- 2.8KShare sekarang!
- Email28
- Facebook2.8K
- Share
Korea memang sinonim dengan K-Pop dan K-Drama. Bagi peminat K-Pop, perkara pertama yang akan terlintas dalam fikiran adalah isu kematian penyanyi dari Kumpulan Shinee pada akhir tahun 2017. Lain pula bagi peminat K-drama, pasti korang akan terbayang drama Goblin dengan wajah kacak Gong Yoo. Kalau orang yang suka melancong pula, sudah pasti akan terbayang keindahan Pulau Nami atau Pulau Jeju, sambil ‘feeling-feeling’ main salji ala-ala drama Winter Sonata.
Dari tahun 2000 hingga 2016, statistik menunjukkan semakin ramai pelancong yang datang ke Korea. Untuk pelancong Malaysia, pada tahun 2015, orang kita yang datang ke sana adalah berjumlah 223,350 dan tahun 2014 lebih ramai dengan 244,520 orang.
Netizen yang datang ke Korea bukan untuk melancong semata-mata, ada juga yang menziarahi keluarga yang menetap di Korea, ada yang melanjutkan pelajaran dalam kursus jangka masa pendek atau program pertukaran pelajar. Ada individu yang menggunakan keistimewaan tinggal di Korea selama 90 hari untuk mencari pekerjaan dan tidak kurang juga yang ingin mencari jodoh. Tapi, mungkin ramai tak tahu yang Korea ada sejarah Islam disebalik kemegahan dinastinya yang pernah wujud.
Islam wujud di Korea sejak Dinasti Goryeo
Kebanyakan korang mesti pernah dengar nama Kim-Fad, Karled-Leesul dan Ayana Moon kan? Diorang antara orang Korea yang memilih untuk menganut agama Islam atau orang selalu sebut sebagai ‘Muslim-convert’.
Memang benar sebahagian besar daripada masyarakat Korea tak menganut apa-apa agama tetapi korang tahu tak agama Islam sudah wujud di semenanjung Korea sejak zaman Dinasti Goryeo lagi?
Pedagang Arab dan Parsi dah memperkenalkan Islam buat pertama kalinya pada abad ke-9. Pada abad ke-11 pula, sebuah masjid di bandar Kaesong, ibu kota kerajaan Dinasti Goryeo dah dibina oleh pedagang Arab yang menetap di Korea. Walaupun pada asalnya, mereka hanya datang ke Korea untuk berniaga. Pada tahun 1270 pula merupakan tahun kemasukan Muslim ke Korea apabila Kerajaan Mongol berjaya menakluki negara itu.
Ketika berlakunya penjajahan Jepun di Korea pada tahun 1910, lebih dari sejuta orang masyarakat Korea yang lari ke negara China dan berjumpa dengan masyarakat Cina-Muslim di sana. Sebahagian mereka yang memeluk Islam dan pulang ke Korea setelah tamatnya penjajahan Jepun pada tahun 1945.
Ketika berlakunya Perang Korea pada tahun 1950 hingga tahun 1953, Korea Selatan telah mendapat pertolongan daripada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dalam memerangi Korea Utara. Selain daripada Amerika Syarikat, Turki juga membantu Korea Selatan dengan menghantar lebih daripada 5000 orang askar. Sejak itu terjalinlah hubungan antara Turki dan Korea Selatan.
Islam berkembang di Korea walaupun tak pesat
Pada tahun 2014, kajian dari Midlle East Institute mendapati terdapat dua golongan Muslim di Korea iaitu komuniti tradisional dan komuniti pendatang. Komuniti tradisional adalah masyarakat Korea yang memeluk agama Islam dan kebanyakan dari mereka mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan ada juga yang menyambung pelajaran di negara-negara Islam. Merekalah golongan yang banyak membantu dalam memperkembangkan Islam di Korea.
Golongan kedua merupakan komuniti pendatang dari Timur Tengah, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Tengah. Pada tahun 2012, sebanyak 113,266 orang pendatang Muslim (pendatang secara sah dan tak sah) yang menetap di Korea. Dari populasi itu, sebanyak 4,937 orang adalah pelajar Muslim yang datang dari pelbagai negara Islam.
The Islamic Monthly melaporkan, terdapat lebih kurang 250,000 orang Muslim di Korea daripada populasi penduduk sebanyak 51 juta orang pada pertengahan tahun 2017. Manakala jumlah pelancong Muslim ke Korea pula meningkat sebanyak 33% pada tahun 2016 berbanding 2015.
Imam A.Rahman Lee Ju-Hwa dari Korea Muslim Federation mengakui bahawa kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk Muslim di tempat-tempat awam adalah suatu perubahan yang penting dalam masyarakat Korea. Kalau dulu kemudahan-kemudahan macam surau, restoran halal dan sebagainya hanya boleh ada di sekitar Itaewon (nama tempat disana) sahaja. Kini tidak lagi.
Ada majikan yang tak benarkan pekerja Muslim solat ketika bekerja
Disebabkan budaya Islam agak berlainan dari budaya turun-temurun masyarakat Korea, ada macam-macam salah faham yang timbul. Aman Ullah Khan, seorang pelajar PhD yang dah menetap lima tahun di sana bagitahu bahawa banyak cabaran untuk Muslim mempraktikkan ajaran Islam di Korea. Imam A.Rahman Lee Ju-Hwa juga mengakui, dulu memang susah untuk rakan-rakannya memahami tentang Islam. Dia juga pernah dipaksa untuk minum arak waktu bersama mereka.
Selain itu, ada majikan yang tak benarkan Muslim bersolat masa bekerja. Waktu bulan puasa pulak, Muslim terpaksa bekerja selama 10 jam kerana waktu bekerja tak dipendekkan. Benda ni terjadi sebab kebanyakan masyarakat Korea tak faham dengan prinsip asas Islam.
Pada tahun 2016, seorang wanita Uzbekistan, Hong Hana ada bagitahu penonton dalam rancangan Hello Counselor yang dia pernah didiskriminasi oleh masyarakat Korea. Dia pernah dipecat oleh majikan dan dikasari dekat tempat awam hanya kerana memakai hijab.
Pada tahun 2017 pula, sebuah drama Korea, “Man Who Dies to Lived” dilaporkan telah menghina dan mencemarkan imej Islam. Walaupun macam tu, pihak yang terlibat dah memohon maaf dan mengakui yang drama tu hanya fiksyen semata-mata tanpa ada niat untuk hina Islam.
Cabaran lain yang Muslim Korea akan hadapi bila tiada perkuburan Islam di Korea walaupun untuk masyarakat Korea yang beragama Islam. Tapi ada berita baik pada tahun 2004, apabila dilaporkan yang perkuburan Islam pertama akan dibina di Cheongju. Menurut Korea Muslim Federation, projek perkuburan Islam ni dapat bantuan kewangan dari kerajaan Qatar.
Artis K-Pop puji wanita berhijab dan ingatkan supaya jangan bersalam dengan mereka
Disebalik berita buruk yang menimpa Muslim di Korea, akhirnya muncul juga berita gembira. Itulah yang dialami oleh Imam A.Rahman Lee Ju-Hwa sendiri. Kalau dulu memang susah untuk kawan-kawan dia untuk faham Islam, tapi, pada hari ini, masyarakat Korea lebih peka tentang budaya Islam. Tanggapan mereka terhadap Islam juga makin positif.
Isu hijab contohnya dah dibincangkan secara terbuka dalam rancangan televisyen “Hello Counselor”. Malah, selebriti yang terlibat dalam rancangan itu turut meluahkan pendapat yang mereka tak bersetuju wanita berhijab didiskriminasi di Korea.
Isu hijab sekali lagi menjadi ‘hot issue’ apabila kumpulan K-Pop ‘BTS’ dilaporkan menghormati wanita bertudung waktu mengadakan konsert di Singapura. Salah seorang ahli kumpulan mengingatkan ahli lain supaya tak bersalaman dengan wanita bertudung. Mereka juga ada memuji kecantikan peminat berhijab yang datang ke konsert dalam satu interview.
Selain tu, sekarang ini terdapat banyak kemudahan untuk Muslim yang disediakan. Sebagai contoh, kemudahan surau disediakan di Lapangan Terbang Incheon, COEX Convention Centre yang terletak di Samseong-dong , pusat membeli-belah Lotte World, Cheil General Hospital di Chungmuro, Everland, Petite France, Pulau Nami, Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST) di Daejeon dan Korea Tourism Organization Tourist Information Centre.
Bukan itu saja, isu makanan halal turut mendapat perhatian apabila sebuah web-drama bertajuk “Lunch Box” diterbitkan. Drama ini turut mendapat kerjasama dari Ministry of Agriculture, Food and Rural Affairs. Korea Tourism Organization pula telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “Muslim-Friendly Restaurants in Korea” untuk panduan pelancong dalam mencari makanan halal.
Menurut Imam A.Rahman Lee Ju-Hwa, 30 tahun yang lepas hanya ada dua sahaja restoran halal di sekitar Seoul. Namun sejak tahun 1994, Korea Muslim Federation sudah mengeluarkan sijil halal dan mengiktiraf 800 lokasi makanan halal secara rasmi. Apa yang menarik, Universiti Kebangsaan Seoul mungkin akan membina restoran halal pertama bagi kampus.
Kelas agama dan bahasa Arab dianjurkan setiap minggu termasuk klinik percuma
(Subtopik ni banyak merujuk buku Report on Present Situation of Islam in Korea keluaran Korea Muslim Federation yang penulis kami dapat waktu berada di Masjid Itaewon, Seoul)
Korea Muslim Federation banyak menyumbang dalam usaha memperkembangkan Islam di Korea. Organisasi ini telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1964. Pada tahun 2004, terdapat lima komuniti yang berada di bawah organisasi ini iaitu Korean Muslim Association, Korean Muslim Student’s Association (KMSA), Korea Institute of Islamic Culture (KIIC), Madrasah ‘Sultan Ibn Abdul Aziz dan Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Islam di Korea.
Penubuhan organisasi ni adalah untuk bantu masyarakat Korea faham Islam yang sebenar. Macam-macam aktiviti yang dibuat contohnya macam kelas dan seminar tentang Islam, aktiviti kemasyarakatan untuk Muslim yang bukan warganegara Korea dan menterjemah serta menerbitkan bahan bacaan berkaitan Islam.
Kalau nak diikutkan, kelas tentang Islam dan bahasa Arab dah dibuka pada tahun 1976 untuk masyarakat bukan Muslim yang dah menyebabkan ramai memilih untuk menganut Islam. Di bawah Korea Institute of Islamic Culture (KIIC), kelas macam ni diadakan pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Imam A. Rahman Lee Ju-Hwa juga dah pergi banyak tempat untuk mengajar masyarakat tempatan.
Korea Muslim Federation pulak ada sediakan klinik percuma tiap bulan untuk pekerja bukan warganegara Korea yang menetap di sana. Perkhidmatan klinik percuma ini telah ditaja oleh Gangdong Seongsin Clinic, Jeongok Oriental Clinic, Nara Oriental Clinic dan pelbagai sukarelawan perubatan.
Aktiviti penterjemahan serta penerbitan bahan bacaan berkaitan Islam adalah salah satu cara terbaik untuk mendidik masyarakat tentang Islam. Pada tahun 2004, lebih dari 100 bahan bacaan diedarkan kepada Muslim dan bukan Muslim secara percuma. Antara buku yang diterbitkan adalah ‘Guide to Prayer’ dan ‘True Islam for Beginner’. Selain tu, terdapat juga surat khabar dan majalah yang diterbitkan seperti ‘Al-Islam’, ‘Weekly Newsletter’ dan ‘Korea Islam Herald’.
Restoran Muslim-Friendly diperkenalkan untuk pelancong muslim
Bagi Muslim ‘backpackers’ yang ke Korea secara solo dan buat kali pertama, tak susah untuk korang mencari makanan halal di Korea. Selain buku yang bertajuk ‘Muslim-Friendly Restaurants in Korea’ yang boleh didapati di Korea Tourism Organization, korang juga boleh melayari laman web koreahalal.org. Senang saja mencari restoran halal melalui website ini.
Laman web koreahalal.org diuruskan oleh Korea Halal Association. Korea Halal Association merupakan persatuan dibawah kerajaan Korea dan ditubuhkan pada tahun 2013. Pengeluaran sijil halal dan pengiktirafan makanan halal di Korea dilakukan oleh persatuan ini. Antara yang bekerjasama dengan persatuan ini adalah JAKIM (Malaysia), JS Global (Korea), Warees (Singapura), The Standards and Metrology Institute for the Islamic Countries (SMIIC) dan banyak lagi.
Tujuan utama persatuan ini adalah untuk memberi maklumat yang tepat mengenai isu halal di Korea. Persatuan ini juga menjalinkan kerjasama dengan pelbagai negara Islam termasuk Halal Hub Malaysia. Macam-macam cara yang persatuan ini buat untuk tingkatkan kesedaran dan membetulkan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap makanan halal.
Yang bagusnya tentang Korea Halal Association, persatuan ini bukan hanya mendidik masyarakat tentang makanan halal, malah juga menyediakan pelbagai maklumat berkenaan Islam. Melalui laman web tersebut, disediakan maklumat tentang apa itu Al-Quran, tarikh dan sebab perayaan-perayaan Islam disambut, waktu solat, keistimewaan solat, sebab kiblat menghala ke Kaabah dan banyak lagi.
Banyak kekeliruan tentang hal yang berkait dengan Islam yang perlu dijawab
Memang betul, terdapat banyak kekeliruan tentang hal yang berkait dengan Islam berlaku di Korea. Sebagai contoh, ada orang Korea mempersoalkan kenapa Muslim perlu solat lima kali dalam sehari. Persoalan-persoalan ini dialami sendiri oleh salah seorang pelajar di Malaysia yang menjalani latihan ‘internship’ di Universiti Nasional Kangwon.
Jawapan yang diberikan oleh pelajar itu adalah solat itu tanda Muslim bersyukur kepada Tuhan:
“Kita solat waktu pagi (Subuh) kerana bersyukur sebab hidup kembali setelah tidur. Waktu tengahari (Zohor) pula tanda bersyukur kerana dapat bertenang seketika dari kesibukan di pertengahan hari. Waktu petang (Asar) pula tanda kesyukuran dapat berehat sebentar sebelum bermula kehidupan disebelah malam.
Solat waktu malam (Maghrib) adalah tanda kesyukuran kita dapat duduk seketika setelah penat menjalani aktiviti di luar dan permulaan kehidupan di sebelah malam.
Dan akhir sekali kami solat sebelum tidur (Isya’) sebagai tanda syukur dapat menamatkan hari yang penuh mencabar dan berdoa agar hari esok menjadi lebih baik,”- Amirah Tan, dipetik dari perbualan bersama pelajar dari Kangwon National Universiti.
Bukan hanya masyarakat Korea yang tidak mempunyai agama sahaja perlu tahu tentang Islam, kita di Malaysia yang memang dilahirkan sebagai Muslim ni pun sebenarnya masih cetek ilmu pengetahuan tentang Islam. Jadi, jomlah kita sama-sama tingkatkan ilmu pengetahuan pada tahun 2019 yang serba canggih ni.
- 2.8KShare sekarang!
- Email28
- Facebook2.8K
- Share