Budaya ‘guna kabel’? Ini sebab kenapa graduan dari keluarga B40, miskin susah dapat kerja

Belakangan ini, kita dikejutkan dengan satu post Instagram dari seorang tokoh pengaruh (influencer dalam bahasa Melayu). Dia kata, ramai orang kutuk dia dapat 7G dalam SPM – tak boleh berjaya. Tapi, dia nampaknya boleh berjaya sambil bergambar dengan sebuah kereta mewah. Perkara ni dah menimbulkan kemarahan di kalangan netizen yang menganggapnya memperlekehkan orang yang berilmu.

Katanya sambil lepak atas kereta tanpa tahu akibatnya. Imej dari akaun Instagramnya.

Bila lihat kejayaannya ni, ia mengingatkan kami kepada isu graduan dari keluarga B40, miskin yang berjaya dalam bidang ilmunya, tapi tak mendapat kerja dan kalau dapat kerja pun, gaji tidak masuk akal. Berdasarkan laporan suku pertama 2019 dari Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 516,600 orang yang masih mengganggur dan jumlah tu meningkat kepada 741,600 orang (setakat Oktober 2020) akibat pandemik yang melanda dunia tahun ini. Mereka ini susah sangat dapat kerja kerana…

Syarikat memperlekeh graduan B40, miskin yang tak fasih berbahasa Inggeris

Merekalah harapan nusa dan bangsa. Imej dari Babab.net.

Rakyat Malaysia sangat fasih dalam berbahasa Melayu kerana itulah bahasa kebangsaan kita dan digunakan pada setiap hari. Namun, terdapat segelintir golongan yang suka mengata orang kerana terlalu fasih bahasa Melayu sampai tidak boleh berbahasa Inggeris. Hal ini selalu diperlekehkan oleh syarikat swasta ketika graduan mahu minta kerja.

Menurut Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mana-mana syarikat swasta atau perbadanan tidak dibenarkan untuk mendiskriminasi para graduan dari kalangan keluarga B40, miskin yang memohon pekerjaan hanya kerana mereka tidak boleh berbahasa Inggeris.

Justeru, mereka perlu diberikan peluang pekerjaan dan latihan intensif bagi memperkukuhkan kefasihan bahasa Inggeris, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. Diskriminasi terhadap mereka ini sebenarnya antara salah satu faktor yang meningkatkan jumlah pengangguran.

“Syarikat swasta nampaknya enggan mengambil siswazah kategori ini dan alasan sering dikemukakan adalah kerana kelemahan bahasa Inggeris. Bagi korporat besar, apalah susahnya mereka memberi latihan intensif dalam bahasa Inggeris selama dua minggu kerana mereka ada asas (bahasa Inggeris) yang baik, sebelum memulakan pekerjaan.

____

Saya harap sektor swasta tidak terlalu leceh dan pandang rendah kerana ia akan membebankan sumber golongan rakyat yang ditimpa kesusahan.” – DS Anwar Ibrahim, petikan dari Berita Harian.

Datuk Shamsuddin Bardan pernah memberikan hujah tentang isu ini. Imej dari The Malaysian Reserve.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan pula berkata, masalah berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris adalah punca utama graduan Bumiputera (majoritinya golongan B40) tidak mendapat pekerjaan di sektor swasta.

Korang mesti akan pelik kerana walaupun 90% syarikat swasta di Malaysia menwarkan peluang pekerjaan, tetapi ramai graduan Bumiputera tidak berjaya mendapat kerja di situ atas alasan tidak fasih berbahasa Inggeris.

Walaupun pengalaman dan skill padu tetapi tetap ditolak. Imej dari Imgflip.

Berdasarkan laporan berkaitan pengambilan belia bekerja di Malaysia, karya Dr. Hwok-Aun Lee dari Institut Pengajian Asia Tenggara-Yusof Ishak (ISEAS), majoriti masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dari segi mobiliti pasaran kerja dan taraf pendidikan.

Kata Shamsuddin lagi, sikap graduan yang takut untuk berbahasa Inggeris atas alasan dikecam adalah punca mereka gagal menguasai bahasa itu.

“Tidak perlu takut atau segan kerana bila sudah mahir, yang dapat manfaatnya adalah mereka juga. Syarikat boleh membentuk dan memberi (latihan) kemahiran lain kepada mereka.” – Shamsuddin Bardan, petikan dari FMT.

Graduan B40 tewas dengan golongan yang minta kerja guna ‘kabel’

Kes surat sokongan dari Timbalan Menteri Pertahanan tu. Imej dari Twitter.

Korang masih ingat lagi dengan isu surat sokongan yang ditulis Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, supaya anaknya dapat jawatan ahli lembaga pengarah Pharmaniaga. Sebenarnya, perkara macam inilah yang jadi salah satu sebab kenapa graduan dari keluarga B40 dan miskin susah untuk dapat kerja. Kita boleh mendefinisikannya sebagai budaya ‘guna kabel’ atau nepotisme.

Berdasarkan kajian dari UNIMAS, nepotisme bermaksud pelantikan kerja dari kalangan anak saudara atau saudara-mara lain berdasarkan hubungan dan bukannya kelayakan seseorang. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai proses pengambilan dan proses pemilihan, promosi, penyediaan keadaan kerja yang lebih baik serta keuntungan yang serupa tanpa mengira pengetahuan, kebolehan, kemahiran, tahap pendidikan dan pengalaman tetapi disebabkan hubungan kekeluargaan mereka.

Marahlah brader kalau kerja pakai kabel. Imej dari giphy.

Perkara ni bukan rahsia lagi, dan telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat sejak sekian lama. Walaupun tidaklah seteruk dulu, kes guna kabel masih lagi berlaku.

Hal ini pernah dihujahkan oleh Presiden Parti Muda, Syed Saddiq. Menurut beliau, negara kita mengambil orang bekerja dengan menggunakan hubungan kroni dan tidak mengambil kira sistem merit.

Beliau juga berkata, kalau di luar negara korang mudah untuk mendapat kerja kerana di sana, mereka menilai kerajinan. Namun, kalau di Malaysia lain sikit kerana ramai orang dapat kerja melalui hubungan kroni dan politik.

“Negara luar lihat merit, Malaysia lihat kroni. Di luar sana, ruang dan peluang tersedia kepada mereka yang berusaha keras dan ikhlas menjalankan tanggungjawab kepada komuniti. Jika anda rajin, pasti ada ruang untuk diisi. Tetapi di Malaysia, lain ceritanya. Jika anda tidak ada hubungan politik, hubungan dengan kroni atau sendiri menjadi ahli politik, ruang untuk anda memimpin itu sangat sukar.” – Syed Saddiq, petikan dari Projekmm.

Oh ye, korang masih ingat lagi tak isu 17,000 lantikan politik dalam Kerajaan telah diberhentikan sebelum ini? Sebenarnya ia telah menerima tamparan maut oleh sebahagian besar netizen kerana mereka ini dikatakan mendapat kerja melalui ‘kabel‘. Hal ini kerana 17,000 pekerja itu telah dikecam oleh netizen kerana bangga berhenti kerja padahal dulu dapat kerja pun pakai ‘kabel’.

Ciapan marah mengenai isu yang berkaitan. Imej dari Twitter.

Jangan berharap Skim Jana Kerja sepenuhnya, tapi cipta pekerjaan

Tengku Zafrul ada menyatakan Skim Jana Kerja ketika pembentangan Belanjawan 2021. Imej dari Astro Awani.

Semasa pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz memperkenalkan Skim Jana Kerja yang membabitkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion.

Pada masa yang sama, Kerajaan turut melaksanakan inisiatif pengambilan pekerja dibawah PERKESO yang dikenali sebagai “PenjanaKerjaya“. Buat yang tak tahu, PenjanaKerjaya adalah bertujuan merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari kerja tempatan.

Beliau berkata,  ia akan melibatkan empat penambahbaikan. Salah satunya ialah insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

“Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur, berikutan pendemik COVID-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989. Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020.” – Tengku Zafrul, petikan dari Bernama

Memandangkan kadar pengangguran tinggi, graduan sepatutnya mencipta kerja untuk menjana kehidupan berbanding menjadi seorang ‘pencari kerja’. Mereka mungkin boleh menceburi bidang baru memandangkan dunia sedang mengalami arus pemodenan teknologi baru dan Industry Revolution 4.0.

Contohnya, berniaga secara dalam talian, membuat kelas tuisyen berbayar secara dalam talian, penulis resume, menjadi ahli transkripsi serta macam-macam lagi. Apa kata korang kongsikan pengalaman bekerja yang menggunakan teknologi baru?