Bunyi jet berlepas pun kalah? Ini kekuatan bunyi sorakan Ultras Malaya dan penyokong lain

Dalam dunia bola sepak, tak semuanya mesti bincang pasal pemain, jurulatiah, taktikal pasukan atau pun harga pemain. Atau pun gossip pasal isteri pemain. Ia sangat luas hingga para penyokong pun dianggap bersama dalam dunia sukan ni. FIFA pun ada sediakan satu anugerah khas untuk penyokong-penyokong terbaik setiap tahun. Pada tahun 2018, pengundi-pengundi dah memilih penyokong negara Peru sebagai juara.

Kalau di Asia Tenggara ni, sorakan penyokong yang sentiasa mendapat perhatian semestinya dari Ultras Malaya atau pun Ekor Harimau Malaya. Malah, Fox Sport Asia dah meletakkan Ultras Malaya sebagai nombor satu di Asia Tenggara.

Sejuk perut ibu mengandung. Imej dari Semuanyabola

Sokongan padu ni nampaknya dah memberi ketakutan kepada pasukan lawan. Itulah yang terjadi kepada pasukan Myanmar waktu lawan Malaysia hari tu. Mula-mula jurulatih Myanmar, Antonie Hey cakap dia tak gentar dengan sorakan penyokong Malaysia. Sekali lepas kalah, dia mengakui sendiri pemain gugup dengan sorakan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tu.

Ukuran sorakan paling kuat sepanjang Piala AFF Suzuki 2018

Tak pernah tak gempak. Imej dari UM’07

Sepanjang Piala AFF Suzuki ni, kawan kami AirAsia ada buat ukuran bunyi sorakan yang ditunjukkan di page rasmi Piala AFF Suzuki. Kami nak tengok rekod sorakan 83,777 penyokong waktu Malaysia lawan Myanmar, tapi tak ada. Apa yang ada hanya:

*dB adalah decibel satu unit ukuran untuk bunyi bising

Untuk Malaysia, ada sekali yang ditunjukkan ukurannya, iaitu sewaktu perlawanan Malaysia lawan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan penonton seramai 12,127. Sorakan paling kuat berjaya dicatatkan adalah 117.0 dB sewaktu meraikan gol Mat Yo, dengan purata tahap bising sepanjang perlawanan, 94.3 dB.

Imej dari Eight Feet Deep

Walaupun keputusan untuk ukuran Malaysia lawan Myanmar tak ada lagi. Tapi, sepanjang Piala AFF Suzuki 2018 ni, perlawanan itu mencatatkan bilangan penonton paling ramai berbanding perlawanan yang lain. Jadi, korang boleh bayangkan sendirilah berapa tahap bingitnya tu.

Tahap-tahap bunyi dalam ilmu bunyi yang korang kena tahu

Jenis banyak taik telinga dia lain sikit gambarnya kami rasa. Imej dari Sihat.net

Tahap bising ni ada nilai normal dan berlebihan yang boleh menyebabkan kerosakan telinga. Bising yang normal berada pada tahap 60 hingga 70 dB. Bagi sesetengah orang, lebih 70dB dah kira bising.

Kalau rekod dalam Piala AFF Suzuki 2018 setakat ni, tahapnya adalah antara 114 dB hingga 118 dB. Korang mesti susah nak bayangkan ukuran ni kalau tak ada contohkan. Jadi kami bagi lah dua tiga contoh bawah ni:

  1. 100 dB dan ke atas adalah bunyi jet berlepas, sewaktu kita pada jarak 305 meter atau bunyi traktor ladang atau pun bunyi trak sampah.
  2. 110 dB dan ke atas adalah bunyi kipas turbo pesawat waktu berlepas, sewaktu kita jarak 200 kaki, atau pun bunyi waktu konsert rock secara live.
  3. 120 dB dan ke atas pula adalah bunyi dentuman guruh (thunderclap)
Imej dari Giphy

Setakat ni, kira tak ada lagi bunyi sorakan di Piala AFF Suzuki yang mencapai bunyi dentuman guruh kan. Cuma dah capailah tahap bunyi kipas turbo pesawat berlepas. Jadi kepada sesiapa yang nak bawa budak-budak kecik datang stadium dicadangkan pakaikan sekali benda ni ye.

Imej dari Babybanzsingapore

Kalau Malaysia dah gempak macam ni, macam mana pula agaknya tahap bingit yang pernah ada dalam arena bola sepak antarabangsa? Tak ada yang mustahil dalam dunia bola sepak ni, begitu juga sorakan penyokong. Sebab tu ada je rekod bunyi yang lebih kuat dari dentuman guruh (120dB). Tak percaya?

Sorakan paling kuat di dunia dicatatkan bukan dari pasukan kelab EPL, tapi…

Dua dari pasukan Big Four EPL, iaitu Liverpool dan Manchester United pernah merasai kebingitan ni sewaktu bertandang ke dua stadium yang berbeza di Turki. Antara catatan rekod kebisingan terkuat adalah sewaktu perlawanan pasukan tuan rumah, Besiktas bertemu dengan Liverpool dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara Eropah pada Oktober 2007.

Walaupun Stadium Inonu hanya boleh memuatkan kapasiti penonton berjumlah 32,145, tapi ketika perlawanan tu, sorakan penyokong mereka pernah mencatat 132 decibels (dB). Perlawanan ni menyaksikan terbenamnya kekuatan Liverpool apabila tewas kepada Besiktas 2-1.

Dalam perlawanan ni dilaporkan juga, penyokong Besiktas bersorak tanpa henti 2 jam sebelum perlawanan dan hanya berhenti seketika sahaja ketika ‘moment of silent’ mengenang askar-askar Turki diserang pengganas. Ni kami belanja sikit sorakan penyokong Besiktas sebelum perlawanan.

https://youtu.be/oiLk1V9ivVY

Pesaing utama sorakan penyokong Besiktas semestinyalah kelab gergasi Turki, Galatasaray. Pemain bintang macam Didier Drogba, Wesley Sneijder dan Felipe Melo pernah main kat sini.

Guinness World Records pernah mengiktiraf bahawa jeritan penyokong di stadium kelab ni sebagai paling kuat di dunia dengan 131.76 dBRekod ni dicatatkan ketika Galatasaray bertemu musuh ketat mereka, Fenerbahce di Turk Telecom Arena. Stadium ni boleh memuatkan kapasiti penonton sebanyak 52,650.

Kalau korang nak tau, pemain-pemain Manchester United zaman 1993 (zaman Eric Cantona) pernah merasai suasana stadium paling menggerunkan sepanjang kerjaya di Galatasaray. Semuanya bermula pada perlawanan pertama Man. United bertemu Galatasaray di Stadium Old Trafford. Ia berkahir seri 3-3 tapi, kejadian penjaga gol Man. United, Peter Schmeichel menarik keluar penyokong Galatasaray yang memasuki padang pastinya takkan dilupakan.

Sewaktu perlawanan timbal balik, pemain Manchester United tiba di lapangan terbang Turki dengan sorakan negatif dari penyokong Galatasaray.

Ni semua penghuni neraka ke? Imej dari Huffpost.

“Apabila United tiba di hotel mereka masih merasa tak selamat. Pallister (pemain Man. U) senyum dengan sopan kepada seorang bellboy. Bellboy itu tadi membalas dengan tunjuk jari, potong tengkuk.”- Petikan dari Huffington Post.

Pada perlawanan malam tu, memang Manchester United berdepan dengan suasana yang begitu bingit dan penuh emosi. Sampaikan Eric Cantona buat hal dan terus dilayangkan kad merah. Akhirnya perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dan secara agregatnya, Galatasaray layak ke pusingan seterusnya.

“Di sana terlalu banyak suar dan asap, sepertinya stadium itu sedang terbakar.”- Gary Neville, pemain Manchester United, petikan dari The Independent

Suasana neraka yang disediakan oleh penyokong Galatasaray. Imej dari Man Utd Stuff

Sorakan penyokong seumpama pemain ke-12 dalam sesuatu pasukan

Sejarah-sejarah sebelum ni dah membuktikan bahawa sokongan padu sesuatu pasukan boleh membantu menggerunkan pihak lawan. Itulah yang berlaku kepada Manchester United dan Liverpool yang tumpas di tangan kelab dari negara Turki. Dan, di Malaysia pula…

“Penyokong sayangkan pemain-pemain kita. Mereka mahu pasukan menang. Mungkin itu yang memberikan pemain semangat untuk meraih kemenangan.” – Tan Cheng Hoe, petikan dari Team Malaysia.

Ingat dalam hutan je ada Rimau? Imej dari Rojak Daily

Di negara kita, benda yang sama juga kita kena terapkan macam Ultras Malaya buat. Ya, memang betul kecergasan pemain serta taktikal memang penting, tapi kita semua pun manusia mestilah ada nilai-nilai emosi dalam diri termasuklah pemain. Itulah yang perlu diisi oleh kita sebagai penyokong untuk menyemarakkan semangat pemain tanah air dan menggentarkan pasukan lawan.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT