- 266Share sekarang!
- Email6
- Facebook260
- Share
Baru-baru ni, Belanjawan 2020 dah dibentangkan sebagai kerangka peruntukan belanjawan oleh pihak kerajaan untuk tahun 2020 akan datang. Dengan bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, ia merangkumi empat teras utama untuk memastikan kelestarian kewangan rakyat serta kemajuan ekonomi Malaysia.
Dengan peruntukan bajet lebih kurang RM297 bilion yang dirangkakan untuk pelan kewangan tahun 2020, banyak inisiatif baru dan penambahbaikan diperkenalkan. Antaranya dalam inisiatif yang diperkenalkan iaitu MalaysiaKerja yang merangkumi GraduanKerja, WanitaKerja, WatanKerja dan PerintisKerja yang bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing.
Belanjawan 2020 kenalkan pendekatan ‘Insentif Kesuburan’ untuk semua
Dalam Belanjawan 2020 tu, inisiatif MalaysiaKerja yang diperkenalkan jugak menjurus kepada tumpuan terhadap permasalahan golongan wanita khususnya selain tumpuan jugak diberikan kepada graduan lepasan institusi pengajian tinggi dan belia.
Tambahan lagi, belanjawan tu jugak memberi tumpuan yang menyeluruh pada pembangunan modal insan serta perangkaan usaha untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan negara dan ekonomi Malaysia. Banyak jugak kelebihan yang dirancang untuk semua penduduk negara kita yang merangkumi pelbagai usia.
Dan, apa yang menariknya kali ni adalah Belanjawan 2020 yang dibentangkan tu banyak memberi tumpuan dan insentif yang disediakan adalah khas untuk menyelesaikan masalah golongan wanita di samping tawaran pekerjaan semula yang diperuntukkan. Insentif yang kitaorang rasa sangat membantu dan menarik bagi wanita adalah Insentif Kesuburan. Ia menerusi pengeluaran baru yang diperkenalkan dalam KWSP akan datang.
Insentif tu memperuntukkan modal sehingga RM10,000 untuk setiap pasangan yang nak buat rawatan secara IVF (in-vitro fertilization). Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6000 jugak akan diberikan kat pasangan yang buat rawatan ni dan rawatan perubatan untuk penyakit serius yang lain. Maksudnya selain pasangan yang buat IVF ni, orang lain yang buat rawatan untuk penyakit serius yang lain pun akan dapat pelepasan cukai RM6000 jugak.
“Oleh itu, bagi membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan, KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti IVF,” – Lim Guan Eng, Menteri Kewangan, sumber dari Sinar Harian.
Punca insentif ni diperkenalkan adalah daripada kebimbangan penguncupan populasi masyarakat kat Malaysia yang berlaku akan datang. Sebab tu lah insentif macam ni diperkenalkan, tapi bukan tu je, cuti bersalin 90 hari tu jugak merupakan salah satu insentif untuk rawatan situasi ni. Iaitu melalui tempoh tu, ia akan jadikan seseorang tu lebih produktif dan dapat berikan perhatian lebih kat bayi diaoranglah.
Namun, kadar kesuburan dah berkurang lebih kurang 3 kali gandalah…
“Hari ini kadar kesuburan di Malaysia menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada tahun 70-an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian,” – Lim Guan Eng, sumber dari Berita Harian
Selain tu, inisiatif untuk memberikan peluang pekerjaan pada golongan wanita yang berumur 30 hingga 50 tahun ke pasaran kerja semula sebenarnya dapat berikan hak kesaksamaan jantina yang mampu membantu dalam pembinaan ekonomi negara yang stabil. Peruntukan RM30 juta jugak diberikan untuk kemudahan penjagaan kanak-kanak kat tempat kerja sangat membantu golongan wanita untuk terus berkerjaya tanpa perlu fikir pasal hal penjagaan anak-anak diaorang.
Sebelum ni, ramai yang tahu mengenai isu kebanyakan wanita tak bekerja sebab diaorang nak jaga anak diaorang sendiri dan jugak kos penjagaan yang mahal menyebabkan diaorang lebih rela korbankan kerja atas desakan ekonomi sekarang. Tapi dengan adanya kemudahan yang macam tu, ia membolehkan wanita untuk bekerja balik.
“Ketika ini, kira-kira 2,563,800 wanita negara ini tidak bekerja berikutan mereka tiada pilihan selain terpaksa akur bagi menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah dan mengambil komitmen menguruskan rumah tangga serta keluarga.
“Faktor ibu tidak bekerja kerana kos penjagaan anak mahal, memaksa mereka menjaga sendiri.” – Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Wanita (WAO), sumber dari Harian Metro.
Dan tak kurang jugak pindaan Akta Kerja yang merangkumi cuti bersalin, perlindungan gangguan seksual yang lebih baik dan melarang apa-apa bentuk diskriminasi terhadap gender, bangsa dan agama kat tempat kerja.
Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya ada masalah kesuburan
Kat atas tu kitaorang ada bagitahu yang punca insentif tu dikenalkan adalah disebabkan kadar kesuburan dan penguncupan populasi masyarakat Malaysia yang semakin menurun dan membimbangkan. Dan, sebab tu lah pendekatan yang macam tu diberikan tumpuan khas kat negara ni.
Berdasarkan rekod dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), statistik menunjukkan dari tahun 2010 hingga ke tahun 2015, kadar kesuburan pasangan kat Malaysia menurun dengan mendadak dan merosot. Ia direkodkan statistik bilangan kanak-kanak dalam setiap isi rumah adalah 1.97 dalam tempoh tahun tersebut.
Dan ia akan jadi lebih merosot pada tahun 2020 ke tahun 2050. Dan pada tempoh tahun tu, dijangka statistik kanak-kanak yang ada untuk setiap isi rumah hanya berjumlah 1.90 dan semakin teruk pada 2050 iaitu hanya 1.72 je. Korang tak risau ke untuk generasi akan datang nanti?
Pada tahun 2071, penduduk Malaysia akan mencapai jumlah kemuncak iaitu 46 juta orang sebelum akan mengalami penguncupan penduduk yang sangat teruk pada tahun 2072 nanti (tak tahu lah kitaorang ada lagi ke tak ?). Dan faktor kesuburan dan penguncupan ni lah secara tak langsung akan menjejaskan ekonomi dan pembangunan negara dalam tempoh akan datang.
“Kadar itu berada di bawah paras penggantian 2.1 anak, iaitu purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya adalah tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan juga pasangannya.
“Ini adalah disebabkan bilangan kelahiran hidup yang direkodkan pada 2016 menurun kepada 508,203, berbanding 521,136 pada 2015, iaitu penurunan sebanyak 2.5 peratus,” – Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, sumber dari Utusan Borneo.
Kadar kelahiran dan kesuburan ni jugak bergantung pada faktor pasangan tu sendiri. Dalam statistik menunjukkan purata umur ibu kat Malaysia yang melahirkan anak sulung diaorang adalah dalam lingkungan 27.7 tahun ke atas.
“Secara amnya, peningkatan purata umur ibu pada kelahiran pertama memberi indikasi terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin singkat,” – Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, sumber dari Utusan Borneo.
Statistik jugak menunjukkan yang satu daripada enam pasangan kat Malaysia ni mengalami masalah kesuburan dan semakin ramai yang mendapatkan rawatan ni secara konsisten. Tapi kebanyakan orang yang mendapatkan rawatan kesuburan ni berusia 36 tahun ke atas.
Bila dalam lingkungan umur yang macam tu, sebenarnya tahap kesuburan wanita mula menurun. Dan peluang untuk mengandung melalui rawatan kesuburan dan kaedah IVF bagi wanita berumur 35 tahun ke atas adalah dalam lingkungan peratusan 60 hingga ke 70 peratus. Dan bila yang buat IVF tu berusia 40 tahun ke atas, peluang untuk rawatan tu berjaya semakin berkurangan hingga ke 20 peratus.
Walaubagaimanapun, masalah kesuburan ni bukanlah tertumpu kat wanita je. Kaum lelaki pun sama jugak yang didapati satu daripada lima lelaki mengalami masalah ketidaksuburan ni dan ia semakin meningkat setiap tahun.
Tapi, disebabkan rawatan kesuburan dan kos rawatan IVF yang mahal, ia menjadi penghalang utama bagi kebanyakan pasangan untuk dapatkan rawatan khas ni. Ia didapati menelan belanja mencecah 30 hingga 50 peratus jika dibandingkan dengan pendapatan tahunan diaorang. Oleh sebab faktor ni lah, kerajaan mewujudkan langkah intervensi dengan memperkenalkan insentif kesuburan ni melalui pengeluaran KWSP terhadap rawatan kesuburan yang dijalankan oleh setiap pasangan.
Proses ‘penuaan’ Malaysia lebih cepat dari negara tua lain
Walaupun secara kasarnya bilangan penduduk Malaysia semakin bertambah, tapi hakikatnya kadar pertumbuhan kat Malaysia akan menurun. Ditambah dengan faktor ekonomi dan persekitaran yang membantutkan pertumbuhan jugak menjadikan keadaan semakin teruk dan satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi dengan warga tua. Ini dipengaruhi jugak daripada faktor kesuburan dan kelahiran kat Malaysia ni.
“Penurunan pesat kadar kesuburan penduduk ini sekaligus mempercepatkan proses penuaan penduduk yang mana Malaysia dijangka menjadi ‘negara tua’ pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.
“Perkara ini akan menyebabkan negara bakal kekurangan sumber tenaga kerja yang lebih serius sehingga menjejaskan pembangunan negara,” – Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sumber dari Sinar Harian.
Dan Malaysia jugak merupakan negara paling cepat yang akan mengalami penguncupan rakyat dan akan dipenuhi dengan warga tua jika nak dibandingkan dengan negara tua lain. Ia disebabkan kurangnya kelahiran baru dan jumlah kanak-kanak yang berpunca daripada faktor kesuburan dan kadar kelahiran yang semakin berkurangan setiap tahun.
Tapi, sekarang ni Malaysia tak bersedia lagi nak menghadapi isu tu memandangkan fokus negara kita banyak kat perkara yang lain. Dan sekarang ni, kat negara kita takde apa-apa perancangan untuk jangka masa panjang terhadap apa yang akan berlaku akan datang. Kalau negara kita penuh dengan warga tua, sekali gus pembangunan ekonomi jugak terbantut disebabkan kurangnya tenaga kerja.
“Jika dibandingkan negara lain, Perancis mengambil masa 115 tahun untuk menjadi negara tua, Amerika Syarikat pula 70 tahun, United Kingdom 45 tahun dan Afrika Selatan 40 tahun.
“Keadaan di Malaysia berlaku lebih pantas dan dasar semasa pula tidak bersedia sama sekali untuk menghadapi situasi ini,” – Dr Muhammed Abdul Khalid, Ketua Ekonomi DM Analytics, sumber dari Berita Harian.
Jadi, sekarang ni insentif kesuburan tu dikenalkan sebagai salah satu persediaan dan cara untuk atasi masalah tu akan datang. Tapi, kita tunggu dan lihatlah macam mana kalau panjang umur nanti (hehe).
KWSP berikan insentif secara menyeluruh untuk sesebuah keluarga
Pendekatan secara inklusif daripada kerajaan yang membolehkan setiap penduduk menikmati kemudahan daripada KWSP terhadap rawatan kesuburan ni secara tak langsung membantu pertumbuhan sosial dan demografi negara. Ia juga meliputi kemudahan yang menyeluruh untuk sesebuah keluarga.
“Kami menyedari kanak-kanak mempunyai faedah langsung dan tidak langsung untuk keluarga. Oleh itu, KWSP menyokong sepenuhnya dan secara aktif akan mencari jalan untuk mengimbangi keperluan antara keselamatan kewangan dan kesejahteraan sosial.” – Tunku Alizakri Alias, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, sumber dari FMT.
Menerusi KWSP, ia membenarkan penyumbang mendapatkan rawatan tu tanpa rasa terbeban dengan kos yang tinggi dengan membolehkan penyumbang membuat pengeluaran di bawah Akaun 2 dalam akaun KWSP masing-masing. Ia secara tak langsung menyumbang kepada kesejahteraan dan pertumbuhan sosial.
- 266Share sekarang!
- Email6
- Facebook260
- Share