Jawapan pendek: Ya betul, tapi caj dekat peniaga.
Baru-baru ni tular di medsos sekerat e-mel daripada RHB Reflex tentang pengenalan caj transaksi (transaction fee) untuk Duitnow QR bermula 1 November. Ni salah satu tangkap layar yang berkeliaran (klik untuk tengok gambar penuh):
Wtf is up with the banks now. Charging a transaction fee for DuitNow QR transactions is just top tier rubbish move. pic.twitter.com/F4MTheAKEh
— Anu (@anuravindaran) September 26, 2023
Dalam e-mel tersebut, RHB Reflex kata yang caj transaksi sebanyak 0.25% nilai transaksi akan dikenakan bagi penggunaan DuitNow QR bagi akaun simpanan, semasa, dan e-Wallet; dan 0.5% nilai transaksi akan dikenakan bagi kad kredit.
Sejak DuitNow QR giat dipromosi bermula 2019, dah ramai yang pakai, hinggakan kami beli pisang goreng pun pakai QR sekarang. Jadi tak hairan jika ramai yang menggelabah. Tapi menurut syarikat yang mengendalikan DuitNow QR ni…
Caj ni memang dah ada, cuma dikecualikan sekejap untuk promosi
Selepas perkara ni giat dibincangkan, PayNet (Payments Network Malaysia Sdn Bhd), syarikat yang mengendalikan DuitNow QR, tampil memberi pencerahan.
Caj transaksi yang heboh diperkatakan ni sebenarnya digelar Merchant Discount Rate (MDR), atau Kadar Diskaun Peniaga, dan ia selalunya dikenakan ke atas peniaga untuk urusan bukan tunai (macam kad kredit, debit, dan DuitNow QR) oleh syarikat yang uruskan jenis bayaran tersebut (PayNet). Nak senang faham, DuitNow QR ni sejenis perkhidmatan atau kemudahan, dan MDR ni macam bayaran untuk menggunakan kemudahan tersebut.
Menurut PayNet, MDR yang diterima akan dikongsi oleh PayNet dan bank berkaitan untuk menampung kos penyelanggaraan mereka dan kos yang dikeluarkan bank-bank untuk menarik peniaga menggunakan DuitNow QR ni.
Tapi kenapa sekarang? Masa bayaran QR mula diperkenalkan (2019), MDR dikecualikan untuk merangsang para peniaga gunakan servis ni. Disebabkan pandemik, MDR ditangguhkan lagi sampai sekarang.
“(MDR) bukanlah caj baru atau caj tambahan. Sepatutnya, 1 Oktober 2023 adalah tarikh akhir pengecualian MDR yang sepatutnya diberhentikan lebih 9 bulan dahulu,”
-terjemahan dari kenyataan media PayNet.
Jadi disebabkan yang dibawa kembali adalah MDR, caj ini cuma akan dikenakan ke atas peniaga jika korang bayar pakai DuitNow QR. Kalau korang bagi duit kat member pakai DuitNow gunakan akaun peribadi, caj ni tak dikenakan.
Walaupun macam tu…
Ramai yang bimbang caj ini akan membebankan peniaga
Selepas pengumuman MDR ini dibuat, ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka. BERJASA, contohnya, risau yang pengguna bakal menjadi mangsa keadaan kerana peniaga sudahpun dibebani kenaikan harga barangan.
“(Harga barang) juga dijangka akan meningkat lagi, ditambah lagi caj 0.25 peratus ke atas pendapatan mereka, dan sekali gus menyebabkan kos ini dipindahkan kepada pengguna, yang akhirnya mengakibatkan kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan dalam pasaran,”
– Mohd Hamdan, Ketua Pemuda BERJASA, dipetik dari IsmaWeb.
Wee Ka Siong, presiden MCA, pula menyatakan bahawa caj 0.25% yang dikenakan sangat mahal berbanding caj MDR yang dikenakan untuk kad debit, dan ini tidak adil memandangkan yang akan terkesan dengan caj ini adalah peniaga kecil atau gerai tepi jalan.
PayNet ada mengatakan yang mereka tak rasa yang harga barangan akan naik selepas MDR dikuatkasakan untuk DuitNow QR, tapi mereka akan mewujudkan dana simpanan menggunakan MDR yang dikutip untuk menggalakkan pemeroleh (acquirer, badan-badan yang memproses transaksi bukan tunai untuk pihak bank) untuk tak kenakan caj kepada perusahaan-perusahaan kecil.
Selain itu, beberapa bank dah mengeluarkan kenyataan yang mereka akan menangguhkan MDR buat masa terdekat. CIMB dikatakan akan menangguhkan MDR bagi DuitNow QR sehingga hujung tahun ini, manakala Public Bank mengumumkan yang mereka akan tangguhkan MDR untuk penerimaan bayaran QR (kecuali untuk sesetengah kad kredit) sehingga diberitahu kemudian.
Maybank juga menyatakan yang mereka tak bercadang untuk kenakan caj pada peniaga yang menggunakan DuitNow QR dalam masa terdekat.