App Najib Razak dilancarkan, cuba teka berapa rating dia dapat?

Tak puas follow Dato’ Seri Najib Razak kat surat khabar, websiteTwitter, dan Facebook? Jangan gusar jangan bimbang, kini korang boleh dapatkan update pasal PM kita terus ke home screen di smartphone! App bagi PM Najib baru je dilancarkan untuk Android dan iPhone dengan nama yang tersendiri iaitu… Najib Razak.

najib-razak-home-screen
Sorry background handphone sangat boring.

Nampaknya app ni tak payah promote beriya pun takpe, sebab beberapa jam je selepas dilancarkan, ia terus viral kat media sosial disebabkan komen-komen troll yang diberikan kat Google Play Store. Korang boleh baca komen-komen epik ni kat The Vulcan Post dan SAYS.

Screenshot diambil oleh The Vulcan Post.

Tapi apa yang paling menarik perhatian dan mengundang seribu persoalan adalah jumlah rating yang diberikan, iaitu tepat-tepat sebanyak 2.6! Adakah terdapat makna tersirat yang cuba disampaikan? Macam mana nombor ni boleh cantik sangat? Adakah ini agenda illuminati/liberal/Shiah/DAP?

Rating bagi app dikira berdasarkan purata keseluruhan

Kalau korang nak tau, korang boleh bagi rating pada mana-mana app kat Google Play Store dengan memberikan jumlah bintang – dari satu bintang (kalau app tu teruk sangat) sampailah ke lima bintang (kalau app tu best giler). Rating keseluruhan dikira berdasarkan purata kesemua rating yang diberikan pengguna.

Korang boleh bagi satu, dua, tiga, empat dan lima star je. Maknanya bukanlah user boleh pakat semua kasi 2.6 star ke hapa.

So kami sangat kagum macam mana 123 orang pengguna yang bagi rating dalam bentuk nombor bulat boleh menghasilkan purata yang cukup-cukup sebanyak 2.6! Sungguh mindblown kami. Terkejut. Terkesima.

Rating pada app Najib Razak setakat pukul 5.29 petang pada hari dilancarkan.

OK bagi yang memang jenis katak bawah tempurung atau memang tak ambil pusing hal politik, RM2.6 billion adalah jumlah yang ‘dilepaskan’ daripada 1MDB. Jadi mungkin rating 2.6 ini adalah contoh sebenar bagaimana rakyat Malaysia yang muhibbah berbilang kaum bersatu demi mencapai matlamat yang sama. Satuuuuuuuu Malaysia~

UPDATE: Sekarang ni pada 13/1/2016 pukul 8 pagi, rating dah jatuh beberapa nak tangga sehingga ke… 1.8. Adakah ini petanda akan dakwaan korupsi yang lain? Setakat ni yang kami tahu SPRM baru rampas 112 juta dari pegawai kerajaan di Sabah, dan hari tu SPRM rampas RM 107 juta daripada pegawai dalam Kementerian Belia dan Sukan. So dekat-dekat la kot…

Tap serius la kan, kalau app ni dapat banyak sangat rating yang teruk, kena developer tak delete je dengan komen-komen tu sekali?

Developer tak boleh delete atau sembunyikan komen-komen yang tak baik

Kalau korang pelawat tegar Facebook PM Najib Razak, mesti korang biasa dengan komen-komen yang ‘menyokong’ PM kita macam #BelieveMyPM dan #RespectMyPM. Pergilah bukak page tu sekarang dan kat announcement pasal app ni pun penuh hashtag.

Ada jugak sorang hamba Allah cuba nak report kat Mark Zuckerberg…

Kalau korang baca artikel kami pasal cybertrooper, dikatakan komen-komen macam ni ditulis oleh akaun palsu. Malah komen yang negatif pun lambat laun akan kena delete daripada page. Memang rajin betul admin FB semua bekerja membanting tulang.

Dah tu… admin/developer kat Google Play Store ni tak rajin jugak ke? Kenapa tak delete/hide je semua komen dan rating haram jadah ni semua?

Jawapannya… Google tak membenarkan developer untuk delete atau hide komen, tak kisahlah komen tu mengutuk teruk ke atau puji melambung. Tapi at least apa yang admin boleh buat, sama macam kat Facebook, adalah membanjiri app tersebut dengan rating dan komen-komen ‘baik’. Mungkin setakat ni depa memang dah start? Kami tak sure, tapi kalau korang check kat review tu semua, korang mungkin perasan banyak rating 5-star yang tak cakap apa-apa pun…

Jadi kalau developer nak naikkan baik rating app… depa memang kena lawan baliklah review yang (setakat ni) dah sebanyak 1,390 orang. Hah, tak ke cramp tangan sorang-sorang cybertrooper nak buat fake account kat Google.

Sebut pasal developer… siapa yang buat app ni sebenarnya? Mahal idak?

Nak buat mobile app boleh menelan berpuluh ribu ringgit

The Malay Mail Online kata app ni dibina oleh Resonate Digital Sdn Bhd (RSDB). Kalau check kat Suruhanjaya Syarikat Malaysia pulak, RSDB telah berdaftar sejak Januari 2014 lagi.

Tahniah RSDB kerana at least app depa lagi senang nak guna dari website SSM.

Tapi selain daripada beberapa profile pekerja kat LinkedIn, kami tak jumpa sebarang maklumat rasmi tentang syarikat ni. Kalau search kat Google Play Store pulak, RSDB takde keluarkan sebarang app lain daripada Najib Razak.

Satu je app yang dibina RDSB. Mungkin tiada kaitan dengan 1MDB.

Mahal ke nak buat mobile app ni sebenarnya? Ini soalan yang agak subjektif untuk dijawab, sebab ia bergantung kepada fungsi yang ada, tapi kita boleh cuba anggarkan. Mengikut Savvy Apps:

App yang dibina oleh syarikat besar, atau “big boys”, memakan kos antara USD$500,000 ke $1,000,000. App yang dibina oleh agensi memakan kos antara USD$150,000 ke $450,000. App yang dibina oleh butik software kecil, mungkin hanya dengan 2-3 orang, memakan kos antara $50,000 ke $100,000. – Savvy Apps, bertarikh 4 Feb 2015

Mak datuk… kalau $50,000 pun dah RM210,00! OK tapi macam yang kami cakap tadi, anggaran kat atas ni belum lagi mengambil kira fungsi-fungsi yang ada (atau yang tak ada). Jadi kami try satu lagi website yang boleh buat anggaran berdasarkan feature.

Website How Much to Make an App membuat anggaran berdasarkan lebih 30,000 cadangan projek yang dihantar kepada mereka. Jadi kat website ni kami nyatakan ciri-ciri app yang paling dekat dengan app Najib Razak, iaitu:

  • Dibina untuk Apple IOS dan Android
  • Pengguna tak payah login
  • Pengguna tak perlu buat profile (profile ada tap setakat isi nama, email, nombor telefon dan alamat je pun)
  • App tak dibina untuk mengaut keuntungan
  • Pengguna tak boleh bagi rating atau review dalam app
  • App tak perlu disambungkan kepada mana-mana website (app aggregate maklumat dari website, tapi tak perlu bagi maklumat kepada mana-mana website)
  • App cuma perlu menggunakan reka bentuk stock (template yang sedia ada kat Internet)
  • App tak perlu ikon berkualiti tinggi

… dan anggaran yang kami dapat adalah USD24,000, iaitu kira-kira RM100,000.

Boleh beli sebijik rumah PR1MA kot.

TETAPI… anggaran kos ni masih lagi tak mengambil kira betapa simplenya app Najib Razak yang kebanyakan fungsinya hanyalah memaparkan artikel – samada dari blog ataupun daripada media sosial. Jadi nak senang, kami tanya beberapa web developer yang merupakan rakan penulis (juga bekas rakan-rakan serumah).

Sila abaikan perbulan-perbualan yang sebelumnya.

Jadi… anggaran paling dekat kami boleh dapat adalah antara RM12K-RM20K. TETAPITAPITAPI…. harus diingat yang kos caj-mengecaj kat Malaysia kadang-kadang bukan betul sangat. Sedangkan kos nak renovate Tugu Negara pun sampai RM650 juta… apatalah lagi sekeping app.

Semakin pihak tertentu cuba nak kawal pandangan umum… semakin tu kita kena pertahankan kebebasan bersuara!

Imej dari Malay Mail Online.

Kalau korang peminat sejarah, mungkin korang ingat pasal strategi Perang Saraf yang dilancarkan oleh pihak British untuk melemahkan pihak komunis. Satu-satunya cara untuk menang adalah bila sokongan terhadap komunis hilang, dan ini dilakukan dengan menyebarkan risalah dan propaganda untuk memenangi hati dan minda rakyat.

Zaman Internet ni pulak, pihak-pihak tertentu (tak kisahlah dari pihak kerajaan ataupun pembangkang) boleh melancarkan ejen propaganda mereka sendiri di media sosial. Tak cukup dengan tu, buku-buku diharamkan, website pulak kena block dalam usaha cuba mengawal pandangan umum.

Jangan cakap sebarangan, nanti kena sedisyen…

Namun kes yang berlaku kat App Najib Razak ni menunjukkan yang rakyat masih lagi ada ruang dan peluang bersuara, tak kisahlah walaupun hanya sebagai rating kat Google Play Store pun. Tapi sampai bila? Baru-baru ni keluar berita yang Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dipinda di mana kalau korang share post kat Facebook pun boleh kena denda!

Jadi kalau korang nak buat sesuatu untuk pertahankan kebebasan bersuara… pergi tulis surat kat MP masing-masing (rujuk panduan di sini). Bertindaklah segera.

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.