- 12.4KShare sekarang!
- Email45
- Facebook12.3K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 1 Julai 2018.
Walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru je pegang tampuk pemerintahan, tapi tu tak lepaskan mereka dari kontroversi. Baru-baru ni, tindakan Menteri Kewangan – Lim Guan Eng yang keluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin dah mendapat kecaman ramai pihak.
Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir UUM, Dr Ahmad Zaharuddin kata – tindakan Guan Eng tu mengejutkan dan satu ‘penghinaan’ terhadap perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.
“Apatah lagi meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa lain, yang bagi penulis ini adalah satu tindakan penghinaan. Guan Eng seolah-olah lupa dengan pendirian beliau sebelum ini yang menyatakan sebagai I am not Chinese, I am Malaysian yang dinyatakan semasa di awal pelantikan beliau sebagai menteri.” – Dr Ahmad Zaharuddin, dipetik dari Berita Harian.
Dr Mahathir pula kata – apa yang Guan Eng buat tu cuma kesilapan kecil dan tak payah dijadikan isu. Tak lama lepas tu, Guan Eng pun bagi kenyataan dengan kata, pihaknya akan terus mengutamakan bahasa Melayu, tapi akan menterjemahkannya ke bahasa lain (Inggeris atau Mandarin) kalau perlu.
Walau apa pun alasannya, isu ni dah menimbulkan polemik dalam masyarakat Malaysia. Seperti mana yang kita tahu, bahasa Melayu dah pun termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan perkara tu jelas mengangkat kedudukan bahasa ni sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.
Oleh itu, SOSCILI kali ni akan membincangkan perjalanan panjang perjuangan bahasa Melayu di Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Ini kerana, ancaman terhadap kedudukan bahasa Melayu itu dah wujud sejak berpuluh tahun sebelum merdeka lagi, apabila…
Lahirnya nasionalis Melayu seperti Dato’ Onn yang kritik kerajaan Johor kerana abaikan bahasa Melayu
Sebenarnya, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ni mula nampak berkembang pada awal tahun 1900-an bila ramai ulama menggunakan bahasa Melayu sebagai medium dakwah. Mereka ni juga dah menambah perkataan bahasa Melayu dengan meminjam perkataan-perkataan Arab. Apa yang pasti, penggunaan tulisan Jawi cukup meluas masa tu.
Salah seorang ulama yang aktif dalam usaha ni adalah Syed Sheikh al-Hadi yang ada syarikat percetakan – Jelutong Press. Selain menerbitkan buku dan majalah, syarikat ni juga terbitkan akhbar Saudara iaitu antara akhbar Melayu terawal di negara ni.
Tapi, ancaman terhadap bahasa Melayu masih lagi tak boleh dielakkan, sebab Tanah Melayu masa tu ditadbir oleh British dan penggunaan bahasa Inggeris masih lagi meluas.
Maka muncullah tokoh-tokoh nasionalis Melayu sepertiZainal Abidin Ahmad (Za’ba), Rahim Kajai (bapa kewartawanan Melayu), Onn Jaafar, Ibrahim Hj Yaakob (pengasas KMM), Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Dr. Burhanuddin dan sebagainya. Beraninya mereka ni, sampai tak takut nak kritik mana-mana pihak yang abaikan bahasa Melayu.
Contohnya pada tahun 1930, Dato’ Onn dah mengkritik sikap kerajaan negeri Johor yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam pentadbiran dan surat pekeliling kerajaan.
“Bagi sebuah negeri Melayu, yang diperintah oleh Raja Melayu, yang dipunyai dan diduduki oleh orang Melayu, maka keadaan seperti tidak sekali-kali betul dan patut…
____
mustahaklah kerajaan negeri itu melihat keadaan itu… Nampaknya dengan perjalanan sekarang ini bahasa Melayu akan hilang sama sekali seperti bahasa Jakun yang hanya ditutur sesama sendiri sahaja.” – Dato’ Onn Jaafar, dipetik dari Warta Malaya (23 Oktober 1930).
Hal yang sama juga disuarakan oleh Rahim Kajai, apabila dia secara terus terang mengkritik sikap kerajaan Inggeris dan juga cerdik pandai Melayu yang lebih suka menggunakan bahasa Inggeris dalam persidangan negeri, peraturan polis dan sebagainya.
Peranan British dalam pendidikan dan terhakisnya tulisan Jawi
Sebagai penjajah di tanah ni, British tak kisah sangat dengan pendidikan Melayu. Tapi British masih lagi wujudkan Sekolah Melayu yang silibusnya ketinggalan zaman dan kekampungan. Sekolah Inggeris pula cuma terhad kepada golongan bangsawan.
Sejajar dengan kedudukannya yang rendah, ia sekaligus merendahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Masalah bertambah lagi bila British mula mencetak hikayat-hikayat Melayu dan karya-karya mereka dalam tulisan Rumi bermula pada tahun 1904. Hal ni sedikit sebanyak mula menghakis kedudukan tulisan Jawi dalam masyarakat Melayu.
“Kemerosotan tulisan Jawi mula terjadi selepas Akta Bahasa Kebangsaan diwartakan pada tahun 1963 dengan memutuskan bahawa tulisan rasmi negara Malaysia ialah tulisan Rumi.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.
Tapi para nasionalis masih lagi tak lupakan kepentingan bahasa Inggeris, bila mereka mencadangkan supaya bahasa Inggeris juga diajar di sekolah Melayu. Mereka juga membantah penggunaan hikayat-hikayat Melayu lama.
“Bagi Za’ba, hikayat-hikayat yang penuh dengan mitos itu tidak akan memajukan pemikiran dan meningkatkan ilmu moden dikalangan orang Melayu. Za’ba mencadangkan supaya buku-buku teks yang digunakan di sekolah Inggeris itu digunakan juga di sekolah Melayu.” – Dipetik dari kertas terbitan UniMAP.
Isu berkenaan kedudukan bahasa Melayu terus dipertikai, walaupun selepas merdeka
Sekarang ni kita beralih pula kepada usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara ni sebenarnya dah pun bermula sejak tahun 1903 lagi, bila Mesyuarat Durbar (Raja-Raja Melayu) mula membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Pada tahun 1930-an pula, para nasionalis mula nampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan dapat menjamin kedudukan bahasa itu. Sebab itulah, mereka cadangkan supaya bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan.
Rahim Kajai sebagai contoh mencadangkan supaya orang asing kena diajar bahasa Melayu di sekolah kerajaan supaya mereka ni boleh berkomunikasi dengan orang Melayu. Rahim juga menentang keras pendapat Tan Cheng Lock terhadap bahasa Melayu.
“Beliau menentang pendapat Tan Cheng Lock (antara pengasas MCA), seorang tokoh perniagaan dan pemimpin Negeri Selat, yang mengatakan bahasa Melayu tidak berguna bagi orang India dan Cina dan menolak bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negeri Melayu. Sebagai seorang peniaga dan pedagang, Tan Cheng Lock lebih selesa dengan bahasa Inggeris.” – Dipetik dari kertas terbitan UniMAP.
Tapi usaha ni agak terbantut pada tahun 1940-an, bila negara dijajah Jepun. Lepas tamatnya Perang Dunia Kedua (WW2), usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dibangkitkan kembali.
Namun, masalah mula timbul selepas tahun 1957 (merdeka), bila isu bahasa ni dah membuatkan hubungan UMNO – MCA tegang. Sebabnya, MCA masa tu ada dua golongan – satu yang sokong bahasa Melayu jadi bahasa kebangsaan dan satu lagi yang nak bahasa Mandarin dijadikan salah satu bahasa rasmi negara.
“Ia diketuai oleh Dr. Lim Chong-eu, Presiden MCA yang pula disokong oleh beberapa persatuan sekolah Cina dan badan bukan kerajaan Cina. Tunku Abdul Rahman sebagai Presiden Parti Perikatan terpaksa memberi kata dua kepada kumpulan itu. Untuk mengatasi kumpulan itu, Tun Tan Siew Sien telah menjadi Presiden MCA.” – Dipetik dari kertas terbitan UniMAP.
Hal ni bertambah panas menjelang PRU-1959 bila isu bahasa semakin galak dibangkitkan. Pada masa tu, ada pihak yang menuntut supaya bahasa Mandarin dan Tamil diangkat juga menjadi bahasa rasmi. Antara alasannya, negara ni berbilang bahasa dan jumlah penduduk tempatan dan luar pun hampir sama banyak.
Tak habis dengan isu tu, muncul pula tuntutan nak jadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Tuntutan tu datang dari MIC dan ia juga dibantah oleh para pejuang bahasa.
“Insiden ini juga telah menyebabkan Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP ketika itu bertindak menghantar buku-buku dan risalah-risalah yang diterbitkan oleh DBP mengenai sejarah dan perkembangan bahasa Melayu kepada Presiden MIC. Tujuannya adalah untuk menyedarkan Presiden MIC akan kekuatan pengaruh bahasa Melayu.” – Dipetik dari kertas terbitan Universiti Malaya.
Za’ba bagi enam sebab kenapa bahasa Melayu kena jadi bahasa kebangsaan
Sebenarnya, sebelum merdeka, pihak kerajaan dah pun bersetuju nak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi/kebangsaan, manakala bahasa Inggeris pula dijadikan bahasa pentadbiran untuk 10 tahun selepas merdeka (guna bahasa Melayu secara berperingkat). Perkara ni nampaknya tak disenangi oleh para nasionalis dan pejuang bahasa.
“…surat-surat kepada kerajaan Persekutuan dan kepada negeri-negeri lain dalam Persekutuan masih ditulis dalam bahasa Inggeris… Dalam hal ini, nampaknya pengaruh penjajahan Inggeris yang lebih tebal terhadap negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu itu menolong menumbangkan kedaulatan Bahasa Melayu.” – Dewan Bahasa (1958).
Walau apa pun pertikaiannya, Tanah Melayu (Malaysia) ketika itu dah berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi Perlembagaan. Malah pendeta Za’ba ada memberikan enam sebab mengapa bahasa Melayu wajib dipilih sebagai bahasa kebangsaan:
“Sebab-sebab tersebut ialah, Tanah Melayu ialah negeri orang Melayu; bahasa Melayu ialah bahasa tulen negeri ini; bahasa Melayu adalah bahasa perantaraan negeri ini; bahasa Melayu adalah bahasa yang hidup dan berkembang mengikut peredaran zaman; bahasa Melayu telah menjadi bahasa republik Indonesia dan bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Perjuangan memantapkan bahasa Melayu juga boleh kita tengok pada tahun-tahun 1960-an. Contohnya bila Tunku Abdul Rahman pernah bagi amaran kepada penjawat-penjawat awam supaya belajar dan guna bahasa Melayu.
“Tunku menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mempelajari bahasa kebangsaan akan mengalami kerugian pada masa hadapan. Ini kerana pegawai-pegawai yang bersikap tidak endah terhadap kemahiran bahasa Melayu akan berhadapan dengan masalah tidak mendapat kenaikan pangkat dan kenaikan gaji.” – Antara isi ucapan Tunku pada tahun 1961.
Tapi polemik kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetap terjadi selepas tu. Buktinya, ada satu kes berkait dengan bahasa kebangsaan dah dibawa ke mahkamah.
Kes universiti yang nak guna bahasa Mandarin dan dibawa ke mahkamah
Pada tahun 1968, sebuah universiti bernama Universiti Merdeka nak diwujudkan hasil dari kerjasama Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong). Tapi apa yang jadi kontroversi adalah bila universiti ni nak jadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.
Jadinya, pada tahun 1978, dua pertubuhan ni dah hantar petisyen kepada YDP Agong untuk memperkenankan penubuhan universiti ni. Tapi petisyen tu dah ditolak dan kemudiannya dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Tapi akhirnya, Mahkamah Persekutuan menolak permohanan Universiti Merdeka ni sebab menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar adalah bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Kes ini jelas memberikan parameter di antara medium pengajaran sebagai tujuan rasmi dengan hak untuk mempelajari bahasa ibunda yang dijamin oleh Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Tindakan campur aduk sehingga membentuk salah faham yang ketara mengenai pendidikan vernakular harus diberhentikan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Oleh itu, nampak jelas di sini yang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tak dapat dicabar di Malaysia. Walaupun begitu, dari sudut yang lain pula, ada juga pihak yang kata tindakan Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin tu tak salah. Tapi betul ke?
Walaupun ada kebenaran menggunakan bahasa lain, tapi…
Perkara ni disuarakan oleh seorang pembaca di Malaysiakini dengan tajuk ‘Undang-undang membenarkan terjemahan Mandarin untuk kenyataan rasmi’. Dalam penulisan tu, penulis berkenaan merujuk pada Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) dalam perakara 3. Sebabnya di situ ada sebut:
“Tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak Kerajaan mana-mana Negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.” – Perkara 3, Akta Bahasa Kebangsaan.
Untuk nak tahu lebih lanjut, SOSCILI tanya hal ni kepada pakar undang-undang, Dr Hazmi Rusli. Menurut Dr Hazmi, apa yang dinyatakan tu memang betul, tapi ia masih lagi mengikut konteks. Sebabnya, kalau tindakan Guan Eng membuatkan kritikan banyak pihak, adakah ianya masih lagi relevan untuk kepentingan awam?
“Akta Bahasa Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan pernyataan rasmi dibuat dalam bahasa kebangsaan, bukan Mandarin. Lagi pula Mandarin tidak difahami majoriti rakyat Malaysia. Kalau tidak difahami oleh majoriti, public interest apakah ini?” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
Sementara bahasa Melayu dipandang sepi, orang Melayu juga nampaknya semakin jauh dari bahasa mereka
Menurut kajian sarjana Prof Dr Teo Kok Seong, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat Malaysia masih lagi serius. Sebagai contoh, hasil kajiannya terhadap 14,000 pelatih di 79 kem PLKN di seluruh negara, dia mendapati 604 pelatih bukan Melayu langsung tak boleh berbahasa Melayu.
“Sebanyak 604 pelatih PLKN itu telah dikategorikan tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan saya juga pelik bagaimana mereka boleh lulus SPM?
____
Keadaan ini sebenarnya amat pelik dan tidak sepatutnya wujud kerana sebagai warganegara Malaysia mereka ini wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik.” – Prof Dr Teo Kok Seong, dipetik dari Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Kok Seong juga kata masalah agak sama turut terjadi di kalangan para pelajar Melayu sendiri. Ini kerana, dalam penulisan tesis, penguasaan bahasa Melayu yang betul dan tepat menjadi keutamaan. Tapi masih ada pelajar Melayu gagal menggunakan bahasa dengan betul, sama ada di sekolah atau universiti.
“Adalah menjengkelkan apabila ada orang Melayu sendiri mempertikaikan bahasa percakapan hariannya. Apalah guna menjadi rakyat Malaysia jika bahasa Melayu tidak boleh dikuasai dengan baik sedangkan pekerja asing dari Bangladesh juga boleh berbahasa Melayu selepas enam bulan berada di negara ini.” – Kata Teo Kok Seong, dipetik dari Utusan Malaysia.
Malah, dengan keadaan dan apa yang berlaku pada hari ini, bahasa Melayu juga semakin terancam dengan kehadiran bahasa singkatan, rojak dan sebagainya. Seorang pemikir Malik Bennabi pernah berkata:
“…apabila kita menuturkan pemikiran-pemikiran dengan menggunakan bahasa asing, mentaliti masyarakat boleh menjadi buta budaya sendiri dan ada kalanya sehingga sampai ke tahap pengkhianatan.” – Dipetik dari jurnal terbitan UniMAP.
Beberapa tahun dulu, di-Pertua Dewan Rakyat – Tan Sri Ramli Ngah Talib pernah menegur sikap beberapa ahli Parlimen yang suka mencampur-adukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris masa berucap di Parlimen. Katanya, hal tu bukan saja tak sedap didengar, tapi juga mencemarkan bahasa Melayu.
Akhirnya, bahasa Melayu bukanlah bahasa hiasan di negara ini. Perjuangan beratus tahun tidak boleh dihapuskan dengan sebegitu mudah. Tanpa adanya bahasa Melayu, maka tiadalah bangsa Malaysia. Ingatlah apa yang diungkapkan oleh Rahim Kajai ketika mengkritik tindakan merendahkan bahasa Melayu:
“…akan menjadikan bahasa Melayu sangat rendah kedudukannya atau dalam bahasanya sendiri sebagai pokok teratai ‘di atas tidak berpucuk, di bawah tidak berurat (berakar), di tengah ditarik kumbang’.” – Rahim Kajai, dipetik dari jurnal terbitan UniMAP.
- 12.4KShare sekarang!
- Email45
- Facebook12.3K
- Share