- 1.5KShare sekarang!
- Email24
- Facebook1.5K
- Share
UPDATE 10/10/2019: Hari ni merupakan ulang tahun kelahiran Allahyarham Dato’ Asri Muda yang ke-96. Beliau merupakan Presiden PAS yang pernah mewarnai perjalanan politik tanah air. Ikuti kisah beliau dalam artikel ini…
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dah pun dilalui oleh rakyat Malaysia. Pertembungan berlaku antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (HARAPAN) dan dah pasti Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kita pun dah tahu keputusannya.
PAS ketika itu akan bertanding kat 130 kerusi masa PRU ke-14.Ketika itu juga, PAS juga bagi bayangan yang diorang nak bentuk kerajaan atau sertai pembentukan kerajaan campuran lepas PRU-14 nanti. Namun, ia tak berlaku sama sekali.
Kalau korang nak tahu, pembentukan kerajaan campuran ni bukan perkara baru bagi PAS. Sebabnya, pada tahun 1970-an dulu, dah pun ada kerajaan campuran antara Parti Perikatan dan PAS. Kerana kerjasama ini jugalah munculnya nama Barisan Nasional (BN) yang kita kenal sampai sekarang.
Jadinya kali ni, SOSCILI nak cerita sikit tentang seorang tokoh PAS yang juga antara tokoh bertanggungjawab membentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS. Tokoh itu adalah Allahyarham Dato’ Mohd Asri Muda. Sejarah politik Dato’ Asri sangat panjang iaitu bermula sejak zaman perjuangan kemerdekaan lagi, apabila beliau sendiri…
Pernah jadi anggota Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam
Dato’ Asri Muda dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan pada 10 Oktober 1923. Asri mula terlibat dalam politik sejak zaman mudanya apabila beliau menjadi Penolong Setiausaha Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) dari tahun 1945 sampai 1947. Dalam masa sama, Asri juga jadi Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) Kelantan dari 1946 sampai 1947.
Untuk maklumat, API adalah sayap pemuda untuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) iaitu antara pertubuhan Melayu terawal yang memperjuangkan kemerdekaan. Nasionalis Ahmad Boestamam menjadi pemimpinnya yang pertama. Oleh itu, tak kisahlah kalau kita nak kata Asri juga adalah antara sebahagian dari pejuang-pejuang nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan.
Tapi hayat API tak panjang bila ia diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. Walaupun begitu, hal ni tak patahkan semangat Asri, kali ni beliau jadi pula antara pengasas parti Islam pertama di negara ni iaitu Hizbul Muslimin. Kepimpinan dan keterlibatan Asri semakin menyerlah selepas beliau menyertai PAS dan dilantik sebagai Setiausaha Kerja PAS (1953-1954).
Selain itu, beliau juga jadi Pesuruhjaya PAS untuk negeri Kelantan dan Terengganu. Beliau mula semakin popular bila PAS menang besar kat Kelantan dalam PRU-1959. Perkara ni dah buktikan kemampuan Asri dalam dunia politik (khususnya dalam PAS).
Ketika kepimpinan PAS diberikan kepada Dr Burhanuddin al-Helmy (Presiden) dan Prof Zulkifli Muhammad (Timbalan Presiden), Asri dilantik sebagai Naib Presiden. Tapi pada tahun 1964, Dr Burhanuddin dah ditahan dalam ISA. Jadinya, jawatan Presiden PAS dipangku oleh Prof Zulkifli.
“Nyatalah peristiwa selepas Pilihan Raya 1964 itu amat mengusai jiwa dan perasaan saya. Dr Burhanuddin pula telah ditahan di bawah ISA. Jadi yang sepatutnya memangku kerja yang Dipertua Agung (Presiden) ialah timbalannya iaitu Ustaz Zulkifli Muhammad, sedang Ustaz Zulkifli pula hanya beberapa hari sahaja selepas Pilihan Raya Umum 1964 meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang.” – Memoir Politik Asri.
Jadinya kalau ikut susunan, Asri lah orang yang paling layak memangku jawatan Presiden PAS. Maka bila Dr Burhanuddin meninggal dunia pada tahun 1969, Asri secara automatik dilantik menjadi Presiden PAS. Dalam waktu sama, Asri juga jadi Menteri Besar Kelantan dari tahun 1964 sampai 1972.
Mempelawa Nik Aziz (allahyarham) bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1964
Siapa tak kenal dengan tokoh PAS – Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (allahyarham) yang pernah menjadi Mursyidul Am PAS. Perwatakannyanya yang sederhana dan zuhud dah menjadi insan ini sebagai seorang yang sangat istimewa. Tapi kalau kita nak tahu, Dato’ Asri juga mainkan peranan besar dalam memulakan karier politik Nik Aziz.
Pada tahun 1967, wakil rakyat Kelantan Hilir – Hj Ahmad Abdullah dah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Jadinya, pilihan raya kecil kena diadakan dan PAS mula cari calon yang sesuai. Hasil perbincangan Asri Muda dengan barisan tertinggi kepimpinan PAS, akhirnya pilih Nik Aziz sebagai calon yang paling sesuai.
“…kata sepakat telah diambil bagi mempelawa Ustaz Nik Aziz Nik Mat untuk menjadi calon. Beliau lulus Sarjana Muda dari al-Ulum, India dan menyambung pelajaran ke Universiti Azhar dengan mendapat Ijazah Sarjana…Ustaz Abdul Nik Aziz mencapai kemenangan dengan cemerlang.” – Memoir Politik Asri.
Membuka jalan perpaduan antara PAS dan Perikatan
Bagaimanapun, keadaan dan kestabilan negara masa tu masih lagi belum capai tahap yang memuaskan. Sebabnya, unsur- unsur perkauman mula bangkit menjelang PRU-1969. Kemuncaknya berlakulah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Makanya, keperluan untuk parti-parti Melayu bersatu dilihat perlu untuk mengukuhkan kedudukan negara masa tu. Jadinya, pada tahun 1972, Tun Abdul Razak (Perdana Menteri) dah cadangkan supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan Perikatan dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Sementara itu, Asri pun suarakan perkara sama kat Mesyuarat Agung PAS pada tahun yang sama. Hal ni jadi mungkin sebab Asri masa tu juga masih lagi dilihat sebagai seorang pemimpin nasionalis Melayu.
“Semenjak diisytiharkan darurat, pejabat Tun Razak yang dilantik sebagai Pengerusi MAGERAN diletakkan di bangunan Parlimen. Segala urusan MAGERAN juga berpejabat di bangunan Parlimen. Pertemuan saya dengan Tun Razak di pejabatnya, bagi saya, menjadi titik tolak dalam perkembangan baru politik Malaysia.” – Memoir Politik Asri.
Antara sebab kenapa kerajaan campuran ni dicadangkan adalah:
- Untuk kuatkan balik perpaduan Melayu-Islam kat negara ni selepas peristiwa 13 Mei 1969.
- Perpaduan rakyat perlu untuk berdepan dengan komunis, khususnya bila Amerika Syarikat kalah kat Vietnam.
- Membina bangsa Malaysia dengan cara hidup Islam.
- Berlaku perpecahan dalam GERAKAN dan DAP yang kemudiannya jadikan MCA kuat dan UMNO kena satukan orang Melayu termasuk yang kat luar Perikatan untuk mengimbangi MCA.
Jadinya, cadangan untuk kerjasama antara Perikatan dan PAS ni pun dimulakan. Tapi ada juga pihak PAS yang tak setuju dengan cadangan ni.
“Telah sekian lama kita marah kepada Perikatan kerana merugikan perjuangan Islam dan bangsa Melayu, sekarang hendak berunding pula.” – Wakil PAS Kuala Langat, dipetik dari PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982.
Walaupun ada bantahan, tapi tak kurang juga yang bagi sokongan. Akhirnya, cadangan kerajaan campuran ni dipersetujui dan diluluskan.
Asri Muda letakkan jawatan sebagai MB Kelantan dan dilantik jadi Menteri Kabinet
Akhirnya, pada 1 Januari 1973 kerajaan campuran Perikatan-PAS pun terbentuk. Perjanjian agihan jawatan pun dibuat di antara Perikatan dan PAS.
“PAS akan diberikan sebuah kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas, di mana menteri PAS ini akan turut dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia;
bahawa jawatan-jawatan Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik dan sebagainya bolehlah dipenuhi setelah Menteri PAS ini berunding dan mendapat persetujuan Perdana Menteri…” – Dipetik dari UM Students’ Repository.
Jadinya, Asri dah dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas pada 7 Januari 1973, dengan menyerahkan jawatan MB Kelantan kepada Ishak Lotfi Omar. Manakala, Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Agung PAS) dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan.
Hassan Adli (Timbalan Presiden PAS) pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat. Yusuf Rawa (seterusnya Mursyidul Am PAS), juga dilantik dalam kerajaan iaitu sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama.
Bagi Asri, banyak kesan positif, khususnya untuk Islam dicapai dari pembentukan kerajaan campuran ni. Antaranya…
- Ramai pegawai-pegawai agama dilantik bertugas di tanah rancangan Felda.
- Guru-guru agama kat sekolah kerajaan bertambah.
- Kedudukan Mahkamah Syariah diselaraskan di seluruh negara.
- Jabatan Agama Wilayah Persekutuan diwujudkan.
“Kerajaan campuran PAS-Perikatan…telah memberikan suatu sumbangan yang amat tinggi nilainya dari segi hakikat perpaduan dan keharmonian umat. Simpang-siur pertarungan politik di kalangan bangsa Melayu telah reda, malah pemerintah mempunyai kesempatan yang cukup selesa untuk merancang dan membangunkan negara.” – Memoir Politik Asri.
Selain itu, kerjasama Perikatan-PAS ini juga dah membentuk satu pakatan baru yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Dikatakan, Dato’ Asri lah orang yang bertanggungjawab bagi nama ni.
Krisis Menteri Besar Kelantan dan bermulanya ketegangan hubungan PAS-UMNO
Walaupun PAS dan UMNO dah adakan kerjasama, tapi masih ada lagi rasa tak puas hati. Macam isu agihan jawatan dan sebagainya. Pasca PRU-1974 menjadi antara titik mula keretakan yang lebih besar di antara UMNO dan PAS.
Hal ni berpunca dari dua nama yang dicadangkan sebagai MB Kelantan yang baru. Mereka adalah Dato’ Mohd Nasir dan Wan Ismail Ibrahim. Mereka berdua ni ahli PAS, tapi berbeza sokongan. Nama Mohd Nasir dicadangkan oleh UMNO, manakala Wan Ismail pulak dicadangkan oleh PAS.
Dato’ Asri pula masa tu terima cadangan UMNO dan pilih Mohd Nasir sebagai MB Kelantan yang baru, manakala Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan MB. Jadinya, bertambahlah lagi rasa tak puas hati PAS Kelantan dengan UMNO.
Disebabkan tekanan-tekanan ini, Mohd Nasir akhirnya ambil keputusan untuk letak jawatan secara rasmi pada 31 Ogos 1977. Tapi tiba-tiba, Mohd Nasir tak lepaskan jawatan pada tarikh yang dijanjikan tu, disebabkan ada campur tangan UMNO. Jadinya, PAS ambil tindakan drastik dengan pecat Mohd Nasir dan undi tak percaya pun dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Hasilnya, Mohd Nasir tersingkir dari jawatan MB Kelantan.
Akibat dari peristiwa itu, dah berlaku demonstrasi dan rusuhan kat Kota Bharu. Dikatakan Ibrahim Ali (sekarang Presiden PERKASA) dah ketuai satu gerakan yang digelar sebagai ‘Barisan Bertindak Rakyat Kelantan’. Kerajaan lepas tu keluarkan perintah berkurung kat Kelantan dan ada cadangan supaya Kelantan diisytiharkan darurat. Jadinya, bermulalah ketegangan antara UMNO dan PAS.
UMNO juga masa tu dah ugut PAS supaya pecat semua orangnya yang bantah cadangan darurat. Tapi PAS tak kisah dan buat tindakan tegas dengan pecat Dato’ Hassan Adli (Timbalan Presiden PAS) sebab sokong cadangan darurat. Akhirnya, PAS disingkirkan dari BN dan jadi parti pembangkang balik.
Datangnya pengaruh Revolusi Iran dalam PAS dan berundurnya Asri dari PAS
Lepas PAS tersingkir dari BN, pengaruh Asri dalam PAS pun mula berkurang. Hal ni ditambah lagi bila PAS kalah kat Kelantan dalam PRU-1978. Ahli-ahli PAS terutamanya Dewan Pemuda mula mempersoalkan kepimpinan Asri.
“… Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepemimpinan parti dilakukan secara syura dan ulama diberikan kedudukan yang lebih strategik. Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd Asri yang dilihat mengamalkan ‘demokrasi terpimpin’ dalam kepemimpinannya.” – Dipetik dari Harakah Daily.
Kemuncaknya, keadaan jadi semakin tegang bila Pemuda PAS bertindak mengadakan Muktamar Tahunan PAS lebih awal dari tarikh yang ditetapkan, sebab nak pulaukan Asri.
“Dewan Pemuda PAS telah memutuskan untuk mengadakan Muktamar Tahunan Ke-23 berasingan dengan Muktamar PAS Pusat. Datuk Mohd Asri menyifatkan tindakan Dewan Pemuda PAS sebagai ‘pengisytiharan perang’ terhadap beliau.” – Dipetik dari Harakah Daily.
Bagi Asri, antara punca perkara ini jadi adalah bila Dewan Pemuda PAS mula terpengaruh dengan Revolusi Iran 1979. Bagi Asri lagi, apa yang jadi kat Iran tak sesuai untuk budaya dan suasana Malaysia.
Hal ni ditambah lagi bila Asri bagi ucapan kat Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada pagi 23 Oktober 1982. Menurut Asri, muktamar tu dicemari dengan slogan-slogan pro-Revolusi Iran dan gambar-gambar tokoh Revolusi Iran. Ucapannya juga diganggu…
“Malah pekikan ‘Marakbar Asri’ berselang-seli dengan ucapan kalimah suci ‘Allahhuakbar’. Ketika itu banyak orang yang tahu makna ‘Marakbar Asri’ yang bererti ‘Mampuslah Asri’ iaitu pekikan yang sering diucap oleh Iran dengan kalimah ‘Marakbar Amerika’. Saya mencatatkan peristiwa ini hanyalah sekadar untuk kenangan sejarah bagi generasi akan datang.” – Memoir Politik Asri.
Kecewa dengan perkara tu, petang tu juga Asri bagi surat letak jawatan sebagai Presiden PAS. Bila surat ni dibaca oleh Setiausaha Agung PAS, ia disambut dengan laungan takbir oleh para perwakilan. Jawatankuasa Kerja Agung PAS masa tu jugak buat keputusan untuk terima peletakan jawatan Asri. Maka, tamatlah perjuangan politik Asri dalam PAS yang dah dipimpinnya sejak tahun 1965.
Asri Muda – “Kita tidak boleh menipu sejarah, tetapi menjadi orang yang jujur kepada sejarah”
Sejarah yang dibina oleh Asri Muda sangat menarik sekali untuk dikaji. Masakan tidak, ketika diusia 40-an Asri dah pun memimpin sebuah parti politik Melayu-Islam kedua terbesar di negara ini. Hal ini ditambahkan lagi apabila beliau sendiri mewarisi kepimpinan dua tokoh penting PAS – Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad.
“Insan ini tetap berjasa kepada PAS, walau hayatnya tidak habis bersama harakatul ummah ini… Beliau terlibat menyuburkan pendidikan dalam PAS semasa menjadi Menteri Besar Kelantan, ramai pelajar Kelantan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.” – Dipetik dari Harakah Daily.
Selepas tersingkir dari PAS, Asri kemudiannya membuat parti baru yang dikenali sebagai Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Tapi parti ini tak bertahan lama. Akhirnya pada tahun 1988, Asri ambil keputusan untuk menyertai UMNO. Selain itu, Asri juga dilantik sebagai Karyawan Tamu di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM.
Pada 28 Ogos 1992 Asri Muda menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat sakit jantung. Asri Muda adalah tokoh politik yang penuh warna warni dan pelbagai perkara kita boleh belajar darinya. Asri juga membuktikan kepada kita bahawa dua parti politik Melayu (PAS dan UMNO) boleh duduk semeja dan bekerjasama.
“Kita tidak boleh menipu sejarah, tetapi menjadi orang yang jujur kepada sejarah” – Dato’ Mohd Asri Muda.
[Artikel ini banyak merujuk buku: Memoir Politik Asri (tulisan Dato’ Asri Muda) dan PAS dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982 (tulisan Kamarul Zaman Haji Yusoff).]
- 1.5KShare sekarang!
- Email24
- Facebook1.5K
- Share