tak lupa juga Datuk Seri Najib yang letak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Dzulkifli Ahmad & Shahril Samad, masing-masing dah letak jawatan. Imej dari BH Online & NST.

Kalau kita tengok kat media pulak, beberapa jawatan penting dalam organisasi utama negara telah diisi oleh orang baru. Contohnya, Tabung Haji, MARA dan Bank Negara. Namun, ada juga perlantikan yang dilakukan semula ke jawatan tertinggi setelah orang tu dipindahkan dan disingkirkan oleh kerajaan terdahulu kerana sentuh pasal siasatan 1MDB.

1. Hamid Bador: Dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, kini menjadi Ketua Polis Negara

Pada 1 Mei 2019, Tun Mahathir mengumumkan untuk melantik Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baru. Kalau korang nak tahu, Hamid Bador ni dulu adalah Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) atau bahasa mudahnya Orang No. 2 SB sewaktu Najib Razak menjadi PM.

Pada tahun 2015, nama dia tiba-tiba je naik sebab dia buat dakwaan bahawa ada pihak tertentu yang cuba sembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB. Dia juga mendesak siasatan dilakukan secara telus. Bila sentuh pasal 1MDB, memang confirm kalau tak direhatkan, mesti akan dipindahkan. Macam Hamid Bador ni, dia dah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM). Dia pun tak tahu apa alasan dia dipindahkan ke situ.

Hamid Bador yang berdiri tu. Imej dari Utusan

“Kami tidak akan tukar laporan menjadi sebaliknya. Kita akan beritahu perkara yang sebenar, mungkin mereka tak suka dan mahu dengar sesuatu yang indah. Nak syok sendiri. Mungkin juga (saya ditukar) kerana saya kerap kata supaya lakukan siasatan 1MDB dengan telus,”- Hamid Bador, petikan dari Malaysia Kini

Apabila PH menjadi kerajaan, beberapa minggu kemudian, dia dilantik menjadi Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman (orang no 1 SB). Kemudiannya, dia dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara dengan menggantikan Noor Rashid Ibrahim yang bersara.

Dan kini, macam yang korang tahu, dia berada di posisi tertinggi PDRM sebagai Ketua Polis Negara dengan kontrak selama 2 tahun. Maknanya, dia akan jadi KPN dari 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

2. Shukri Abdull: Tersingkir sebagai timbalan dan kembali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Pada sidang media 17 Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir dah pun umumkan yang Shukri Abdull dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru. Kalau korang nak tahu, Shukri sebenarnya sebelum ni adalah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Tapi pada tahun 2016, Shukri dah kejutkan ramai pihak bila dia keluar dari SPRM. Sebab apa keluar? Ada yang kata, ia tak lain dan tak bukan pasal siasatannya terhadap 1MDB. Bagi Shukri, selama 32 tahun dia berkhidmat dengan SPRM, macam-macam benda yang dia dah lalui.

“Saya hampir mati diperangkap dengan dadah, rumah saya dihantar dengan peluru hidup, saya mengalami penyakit misteri selama sebulan, badan hilang 9kg. Saya juga tidak boleh tidur 14 hari 14 malam, saya difitnah, dimaki kerana perkhidmatan ini.” – Shukri Abdull, dipetik dari Free Malaysia Today.

Shukri Abdull akan kembali membenteras rasuah. Imej dari sabahkini.com

Lepas tu, tak banyak berita yang kita dengar pasal Shukri, sampailah bila dia perli Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang buat laporan polis terhadap Abu Kassim (bekas KP SPRM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor BNM) dan Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara).

Semuanya jadi bila Khairul Azwan kata diorang ni semua terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak (masa tu). Shukri yang dengar dakwaan tu, sifatkan Khairul sebagai ‘takde ilmu’ sebab tak dapat bezakan perjuangan benteras rasuah dengan komplot yang didakwa.

“Tan Sri (Abu Kassim) di akhir persaraannya pun, beliau masih dicerca dan dicela, hingga ada pihak tergamak membuat laporan polis bahawa beliau konspirator untuk menjatuhkan kerajaan. Individu yang membuat laporan polis terhadap Tan Sri ini orang tidak berilmu, tak dapat membezakan di antara perjuangan rasuah kerana sayangkan negaranya.” – Katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Azwan yang duduk sebelah Khairy. Imej dari Utusan Online.

Tapi lepas PH ambil alih kerajaan, nampaknya Shukri dah dipanggil berjumpa dengan Dr Mahathir. Dan hasilnya, dia dah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Bagi sesiapa yang rasa pernah bersalah kat dia tu, jaga-jaga~~~

3. Abu Kassim: Disingkirkan kerana 1MDB, dipanggil semula kerana 1MDB

Mungkin ada di antara kita yang masih ingat atau familiar dengan nama ni. Kalau yang masih tak ingat tu, Abu Kassim ni sebenarnya bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kalau ikut laman web SPRM, Abu Kassim sebelum ni pernah mohon supaya kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya ditamatkan lebih cepat dari tarikh sepatutnya.

Sebab itulah, Abu Kassim tamatkan tugas kat SPRM pada 1 Ogos 2016, sedangkan tarikh rasmi tamat kontrak pada 4 Disember tahun ni. Lepas tu, Abu terima tawaran jadi pakar kat International Anti Corruption Academy (IACA). Selain tu, Abu jugak jadi perunding kat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

V for Victory. Imej dari BH Online.

Tapi bila kerajaan BN jatuh, khidmat Abu nampaknya masih lagi diperlukan. Buktinya, Tun Daim dari Majlis Penasihat Kerajaan ada kata yang diorang dah kenal pasti individu tertentu yang boleh tolong diorang siasat kes 1MDB, dan orang tu adalah…

“…mereka ialah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan bekas timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shamsiah Yunus. Mereka berdua telah mainkan peranan dalam menyiasat skandal 1MDB pada tahun 2015.” – Dipetik dari Malay Mail.

Selain dari bantu Majlis Penasihat Kerajaan, Dr Mahathir pun dah jumpa dia, sebab nak bincang hal-hal tertentu.

“Malah, sehingga kini, SPRM juga tidak pernah menutup siasatan terhadap 1MDB dan SRC, tetapi ia berada dalam status ‘pending’.” – Dipetik dari BH Online.

Sebelum Shukri diumumkan sebagai KP SPRM yang baru, nama Abu Kassim pun ada disebut-sebut akan mengisi jawatan tu. Tapi nampaknya khabar angin tu dah buatkan ada pihak yang rasa tak puas hati, khususnya keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Semuanya ada kaitan dengan kes kematian Beng Hock yang dikaitkan dengan SPRM. Bagi diorang, Abu tak buat kerja dengan baik, macam – tak arahkan supaya pegawai yang berkaitan disiasat atau digantung tugas.

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kes Teoh Beng Hock dah dibuat. Imej dari sivinkit.net

Tapi Abu sendiri ada keluarkan kenyataan yang dia tak nak jadi KP SPRM lagi. Cuma dia sedia bantu pulihkan balik imej SPRM.

“Abu Kassim takkan balik jadi KP SPRM dan dia sendiri tidak akan menjadi KP. Abu Kassim tidak maju jawatan KP SPRM.” – Kata sumber tertentu kepada Malaysiakini.

Abu Kassim lepas jumpa Dr Mahathir. Imej dari The Star.

4. Bahri Mohammad Zin: Doanya dimakbulkan dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH)

Korang masih ingat nama ni? Kalau dah lupa, dia inilah yang ditukarkan kerja serta merta masa tengah siasat SRC International Sdn Bhd (bekas anak syarikat 1MDB). Masa tu dia jadi Pengarah Operasi Siasatan Khas SPRM, tapi lepas dia siasat SRC, secara tiba-tiba je dia dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain Bahri, sorang lagi yang dipindahkan adalah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob. Tapi tak lama lepas tu, Bahri dan Rohaizad dipindahkan balik ke SPRM, lepas tindakan kerajaan pindahkan diorang tu dapat bantahan ramai pihak. Walaupun dah balik ke SPRM, Bahri tak lama kat sana dan akhirnya ambil keputusan untuk bersara.

Datuk Bahri Mohd Zin. Imej dari The Star.

Lepas dia bersara, ada lah kes yang dikaitkan dengan Bahri, macam kes perebutan harta pusaka. Tapi berita kes tu tak lama dan hilang macam tu je. Apa yang pasti, setelah lama namanya kita tak dengar, nama Bahri naik balik bila PH menang dalam PRU-14. Kata Bahri, doanya selama ni dah termakbul.

“Slogan (saya) kamu ada kuasa, aku ada Allah insyallah termakbul sudah, inilah doa saya pada sepertiga malam selama ini. Lobang cacing tak perlu ku intai lagi dan insyallah kita akan menonton kes-kes yang tak pernah terlintas di benak kita selama ni.” – Katanya kepada Malaysiakini.

Imej dari islamicity.org

Buat masa sekarang, nama Bahri dikatakan antara yang akan dipanggil balik ke SPRM oleh Dr Mahathir. Sama ada Bahri akan setuju atau tak, kita masih lagi menanti.

5. Gani Patail dedah rahsia kenapa dipecat

Pada 15 Mei lepas, bekas Peguam Negara – Tan Sri Gani Patail ada berjumpa dengan Dr Mahathir kat Yayasan Kepimpinan Perdana. Masa kat bertemuan tu, banyaklah yang diorang borak, termasuk cerita sebenar di sebalik kenapa Gani dipecat dulu.

Beliau (Abdul Gani) dipecat ketika sedang membuat persediaan untuk mendakwa Najib,  tetapi anda tahu apa yang berlaku, pagi itu beliau diberhentikan daripada jawatannya.” – Dr Mahathir, Perdana Menteri. Dipetik dari Sinar Harian.

Gani kat pejabat Tun M. Imej dari BH Online.

Apa yang kita tahu, Gani masa tu adalah orang yang siasat duit RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dan kes SRC International. Tapi secara tiba-tiba Gani dipaksa keluar dari pejabatnya dan diganti dengan Apandi Ali. Kerajaan BN masa tu kata yang pengguguran Gani tu atas faktor kesihatan. Tapi alasan kerajaan tu nampak tak boleh pakai sebab…

“Beliau (Gani Patail) bukan setakat segar-bugar, malah mampu kembali mengamalkan kerjaya guaman dengan membuka syarikat guaman sendiri pada tahun 2016. Dan kita tahu semua keputusan AG baru, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, bersangkutan 1MDB adalah bagi melindungi Najib.” – Datuk Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari blognya.

Hadoi~~~ Imej dari Giphy.

Tapi bila Najib dah jatuh ni, usaha Gani dulu masih lagi ada sinar. Gani pun dah kata yang dia sekarang tengah buat persediaan untuk dakwa Najib dalam kes 1MDB. Inilah yang buat kita semua excited, sebab drama 1MDB pasca PRU-14 ni makin hari makin panas. Sebelum ni, Ketua Audit Negara pun dah buat kenyataan yang Laporan Pengauditan 1MDB bukan lagi rahsia, tapi dah jadi dokumen terbuka.

Dalam masa sama, kita juga dilaporkan yang Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dah pun cuti tanpa rekod selama 30 hari. Buat sementara, tempat dia diganti dengan Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek. Maka muncul pulak persoalan pasal siapa yang akan dilantik sebagai Peguam Negara yang baru.

Gani dan Najib suatu masa dulu. Imej asal dari mfsclickproduction.blogspot

Beberapa hari lepas, kita ada dengar berita yang Badan Peguam Malaysia sokong cadangan Datuk Ambiga sebagai Peguam Negara yang baru.

“Jika Ambiga dilantik sebagai AG baru, beliau akan pastikan jabatan itu bebas dari pengaruh dan campur tangan politik.” –  George Varughese, Presiden Badan Peguam Malaysia. Dipetik dari Malaysiakini.

Ambiga masa dapat Award for International Women of Courage, 2009. Imej dari The Nut Gaph.

Tapi cadangan ni nampaknya dapat bantahan dari Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Sebab bagi diorang, Badan Peguam Malaysia tak ada hak nak namakan mana-mana individu supaya jadi calon Peguam Negara. Sebabnya, tugas siapa yang pilih Peguam Negara ni cuma boleh dibuat oleh Perdana Menteri dan dapat perkenan dari YDP Agong.

Dari skandal 1MDB sampai ke Felda, kerajaan sekarang perlu buktikan

Antara janji PH dalam manifesto adalah menyiasat segala skandal yang dilakukan di zaman Najib Razak dulu. Ia termasuklah skandal 1MDB, MARA, Tabung Haji dan Felda.

Imej dari Pakatan Harapan.

Buat masa sekarang, kita semua dah dengar dengan macam-macam tindakan Polis dalam menyiasat kes skandal 1MDB. Tu tak termasuk lagi dengan siasatan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Kerajaan. Menurut Tun Daim Zainuddin, kepentingan diorang dalam majlis ni sekarang adalah memulihkan keyakinan pelabur.

“Pertama adalah GST, kemudian kami akan memanggil pegawai di kementerian untuk memberi taklimat kepada mengenai projek mega, hutang negara, tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan – Tabung Haji, Mara, Felda, selain menangani ringgit.” – Tun Daim Zainuddin, dipetik dari Free Malaysia Today.

Sempoi je Tun Daim. Imej dari @sayasayangtunm

Menurut pakar, kerajaan baru PH masih lagi mewarisi ekonomi yang kukuh, tapi dalam masa sama hadapi cabaran dengan hutang negara yang tinggi. Selain tu, kerajaan sekarang ni juga berdepan dengan cabaran mengembalikan integriti dalam institusi-institusi yang sebelum ni tercemar dan mengisi harapan tinggi rakyat.

“Rakyat benar-benar berharap yang Harapan boleh betul-betul diharap”

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.