Dah kenapa banyak gambar AI Anwar Ibrahim kat FB ni??

Sekarang ni kan, kalau kita scroll media sosial je, mesti akan jumpa apa-apa kandungan yang dijana oleh kecerdasan buatan atau AI. Ramai dah guna untuk generate gambar profile lawa, buat assignment, edit gambar, tulis caption, sampai hasilkan video pelik-pelik yang lalu dekat Facebook, TikTok, atau WhatsApp family group.

Mungkin mak ayah korang sendiri pun pernah hantar video kucing menari, orang tangkap ular gergasi, atau “berita” yang nampak macam real padahal jelas sangat buatan AI.

Disebabkan kos sara hidup makin tinggi oyen terpaksa goreng mi kat pasar malam

Selain tu, korang sendiri mesti perasan makin banyak agensi dan kementerian mula guna imej janaan AI untuk poster, infografik, dan bahan kempen. Ada yang nampak elok, tapi ada juga yang jadi isu sebab tangan ada tujuh jari, teks tunggang-langgang, atau visual langsung tak masuk akal. Kalau korang jenis tengok TV pula, mesti nampak kebelakangan ini RTM pun macam gila-gila guna AI untuk buat efek dan video sampai orang persoalkan macam-macam.

Muka ‘tokoh’ pun dah macam villian

Masalahnya, kalau benda yang nampak jelas pelik macam tu pun masih dilepaskan, macam mana pula bila AI ni digunakan untuk topik lebih serius? Contohnya isu negara, pemimpin, ekonomi, atau pilihan raya. Bila AI boleh hasilkan gambar, suara, dan video yang nampak meyakinkan dalam masa singkat, ia boleh jadi alat untuk bentuk persepsi orang ramai.

Kat beberapa negara jiran kita, AI dah mula digunakan dalam kempen politik, propaganda digital, dan perang naratif di media sosial. Malaysia pun nampaknya macam sedang menuju ke arah sama. Persoalannya sekarang bukan sama ada AI akan masuk politik atau tak, tapi sejauh mana ia dah pun berada dalam ruang politik kita tanpa ramai sedar.

Dekat negara jiran, AI ni jadi alat propaganda untuk ubah persepsi masyarakat

Kalau tengok negara jiran kita Indonesia, penggunaan AI dalam politik dah nampak jelas masa pilihan raya presiden 2024. Untuk bahagian Indonesia ni, kitorang turut collab dan rujuk dapatan daripada kawan media kitorang, Alfons dari Tirto.id serta Arsito dari Suara yang sama-sama tengok macam mana AI digunakan masa kempen di sana.

Antara contoh paling terkenal ialah kempen Prabowo Subianto yang guna imej kartun comel atau “gemoy”. Pendek cerita, ia cubaan nak tukar imej beliau jadi lebih lembut, mesra, dan senang diterima especially oleh pengundi muda.

Kenapa perlu buat macam tu? Sebab Prabowo Subianto sebelum ni dikenali dengan imej tegas, keras, dan kontroversi hasil latar belakang tentera serta isu lama yang masih melekat dengan beliau . Jadi persona “gemoy” ni bantu alihkan perhatian orang ramai kepada versi yang lebih santai dan friendly.

Dan nampaknya strategi tu menjadi. Dalam pilihan raya presiden 2024, Prabowo Subianto menang terus dalam satu pusingan. Mestilah kemenangan tu datang daripada banyak faktor, tapi kempen digital yang kuat termasuk penggunaan meme, visual AI, dan branding “gemoy” memang antara benda yang bantu dia tarik perhatian ramai, terutama pengundi muda.

Sementara di Filipina pula, kitorang turut collab dengan John Hurt dari PressOne.ph untuk tengok macam mana AI digunakan dalam isu politik semasa di sana. Antara contoh yang menonjol ialah ketika bekas presiden Rodrigo Duterte ditahan susulan siasatan International Criminal Court (ICJ) berhubung kempen perang dadah beliau yang selama ini dikaitkan dengan ribuan kematian serta dakwaan pencabulan hak asasi manusia.

Contoh gamabar janaan AI di Filipina

Sama ada ia berkesan atau tidak, kesannya masih berjalan sebab perbicaraan dan pertarungan naratif di ruang digital pun masih ongoing. Tapi apa yang jelas, ikut pemerhatian rakan media kitorang kat sana, AI digunakan bukan sekadar suka-suka. Ia datang dengan tujuan jelas iaitu pertahan imej tokoh politik, ubah emosi penyokong, dan pengaruhi orang ramai.

Bila tengok contoh di Indonesia dan Filipina, kita boleh nampak penggunaan AI dalam politik serantau bukan benda rawak. Selalunya ada naratif tertentu, mesej konsisten, dan dalam banyak kes nampak macam sebahagian daripada kempen digital yang lebih tersusun.

Lagi-lagi dengan akses kepada AI sekarang yang sangat mudah. Taip je dekat ChatGPT, terus boleh hasilkan gambar, video, atau skrip dalam beberapa saat.

Smart kan?

Sebab tu kitorang pun buatlah sedikit research untuk tengok sejauh mana AI digunakan dalam politik tempatan. Dan apa yang kitorang jumpa… agak berbeza daripada jangkaan kitorang iaitu…..

Malaysia ada kempen guna janaan AI untuk politik, tapi belum tersusun

Bila kitorang mula kumpul data dari Januari hingga 9 April, kitorang buat pemantauan manual dekat beberapa platform media sosial dengan cari kandungan AI berkait politik Malaysia. Antara yang dicari termasuk gambar, video, lagu, atau visual berkait Anwar Ibrahim, kerajaan semasa, isu ekonomi, dasar kerajaan, serta naratif politik semasa yang jelas menunjukkan unsur janaan AI.

Bila tengok hasil kumpulan data itu, benda pertama yang terus nampak ialah Malaysia tak ikut corak Indonesia atau Filipina. Kat sana, AI nampak lebih tersusun sebagai alat kempen dengan mesej jelas dan imej yang konsisten. Tapi kat sini, penggunaan AI nampak lebih berselerak, datang daripada banyak pihak, dan bergerak ikut isu semasa.

Untuk dapatkan data ni, kitorang pantau secara manual kandungan AI merentas lima platform utama. Daripada keseluruhan posting, Facebook mendominasi dengan 61.8%, jauh mengatasi platform lain. Threads berada di tempat kedua dengan 13.2%, diikuti X dengan 10.3% dan TikTok 8.8%. Instagram pula mencatat peratus paling rendah, cuma 5.9%.

Maksudnya, kalau nak tengok macam mana kandungan AI digunakan dalam politik media sosial Malaysia sekarang, tempat paling jelas ialah Facebook. Jenis perbincangan politik yang bergantung pada gambar janaan AI nampaknya lebih cenderung berlaku dekat platform ni buat masa sekarang.

Group politik dan page penyokong masih jadi ruang utama orang sebar naratif masing-masing guna visual AI, sama ada untuk puji pihak sendiri, sindir lawan, atau tunggang isu semasa.

Tapi yang lebih menarik, kandungan ini bukan muncul secara rawak. Dalam dataset yang kitorang kumpul, beberapa topik utama jelas berulang dalam pelbagai versi dan disebarkan oleh akaun berbeza.

Antara naratif yang paling kerap muncul ialah imej Anwar Ibrahim bersama graf ekonomi, dakwaan PMX berjaya pulihkan keyakinan dunia terhadap Malaysia, dan ranking negara semakin baik.

Contoh post

Dalam masa sama, kumpulan anti kerajaan pula nampak lebih agresif guna isu kos sara hidup, terutama kenaikan harga minyak. Dalam dataset ni, sekurang-kurangnya tiga siri visual AI berbeza dikesan membawa mesej yang hampir sama.

Terdapat 8 posting daripada 8 akaun berbeza yang post komik strip yang dijana AI bertajuk “evolusi minyak” macam kat bawah ni….

…serta komik sindiran macam kat bawah ni tentang kenapa harga minyak naik dan tak turun menunjukkan 10 posting daripada 10 akaun berbeza.

Walaupun bentuk kandungan berbeza, semuanya menyerang kerajaan melalui tema sama iaitu beban rakyat dan kegagalan menunaikan janji lama PMX

Visual perbandingan harga minyak di Thailand turun manakala Malaysia naik merekodkan sebanyak 11 posting daripada 11 akaun berbeza. Walaupun visual yang digunakan berbeza dengan komik kat atas, mesej utamanya masih berkisar pada isu sama.

Kalau ikut pembahagian naratif, dua-dua kem pro dan anti kerajaan sebenarnya banyak berpusat pada prestasi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Bezanya cuma serangan atau pujian.

Kandungan pro kerajaan banyak tonjolkan PMX sebagai pemimpin yang patut dikekalkan, sambil bawa mesej ekonomi makin pulih seperti pelabur kembali yakin, pengangguran turun, dan pasaran saham naik.

Kandungan anti kerajaan pula lebih dekat dengan emosi harian rakyat. Fokus banyak pada harga minyak, kos sara hidup, dan janji lama. Pendek kata, satu pihak cuba naikkan keyakinan orang ramai, satu lagi cuba jatuhkan kepercayaan tu.

Walaupun komik-komik ni nampak macam benda lawak atau sekadar menyindir, lama-lama, naratif macam ni boleh bagi kesan pada sentimen rakyat dan mungkin juga bagi kesan undi dalam pilihan raya akan datang.

Video ni sangat popular satu ketika dahulu

Tapi bila dua benda ni ini bertembung….

Naratif mana lebih kuat kat media sosial?

Kalau tengok pada jumlah interaksi, naratif pro Anwar Ibrahim nampak ada penyokong yang aktif. Kandungan jenis ini banyak kumpul likes, komen, dan sokongan daripada page penyokong serta komuniti sedia ada. Ini menunjukkan mesej pro kerajaan masih ada audiens yang responsif dan sanggup engage dengan kandungan macam ini.

Tapi kalau tengok dari sudut penyebaran, naratif anti Anwar Ibrahim pula nampak lebih laju bergerak. Kandungan berkait harga minyak, kos sara hidup, dan janji lama lebih banyak dikongsi semula merentas platform. Maksudnya, naratif pro mungkin kuat dari segi sokongan dalaman, tapi naratif anti lebih berpotensi tersebar kepada orang luar dan audiens yang lebih luas.

Purata perkongsian bagi naratif anti Anwar ialah 133 shares setiap post, lebih tinggi daripada pro Anwar yang mencatat 60 shares.

Tapi jumlah engagement yang tinggi ni kena tengok dengan lebih teliti juga. Likes dan komen yang banyak tak semestinya bermaksud sokongan itu betul-betul organik. Dalam beberapa contoh yang kitorang tengok, ada komen yang sekadar emoji, atau ayat ringkas. Ini boleh jadi tanda kandungan tu banyak digerakkan dalam kalangan penyokong sendiri atau komuniti yang memang dah cenderung menyokong.

Sebaliknya, kandungan anti-Anwar walaupun jumlah engagement keseluruhan (likes dan shares) lebih rendah, mencatat jumlah perkongsian lebih tinggi. Ini menunjukkan kandungan jenis kritikan atau kemarahan lebih mendorong orang untuk sebarkan kepada orang lain. 

Maksudnya, orang mungkin suka tengok kandungan pujian, tapi diorang lebih terdorong untuk share kandungan yang buat diorang marah atau rasa terbeban. Ini menunjukkan dalam politik media sosial, emosi masih masih lagi main peranan besar untuk cipta naratif. Jadi…

Siapa paling banyak gerakkan kandungan AI politik di Malaysia? 

Kalau tengok dari segi jumlah posting, kategori akaun individu masih paling dominan dengan 43 post, berbanding halaman Facebook yang merekodkan 20 post. Ini menunjukkan kandungan AI politik di Malaysia lebih banyak digerakkan oleh akaun personal, bukannya semata-mata page rasmi atau organisasi besar.

Secara tak langsung, data ini juga tunjuk yang teknologi AI dah mudahkan orang biasa hasilkan poster, meme dan visual politik dengan cepat serta kos rendah. Sebab itu akaun individu nampak jauh lebih aktif dan pantas respon terhadap isu semasa.

Tapi banyak post tak semestinya paling berpengaruh. Ada kategori lain yang walaupun kurang aktif, kesan setiap kali post jauh lebih besar. Itu yang boleh nampak dalam graf kedua.

Daripada segi purata engagement bagi setiap posting, halaman berada jauh di depan dengan purata sekitar 2,362 engagement setiap post, berbanding 1,039 bagi akaun individu. Maksudnya, walaupun jumlah post mereka lebih sedikit, setiap kandungan yang dimuat naik masih lebih mudah tarik perhatian ramai dan kumpul reaksi besar.

Dari sudut perkongsian pula, akaun individu sedikit mendahului dengan purata 112 shares setiap post, berbanding 103 bagi halaman Facebook. Ini memberi gambaran bahawa kandungan daripada akaun personal mungkin lebih mudah tersebar, walaupun page lebih kuat dari segi perhatian dan interaksi.

Ini menunjukkan page politik yang dah ada nama, pengikut setia dan audiens sedia ada masih ada kelebihan besar dalam ekosistem media sosial. Diorang tak perlu post banyak untuk kekal relevan. Sekali post pun boleh dapat capaian tinggi.

Contoh page politik yang dapat engagement tinggi

Sementara itu, akaun individu pula masih penting dari segi kuantiti dan penyebaran. Disebabkan jumlah post lebih banyak dan purata shares sedikit lebih tinggi, kumpulan ini kekal jadi pemain utama dalam menyebarkan naratif politik AI di Malaysia. Persoalannya sekarang…

Benda ni bagus ke tak sebenarnya?

Untuk jawab soalan ini, kitorang sempat bercakap dengan Amir Fareed pengarah strategi dari KRA Group, sebuah firma penyelidikan dan strategi politik. Menurut beliau, kandungan janaan AI memang boleh dianggap sebagai pedang dua mata. Dari sudut positif, AI menjadikan penghasilan kandungan politik jauh lebih murah, cepat dan mudah.

Kalau dulu nak siapkan poster, video respon atau grafik politik perlukan designer, editor dan masa yang panjang, sekarang banyak benda boleh disiapkan dalam masa singkat. Dalam dunia politik yang bergerak ikut isu harian, kelebihan untuk respon cepat ini memang sangat bernilai.

Secara semula jadi, AI memang akan digunakan kerana teknologi ini ibarat pedang dua mata. Di satu pihak, AI menurunkan kos komunikasi politik dan mempercepatkan penghasilan kandungan. Dalam politik, masa sangat penting. Siapa paling cepat keluarkan mesej, selalunya mempunyai kelebihan.

 – Amir Fareed, dalam temubual bersama Soscili.

Beliau juga mengesahkan yang penggunaan AI sebenarnya sudah pun masuk ke arena politik Malaysia, terutama sebagai bahan kempen. Antara contoh yang disebut ialah penggunaan video berasaskan AI ketika pilihan raya Sabah pada November 2025 , yang digunakan untuk menyindir kerajaan ketika itu.

@inisuarasabah

Sabah ini bukan mana-mana kaum yang punya .. Sabah kita, Milik semua orang Sabah .. #Originalsabah #warisanpenipu #GRS #PKR #PRNSABAH

♬ original sound – Ini Suara Sabah – Ini Suara Sabah
Contoh kandungan janaan AI dalam PRN Sabah

Maksudnya, Malaysia bukan lagi sekadar tengok trend ini berlaku di negara jiran. Kita sendiri dah mula nampak AI digunakan sebagai alat serangan, promosi dan pembentukan persepsi politik. Dan menurut beliau, penggunaan ini dijangka akan meningkat lagi bila negara masuk ke musim pilihan raya yang lebih panas nanti.

Tapi pada masa sama, kemudahan ini datang dengan risiko besar. Bila terlalu mudah hasilkan kandungan, terlalu mudah juga untuk sebarkan maklumat salah, manipulasi dan propaganda secara besar-besaran.

Lebih teruk lagi, kalau semua pihak terlalu ghairah guna AI untuk serang lawan atau push naratif masing-masing, orang ramai boleh jadi penat dan muak dengan politik itu sendiri. Maksudnya, AI mungkin bantu ahli politik bina naratif diorang, tapi belum tentu buat rakyat lebih berminat untuk dengar.

Jadi… bila pilihan raya makin dekat nanti, apa jadi?

Jadi bila tengok keseluruhan data ni, jelas yang penggunaan AI dalam politik Malaysia dah mula ambil peranan yang lebih serius. Kandungan pro dan anti kerajaan dah muncul dekat beberapa platform, naratif pun makin jelas, dan AI dah digunakan untuk puji pemimpin, serang lawan serta mainkan isu semasa.

Walaupun penggunaan dia setakat ini mungkin belum semeriah negara jiran, trend awal ni tunjuk AI bukan lagi benda terpencil. Ia dah mula jadi sebahagian daripada cara politik dimainkan dalam ekosistem media sosial tempatan.

AI

Setiap platform dah mula ada fungsi masing-masing, naratif pro dan anti kerajaan pun semakin jelas, dan kandungan AI dah digunakan untuk puji pemimpin, serang lawan serta bentuk persepsi pengguna. Maksudnya, AI kini dah jadi alat komunikasi politik dalam ekosistem media sosial tempatan.

Dalam masa sama, teknologi yang makin canggih ini juga bawa cabaran baru sebab kandungan yang dihasilkan semakin susah dibezakan dengan gambar atau video betul, lalu buka ruang kepada penyebaran maklumat palsu, manipulasi imej pemimpin, dan kandungan yang boleh mengelirukan orang ramai.

Korang boleh tengok video tu kat sini.

Apa yang lebih penting, trend ini besar kemungkinan baru bermula. Dengan ahli politik dah mula sibuk cakap pasal PRU16, kita mungkin akan nampak penggunaan AI jadi lagi rancak dalam kempen akan datang. Baru-baru ini pun dah ada parti yang mula sebut pasal sasaran kerusi dan persiapan awal untuk pilihan raya seterusnya.

Maksudnya, lepas ni kita mungkin akan nampak lebih banyak poster, video, meme, dan mungkin bentuk propaganda yang jauh lebih canggih daripada apa yang ada sekarang.

About Hafiz Sabran 33 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"