- 118Share sekarang!
- Email3
- Facebook115
- Share
Sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua (WWII) dan beberapa tahun selepas itu, boleh dikatakan masih banyak negara di dunia ini yang dijajah. Negara-negara itu hanya merdeka selepas berlakunya kebangkitan rakyat dan rasa ketidakmampuan penjajah untuk meneruskan penjajahan.
Dan hal itu jugalah yang menimpa kebanyakan negara Afrika yang dijajah kuasa asing – khususnya Perancis. Bagaimanapun, apa yang memelikkan adalah dilaporkan sehingga kini ada negara-negara Afrika bekas jajahan Perancis yang masih memberikan duit ke negara itu dan ia selalunya dipanggil sebagai Cukai Penjajah (Colonial Tax).
Tapi, betul ke dakwaan ni dan kenapa pula negara yang dah merdeka perlu bagi duit kepada bekas penjajahnya?
Bekas negara jajahan kena simpan 50% rizab pertukaran asingnya dalam Bank Perancis
Setiap negara yang dijajah sudah pasti mahukan kemerdekaan dan pemerintahan sendiri. Namun, keadaannya agak lain sikit kepada beberapa buah negara bekas jajahan Perancis di Afrika Barat dan Afrika Tengah. Ini kerana, sebelum mereka diberikan kemerdekaan, mereka dah tandatangan perjanjian dengan Perancis.
Perjanjian itu kemudiannya mengikat sistem pendidikan, ketenteraan dan komersial negara-negara ini dengan negara bekas penjajahnya. Antara kewajiban yang dikenakan Perancis terhadap negara-negara ni adalah:
- Bayar infrastruktur yang dibina di zaman penjajahan Perancis.
- Perancis mempunyai hak terawal untuk membeli sumber semula jadi yang ditemui.
- Pegawai tentera kanan dilatih di Perancis.
- Mereka harus menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan
- Menyimpan 50 peratus rizab pertukaran asing mereka di Perbendaharaan Perancis (Bank Perancis).
Sebenarnya ada banyak lagi syarat yang ditetapkan, tapi ini antara yang paling utama. Kalau korang perasaan, syarat yang ke-5 tu agak pelik sikit, sebabnya negara-negara ni kena simpan 50% rizab pertukaran asing mereka di Bank Perancis. Semua ni bermula pada tahun 1945 apabila Perancis memperkenalkan satu sistem mata wang yang dipanggil sebagai Komuniti Kewangan Afrika (CFA Franc) melibatkan negara-negara bekas jajahannya di Afrika. Mata wang ini juga disatukan dengan mata wang Perancis, sebelum diikat dengan Euro.
Sebenarnya ada dua versi CFA Franc ni, satunya adalah Kesatuan Ekonomi Afrika Barat (WAEMU) – Benin, Burkina Faso, Côte D’Ivoire, Guinea-Bissau, Mali, Niger, Senegal, Togo dan satu lagi Kesatuan Ekonomi Afrika Tengah (CEMAC) – Cameroon, Chad, Central African Republic, Equatorial Guinea, Gabon dan Republic of Congo. Jadi, jumlah negara yang gunakan CFA Franc ni 14 buah negara.
Akan tetapi, ada dua negara dalam senarai ni yang bukan bekas jajahan Perancis, negara itu ialah Guinea-Bissau (bekas jajahan Portugal) dan Equatorial Guinea (bekas jajahan Sepanyol). Namun, kedua-dua negara ni kemudiannya menyertai zon CFA Franc dan menggunakan mata wang ni.
Dengan menggunakan sistem ini, Perancis akan menyimpan 50% rizab pertukaran asing negara-negara berkenaan dalam bank mereka. Syarat Perancis ni dah membuatkan ramai pihak menggelarkannya sebagai salah satu cara penjajahan baru dan tak kurang juga yang memanggilnya sebagai “Cukai Penjajah”.
Pakar ekonomi dari Senegal, Ndongo Samba Sylla pernah berkata – rizab pertukaran asing yang dipegang oleh Bank Perancis disimpan pada kadar faedah yang lebih rendah iaitu sebanyak 0.75% berbanding kadar inflasi Perancis sendiri, yang berada pada sekitar 1.6%.
“Seolah-olah negara-negara Afrika ini membayar bank-bank Perancis untuk menyimpan wang mereka.” – Katanya, dipetik dari New York Times.
Tapi, ada juga yang berpandangan positif tentang sistem ini
Disebabkan ia kedengaran agak tak masuk akal, maka ada salah sangka tentang sistem ni. Salah satunya adalah apabila ramai menyangka yang duit tu tak boleh dikeluarkan balik selepas disimpan dalam Bank Perancis. Tapi menurut laporan BBC, duit yang disimpan dalam akaun operasi itu boleh dikeluarkan bila negara-negara tu mahu.
Dakwaan sesetengah pihak yang kata negara-negara ni bagi lebih $500 billion ke Bank Perancis setiap tahun juga nampaknya masih lagi dipertikaikan. Sebabnya, jumlah tu dilihat terlalu besar, jika nak dibandingkan dengan kemampuan ekonomi negara-negara berkenaan. Sebagai contoh, pada tahun 2017 – Perancis hanya terima sekitar $10.3 bilion dari negara CFA Franc.
Walaupun berdepan kritikan, masih ada pihak yang kata CFA Franc ni baik sebab ia didakwa memberikan kestabilan ekonomi kepada negara-negara membangun ini. Malah, ada yang berpandangan hal tu penting sebab negara-negara ini pun ada masalah kepercayaan antara satu sama lain dan simpan di Bank Perancis dilihat cara yang lebih selamat.
“Inflasi, misalnya, cenderung lebih rendah di negara-negara CFA daripada di tempat lain di Afrika.” – John Ashbourne, pakar ekonomi. Dipetik dari BBC.
Ada beberapa pemimpin yang cuba memansuhkannya sebelum ini, tapi semuanya menemui kegagalan
Walau apa pun alasannya, sistem ni masih lagi dilihat negatif kerana Perancis masih mempunyai pengaruh kuat dalam sistem kewangan negara bekas jajahannya. Oleh itu, sejarah telah mencatatkan beberapa orang pemimpin yang tampil menentang dan cuba memansuhkannya.
Antaranya adalah Presiden Pertama Togo, Sylvanus Olympio yang pada mulanya bersetuju untuk bayar hutang tahunan kepada Perancis atas pembangunan yang negara tu buat semasa menjajah Togo. Tapi, menjelang tahun 1963 keadaan bertambah sukar – sebab hutang tahunan tu dah mencecah hampir 40% bajet negara berkenaan.
Hal ni membuatkan, Olympia buat keputusan meninggalkan CFA Franc dan nak cipta mata wang sendiri untuk Togo. Malangnya, tak lama lepas tu dia dia dah ditawan dan dibunuh oleh sepasukan tentera yang didakwa disokong Perancis.
Pada 1962, Presiden Pertama Mali, Modibo Keita juga buat keputusan sama untuk keluar dari CFA Franc dan cuba condong ke sistem ekonomi sosialis. Tapi, pada tahun 1968 – sama seperti Olympia, Keita dah digulingkan dalam satu rampasan kuasa yang juga didakwa disokong oleh Perancis. Dia kemudiannya meninggal dunia dalam penjara.
Reformasi mata wang: 8 negara Afrika Barat tak akan simpan lagi wang mereka di Perancis
Pada tahun ini, lapan negara Afrika Barat dah melakukan reformasi dalam sistem mata wang mereka dengan memperkenalkan mata wang sendiri yang dipanggil sebagai Eco. Negara-negara itu adalah Benin, Burkina Faso, Cote d’Ivoire, Guinea-Bissau, Mali, Niger, Senegal and Togo. Dengan reformasi ini, negara-negara berkenaan tak perlu lagi bagi separuh dari rizab pertukaran asingnya kepada Perancis.
Dalam masa sama, wakil-wakil Perancis yang ditempatkan dalam badan-badan kewangan kerajaan juga akan dimansuhkan. Namun, Perancis masih memainkan peranan sebagai ‘penjamin kewangan’ terhadap mata wang Eco.
“Walau bagaimanapun… Perancis akan mempunyai hak untuk melantik ahli bebas dari Jawatankuasa Dasar Monetari untuk memantau rizab CBWAS (Bank Pusat Negara-negara Afrika Barat) dan wakil Perancis akan diperkenalkan kembali dalam Jawatankuasa Dasar Monetari jika tahap rizab jatuh terlalu rendah…” – Dipetik dari Clifford Chance.
Dalam pada itu, penggunaan Eco secara menyeluruh di Afrika Barat dijangka akan mengambil masa beberapa tahun lagi, akibat penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan ekonomi. Ada yang kata, ia mungkin boleh mencecah lima tahun. Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin lapan negara berharap yang mata wang itu akan terlaksana pada akhir tahun ini.
Manakala, enam negara Afrika Tengah masih lagi menggunakan CFA Franc dan meneruskan syarat-syarat seperti sedia ada. Tapi, dimaklumkan yang negara-negara ini juga akan melalui proses seperti di Afrika Barat secara berperingkat. Sumber turut mengatakan yang caranya nanti agak sama, tapi mungkin mata wang itu yang akan berbeza.
- 118Share sekarang!
- Email3
- Facebook115
- Share