- 445Share sekarang!
- Email20
- Facebook425
- Share
Punyalah banyak cerita sebelum ni kata Anwar tak sabar ambil alih jadi PM-8, dan cerita mengenai Mahathir macam tak nak lepas jawatan dan ada juga ura-ura yang kata Azmin macam nak ambil alih.
Tup-tup – Muhyiddin akhirnya yang diperkenankan untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Dan masa ni juga kita boleh nampak yang rakyat terbahagi kepada dua – yang ok dengan pelantikan Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Ke-8, dan yang tak setuju disebabkan ia adalah lantikan dari “kerajaan pintu belakang” selepas pergolakan politik yang terjadi sepanjang minggu lepas, sampaikan pelbagai teori yang muncul.
Ni menjadi persoalan sebab nama Muhyiddin Yassin bukan saja tak pernah disebut-sebut sebagai Perdana Menteri, malah juga agak low profile berbanding menteri-menteri yang lain. Tapi sebenarnya…
1. Karier politik yang cepat meningkat di Johor dan berjaya menjadikannya negeri industri
Kerjaya politik Muhyiddin Yassin sebenarnya bermula di Johor. Dia merupakan Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Bahagian Latihan dan Biasiswa) pada tahun 1970. Dan pada tahun 1974, dia menjadi Penolong Pegawai Daerah Muar.
Dia pada mulanya berkecimpung dalam dunia korporat di Johor dengan bertugas di beberapa anak syarikat pelaburan milik negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ). Bukan setakat tu je, dia juga telah pegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd, Sri Saujana Berhad, Sergam Bhd dan Equity Mal (Johor) Sdn. Bhd. Ini semua berlaku antara tahun 1974 hingga 1978.
Dan kariernya di dalam politik mula meningkat pada tahun 1976, apabila menjadi Ketua Pemuda UMNO bahagian Pagoh dan kemudiannya menjadi Ketua Pemuda UMNO Johor sehingga 1987. Karier politiknya dikatakan agak cepat meningkat sehingga menjadi Ketua UMNO Johor dan akhirnya dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-13 pada tahun 1986 (PRU-7). Dan terus mengekalkan jawatan itu pada tahun 1990 (PRU-8).
Pengalamannya menjadi MB Johor ni juga dikatakan antara kekuatannya untuk menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri ke-8. Menurut Dr Mohammed Fauzi Othman, Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi MB Johor telah mengubah negeri itu kepada negeri industri.
Contohnya, Perbadanan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) telah ditukar menjadi Johor Corporation (JCorp). Ia merupakan perbadanan ekonomi antara yang tersohor di Malaysia. Bukti perubahan dilakukan semakin jelas apabila Johor menjadi penyumbang ketiga terbesar KDNK negara ketika itu.
2. Pemimpin yang bertanggungjawab mansuhkan PPSMI yang dikatakan legasi Mahathir
Seperti yang kita tahu, Muhyiddin Yassin pernah memegang beberapa jawatan penting negara sama ada dalam Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH). Memang banyak dia pegang, kalau tak percaya tengok senarai bawah ni:
- Menteri Belia dan Sukan (1995-1999) – BN
- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999-2004) – BN
- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2008) – BN
- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008-2009) – BN
- Timbalan Perdana Menteri (2009-2015) – BN
- Menteri Pelajaran (2009-2015) – BN
- Menteri Dalam Negeri (Mei 2018-Febuari 2020) – PH
Antara jawatan penting yang dipegang adalah Menteri Pelajaran yang merupakan jawatan ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri. Macam yang tersenarai di atas, dia memegang jawatan ini dari tahun 2009 hingga 2013. Mungkin ramai yang tak tahu, ketika memegang portfolio ini, dia telah pun memperkenalkan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Sekaligus memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Macam yang kita tahu, PPSMI ini adalah idea Tun Mahathir. Dia berpendapat bahawa Bahasa Inggeris penting untuk subjek Sains dan Matematik kerana bahasa antarabangsa itu diperlukan untuk pengurusan dan perindustrian. Selain tu, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang bukan dalam Bahasa Melayu.
PPSMI telah diperkenalkan pada tahun 2003 di peringkat sekolah rendah dan menengah. Dan ia digantikan dengan MBMMBI selepas kabinet memutuskan untuk mansuhkan PPSMI pada tahun 2009. Sekalipun PPSMI dimansuhkan, Muhyiddin Yassin ketika itu memberi jaminan bahawa kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris tidak akan diketepikan.
Dasar ni diperkenalkan kerana mahu mengelakkan kucar kacir kepada sistem pendidikan. Ini kerana jika ibu bapa diberi kebebasan untuk memililh bahasa pengantar bagi anak-anak untuk mempelajari sains dan matematik, pastinya mengelirukan para guru untuk mengajar.
“Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.” – Muhyiddin Yassin, petikan dari mStar
3. Pemecatannya kerana mempersoalkan dana 1MDB
Kalau korang lupa, pada tahun 2015, Muhyiddin Yassin membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dana 1MDB. Malah, Muhyiddin pada masa tu juga berkali-kali menegaskan yang dia langsung tak takut kalau dia dipecat, disebabkan prinsipnya yang tak bersetuju dengan isu 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib.
Kelakuan Muhyiddin tak disenangi oleh Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri pada masa tu. Mana taknya, 1MDB tu sendiri merupakan projeknya. Ini membawa kepada pemecatan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan diganti oleh Zahid Hamidi tak lama lepas tu. Muhyiddin juga merupakan antara nama lain selain Mukhriz Mahathir, Gani Patail, dan Shafie Apdal.
Muhyiddin kemudiannya dalam satu wawancara dengan Malaysia Kini pada tahun 2016, di mana wartawan Malaysia Kini pernah bertanya kalau Muhyiddin sudah mengalah selepas bersumpah dengan nama Allah yang dia tak nak jadi perdana menteri.
“Saya seorang Islam dan saya percaya segala-galanya ketentuan Allah. Maknanya walaupun kita ada hasrat dan niat dan ada matlamat, segalanya ketentuan Allah, tentukan termasuklah soal masa depan saya, soal apa yang dah berlaku pada saya.”- Muhyiddin Yassin, petikan dari Malaysia Kini
Jadi kesemua persoalannya ni membawa kepada persoalan yang lain, kenapa Muhyiddin memilih untuk bekerjasama dengan ahli politik yang masih ada pertuduhan di mahkamah, termasuk bekas ketua yang memecatnya, sedangkan dia jelas menunjukkan prinsipnya untuk tak berdiam diri dengan penipuan yang dilakukan oleh Najib. Itu semua kita kena tunggu dah lihat.
4. Sewaktu menerajui KDN, saling membantah pendirian Peguam Negara
Sewaktu PH menerajui kerajaan, Muhyiddin Yassin telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri. Pengalamannya terserlah apabila berlaku isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 Subang Jaya. Ketika in berlaku sedikit kekeliruan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy menyalahkan pihak polis yang dikatakan lambat bertindak. Ditambah pula, dengan kenyataan dari negara India yang mendakwa Malaysia bertindak ganas.
Isu ni hampir menjadi isu perkauman. Semua kekeliruan ni ditepis oleh Muhyiddin Yassin apabila dia sendiri membentangkan kronologi sebenar yang membuktikan kecekapan pihak polis serta dalang kepada isu ini adalah peguam syarikat pemaju. Ini kerana tanah kuil tu adalah milik syarikat pemaju tersebut.
Selain itu, ada antara beberapa isu yang timbul menyebabkan percanggahan. Antaranya adalah isu di mana Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas telah menggugurkan kes tangkapan beberapa individu termasuk ADUN yang terkait dengan LTTE. Namun, hal ni dah dibantah oleh Muhyiddin Yassin terhadap tindakan peguam negara itu.
“Saya ingin menegaskan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa menteri dalam negeri yang diperuntukkan bawah undang-undang.
Peguam negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa menteri dalam negeri.” – Muhyiddin Yassin, petikan dari FMT
Dia juga mengatakan bahawa selain Malaysia, LTTE masih kekal sebagai kumpulan pengganas di India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Muhyiddin mempunyai pendirian politik tersendiri mengikut tafsiran masing-masing
Selepas mendengar ucapan khas bertajuk Rayuan Kepada Rakyat Malaysia dibentangkan oleh Muhyiddin Yassin, dia menyeru agar rakyat Malaysia memberinya peluang dan berjanji akan memilih jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.
Mungkin ada yang memanggilnya pengkhianat (ada yang berpendapat ia seni politik) kerana terbukti tidak setia kepada pemimpin lain. Sama ada zaman Pak Lah (ditulis sendiri dalam bukunya), Najib mahupun Mahathir. Namun, Yang di-Pertuan Agong dah pun membuat keputusan yang mengambil kira dari segenap sudut.
Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia boleh bersetuju atau pun tak bersetuju. Tetapi, semua tindakan mestilah tidak mengganggu keamanan dan keharmonian negara ini.
- 445Share sekarang!
- Email20
- Facebook425
- Share