BALAI SENI NEGARA ANJUR PAMERAN SUNYI DAN SIMPOSIUM BAKAT MUDA SEZAMAN 2024

Balai Seni Negara akan menganjurkan sebuah pameran seni kontemporari bertajuk Pameran Sunyi, yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 November 2024 di Hospital Lama Kuah, Langkawi dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 yang dijadualkan pada 15 hingga 17 November 2024 di Hotel Grand Continental Langkawi. Pameran dan simposium ini merupakan sebahagian daripada program sokongan di bawah Program Residensi Bakat Muda Sezaman 2024, yang bertujuan untuk memberi ruang kepada perkembangan serta pendedahan lebih mendalam kepada bakat muda dalam seni kontemporari.

Pameran Sunyi mengajak pengunjung untuk meneroka tema “sunyi” melalui pelbagai perspektif dalam dunia seni visual, yang lahir daripada persoalan-persoalan sosial dan alam sekitar di Langkawi pasca-pandemik COVID-19. “Sunyi” juga menggambarkan ketenangan yang terhampar dalam keindahan alam semula jadi Langkawi, serta gaya hidup yang lebih damai, jauh dari hiruk-pikuk kehidupan kota besar. Dalam konteks ini, “sunyi” dilihat dari sudut yang positif, memberikan ruang untuk refleksi serta penghargaan terhadap nilai-nilai kehidupan yang lebih luhur, seperti perayaan “Nyepi” di Bali, Indonesia yang disambut dalam suasana sunyi, penuh dengan makna spiritual yang mendalam.

Pameran ini menggabungkan seramai 11 artis muda yang aktif dalam menghasilkan seni instalasi site-specific. Antara artis yang terlibat adalah Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Azam Aris, Fauzan Fuad, Hannah Moujing, Khabir Roslan, Ng Yi Kee, Ryan Tang, Sim Hoi Ling, Teo Wey Yinn, dan Ahmad Rajaie.

Sementara itu, Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 akan menghimpunkan pakar rujuk terdiri daripada kurator dan seniman seperti Azzad Diah Ahmad Zabidi, Wong Hoy Cheong, Moelyono, Dr. Tisna Sanjaya, serta Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar, yang juga merupakan kurator merangkap Pengarah Balai Seni Negara Langkawi.

Simposium ini bakal mengupas hala tuju Bakat Muda Sezaman serta kepentingan memahami konsep seni di lokasi dan seni komuniti. Ia bertujuan untuk menjadi pendorong kepada seniman muda dalam menghasilkan karya seni yang relevan dan seiring dengan tema yang ditetapkan, sebagai persediaan untuk Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang akan datang.

Justeru, pameran dan simposium ini bukan sahaja menyediakan platform bagi pengembangan bakat muda dalam seni kontemporari, tetapi juga menjadi langkah penting dalam mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dunia seni yang lebih luas. Ia mengukuhkan komitmen Balai Seni Negara dalam menyediakan ruang kepada artis muda untuk berkarya, berinteraksi dengan komuniti seni, serta mengembangkan kreativiti yang mampu memberi impak besar dalam landskap seni tempatan dan antarabangsa.

Orang ramai dijemput untuk melawat Pameran Sunyi dan menghadiri Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 bermula pada 15 November 2024. Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi, atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.