- 2.1KShare sekarang!
- Email39
- Facebook2.1K
- Share
Kalau nak cakap pasal ajaran sesat atau cult dekat Malaysia ni, yang paling femes sekali mestilah Al Arqam. Pastu ada la juga yang lain macam ajaran Ayah Pin, ajaran Qadiani kat Kampung Nakhoda, Tuhan Harun, dan macam-macam lagi la. Semuanya dah difatwakan sesat supaya fahaman ni tak merebak dan menjadi barah dalam masyarakat.
Di India yang negaranya lagi besar dari Malaysia pula, tak kurang banyaknya. Malah, ada juga cult daripada pecahan agama Hindu. Tapi dalam banyak-banyak yang wujud, ada salah satu cult ni memang menarik perhatian kitorang sebab iaj uga merebak sampai ke Malaysia di mana ada sebuah kuil gua di Tambun, Perak yang dibuat bersempena ajaran Sathya Sai Baba.
Sathya Sai Baba ni merupakan seorang pemimpin spiritual terbesar di India pada zamannya, di mana penganutnya menggelarkan dia sebagai penjelmaan semula Tuhan (?!)
Sathya Sai Baba, jelmaan semula seorang pendeta bernama Shirdi Sai Baba
Nama asal Sai Baba yang dikatakan jelmaan Tuhan ni adalah Sathyanarayana Raju, yang berasal dari Puttaparthi, Madras Presidency, British India (masa ni India masih lagi berada di bawah jajahan British). Dia dilahirkan pada tahun 1926.
Asalnya, dia ni manusia biasa juga. Tapi semasa dia berumur 15 tahun, dia disengat kala jengking, di mana kesakitan tu menyebabkan dia terus pengsan. Lepas dia sedar je daripada pengsan tu, tak semena-mena dia meracau dan mula cakap beberapa petikan dalam bahasa Sanskrit, yang tak pernah dipelajarinya langsung.
Mulanya bapa dia ingat dia kena rasuk, sampaikan ambik kayu nak pukul. Tapi last-last anak dia tu tiba-tiba mengaku yang dia sebenarnya adalah penjelmaan semula Shirdi Sai Baba, seorang pendeta India yang meninggal pada tahun 1918 di mana ajarannya merupakan gabungan eklektik kepercayaan Hindu dan Islam. Keluarga dia terus tergamam, macam percaya tak percaya dengan apa yang berlaku tu.
Trigger warning: Scroll laju-laju kalau korang rasa boleh terpesong tengok gambar ‘GURU’ agama lain.
Hinduism tu sendiri sangat luas, dan ada serpihan kepada pelbagai mazhab lain. Mereka menganut Tuhan yang berlainan, mempercayai roh kudus berlainan, atau menyokong salah satu daripada sistem falsafah yang seterusnya, dibahagikan dengan tafsiran yang berbeza. Dan ajaran Sai Baba ni adalah salah satu daripada pecahan tersebut.
Mengumpul pengikut tersendiri melalui ‘keajaiban’ yang dilakukan Sathya Sai Baba ni
Berita pasal kelahiran semula Shirdi Sai Baba dalam badan Sathya Sai Baba ni tersebar dan jadi buah mulut masyarakat India. Makanya ramai la yang berpusu-pusu pergi jenguk dia. Populariti dia yang mencanak naik lepas jadi ‘influencer’ tu juga membolehkan dia membina ashram pertamanya di Puttaparthi, menjelang tahun 1950 – di mana dia hanya berumur 20-an pada masa tu.
Ashram ni sebuah biara, atau tempat pertapaan dia dan juga penganutnya yang lain. Bukan kecik-kecik je tau, ashram tu boleh menempatkan sampai beratus-ratus orang di dalamnya.
Kat sini lah bermulanya ideologi dia. Apa yang membuatkan para pengikut (atau lebih kepada penganut) percaya kepada Sai Baba ni adalah dia dikatakan ada mukjizat macam Tuhan dan juga dewa-dewi dalam agama Hindu.
Antara perkara-perkara ajaib yang dikatakan pernah dibuatnya adalah menggandakan objek kecil seperti jam tangan, cincin, barangan kemas, malah dapat mengeluarkan abu suci dari tangannya, yang di panggil sebagai “vibhuti” bila dikehendaki.
Malah, ada beberapa ‘mukjizat’ lagi yang boleh dilakukannya macam:
- Boleh muncul di mana-mana saja sekelip mata
- Berubah bentuk dan paras rupa mengikut apa yang dimahukan
- Boleh berada di tempat berbeza dalam satu masa
- Boleh membaca minda, menjawab soalan sebelum sempat ditanya pengikutnya (macam Nujum Pak Belalang pula)
- Boleh memunculkan barang kemas
- Boleh mengubah cuaca
- Mampu menambah makanan sampai semua orang cukup makan
- Merawat pelbagai kesakitan
- Menghidupkan orang yang dah mati, walaupun mayat dah reput
- Mampu bertutur pelbagai bahasa di mana dia akan cakap bahasa Telegu tapi kalau kita dengar, ia akan ikut bahasa pertuturan kita
Percaya dengan segala keajaiban tersebut, ia membawa kepada pertambahan penganutnya yang melonjak dari sehari ke sehari. Perkara ni dalam masa yang sama memberi Sai Baba kuasa yang besar untuk memimpin penganutnya yang bukan saja terdiri daripada masyarakat India, malah masyarakat dari luar negara sampaikan ada Pertubuhan Sathya Sai yang diasaskan untuk membolehkan ahli-ahlinya menjalankan aktiviti spiritual. Bukan kecil-kecilan tau, tapi dah ada lebih daripada 1,200 cawangan Pusat Sathya Sai di 126 negara.
Pergerakan Cult Sai Baba mendapat perhatian CIA, dan mampu jadi agama baru di dunia
Punyalah jadi fenomena ajaran Sai Baba ni pada masa tu, CIA pun rasa hairan. Jadinya pada tahun 90-an, CIA mengambil langkah dengan menyiasat pasal ajaran Sai Baba ni, macam mana boleh berpengaruh sampai penganutnya taksub sangat?
Laporan CIA mendapati yang ajaran Sai Baba ni bersifat positif, menyatukan agama, dan jauh sekali berkaitan dengan ekstrimis agama. Kalau kat dalam agama Hindu tu ada sistem kasta yang membahagikan setiap Hindu mengikut puak, pergerakan Sai Baba ni juga dikatakan mampu mengimbangi negara-negara bergolak, di mana pengaruhnya mampu memperbaiki hubungan cauvinis Hindu, mahupun pemisahan etnik yang ada di dalam agama Hindu tu sendiri.
Lagipun, dalam kitab mereka memang tertulis pun pasal kelahiran semula Tuhan dalam diri manusia terpilih. Secara kasarnya, macam kita jugalah. Kalau Kristian dan Islam percaya dengan kemunculan Jesus, atau Nabi Isa, Islam juga percaya dengan kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman yang akan mewujudkan sebuah dunia yang aman damai.
Macam tu la juga orang boleh percaya terhadap Sai Baba ni di mana dia mengaku jelmaan Tuhan, dan seterusnya mengaku yang dia adalah Jesus, Imam Mahdi dan juga penyatu agama. Kalau nak ikutkan, Ayah Pin yang dulu mengaku dari kerajaan langit puna kata dia boleh satukan semua agama, dan boleh tahan ramai juga pengikutnya dari dalam dan luar negara.
Apa yang mengejutkan, kajian CIA juga menunjukkan ada lebih daripada 50 juta orang pengikut yang percaya, dan ada yang taksub dengan ajarannya sampaikan CIA conclude yang gerakan Sai Baba ni tak mustahil pun boleh jadi satu lagi agama baru untuk seluruh dunia (?!)
Walaupun ramai pengikut, tapi ada juga dakwaan yang mengatakan Sai Baba ni adalah conman
Walaupun Sai Baba ada ramai pengikut yang kebanyakannya terdiri daripada Hindu tradisional yang percayakan dewa-dewi dan penjelmaan semula Tuhan ke dalam badan orang lain, tapi nampaknya dia ada juga pengkritik. #haterzz
Malah, ada kontroversi pasal dia ni yang kemungkinannya hanyalah seorang conman, dan bukan jelmaan Tuhan. Mereka yang kritik ni pula tergolong daripada rakyat India yang lebih kebaratan. Mereka mempersoalkan kebolehan Sai Baba ni terutama sekali dalam meramal masa depan. Sebabnya, kebanyakan ramalan yang dibuat selalunya menyimpang.
Lagipun, bukannya mereka tak tahu yang dekat India memang banyak fraud, yang mana mengaku ada mukjizat, malah menggunakan nama agama untuk hidup selesa. Tapi macam biasalah, pengikut die hard fans dia la yang back up dan clain yang dia mampu tunjuk mukjizat dia 30 hingga 40 kali sehari selama 50 tahun, di hadapan beribu-ribu orang.
Pengkritik Sai Baba ni bukanlah penentang agama sebenarnya, cumanya mereka ni dikatakan lebih celik daripada mereka yang memuja Sai Baba ni. Jadinya mereka ni balas la, sebagai siddha yogis (penyembuh pelbagai penyakit), Sai Baba, mahupun mana-mana orang berkebolehan ni takkan sesuka hati tunjuk mukjizat depan orang secara berlebih-lebihan. Tapi setakat tu je la, pengkritik Sai Baba sendiri tak mampu nak cari bukti kukuh pasal penipuan dia.
Bukan setakat fraud je, malah banyak lagi tuduhan serius terhadapnya, contohnya gangguan seksual terhadap penganut lelaki, terlibat dalam pembunuhan, dan pelbagai lagi penipuan yang tak berjaya dipatahkan.
Sehinggalah pada tahun 2000, di mana satu-persatu mangsanya membuat pengakuan, yang dibantu oleh JuST, sebuah organisasi yang menentang Sai Baba, di mana pengasasnya sendiri dulunya merupakan pemimpin organisasi Sai Baba di Norway.
Tapi mestilah organisasi Sai Baba cuba untuk menyangkal semua dakwaan tu. Terutama sekali segala mukjizat dan penjelmaan semua yang langsung tak mampu dibuktikan secara saintifik pun. Malah mukjizatnya yang boleh mengeluarkan emas dari mulutnya juga dipersoalkan sebab penipuan yang dibongkarkan. Antaranya adalah video yang menunjukkan trick dia ni:
https://www.youtube.com/watch?v=oTy0aZRqi7w
Walaupun penganut awal ajarannya merupakan Hindu konservatif, nampaknya Perdana Menteri India pada zaman tu, Atal Bihari Vajpayee, pun nampaknya dah jadi pengikutnya. Malah dia back up habis Sai Baba ni dengan mengeluarkan sebuah surat rasmi kerajaan yang menggambarkan dakwaan Sai Baba sebagai penipu tu adalah tuduhan “liar, melulu dan direka-reka”.
Bukan PM India je, malah kebanyakan pemimpin India yang lain juga ramai terpengaruh dengan ajaran Sai Baba ni sampaikan sambut hari jadi dia sekaligus dengan perasmian projek kerajaan dan juga konvokesyen pendidikan macam dia ni orang penting. Tapi ada kemungkinan juga kalau mereka gunakan Sai Baba ni sebagai ‘bank undian’ terbesar untuk tarik rakyat India sokong kerajaan.
Malah Perdana Menteri India sekarang, Narendra Modi juga dikataan antara penganutnya, di mana Sathya Sai Baba pernah meramalkan dia akan jadi Perdana Menteri India.
Sai Baba akhirnya meninggal pada tahun 2011, pada umur 84 tahun. Padahalnya, dia pernah meramalkan kematiannya pada umur 96 tahun. Ashramnya di Puttaparthi kemudiannya diperiksa polis, di mana mereka menjumpai sebanyak 98 kilogram emas, 307 kilogram perak, dan juga mengambil masa selama 36 jam, dan seramai 20 orang untuk mengira wang tunai yang berjumlah 12 crore (bersamaan lebih daripada RM 489 juta). Kisah penipuannya kemudiannya didedahkan BBC.
Walaupun begitu, sampai ke hari ni penganutnya masih lagi taksub dengan ‘guru’ tersebut, sampaikan masih lagi menyambut hari kelahirannya setiap tahun, termasuklah di negara kita pada Januari yang lepas.
Kalau Sai Baba yang kitorang cakap ni mengaku sebagai jelmaan Shirdi Sai Baba, nampaknya pada tahun 2015, iaitu masa ulangtahun ke-90 kelahiran Sai Baba, ada pengikutnya yang mengaku yang dia adalah penjelmaan semula Sai Baba tu di mana dia kerap mimpikan Sai Baba yang mengawalnya dalam apa yang dia lakukan setiap hari. Bunyinya macam sebuah kitaran yang tidak berkesudahan.
Tak perlulah gunakan agama untuk menghalalkan cara
Nampaknya, nama agama akan selalu digunakan untuk kepentingan peribadi, kepimpinan, demi mencapai matlamat, tak kisahlah kat mana-mana pun. Atas nama agama, senang je tertipu.
Tapi macam mana pulak dengan orang yang bijak pandai yang tertipu juga? Menurut artikel dalam Psychological Today, sebuah cult biasanya mampu memberi jawapan unik kepada persoalan-persoalan hidup yang sering menjadi persoalan kita. Jadi, tak hairanlah untuk kita mudah terpengaruh dengan ajaran sesat, dan kewibawaan seseorang ketua cult tu.
Sebab tu la penting untuk kita menggunakan common sense, beberapa rujukan dalam masa yang sama, dan tak merujuk kepada hanya satu sumber saja. Lagipun, memang kita dituntut untuk berguru supaya tak mudah terpengaruh dengan sesebuah ideologi yang salah.
- 2.1KShare sekarang!
- Email39
- Facebook2.1K
- Share