CapitaLand Investment lancar CapitaPlus, hab digital aneka ganjaran di Malaysia untuk takrif semula pengalaman beli-belah

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2025 – CapitaLand Investment (CLI), pengurus aset global hari ini mengumumkan pelancaran CapitaPlus, sebuah hab digital multi-ganjaran dan keterlibatan yang direka untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah di seluruh rangkaian pusat beli-belahnya di Malaysia. 

Dilancarkan pada 3 Oktober 2025, CapitaPlus menekankan komitmen CLI terhadap inovasi digital, amalan mampan dan strategi runcit ampuh untuk memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang.

Lebih daripada sekadar program ganjaran, CapitaPlus menghubungkan pengalaman membeli-belah fizikal dan digital dalam platform mesra mudah alih yang intuitif. Ia mengintegrasikan pembelian, pelbagai ganjaran dan penebusan ke dalam satu hab tunggal, sekali gus menawarkan pelanggan pengalaman yang lancar dan memuaskan setiap kali mereka mengunjungi pusat beli-belah CapitaLand di Malaysia.

Pelancaran pengalaman digital baharu ini menandakan satu pencapaian penting, serentak dengan ulang tahun ke-25 Kumpulan CapitaLand (CapitaLand) pada 2025. Sejak penubuhannya pada 2000, CapitaLand berada di barisan hadapan inovasi dan secara konsisten memanfaatkan transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan operasi serta mewujudkan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar dan bermakna bagi pelanggan serta peruncitnya.

“Menawarkan pengalaman runcit tanpa halangan adalah penting untuk menghubungkan pelanggan dengan peruncit kami. CapitaPlus merealisasikan visi ini, mencerminkan kecekapan CLI dalam mengadaptasi pendekatan digital-first yang bukan sahaja mempertingkat perjalanan pelanggan, tetapi juga menambah nilai kepada rakan niaga runcit kami serta memupuk ekosistem runcit yang mampan. Boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui laman web khas serta antara aplikasi mesra mudah alih, CapitaPlus menyampaikan pengalaman membeli-belah yang lancar dan menarik untuk pengguna yang sentiasa bergerak.”

-Selina Ng, Pengarah Urusan, CapitaLand Investment (Malaysia).

Mudah dan Lebih Ganjaran

Bermula Oktober, pelanggan boleh mendaftar secara percuma, membeli-belah di mana-mana pusat beli-belah CapitaLand yang mengambil bahagian, dan memuat naik resit untuk membuka pelbagai ganjaran secara serta-merta, termasuk e-baucar dan promosi eksklusif. Dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang, CapitaPlus akan terus memperluas cirinya dengan menawarkan penyertaan automatik untuk cabutan bertuah, keistimewaan tambahan untuk ahli Kids’ Club dan pelancong, serta rebat parkir dan rebat pembelian. Dengan beralih kepada penebusan digital, platform ini meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong matlamat kelestarian CLI dengan mengurangkan penggunaan kertas.

Memperkasa Peruncit, Meningkatkan Jualan

Bagi rakan kongsi runcit, CapitaPlus  adalah instrumen yang hebat. Melalui e-baucar, kempen tersasar dan data membeli-belah semasa, platform ini mampu merangsang jualan dalam kedai dan mengukuhkan interaksi antara pelanggan dan peruncit. Ia mengubah hubungan sewaan tradisional kepada perkongsian dinamik berasaskan data yang membolehkan peruncit berkembang dalam pasaran yang sangat kompetitif.

Inovasi Digital dengan Sentuhan Kelestarian

Pelancaran CapitaPlus menandakan langkah penting dalam strategi runcit CLI di Malaysia. Dengan peralihan daripada penebusan fizikal kepada digital, platform ini mengurangkan pembaziran kertas, memperkemas operasi dan mengukuhkan komitmen CLI terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Lonjakan digital ini meletakkan CLI sebagai peneraju dalam membentuk masa depan runcit, di mana kemudahan, komuniti dan kelestarian bergerak seiringan. 

Kempen Pelancaran

Bagi meraikan pelancaran CapitaPlus, CLI akan memberi ganjaran kepada ahli dengan pembelajaran tertinggi dengan pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan. Dari 3 Oktober hingga 2 November 2025, pembeli yang mendaftar CapitaPlus dan menyertai kempen “Top Spender Takes Off with ASEAN Explorer Pass” berpeluang memenangi AirAsia ASEAN Explorer Pass, yang menawarkan penerbangan tanpa had ke seluruh ASEAN selama setahun. Tujuh pembeli tertinggi di setiap pusat beli-belah yang mengambil bahagian akan diumumkan sebagai pemenang.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://member.capitaplus.com.my/