Daripada pembangunan bakat AI kepada penyelesaian buatan malaysia: Pepper Labs memperkukuh AI berdaulat untuk sektor awam dan PMKS

Pepper Labs hari ini mengumumkan pengembangan strategiknya ke bidang pembangunan penyelesaian AI, berteraskan rekod pencapaian dalam pembangunan bakat dan pemerkasaan komuniti. Langkah ini bertujuan mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) gunaan buatan Malaysia untuk sektor awam, perusahaan dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada teknologi.

Pengembangan ini akan memberi tumpuan kepada dua bidang keutamaan, iaitu penyelesaian Agentic AI untuk transformasi sektor awam dan platform AI berdaulat yang dibangunkan secara khusus berdasarkan keperluan data, aliran kerja, bahasa dan tadbir urus organisasi di Malaysia.

Pendekatan Pepper Labs menggabungkan pembangunan bakat AI dengan pelaksanaan teknologi dalam situasi sebenar. Pendekatan ini membolehkan syarikat menyokong organisasi sepanjang perjalanan penerimagunaan AI, bermula daripada mengenal pasti kes penggunaan bernilai tinggi dan mempersiapkan tenaga kerja, sehinggalah membangunkan, melaksanakan dan memperluas penggunaan penyelesaian AI yang sedia digunakan dalam operasi sebenar.

Kerjasama Pepper Labs dengan peneraju teknologi global termasuk Microsoft, Amazon Web Services (AWS) dan Google turut memperkukuh akses kepada teknologi AI terkini, infrastruktur awan, kepakaran teknikal serta kandungan pembelajaran yang diiktiraf industri.

Peserta, rakan kongsi dan tetamu di AI Ready Malaysia Summit

Melalui inisiatif utama termasuk AI Ready Malaysia, AI for My Future Malaysia, Google Gemilang serta program yang dilaksanakan menerusi rangkaian NADI di seluruh negara di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), termasuk kerjasama dengan AWS, Pepper Labs telah menyokong perjalanan pembelajaran AI lebih daripada 400,000 peserta di seluruh Malaysia. Berasaskan capaian ini, syarikat menghubungkan pembangunan bakat AI yang inklusif dengan penerimagunaan teknologi secara praktikal dalam kalangan komuniti, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor awam.

“Malaysia bukan sekadar memerlukan lebih ramai pengguna kecerdasan buatan. Kita juga perlu membangunkan keupayaan tempatan untuk mereka bentuk, membina, mentadbir dan memperluas penyelesaian AI yang memenuhi keperluan institusi dan ekonomi negara sendiri,” kata Thanaselan Rajendran, Pengarah Urusan Pepper Labs.

“Pengembangan kami ke bidang pembangunan penyelesaian AI mencerminkan komitmen Pepper Labs untuk membangunkan teknologi di Malaysia, oleh rakyat Malaysia. Kami membangunkan sistem AI praktikal yang memahami aliran kerja tempatan, beroperasi mengikut keperluan penempatan dan penyimpanan data yang bersesuaian, serta menghasilkan nilai yang boleh diukur untuk penjawat awam, perniagaan dan komuniti.”

Peralihan daripada pembelajaran kepada pelaksanaan ini turut dicerminkan melalui usaha Pepper Labs dalam membangunkan penyelesaian Agentic AI untuk kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun.

Pepper Labs telah membangunkan portfolio sektor awam yang merangkumi lebih daripada 10 akaun kerajaan aktif dan lebih 30 projek bukti konsep (Proof of Concept, POC) AI yang sedang berjalan. Keupayaannya merangkumi pelaksanaan integrasi Model Context Protocol (MCP) serta sistem Penjanaan Terimbuh Pengambilan (Retrieval-Augmented Generation, RAG) yang disesuaikan dengan keperluan kerajaan bagi menghubungkan ejen AI dengan data institusi, dokumen dan aliran kerja yang dipercayai.

Portfolio penyelesaiannya yang semakin berkembang merangkumi pengurusan soalan Parlimen, penyelidikan dasar, kecerdasan dokumen, pemantauan media, pengurusan mesyuarat, kaunter perkhidmatan awam, penyediaan laporan dan pencarian maklumat berasaskan pengetahuan organisasi.

Penyelesaian ini boleh dikonfigurasikan sebagai satu rangkaian ejen AI yang saling bersepadu, termasuk AI Pintar Dasar, AI Pintar Dokumen, AI Pintar Media, AI Pintar Mesyuarat dan AI Pintar Parlimen, dalam satu persekitaran AI bersepadu. Setiap ejen menangani aliran kerja kerajaan yang khusus, sambil berkongsi pengetahuan organisasi yang bersesuaian dan mematuhi kawalan tadbir urus yang ditetapkan.

Seiring dengan usaha dalam sektor awam, Pepper Labs turut membangunkan penyelesaian AI berdaulat secara khusus untuk organisasi yang memerlukan kawalan lebih besar terhadap data, pengetahuan dan aliran kerja AI mereka.

Setiap penyelesaian boleh disesuaikan mengikut pengguna, persekitaran operasi dan hasil yang ingin dicapai oleh organisasi. Pendekatan ini meletakkan AI sebagai keupayaan organisasi yang ditadbir secara sistematik, bukannya sekadar eksperimen teknologi yang berdiri sendiri.

Pendekatan yang sama menjadi asas kepada Bisnes.AI, sebuah platform AI berdaulat buatan tempatan yang direka khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Dibangunkan di Malaysia oleh pasukan pembangunan tempatan, Bisnes.AI direka untuk menyediakan akses praktikal kepada teknologi AI bagi perniagaan tempatan, sambil menangani isu utama berkaitan penempatan data, bahasa, kerelevanan dan kemudahan penerimagunaan.

Bisnes.AI dibangunkan berasaskan pengalaman Pepper Labs selama sedekad dalam berkembang daripada sebuah perusahaan mikro kepada pembangun penyelesaian AI, dengan mengambil kira pengalaman dan keperluan rangkaian usahawan Dapur Digital yang 

luas. Platform ini kini sedang diintegrasikan ke setiap lokasi Dapur Digital sebagai tulang belakang AI untuk menyokong perusahaan mikro dan kecil melalui kecerdasan perniagaan, penghasilan kandungan, pemprosesan dokumen dan pembuatan keputusan.

Menyedari bahawa bahasa masih menjadi antara halangan utama kepada penerimagunaan AI, Bisnes.AI direka untuk menyokong interaksi berbilang bahasa, dengan penekanan khusus terhadap Bahasa Malaysia dan bahasa harian yang digunakan oleh usahawan tempatan.

Pengguna boleh mengemukakan soalan dalam bentuk perbualan tanpa perlu mempelajari arahan teknikal atau teknik penulisan prompt yang khusus. Pendekatan ini menyokong matlamat Pepper Labs untuk menjadikan AI lebih mudah diakses oleh perniagaan mikro, usahawan komuniti dan PMKS yang mungkin baru pertama kali menggunakan teknologi AI termaju.

Peserta mengikuti sesi AI Frontiers Keynote: The Next Frontier of Artificial Intelligence in Malaysia. 

Bisnes.AI menggabungkan beberapa ejen AI khusus dalam satu platform:

  • Rakan Jualan membantu mengurus pertanyaan produk, berinteraksi dengan bakal pelanggan dan memberikan maklum balas kepada pelanggan, termasuk di luar waktu operasi biasa.
  • Rakan Operasi membantu perniagaan memahami inventori, kos, maklumat operasi dan tugasan pentadbiran berulang.
  • Rakan Kewangan menyediakan ringkasan kewangan yang mudah difahami serta analisis prestasi perniagaan bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih baik.
  • Rakan Pematuhan membantu usahawan memahami keperluan seperti e-Invois, pembaharuan pendaftaran syarikat dan kewajipan perniagaan lain yang berkaitan.

Ejen-ejen ini direka untuk berfungsi secara bersama sebagai satu pasukan sokongan digital bersepadu. Pepper Labs turut merancang untuk memperkenalkan ejen tambahan yang dikhususkan mengikut industri dan aliran kerja apabila platform ini terus berkembang.

Pembangunan bakat akan terus menjadi tonggak utama Pepper Labs, dengan program latihan dan perantisan semakin dihubungkan secara langsung kepada pembangunan serta penerimagunaan penyelesaian AI sebenar.

Menerusi program Perantisan AI yang baru selesai dilaksanakan bersama Khazanah, Pepper Labs telah membangunkan bakat baharu Malaysia melalui pembelajaran praktikal dan pelaksanaan berasaskan industri. Program ini menghubungkan pembelajaran dengan keperluan perniagaan melalui projek kemuncak (capstone) yang diterima pakai oleh PMKS yang mengambil bahagian.

Pengembangan Pepper Labs mencerminkan aspirasi yang lebih luas untuk memperkukuh keupayaan Malaysia dalam membangunkan dan memiliki penyelesaian AI gunaan.

Syarikat akan terus bekerjasama dengan institusi kerajaan, rakan teknologi, organisasi industri, universiti dan bakat AI tempatan bagi membangunkan penyelesaian untuk pentadbiran awam, pelaksanaan dasar, produktiviti perusahaan dan pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Pembangunan bakat kekal sebagai teras kepada usaha kami, manakala pembangunan penyelesaian AI memperluas impak yang dapat kami hasilkan melalui bakat tersebut,” tambah Thanaselan.

“Peranan kami adalah untuk menjadi rakan transformasi AI Malaysia yang mampu menggabungkan manusia, proses dan platform, daripada membangunkan bakat hinggalah membina penyelesaian yang akan digunakan oleh bakat tersebut.”