“Budaya kuning, ganja, dan hippies” – Kisah konsert Woodstock 1972 di Cheras

Woodstock merupakan sebuah festival muzik rock yang pertama sekali dianjurkan di Bethel, Amerika Syarikat. Ia berlangsung selama tiga hari berturut-turut, dari 15 Ogos hingga 18 Ogos 1969.

Korang mungkin terkejut bila mengetahui yang konsert Woodstock yang pertama ini dianjurkan oleh empat orang pemuda yang tiada pengalaman menganjurkan konsert, namun tetap menjadi satu memori yang sampai sekarang masih diingati di seluruh dunia.

Antara line-up band dan penyanyi di Woodstock yang asal ini adalah:

  • Jimi Hendrix.
  • The Who.
  • The Family Stone.
  • Ten Years After.
  • Tim Hardin.
  • Dan banyak lagi.
Gambar Jimi Hendrix di Woodstock ni paling legend! Imej dari Qwest TV.

Penangan Woodstock ni telah berkembang di seluruh dunia termasuk Malaysia. Nak tahu kenapa? Malaysia dulu pernah ada sebuah konsert yang konsepnya sama seperti Woodstock. Masa tu memang hype gila, sampaikan ada penonton dari luar negara turut datang.

Apa yang lebih menarik adalah Woodstock Malaysia ini…

Dianjurkan oleh Persatuan Pengakap Malaysia di Kem Semangat

Poster Woodstock Malaysia 1972. Imej dari Selangor 10.

Woodstock Malaysia ini berlangsung pada 29 Julai hingga 30 Julai 1972, selama dua hari berturut-turut. Ia dianjurkan oleh Persatuan Pengakap Malaysia, ‘Tiger’ Siva’s Stardust Productions dan Charles Tyler di Kem Semangat, Cheras (sekarang tempat ni dah jadi AEON Mall Cheras Selatan).

Konsert ni dihadiri oleh hampir 3000 orang pemuda termasuk geng hippies. Masa ni, bukan saja orang Malaysia, malah pengunjung dari Indonesia dan Singapura turut serta.

Suasana semasa Woodstock di Kem Semangat dan tiketnya. Imej dari Selangor 10.

Ada laporan mengatakan 500 orang dan ada juga yang kata 700 orang datang ke konsert ini. Sebahagian dari jumlah penonton ni ada yang hitchhiking.

Untuk pengetahuan korang, masa zaman 70-an ni, budaya hippies memang meletup, fesyen hippies pun tengah lit gila. Kalau jalan-jalan sekitar bandar ke apa, mesti akan nampak golongan muda memakai seluar ‘bell bottom‘, pakai baju kolar lebar, dan memakai selendang di leher.

Budaya hippies pada waktu ini adalah melibatkan penampilan yang tidak konvensional (biasanya berambut panjang), berkaitan dengan sub-budaya yang melibatkan penolakan nilai konvensional dan pengambilan dadah halusinogen.

Tiket konsert time ni hanya RM3 sahaja, tapi waktu tu harga ni dikira mahal la. Mungkin kalau dianjurkan sekarang, harganya boleh mencecah RM 300 lebih la kot.

Sons of Adam antara band yang perform di Woodstock. Imej dari Shah Othman.

Antara band yang main untuk Woodstock Malaysia ini:

  • The Strollers.
  • Sweet September.
  • The Falcons.
  • Sons of Adam.
  • Illusion Revival.
  • Ash Wednesday.
  • Mushroom Alice.

Menurut Charles Tyler, sebenarnya ada band dari Filipina dan Indonesia yang perform di Woodstock. Berdasarkan seorang pemilik kedai menjual piring hitam, Joe Rozario, dia menceritakan bagaimana meriahnya Woodstock di Malaysia ini:

“Terdapat ramai pemuda di pinggir jalan, berjalan dengan topi koboi Amerika yang tinggi, pakaian koyak dan sebagainya. Terdapat banyak pemuda di tepi jalan menuju ke Woodstock, di Cheras. Ia adalah perasaan yang sangat seronok, orang datang dari Singapura, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Ipoh dan semua bandar kecil yang ada di situ.

___

Ia merupakan generasi baru, alaa korang tahu, yang tak nak memakai pakaian seperti orang normal, generasi lama. Oleh itu, saya berjalan kaki dari Pulau Pangkor dengan rakan saya Raj, dan kami datang ke Cheras. Kami terpaksa berhenti di Batu 9 dan berjalan kira-kira dua kilometer ke dalam hutan. Dan ada sekumpulan besar orang, hippies, (di sebuah konsert) yang dianjurkan oleh Pengakap! Bayangkan itu!” – Joe Rozario, dipetik dari The Wknd.

Dia juga menceritakan sebuah band dari Kuala Lumpur, The Falcons menjadi band yang merancakkan lagi konsert itu. Sebelum itu, semua orang tidur, tapi semasa mereka naik ke pentas dan perform, semua penonton bertepuk tangan, menari dan menyanyi.

“Detik-detik yang indah. Semua orang gembira, seperti percutian di hutan. Setiap orang di sana adalah rakan awak.” – Joe Rozario, dipetik dari The Wknd.

Namun, Woodstock ni berakhir dengan menjadi…

Mainan politik & dituduh sebagai konspirasi dunia luar

Helaian muka surat dalam majalah URTV mengenai Woodstock 1972. Imej dari Taki Takiyuddin.

Menurut seorang wartawan The Straits Times, Ng Foo Ngok, dia mendakwa bahawa Woodstock memang tempat untuk orang menghisap ganja. Masa tu, ganja dijual murah dan mereka menghisapnya secara secara terbuka.

Namun, lain pula ceritanya bagi Charles Tyler:

“Semua orang yang datang hanya lelaki dan perempuan biasa. Saya sendiri tidak menyedari penggunaan dadah. Ironinya ialah semua orang yang saya kenal… adalah jenis yang paling bersih dan bebas dadah. Sebuah acara yang sangat menarik dan ramai orang enjoy. Terdapat orang menari dan bermain gitar di konsert — tetapi semuanya sangat bagus dan semua orang sangat ramah dan berkelakuan baik.” – Dipetik dari The Wknd.

Rozario bersetuju dengan kenyataan Foo Ngok. Hal ini kerana dia masih ingat yang terdapat ramai orang hisap ganja dan ada juga dealer di situ. Dia juga ingat ada beberapa dadah lain, iaitu “toon” (sejenis candu hitam) dan heroin di konsert itu. Dia juga beritahu terdapat serbuan polis apabila dadah heroin dibawa masuk. Bagi Foo Ngok, dadah ini la yang menghancurkan konsert itu.

Rozario turut berkata tiada sebarang keganasan atau pergaduhan yang berlaku kerana semua orang mengeratkan silaturahim antara sesama kaum dan negara. Pada masa tu, tidak ramai orang yang mengambil alkohol, tapi lebih kepada ramai yang high saja.

Persembahan dari The Gypsies. Imej dari Negeri Sembilan Metal Community.

Selepas tamatnya Woodstock, kerajaan dan pihak berkaitan datang turun padang. Charles Tyler mengatakan selepas mereka membersihkan tempat konsert, polis datang mencari mereka di rumah dan meninggalkan notis supaya mereka memberikan laporan di balai polis. Semasa tiba di balai polis, mereka diberikan amaran untuk keluar dari Malaysia dan visa mereka dibatalkan.

Kerajaan menganggap konsert rock sebagai satu ancaman sama ada tiada dadah atau tak. Isu ini juga menjadi mainan politik dan dihentam oleh pihak media arus perdana. Hal ini kerana terdapat banyak berita yang memaparkan tajuk utama seperti:

  1. Larang Rambut Panjang dari Panggilan Keputusan Diraja
  2. Konsert Woodstock Plot untuk Pemuda Lemah.
  3. Ramai Orang Mengambil Dadah di Festival Pengakap.

Shariff Ahmad, Setiausaha Parlimen, berkata Woodstock merupakan sebuah konspirasi dunia luar untuk melemahkan pemuda di negara kita.

“Ada kemungkinan konspirasi ini terutama bertujuan mempengaruhi pemuda dengan dadah untuk menghancurkan mereka untuk merebut peluang yang diberikan oleh Kerajaan.” – Shariff Ahmad, dipetik dari The Wknd.

Masa ini juga, kerajaan mahu mengharamkan budaya hippies di Malaysia, sampaikan pegawai imigresen diberi garis panduan macam mana nak mengenalpasti hippies.

Jahat atau baik orang tu, hippies masa tu diharamkan. Imej dari giphy.

Masa ini jugalah isu yang satu lagi ni tengah naik…

Konsep budaya kuning atau otak kuning mula diperkenalkan

Macam ni la situasi yang sering berlaku pada masa dulu. Imej dari Kartunis4zee.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden Majlis Belia Malaysia masa tu) turut memberikan pendapatnya, mengatakan yang penganjur dan beberapa orang Barat di konsert itu telah membawa pengaruh menghisap ganja. Gejala menghisap ganja ini takkan berlaku kalau konsert itu dianjurkan oleh penganjur tempatan, katanya.

“Orang-orang tertentu, terutamanya yang berpendidikan Inggeris, menganggap tidak apa-apa kerana mereka telah dipengaruhi oleh budaya Barat. Mereka fikir ia tidak berbahaya. Saya mesti tak bersetuju. Kita mempunyai cara hidup kita sendiri. Woodstock seharusnya tidak terlibat dalam isu ini.” – Anwar Ibrahim, dipetik dari The Wknd.

Daripada sinilah terciptanya satu konsep yang dipanggil budaya kuning atau otak kuning. Ia bermaksud budaya barat yang berunsurkan negatif atau tidak baik. Contohnya, konsert rock, berseluar jeans koyak, rambut panjang dan berfesyen seperti budaya Barat.

Pengajaran yang boleh diambil ialah kalau nak pergi konsert atau gig, pastikan diri korang bebas dari dadah dan alkohol. Eh jap, mana yang tengah baca artikel ni, cuba berikan pendapat korang mengenai konsert Woodstock dan budaya kuning di Malaysia ni.