- 1.1KShare sekarang!
- Email1
- Facebook1.1K
- Share
Pada tahun 2013, Edward Snowden, seorang bekas kontraktor kerajaan Amerika Syarikat telah memecahkan tembelang CIA (agensi perisikan) tentang operasi pegintipan secara besar-besaran mereka terhadap rakyat Amerika Syarikat.
Tahun lepas pula, CIA sekali lagi kantoi kasi upah kat sebuah syarikat PR (perhubungan awam) dari United Kingdom untuk membuat video palsu/propaganda sewaktu perang di Iraq di mana objektif utama mereka adalah untuk mengenal pasti lokasi pengganas Al-Qaeda dan sekutunya.
Teknik yang digunakan oleh CIA ni takde lah pelik mana tapi kadang-kadang tu datangnya isu moral. Contohnya macam mengintip orang tanpa sabit kesalahan atau pun menyebarkan berita palsu. Jadi kat sini kami telah kaji selidik sikit dan buat list tentang operasi-operasi mereka, adakah ni norma agensi pengintip Amerika Syarikat atau hanya salah satu kes kisah luar biasa daripada CIA.
1. CIA menculik pekerja sendiri untuk jadi bahan uji
MK Ultra merupakan projek CIA yang bermula pada tahun 1953 di mana objektif mereka adalah untuk mengawal minda orang. Secara amnya modus operandi yang digunakan adalah hipnosis, seksaan seksual dan seksaan mental.
MK Ultra juga bertanggungjawab dalam membuat satu dadah special yang dipanggil ‘dadah kebenaran‘ (truth serum), iaitu sejenis ubat bagi memastikan mangsa bercakap benar ketika disoalsiasat. Apa yang menyedihkan, kebanyakan ‘bahan uji’ yang terlibat dalam eksperimen ni telah di culik dan kebiasaanya adalah pesakit mental, pelacur, dan ejen CIA sendiri.
Antara eksperimen yang paling famous MK Ultra adalah penggunaan dadah LSD. Tapi eksperimen ni hanya khas untuk mangsa pesakit mental je, malah ada satu fail yang dijumpai mengatakan bahawa sorang pesakit mental ni kena injek dengan LSD secara berterusan selama 174 hari.
MK Ultra ni telah mendapat pertolongan dari saintis Nazi di mana selepas Perang Dunia Kedua, para saintis German telah melarikan diri ke Amerika Syarikat untuk mengelakkan daripada ditangkap oleh pihak Soviet, dan sebagai ganti mereka kena kerja untuk kerajaan Amerika Syarikat.
Walaupun projek ni hanya berlanjutan dari 1950-an sampai 1970-an, sebarang dokumen berkaitan dengan MK Ultra telah di hapuskan atas arahan Pengarah CIA Richard Helms dan sekarang ni hanya tinggal saki-baki dokumen dan beberapa saksi/mangsa je.
Kalau nak baca lebih mendalam pasal kisah MK Ultra, korang boleh baca laporan betul dia kat sini (fail PDF) yang telah dilepaskan kepada umum oleh NY Times.
2. CIA bertanggungjawab dalam lahirnya kumpulan Taliban
Pada tahun 1978, Afghanistan telah jatuh ke lembah perang saudara apabila tentera Afghanistan sendiri telah mengambil-alih kerajaan utama dengan membunuh presiden negara tersebut. Beberapa bulan kemudian, Afghanistan telah menubuhkan parti komunis yang telah diiktiraf oleh kerajaan Kesatuan Soviet.
Tapi ada segelintir rakyat Afghanistan yang tak bersetuju dengan tindakan ini, jadi mereka menubuhkan pasukan penentang mereka sendiri iaitu mujahideen. Perang saudara yang makin lama makin teruk tu telah memaksa Kesatuan Soviet untuk masuk campur dengan menghantar tentera ke Afghanistan.
Amerika Syarikat yang tidak mahu melihat pengaruh Kesatuan Soviet berjalar jauh ke kawasan Timur Tengah dan Eropah, telah mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam peperangan tu juga dengan menghantar bekalan sistem komunikasi dan sumber kemanusian untuk golongan mujahideen.
“Disebabkan Kesatuan Soviet telah memperhebatkan kehadiran mereka di Afghanistan, kerajaan Amerika Syarikat juga ambil untuk buat benda yang sama dengan memberi senjata kepada proksi mereka” – Laporan dari Nolan Kraszkiewicz, Universiti Oklahoma
Mungkin disebabkan isu politik di Amerika Syarikat, mereka tak nak ia diketahui oleh masyarakat umum. Jadi kerajaan Amerika Syarikat telah meminta CIA untuk handle operasi ni dengan bergabung bersama kerajaan Pakistan. Operasi yang diberi nama Ops Cyclone ni telah berlanjutan selama 10 tahun, iaitu dari 1979 sampailah 1989.
Selepas tentera Soviet dikalahkan, CIA pun menarik diri dari Afghanistan dan tutup Projek Cyclone. Ini juga bermaksud kerajaan Amerika Syarikat berhenti kasi barang keperluan dan memusnahkan harapan untuk membina semula Afghanistan. Sikap lepas tangan ni secara tak langsung telah menyebabkan kepada penubuhan Taliban.
3. Manipulasi media massa Iraq untuk kepentingan agensi
Seperti yang disebut, pada bulan Jun tahun lepas kerajaan Amerika Syarikat telah kantoi bayar sebuah syarikat PR (Perhubungan Awam), Bell Pottinger, sebanyak $500 juta atau RM2.5 billion untuk mengendali media massa kat Iraq. Senang cerita Bell Pottinger ni jadi mesin propaganda kerajaan Amerika Syarikat di Iraq dan macam biasa, CIA bertanggungjawab untuk melaksanakannya.
Bell Pottinger ni bukanlah sebarangan syarikat atau pun syarikat kroni CIA, malah mereka merupakan salah satu organisasi PR yang terkenal di peringkat antarabangsa. Kalau korang tengok klien dorang, semuanya berprofil tinggi seperti Augusto Pinochet (diktator Chile), keluarga Assad (diktator Syria), bekas Perdana Menteri Thailand, dan ramai lagi. So no wonder mereka dapat tender ni.
Berdasarkan laporan media, CIA telah mengawal media Iraq dengan membahagikan ia kepada tiga seksyen iaitu – Putih untuk cerita betul, Kelabu untuk yang takde kesahihan, dan Hitam untuk tipu/propaganda. Sorang bekas pekerja Bell Pottinger telah kantoikan semua benda dengan bagitau macam mana video palsu Al-Qaeda dibikin.
“Dalam peyuntingan video palsu ni, hanya saya seorang je yang terlibat. Rakaman yang diberi pula adalah video tulen Al-Qaeda. Kami hanya ambil video tersebut, edit mengikut kesesuaian dan tinggalkan kat kawasan yang senang ditemui pengganas [sic]” – pekerja Bell Pottinger, interview dengan RT
Format video tu pula guna Real Player di mana ia menggunakan internet connection. So bila ada siapa-siapa yang tekan play, ia akan bagitau CIA dan tentera Amerika Syarikat kat mana lokasi pengganas tersebut.
Dalam kes Mujahideen, taktik ni hanya berkesan time tu je sebab ramai pakar berkata video yang dibikin tu sebenarnya telah menggalakkan ramai orang untuk jadi pengganas. Malah antara kumpulan pengganas yang terkenal, Daesh, telah buat nama dan membesar sewaktu kehadiran tentera Amerika Syarikat di Iraq. Kebetulan?
4. CIA pernah jual dadah kat rakyat Amerika Syarikat sendiri untuk menampung kos operasi
Bertentangan dengan movie Hollywood di mana CIA akan hantar kereta kebal, kapal perang, dan jet pejuang untuk mengalahkan pihak lawan, mereka sebenarnya lebih gemar menggunakan taktik yang halus. Contohnya macam kat negara Nicaragua di mana ia melibatkan sebuah kumpulan bernama The Contras.
The Contras ni terkenal dengan haluan kanan mereka (paksi Barat/Amerika Syarikat) manakala pihak lawan pula menyokong ideologi komunis. Memandangkan Amerika Syarikat ni merupakan negara yang ‘risau’ pasal jiran-jiran mereka, CIA telah masuk campur dalam pergolakan di Nicaragua.
Kami taktau kenapa tapi sepanjang penglibatan CIA dengan The Contras mereka terpaksa cari bajet mereka sendiri. Jadi CIA telah berpaling kepada cara yang paling cepat dan mudah untuk dapat duit yang banyak, iaitu mengedar dadah!
“Mereka akan upah beberapa freelance pilot yang terbang ke Nicaragua dan bila kat sana, pilot akan tinggalkan wang dan senjata untuk The Contras” – dipetik dari RT.com
Otw balik ke Amerika Syarikat, pilot tersebut akan bawa pulang dadah di mana ia akan dijual kepada rakyat mereka sendiri dan hasil duit dadah tu akan rolling balik kepada The Contras.
Operasi ni kantoi apabila sorang wartawan telah kecohkan cerita ni pada tahun 1996, tapi telah diejek oleh media massa lain dengan mengatakan bahawa wartawan tu mengarut dan sengaja buat onar. Akhir sekali wartawan tu hilang kredibiliti, dibuang kerja, dan bunuh diri pada tahun 2004.
Woahh…Illuminati alert!
Kematian wartawan tu tak sia-sia apabila beberapa bekas pilot yang pernah buat kerja kotor ni tampil beri kenyataan dan mengaku bahawa CIA membayar mereka untuk mengedar dadah, malah kerajaan Amerika Syarikat sendiri kata operasi The Contras dibiayai menggunakan duit dadah.
Yang kelakarnya, The Contras kalah dan Nicaragua sekarang ni ditadbir oleh pihak lawan mereka. So tak semua taktik CIA ni menjadi dan yang sadisnya, CIA sanggup aniaya rakyat sendiri semata-mata untuk kepentingan politik.
5. CIA pernah nak buat video lucah untuk Soekarno
Masa Indonesia merdeka pada tahun 1945 mereka telah dipimpin oleh Soekarno selama 20 tahun sebelum kena letak jawatan pada tahun 1966. Time tu mana-mana negara yang baru lahir kena pilih sama ada nak join Negara Dunia Pertama (USA, UK, dll), Negara Dunia Kedua (Kesatuan Rusia, China, dll), atau Negara Dunia Ketiga (berkecuali).
Walaupun dia pernah lepak dengan Presiden John F Kennedy (USA), Soekarno telah menunjukkan minat untuk join Negara Dunia Kedua malah time tu Indonesia mempunyai keahlian parti komunis (PKI) yang ketiga besar di dunia dan ini telah mendatangkan kerisauan kepada kerajaan Amerika Syarikat.
Jadi pada tahun 1958, CIA telah ambil keputusan untuk masuk campur dan gulingkan Soekarno. Ada banyak cara CIA nak jatuhkan Soekarno ni sebenarnya tapi yang pelik sekali adalah dengan membikin filem lucah yang kononnya dibintangi oleh Soekarno. Tapi filem tu tak menjadi sebab tak jumpa pelakon yang serupa.
So bila tak menjadi mereka beralih kepada kuasa tentera pula, CIA telah bersekutu dengan General Soharto yang time tu merupakan Panglima Tertinggi Tentera Indonesia. Salah satu sebab kenapa CIA pilih Soharto ni adalah kerana dia sangat anti-komunis malah dia terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai di Indonesia di mana mangsanya adalah suspek dan ahli parti komunis.
Selain Suharto, CIA juga menolong beberapa parti anti-Soekarno yang telah menyumbang kepada pergolakan politik pada tahun 1965. Time tu Soharto mengambil kesempatan tersebut untuk rampas kuasa dan jadi Presiden Indonesia.
Pada tahun 2001, kerajaan Amerika Syarikat telah melepaskan satu siri laporan pasal hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat dan negara lain pada tahun 60-an. CIA cuba nak halang dari ia diterbitkan sebab kat dalam laporan tu ada cerita pasal operasi kat Indonesia, tapi last-last keluar juga dan kantoi semua benda.
Sikap cabut lari lepas ‘buat sepah’ CIA hanya akan merumitkan keadaan
Bila buat benda-benda macam ni mesti ada yang kata ni adalah agenda Zionis, Freemason, Illuminati, dan macam-macam lagi. Mungkin betul mungkin tidak tapi apa yang pasti adalah, tindakan agensi perisikan CIA ni ibarat snowball effect iaitu satu tindakan kecil yang mampu berubah menjadi sesuatu yang besar tak kisahlah elok atau pun tidak.
Apa yang dilihat sebagai ‘tikus membaiki labu‘, operasi-operasi CIA ni telah mendatangkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan dan itulah apa yang kami sedar sewaktu menulis artikel ni. Malah apa yang menyedihkan, etika seolah-olah dilupakan sewaktu operasi dilaksanakan dan ini semata-mata untuk mencapai objektif.
CIA yang pada asalnya ditubuhkan hanya untuk mengumpul maklumat luar negara untuk kerajaan Amerika Syarikat telah berubah menjadi sebuah badan yang agak agresif. Malah pada awal pertubuhannya Setiusaha Negara, Henry Stimson, telah menolak satu operasi dengan berkata “seseorang lelaki tidak patut membuka surat orang lain”. Jadi adakah tindakan CIA hari ni melampau batasan?
Artikel berkaitan: 5 operasi rahsia KGB-Russia yang paling licik, patutla dah diharamkan
- 1.1KShare sekarang!
- Email1
- Facebook1.1K
- Share