- 1.4KShare sekarang!
- Email24
- Facebook1.4K
- Share
Siapa sangka, lukisan ibarat seni zaman Renaissance Itali ni dilukis oleh seorang warga Indonesia pada abad ke-19? Malah Indonesia pada zaman tu belum merdeka lagi dan masih berada di bawah jajahan Belanda.
Sejujurnya, kami sendiri tak pernah dengar nama pelukis ni, iaitu Raden Saleh sehinggalah diajak oleh National Gallery Singapore untuk melihat pameran lukisan yang bertajuk “Between Worlds: Raden Saleh and Juan Luna” yang berlangsung pada bulan lepas.
Tapi, siapa Raden Saleh ni? Dan macam mana pelukis yang datang dari negara yang dijajah ni mampu menempatkan namanya sebaris dengan pelukis antarabangsa yang lain?
Raden Saleh, artis moden pertama Indonesia dihantar penjajah untuk belajar seni
Dilahirkan sebagai Raden Saleh Syarif Bustaman pada tahun 1807 di Semarang, Jawa, di Hindia Timur Belanda (nama Indonesia sebelum merdeka), yang merupakan tanah jajahan Belanda selepas Perang Dunia Kedua.
Dia digambarkan sebagai perintis seni pertama rakyat Indonesia yang sering memperlihatkan semangat peperangan dalam lukisan romantik dan orientalisnya sepanjang tahun 1811-1880. Malah, karyanya juga ‘membuka jalan’ dan menunjukkan cara kepada pelukis Indonesia yang selepasnya mencurahkan idea mereka dengan lebih bebas.
Raden yang berketurunan Arab-Jawa juga dilahirkan dalam keluarga bangsawan, dan mendapat pendidikan di Batavia (sekarang dikenali sebagai Jakarta), iaitu sebuah sekolah desa (Volks-School).
Keramahan Raden nampaknya memudahkannya bergaul dengan orang Belanda yang menjadi penjajah pada masa tu. Sedikit sebanyak, ia membantu Raden dalam mengembangkan bakat lukisannya. Dia pada mulanya diajar melukis oleh artis Belgium, A.J. Payen yang merupakan nama besar di Indonesia pada masa tu di mana dia merupakan pelukis rasmi untuk pemerintah Hindia Belanda di Jawa. Maklumlah, masa tu kamera pun tak wujud lagi. Jadi mereka abadikan peristiwa penting dalam lukisan.
Nampaknya, A.J Payen sangat kagum dengan bakat yang ada pada Raden Saleh. Malah dia percaya yang anak muridnya boleh melangkah lebih jauh. Jadi, A J Payen pun memujuk pemerintah (penjajah) Belanda di Indonesia untuk memberi biasiswa, dan menghantar Raden Saleh ke Belanda untuk belajar seni dengan guru yang selayaknya.
Mengasah bakat jauh ke Eropah dengan pelbagai guru yang hebat
Setelah pujukan tu berjaya, Raden Saleh kemudiannya di bawa ke Eropah pada 1829, iaitu semasa dia berumur 22 tahun, di mana bakatnya diasah oleh Cornelius Kruseman terutamanya dalam kemahiran lukisan potret. Kruseman adalah pelukis Belanda yang paling hebat pada separuh pertama abad kesembilan belas yang popular dengan lukisan keagamaannya, “Raphael of the North”.
Apabila dah mahir dengan lukisan potrait, Raden Saleh kemudiannya memilih untuk mengembangkan bakatnya belajar lukisan landskap dan pemandangan dimana dia berguru dengan Andreas Schelfhout. Mereka selalu melawat beberapa bandaraya Eropah sebagai rujukan lukisan.
Daripada potrait ke pemandangan, pada 1839 Raden Saleh beralih arah kepada seni warna pula di Paris dengan pelukis Horace Vernet. Tapi, pengaruhnya lebih kepada hasil seni Victor Eugene Delacroix, pelukis Perancis seperti dalam lukisannya yang berjudul Singa dan Ular. Salah satu karya besar awalnya adalah Een Strijd op Leven en Dood (Antara Hidup dan Mati) yang menggambarkan pertaruhan hidup dan mati seekor kerbau dengan dua ekor singa.
Lukisan-lukisan Raden Saleh dikagumi oleh para gabenor jeneral di Hindia Belanda, Keluarga Raja Raja di Eropah, sampailah kalangan aristokrat Eropah. Karya Raden Saleh pada zaman tu sendiri sangat dihargai bangsawan Belanda.
Kesemua lukisan ni nampaknya membolehkan Raden Saleh mendapat pelbagai pengiktirafan. Malah yang paling hebat adalah apabila Raden Saleh dikurniakan dengan gelaran “Schilder des Konings” (the King’s Painter) oleh King Willem III Belanda, disebabkan lukisan Boschbrand, atau Forest Fire pada 1849 yang menggambarkan “adegan dramatik haiwan dikejar oleh api di tepi jurang”.
Daripada layanan imigran, ke jemputan Freemasonry
Pada zamannya, Raden Saleh merupakan satu-satunya anak Indonesia yang berjaya menyambung pelajarannya dalam bidang seni ke luar negara. Malah, siap dapat biasiswa lagi. Jadi, ia merupakan satu pencapaian yang agak hebat pada masa tu. Tapi masa dia mula-mula sampai ke sana, perkara tu tak menjadikan Raden Saleh istimewa di mata mereka. Malah dia tetap dilayan sebagai seorang imigran walaupun dengan bakatnya yang hebat.
Perkara ni bagaimanapun bukanlah satu perkara yang menjatuhkan semangatnya. Nampaknya hasil usaha dan ketajaman bakatnya dalam beberapa tahun seterusnya menempatkannya di mahkamah seluruh Eropah sekitar 1840-an, menghabiskan masa lima tahun di mahkamah Ernst I, dan selalu menjadi tetamu kehormat Grand Duke Saxe-Coburg-Gotha, di mana dia kemudiannya lebih diterima masyarakat sana.
Malah, dia antara orang Indonesia pertama yang didedahkan dengan Freemasonry. Tapi, tak banyak sebenarnya yang diketahui daripada kes Raden Saleh dengan Freemason ni.
Menentang secara senyap melalui karyanya
Selepas 22 tahun hidup di perantauan, Raden Saleh akhirnya kembali ke Indonesia pada tahun 1851. Sekembalinya dia ke Jawa, dia bekerja sebagai penjaga dan pemulihara seni lukis kolonial dengan kerajaan Belanda, malah masih meneruskan bakatnya dengan lukisan potret bangsawan Jawa dan juga lukisan-lukisan landskap di negaranya sendiri.
Tapi nampaknya kepulangannya ke kampung halaman tak memberikan keseronokan dalam jiwanya. Perkara ni diketahui bila dia dalam suratnya menulis yang dia tak selesa tinggal di dalam koloni. Bukanlah dia tak suka tinggal di kampung, cumanya dia bosan dengan minda orang kampungnya hanya bercakap tentang gula dan kopi, di mana perbualan tu seakan tak berkembang.
Raden Saleh sebenarnya sayangkan tanah airnya. Sebab walaupun bertahun-tahun tinggal di negara orang dan dikelilingi pembesar Belanda, jiwanya sebenarnya masih kuat dengan tanah airnya. Dianggap proto-nasionalis, dalam diam, dia berani mengekspresikan ketidakpuasan hati melalui karyanya. Salah satu contoh paling baik ialah lukisannya yang bertajuk Penangkapan Diponegoro.
Lukisan ni mengisahkan Pangeran (Putera) Diponegoro, anak Sultan Yogyakarta yang ditangkap pihak berkuasa kolonial Belanda pada tahun 1830 di bawah pimpinan Hendrick Merkus de Kock, setelah mereka menjemputnya untuk rundingan damai. Tapi rundingan tu bagaimanapun cumalah helah Belanda untuk menyingkirkan putera raja Jawa yang menentang pemerintahan mereka di Jawa.
Peristiwa ni dirasakan penting baginya kerana Raden sendiri berasal dari Jawa. Malah, lukisan ni juga merupakan ‘serang balas’, atau ‘pembetulan’ kepada karya Nicolaas Pienemaan yang bertajuk ‘‘The Submission of Dipenogoro‘, atau ‘Penyerahan Dipenogoro’. Ini kerana Raden Saleh percaya yang putera raja tersebut, Diponegoro ditangkap, dan bukan menyerah diri seperti tajuk lukisan Nicolaas.
Lukisan Nicolaas juga menampakkan orang Indonesia berpakaian seperti orang Arab dan mempunyai ciri-ciri seperti orang Arab di mana mereka berkumis, berserban, berkulit gelap, dan berjanggut tebal, di mana ia tak menunjukkan gambaran tepat orang Indonesia yang asal.
Lukisan pertama yang mengangkat tema sejarah politik Indonesia tu kemudiannya dihadiahkan kepada Raja Belanda, Willem III. Padahal, ia sebenarnya adalah satu kritikan terhadap ketidakadilan penjajah Belanda terhadap Indonesia yang menangkap putera raja tersebut.
Malah ada juga kajian yang dilakukan terhadap karya tersebut menunjukkan antara kritikan lain yang ada dalam lukisan yang sama adalah apabila Raden Saleh melukis dirinya ke dalam lukisan tersebut.
Bagaimanapun setelah lebih 100 tahun lukisan tu dimiliki Belanda, Belanda memulangkan lukisan ni kepada Indonesia pada 1978. Tak pastilah kalau mereka dah tahu kod rahsia pelukis tu.
Harimau mati meninggalkan belang, Raden mati meninggalkan nama di Planet Merkuri
Sepanjang hidupnya, Raden Saleh menerima bermacam-macam jenis penghargaan disebabkan karya seninya yang unik. Daripada pengiktirafan pemerintah negaranya, penerimaan dalam mahkamah di beberapa negara di Eropah, bahkan ‘Pelukis Diraja’ oleh King Willem III Belanda sendiri.
Dan nampaknya, ia tak terhenti setakat tu je bila karyanya masih lagi berada di pameran-pameran besar di dalam dan luar negara, malah hingga ke planet lain! Sebabnya, pada tahun 2008, NASA, iaitu agensi penyelidikan angkasa dunia nampaknya memilih nama Raden Saleh untuk menamakan sebuah kawah di planet Merkuri, (planet yang paling dekat dengan matahari) bersempena namanya. Ia dipanggil Kawah Raden Saleh, atau Raden Saleh Crater.
Kawah-kawah ni dinamakan sempena orang seni, pemuzik, pelukis, dan penulis lagenda yang telah memberikan sumbangan kepada dunia dengan bakat masing-masing seperti Edgar Allan Poe, Qi Baishi, Salvador Dali, dan pelbagai nama pelukis, pemuisi dan penulis terkenal yang lain. Perkara ni sekaligus menjadikan Raden Saleh setaraf dengan nama-nama hebat di seluruh dunia.
- 1.4KShare sekarang!
- Email24
- Facebook1.4K
- Share