Dah tahu rugi, kenapa Khazanah melabur dalam FashionValet? Ni sebabnya

Baru baru ni, usahawan Vivy Yusof dan suaminya Fadzaruddin Shah Anuar masuk berita lagi, tapi bukan sebab jual stapler harga RM80. Tu cerita lama.

Bangkit semula baru-baru ni isu syarikat membeli-belah e-dagang yang diasaskan diorang – FashionValet – sebab dua badan berkait kerajaan – Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)rugi RM43.9 juta lepas jual pegangan diorang dalam syarikat ni.

Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah Anuar. Imej dari Voket.

Di punya kecoh sampaikan pihak kerajaan dan pembangkang bersatu hati bahaskan isu ni. Netizen apatah lagi. Mana taknya, kalau korang simpan RM10,000 sebulan pun, belum tentu bila cucu kepada cucu korang dah tua pun boleh ada RM43.9 juta dalam akaun.

“Kerugian yang ditanggung daripada penjualan kepentingan adalah kecil berbanding pendapatan keseluruhan Khazanah dan PNB bagi tahun itu. Penjualan itu mewakili langkah bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB, memindahkan FashionValet kepada pelabur strategik yang berkedudukan untuk memenuhi keperluan kewangan syarikat dan menyokong pertumbuhan perniagaan,”

– kenyataan dari Kementerian Kewangan, seperti dilaporkan Astro Awani.

Lagi pulak banyak yang mencurigakan tentang isu ni. Antaranya… yelah, sebab ada kaitan dengan Vivy Yusof. Lagi satu isu yang sering diperkatakan ialah masa Khazanah dan PNB laburkan  RM47 juta kat syarikat diorang ni (2018), FashionValet dah pun rugi lima tahun berturut-turut.

Mungkin korang pun macam kitorang jugak bila dengar je pasal isu ni, tertanya-tanya tentang pilihan Khazanah yang…

Dah tahu syarikat tu rugi, kenapa nak laburkan duit jugak?

Khazanah Nasional. Imej dari Khazanah.

Untuk yang baru pertama kali ambil kisah tentang Khazanah, Khazanah ni dana kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) bagi Malaysia. Fungsinya, dalam kata mudah, ialah uruskan dan kembangkan duit kerajaan Malaysia.

“Khazanah Nasional Berhad adalah dana kekayaan berdaulat Malaysia. Diperbadankan sebagai syarikat awam terhad dengan saham pada 3 September 1993 dan mula beroperasi pada tahun 1994, Khazanah dimiliki [hampir] sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan)…”

– petikan dari Khazanah Nasional.

Secara ringkas, Khazanah akan guna duit kerajaan untuk melabur dalam (baca: beli saham) syarikat-syarikat dalam dan luar negara. Antara lainnya, Khazanah akan buat duit dari dividen dan pengagihan bila syarikat-syarikat ni untung, dan juga bila nilai saham diorang meningkat.

Ringkasan strategi Khazanah.

Jadi secara logiknya, kalau Khazanah nak buat duit, mesti diorang akan beli saham dari syarikat yang berpotensi untung, atau sekurang-kurangnya sihat dari segi kewangan kan? Tak semestinya. 

Satu contoh yang sering disebut adalah Malaysia Airlines. Sejak syarikat penerbangan ni diswastakan, ia menempuh onak ranjau yang berduri, dan pada satu tahap nilai hutang-piutang dia mencecah RM8 bilion. Khazanah, yang ada pegangan dalam Malaysia Airlines sejurus lepas ditubuhkan (dalam 1994 camtu), bertindak beli semua saham Malaysia Airlines sekitar 2014, dan memiliki Malaysia Airlines sampai sekarang.

Contoh yang lain adalah Silterra, sebuah syarikat semikonduktor tempatan yang pernah dilihat sebagai gajah putih negara oleh sesetengah pihak. Mula beroperasi sejak 2001, sebuah laporan dari 2021 menyatakan yang Silterra hanya untung bagi empat dari sembilan belas tahun ia beroperasi. Khazanah akhirnya menjual syarikat ni kepada sebuah syarikat tempatan (Dagang NeXchange Bhd) dan syarikat dari China (CGP Fund) pada tahun 2021.

Ringkasan isu Malaysia Airlines dan SilTerra.

Bagi sesetengah orang, dua contoh ni termasuk FashionValet mungkin menggambarkan ada yang tak kena dengan Khazanah, tapi kita kena juga sedar yang…

Sebab Khazanah milik kerajaan, tujuan pelaburannya bukan untung duit semata-mata

Perdana menteri merupakan pengerusi Khazanah. Imej dari Berita Harian.

Kalau kita tengok Khazanah Nasional ni sebagai syarikat pelaburan biasa, memang banyak keputusan diorang yang macam pelik je. Tapi kalau kita lihat polisi pelaburan Khazanah, diorang diberi amanah untuk ‘membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia’ menerusi dua objektif pelaburan: komersial dan strategik.

Pelaburan komersial lebih kurang macam pelaburan yang selalu orang sembangkan, tapi untuk pelaburan strategik, Khazanah akan…

“Melaksanakan pelaburan strategik dengan manfaat ekonomi jangka panjang untuk Malaysia atau rakyat Malaysia, termasuk memegang aset strategik negara.”

– petikan dari Polisi Pelaburan Khazanah.

Dalam kata mudahnya, selain buat duit, Khazanah juga melabur untuk membangunkan atau ada pegangan dalam syarikat-syarikat yang penting untuk negara, atau berpotensi untuk memajukan negara.

Antara syarikat yang mendapat pelaburan Khazanah. Imej dari Khazanah.

Kalau dilihat dari segi ni, tak pelik untuk Khazanah ambil alih Malaysia Airlines walaupun rugi dan cuba berkali-kali untuk pulihkan syarikat tu, sebab kalau Malaysia Airlines gagal, sektor pengangkutan udara Malaysia akan sepenuhnya dimiliki swasta.

“Khazanah mungkin takkan dapat dividen besar (atau dapat dividen langsung) dari pemilikan Malaysia Aviation Group, tapi ia menjana pulangan yang lebih tersirat seperti membenarkan kerajaan mengekalkan sedikit kawalan dalam industri yang kritikal dan menghalang AirAsia dari mengawal pasaran sepenuhnya,”

– terjemahan petikan dari The Diplomat.

SilTerra pula ada kepentingannya sebagai satu-satunya penghasil wafer semikonduktor tempatan, dan jika dimanfaatkan sepenuhnya, berpotensi mengembangkan industri pembuatan tempatan. Sungguhpun SilTerra akhirnya dijual, keputusan tu mengambil masa yang panjang.

“Penjualan saham SilTerra… oleh Khazanah memberi kesan kepada kepentingan negara. Ia kerana SilTerra mempunyai banyak kelebihan dan merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kepakaran membuat wafer semikonduktor bertaraf dunia milik negara,”

– petikan dari Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2, dari laporan Bernama.

Jadi adakah FashionValet ni termasuk dalam pelaburan yang strategik?

Kedai fizikal Fashionvalet. Gambar oleh DrunkenJoe, dari Wikimedia Commons.

Secara teori, ya. Bila Khazanah dan PNB melabur dalam FashionValet pada tahun 2018, syarikat tu dijangka boleh mengembangkan sektor e-dagang Malaysia, sebab platform fesyen ni membawa lebih 400 jenama dan 15,000 produk.

Diorang jangka yang dengan dana, FashionValet mampu bawa masuk 60% pulangan setiap tahun. Pada masa tu juga, Khazanah dan PNB menyahut seruan kerajaan untuk sokong pembangunan e-wallet dan e-dagang kat Malaysia.

“Jadinya, Khazanah dan PNB melabur dalam FashionValet yang, pada masa tu, merupakan platform e-dagang fesyen yang berpotensi,”

– Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, diterjemah dari The Edge Malaysia.

Kalau dibandingkan dengan Malaysia Airlines dan SilTerra, FashionValet memang jauh lebih kecil dan boleh dikategorikan sebagai start-up. Namun bukan perkara yang luar biasa untuk Khazanah dan PNB melabur dalam start-up

Farm Fresh Bhd contohnya, merupakan antara start-up yang membawa pulangan kepada Khazanah setelah dilaburkan, dengan keuntungan 13 kali ganda berjumlah RM800 juta. Khazanah pun ada program di bawah Dana Impak diorang yang memang untuk pelaburan dalam start-up tempatan, dipanggil Future Malaysia Programme.

Namun begitu…

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga

Kalau Farm Fresh contoh pelaburan yang berjaya, FashionValet contoh sebaliknya. Namun lebih ramai orang sedar tentang isu FashionValet berbanding Farm Fresh.

Hasil siasatan dari isu kerugian FashionValet ni, Vivy Yusof dan suaminya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah, sebab diorang didakwa pindahkan RM8 juta dari duit pelaburan yang diorang dapat kepada 30 Maple Sdn Bhd (pemegang jenama dUCk) tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Sungguhpun perbicaraan baru nak bermula, kes pecah amanah ni sedikit sebanyak dah mencemarkan persepsi orang awam terhadap pelaburan Khazanah dalam start-up tempatan. Diharapkan jangan kerana isu FashionValet ni, start-up tempatan lain yang benar-benar layak dan berpotensi sukar dapat pelaburan di masa hadapan.