Rupanya ada empat jenis halal di restoran Korea. Ini jenis-jenis halal-nya…

Sebagai umat Islam, kesucian sesuatu makanan tu memang sangat dititik beratkan sebab ia berkait rapat dengan perlakuan ibadat dan akidah umat Islam. Umat Islam semua disarankan untuk menggunakan barang dalam apa bentuk sekali pun yang bertetapan dengan syariah. Secara umumnya, halal adalah sesuatu yang sah dan dibenarkan untuk orang Islam yang merangkumi konsep yang meluas bukan hanya tertumpu pada aspek makanan je.

Walaubagaimanapun, isu dan krisis halal ni memang kerap berlaku dalam kalangan masyarakat sebab sekarang ni terdapat pelbagai jenis makanan dan pengusaha makanan yang dihasilkan oleh orang bukan Islam. Sebab tu, ia selalu dijadikan isu tentang kesucian sesuatu makanan tu.

Ada yang jadikan simbol halal cuma untuk buat ‘cukup syarat’ je

Siap-siap kumpul duit nak jalan ke Korea pulak. Imej dari The Malaysian Reserve

Kalau kita pergi atau melancong kat luar negara, mesti benda pertama yang kita nak cuba adalah nak rasa makanan diaorang. Dan benda first yang kita letak dalam jadual (itinerary) kita mestilah nak pergi food hunting kan. Sebab itulah benda paling best, bila habis bercuti mula stress; sebab berat dah naik. ?

Menjadi kebiasaan bagi semua orang Islam bila nak rasa makanan kat negara asing adalah untuk cek status halal sesuatu makanan tu dan betul-betul faham kandungan yang ada dalam sesuatu makanan tu. Tak semua label halal yang dikeluarkan tu bermaksud makanan tu betul-betul halal. Dan berdasarkan Mastercard Halal-trip Muslim Millennial Travel Report 2017, kebanyakan pelancong beragama Islam jadikan aspek makanan halal sebagai salah satu aspek tarikan diaorang untuk melancong kat sesebuah negara tu.

Macam baru-baru ni, ada seorang YouTuber Korea yang beragama Islam buat pendedahan tentang status halal makanan kat satu tempat tumpuan pelancong kat Korea ni. Macam semua orang tahu, Korea Selatan merupakan negara yang menjadi tarikan pelancong dengan secara puratanya terdapat enam juta pelancong yang datang setiap tahun.

Orang Malaysia pun tak terkecuali ye. Imej dari Elite Asia

Bertitik tolak daripada ‘Hallyu’ ataupun Gelombang Korea yang didedahkan secara meluas sekarang ni, ia menjadi ikutan ramai terutamanya rakan-rakan internet kita dan anak muda mengenai trend semasa yang diaorang gunakan. Bahkan tempat-tempat kat Korea pun dijadikan sebagai destinasi idaman dan ‘wishlist’ ramai untuk bercuti.

Bila dah sampai Korea, mesti semua orang nak pergi kat ibu negara dia, iaitu Seoul. Kat Seoul ni lah tempat tumpuan pelancong sebab ia sinonim dengan gelaran syurga membeli belah. Bila dah puas shopping, nak rasa makanan tradisional, boleh pergi kat Myeong-dong Street untuk cuba macam-macam makanan tempatan Korea.

Dalam Vlog tu, Daud Kim ada bagitahu yang makanan kat Myeong-dong Street tu bukanlah semuanya halal dan peniaga makanan kat situ sendiri tak tahu apa maksud halal tu. Kebanyakan rakyat Korea sendiri tak kenal apa itu halal. Jadi bila diaorang jual makanan kat orang Islam, sedikit sebanyak makanan tu dah bercampur dengan unsur-unsur yang tak halal.

APAKAH?! Imej dari Astro Awani

Menerusi video tu yang dibuat secara eksperimen sosial, ada jugak kedai yang pamerkan label halal tapi sebenarnya diaorang sendiri tak pasti sama ada makanan yang dijual tu halal ataupun tak. Jadi maknanya label dan logo halal tu hanyalah sebagai syarat je nak pastikan yang orang Islam tak ragu-ragu dengan apa yang diaorang beli dan untuk jual makanan tu kat orang Islam. Sebab kawasan tu merupakan kawasan yang dipenuhi dengan orang Islam jugak.

Ada jugak mendedahkan yang label dan logo halal yang didedahkan kat makanan yang dijual tu sebenarnya palsu dan tak diiktiraf. Sebab diaorang pun main guna je logo halal tu tak daftar kat mana-mana badan pensijilan halal yang betul hanya untuk pastikan jualan diaorang laris. Ada jugak peniaga yang bila orang Islam ataupun perempuan bertudung tanya berkenaan status halal makanan yang dijual tu, kebanyakan peniaga kat sana akan bagitahu yang makanan tu halal sebab diaorang nak yakinkan pelancong Islam.

“Pensijilan halal di korea sangat ketat dan susah untuk didapatkan. Jadi ia amat sukar bagi peniaga gerai-gerai jalanan untuk dapatkan sijil tersebut.” – Daud Kim, sumber dari YouTube Daud Kim. 

Ada empat kategori halal yang digunakan kat Korea

Sebenarnya isu status makanan halal kat Korea ni memang selalu dijadikan buah mulut orang ramai. Sebab kat situ, penduduknya majoriti bukanlah beragama Islam. Dan pendidikan berkenaan halal kat sana pun tak meluas jadi diaorang tak faham secara mendalam berkenaan konsep halal dalam Islam.

Myeong-dong street food kat Korea, kalau kat Malaysia, macam pasar malam lah. Imej dari Tumblr

Sebelum ni, isu makanan tak halal yang dijual kat Myeong-dong Street ni memang selalu jadi kontroversi. Dulu ada kes jugak jadi viral bila pelancong Malaysia dedahkan berkenaan makanan yang dijual kat sana. Kebanyakan peniaga hanya sesuka hati je letak logo halal kat makanan yang dijual untuk tarik perhatian pembeli. Cuma semuanya terletak pada keprihatinan pembelilah untuk selidik dulu sebelum beli makanan kat tepi-tepi jalan tu.

Kebanyakan di antara mereka hanya faham yang halal cumalah untuk makanan yang tidak mengandungi babi.” – Daud Kim, sumber dari YouTube Daud Kim. 

Disebabkan pendidikan halal kat sana tak betul-betul ditekankan lagi, diaorang sendiri tak pasti sama ada makanan yang diaorang jual tu berstatus halal atau tak. Diaorang sebenarnya banyak menumpukan pada aspek kebudayaan diaorang. Contohnya, jenis makanan dumpling diaorang yang berintikan daging babi secara tradisinya tetap dikekalkan sampai sekarang dengan tak diolah resepinya.

Macam mana kalau tak perasan bunting ni? Imej dari mforum

Malah, ada jugak sesetengah peniaga kat sana meletakkan daging babi dalam klasifikasi daging halal berserta daging-daging yang lain ditambah lagi dengan aspek pemalsuan halal. Bukan je makanan kat sana yang statusnya diragui, malah ada jugak makanan Korea yang dieksport kat negara luar hanya guna logo halal sebagai hiasan. Tapi kandungan makanannya bukanlah halal.

Waktu tahun 2016 dulu, ada satu kes tular bila ada berita yang mendedahkan produk daging babi yang diberikan logo halal kat Korea. Sebenarnya, kebanyakan pihak industri makanan kat sana tak faham tentang konsep halal menurut syariat Islam. Dan diaorang anggap yang label halal tu cumalah untuk tanda perniagaan yang boleh memajukan dan memasarkan produk diaorang.

Kat Korea, badan pensijilan halal kat sana adalah daripada Korean Muslim Federation (KMF) yang diiktiraf daripada JAKIM sendiri. Dan untuk dapatkan pengiktirafan dan sijil halal tu bukanlah mudah. Sebab tu diaorang menggunakan empat kategori halal dalam menentukan kesucian makanan halal diaorang.

  1. Halal oleh KMF,
  2. Halal secara sendiri,
  3. Restoran mesra muslim dengan menyediakan menu makanan halal 
  4. Makanan yang takde kandungan babi.

Disebabkan kategori halal kat sana yang diaplikasikan secara meluas, banyak restoran kat sana yang mengaku diaorang sediakan menu makanan halal yang takde kandungan babi. Tapi pada masa yang sama, restoran tu jugak ambik bahan-bahan masakan diaorang daripada negara luar yang tak dapat dipastikan status halalnya.

Lepas ni kena belajar tulisan Korea lah pulak. Baru nampak educated dan tak mudah ditipu (hehe). Imej dari Facebook Bella Azemi

“Mereka tak pernah menggunakan daging halal dalam sejarah Korea. Tapi mereka cuma print logo halal dari Google Image je.

“Saya pernah nampak perempuan Korea yang kononnya muslim, menjual sijil halal palsu yang dibuat gunakan photoshop untuk restoran di sebelah kami.” – Busan Jib Myeondong, sumber dari Amazing Nara. 

Fahami konsep rukhsah sebelum gunakan untuk tujuan remeh

Ekoran daripada tu, ada jugak yang beranggapan ia sebagai satu faktor penghalang bagi orang yang bermastautin kat sana untuk cari makanan halal. Maksudnya, 100% dijamin halal. Restoran halal yang menghidangkan menu yang tak bercampur dengan bahan-bahan haram. Ala contohnya macam kat situasi atas tu lah. Jadi, ada yang mengatakan dan mengaitkan situasi tu dengan konsep rukhsah.

Ini pun dikira macam ‘street food’ jugak ke? GIF dari Giphy

Ia berikutan kat sana tak banyak pilihan makanan dan kesukaran untuk cari makanan yang betul-betul dijamin suci. Konsep rukhsah dijadikan pegangan dan amalan sesetengah orang kat sana untuk menjalani kehidupan yang selesa macam biasa.

Walaubagaimanapun, ia perlu dilihat dan dikaji dengan lebih terperinci. Sebab konsep rukhsah merangkumi beberapa aspek termasuklah dalam aspek pemakanan, solat dan berpuasa. Secara umumnya, rukhsah bermaksud keringanan atau kelonggaran untuk umat Islam dalam melakukan ketentuan dan ibadat terhadap Allah dalam situasi kesusahan.

Pendekatan rukhsah dalam makanan ni ada syaratnya yang tersendiri dalam Islam iaitu:

  1. Hanya terdapat makanan atau minuman yang haram sahaja
  2. Makan atau minum sekadar menyelamatkan nyawa
  3. Makan atau minum bukan untuk kenyang
Jangan keliru dan tersalah ye. Imej dari Halal Verified Engine

Tapi, ada pendakwah berpendapat, konsep tu perlulah difahami terlebih dahulu sebelum aplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sebab selagi kita tak rasa situasi tu sebagai keadaan darurat, kita boleh menggunakan pelbagai cara lain yang memudahkan untuk alami kehidupan yang selesa.

“Dalam situasi pelajar di sana, mereka masih ada pilihan lain dan bukan berada dalam keadaan darurat.

“Mereka perlu berusaha untuk mencari pilihan lain terlebih dahulu, sebelum memilih untuk mengambil pendekatan rukhsah,” – Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, aktivis dakwah dan penceramah bebas, sumber dari Astro Awani. 

Korea nak contohi Malaysia dalam industri halal sebenarnya

Walaubagaimanapun, sebagai umat Islam soal pemakanan halal ni janganlah dipandang remeh sebab pemakanan ni akan mengalir menjadi darah daging dalam hidup seseorang. Ia berikutan dalam firman Allah, dalam Surah al-Baqarah ayat 168, yang bermaksud: “Wahai
sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah
kamu ikut jejak syaitan”

Eh ada Dato’ Siti jugak? Imej dari The Korea Herald

Ekoran daripada tu, disebabkan Malaysia merupakan hab halal yang terkemuka dunia, Korea jadikan Malaysia sebagai contoh untuk menghasilkan industri makanan halal yang lebih banyak kat sana dan penguatkuasaan pensijilan halal. Faktor pelancong Malaysia yang selalu pergi Korea jugak dijadikan penanda aras. Peningkatan produk mempunyai pensijilan halal jugak menjadi faktor utama kat Korea. Jadi, diaorang nak bekerjasama dengan Malaysia dalam meluaskan industri halal diaorang supaya ramai pelancong muslim boleh melancong dengan selesa kat sana.

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)