- 52Share sekarang!
- Email2
- Facebook50
- Share
Selama ni kalau dengar tabligh je, mesti terbayang sekumpulan lelaki Islam berjubah yang datang rumah ke rumah untuk ajak orang pergi masjid. Tapi bayangkan satu hari pintu rumah korang diketuk, dan rupa-rupanya yang ketuk tu… ANUAR ZAINNN??!
Korang pun mesti tahu kan baru-baru ni viral sebuah video yang menunjukkan Anuar Zain menuang teh tarik sambil menyanyikan lagu ‘Lelaki Ini’ dalam sebuah keramaian yang merupakan program tabligh.
Sebelum Anuar Zain, dah ramai pun selebriti yang join masuk tabligh macam Datuk Nash, Nabil Ahmad, Aliff Aziz, MK K-Clique, dan ramai lagi yang mendekatkan diri dengan program tabligh ni. Tapi, korang tahu ke apa sebenarnya tabligh ni, sampai ramai-ramai pakat nak join?
Kemunculan gerakan tabligh sebab Maulana yang sedih dengan gaya hidup masyarakatnya
Kalau Kristian ada mubaligh Kristian dalam Christian missionary – atau misi Kristian yang menyebarkan agama Kristian kepada orang-orang baru melalui kerja-kerja amal yang selalunya melalui pendidikan dan hospital, lebih kurang jugalah dengan gerakan mubaligh Islam ni.
Malah, gerakan tabligh juga bertujuan untuk mengajak manusia kembali ke ajaran Islam yang menyeluruh. Tabligh sendiri bermaksud ‘untuk menyampaikan pesanan’, atau ‘untuk menyampaikan pesanan Islam kepada masyarakat’.
Tabligh diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi, seorang ulama besar India yang lahir dalam keluarga ulama dan berasal dari Mewat, sebuah wilayah di India. Idea nak abdikan hidupnya kepada dakwah Islam ni mula timbul semasa Maulana Ilyas ni mengerjakan ibadah Haji pada tahun 1926.
Puncanya sebab zaman tu, kebanyakan umat Islam di India sama ada mengagungkan cara hidup British, atau mencampur adukkan amalan Hindu walaupun beragama Islam. Malah, ia pernah dicatatkan oleh Major Powlett yang merupakan seorang pegawai penempatan di negeri Alwar, sebuah bandar di India yang menulis tentang keadaan suku Meo di Mewat sebelum kedatangan Maulana Ilyas:
“Orang Meo semuanya Islam, tetapi hanya pada nama. Mereka menyambut hari kebesaran Hindu di samping hari kebesaran Islam. Ketika berkahwin, Brahmin Hindu akan melaksanakan upacara perkahwinan. Manakala majlis akad nikah pula dilaksanakan oleh Kadi.
Sangat sedikit yang melaksanakan solat di kalangan mereka. Masjid-masjid juga jarang kelihatan. Hanya terdapat 8 buah masjid dalam 50 buah kampung. Mereka benar-benar jahil terhadap agama mereka…” – Major Powlett, dipetik dari Travellers in Faith: Studies of the Tablīghī Jamāʻat as a Transnational
Gerakan Tabligh yang semakin berkembang sehingga ke luar negara
Dari situ la dia dapat ‘seru’ untuk menarik manusia kepada jalan Allah S.W.T, mestilah dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad pada permulaan dakwah Islam iaitu berjumpa manusia dari pintu ke pintu & dari hati ke hati. Jadi, dia terus laungkan, ‘Aye Musalmano! Musalman bano’ yang bermaksud, ‘Wahai umat Muslim! Jadilah muslim yang kaffah (menunaikan semua rukun dan syari’ah seperti yang disuruh Rasulullah)’.
Dari situlah wujudnya Tablighi Jamaat, atau Jemaah Tabligh yang wujud sekitar akhir 1920-an, merupakan sebuah gerakan dakwah yang dikatakan kesinambungan dan penerus kerja dakwah Rasulullah S.A.W serta para sahabat mereka.
Sekembalinya Maulana Ilyas ke Mewat, beliau bersama anak-anak muridnya melakukan dakwah dari rumah ke rumah sehingga berpuluh-puluh batu dengan lemah lembut dan akhlak yang baik, sama macam Rasulullah buat.
Lama-kelamaan, kesungguhan dan keikhlasan hatinya memberi kesan kepada penduduk Mewat. Semakin ramai yang mendekati Islam kembali dengan masjid-masjid yang semakin dipenuhi, dan anak-anak mula dihantar ke madrasah. Dari situ, Maulana Ilyas mula mengutuskan jemaah dakwah dari Mewat ke daerah-daerah dan negeri-negeri lain di India. Dari sinilah bermulanya gerakan jemaah tabligh yang kemudian berkembang ke seluruh pelusuk dunia.
Dalam tempoh hampir 20 tahun je, gerakan Tabligh berjaya disebarkan di seluruh Asia Selatan. Di bawah pimpinan Maulana Yusuf, anak Maulana Ilyas sebagai pemimpin kedua, gerakan ini mula mengembangkan kegiatannya pada tahun 1946, dan dalam jangka masa tersebut, penyebarannya telah sampai ke Asia Barat Daya dan Asia Tenggara, Afrika, Eropah dan Amerika Utara.
Setiap pembentukan dalam suatu negara, Jemaah Tabligh mula meresap dalam masyarakat tempatan. Walaupun negara barat pertama yang dipengaruhi Jemaah Tabligh ialah Amerika Syarikat, tetapi fokus utama mereka adalah di Britain, iaitu kepada populasi padat orang Asia Selatan di sana yang tiba pada tahun 1960-an dan 1970-an. Manakala di Malaysia pula…
Penapakan Jemaah Tabligh sejak 1970-an di Tanah Melayu sebab kedudukan Islam yang tak kukuh
Di Malaysia pula, gerakan tabligh ni mula diberi perhatian oleh masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu seawal tahun 70-an lagi dengan penyertaan mereka sebagai Jamaah Tabligh. Ini menunjukkan kedudukan Islam mula diberi perhatian secara meluas berbanding sebelumnya.
Sebabnya, sejak awal abad ke-20 sehingga tahun 1969, fahaman Islam di Tanah Melayu dicorakkan oleh pihak yang berbeza, oleh pemerintah yang terdiri dari golongan raja dan penjajah, juga dari golongan agama dan pertubuhan tertentu.
Walaupun orang Melayu kemudian merdeka dan memerintah negara, Islam dianggap masih dalam lingkungan sekularisma disebabkan penjajahan yang mempengaruhi gaya pentadbiran aristokrat Melayu. Sebab tu juga zaman tu kita boleh tengok iklan arak yang ditulis dalam bahasa jawi dan bahasa Melayu – memandangkan sasaran pelanggannya juga orang Melayu.
Dan disebabkan ketidakstabilan tersebut, Jamaah Tabligh ni datang untuk buat pembaharuan. Dari situ, ajaran Islam yang diterapkan dalam Tabligh boleh diterima baik sebab relevan dengan kehendak Muslim di Malaysia yang nakkan kehidupan baru yang mementingkan nilai beragama, dan bukan pada nama semata-mata.
Malah salah satu sebab gerakan ni berjaya adalah kerana Tabligh ni la satu-satunya gerakan Islam yang tak memandang asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya, demi mengajak umat Islam untuk menjalani agama sebenar dalam kehidupan.
Tapi tak mudah juga sebab ada juga beberapa pihak yang menentang gerakan tabligh pada masa tu. Disebabkan usaha dakwah yang dilakukan boleh dikatakan agak berjaya, ini menyebabkan ada pemerintah dan masyarakat Melayu yang membangkitkan isu yang mencabar kredibiliti gerakan tersebut berdasarkan laporan agensi berkaitan serta liputan akhbar tempatan dengan pelbagai dakwaan.
Tapi bila gerakan tabligh ni disiasat, nampaknya ia takde kaitan pun dengan penggubahan wang. Malah, tabligh juga dikatakan tak menerima sumbangan atau dana untuk menjalankan aktiviti dakwah, dan ditanggung oleh mereka yang menjalankan kerja-kerja dakwah sendiri yang bertanggungjawab membiayai diri sendiri. Kalau korang nak tahu, Jemaah Tabligh merupakan gerakan Islam bukan politik terbesar di dunia!
Walaupun begitu…
Masih ada negara-negara yang mengharamkan gerakan ni
Walaupun gerakan tabligh ni diterima di kebanyakan negara, tapi ada beberapa negara yang mengharamkan gerakan ini iaitu di Rusia dan negara-negara Asia Tengah seperti Tajikistan, Uzbekistan and Kazakhstan.
Mahkamah Kazakhstan pada 2013 telah memutuskan yang gerakan tabligh ni diharamkan dan mereka dianggap sebuah kumpulan ekstremis dan ia dianggap kegiatan haram. Contohnya di Tajikistan pada 2019, beberapa orang yang dijatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga lima tahun semasa ditahan.
Walaupun gerakan Tabligh ni berasal dari India, tapi kerajaan India dari parti BJP yang berfahaman ‘Nasionalisme Hindu’ ni mengharamkan gerakan ni dan takkan mengeluarkan visa pelancong kepada orang asing yang nak mengunjungi India untuk ambil bahagian dalam kegiatan Tabligh. Malah sejak tahun lepas saja, kerajaan India dah mengharamkan seramai lebih 2,550 jemaah Tabligh dari luar India dari memasuki negara tu sampai 10 tahun lagi selepas disenarai hitam oleh Kementerian Dalam Negeri India.
Puncanya? Sebab diorang langgar peraturan visa masa India tengah lockdown untuk memerangi penyebaran Covid-19, dengan tinggal di masjid dan tempat-tempat keagamaan di seluruh negeri di India.
Manakala di Malaysia pula, kerajaan Selangor juga pernah ‘mengharamkan’ gerakan Tabligh ni juga daripada aktif – juga sebab nak kekang pandemik Covid-19 yang berleluasa sampai ada kluster sendiri – dan bukan selamanya.
Dengan perubahan zaman, gerakan tabligh masih diterima di Malaysia
Kalau nak ikutkan tabligh ni ada asal-usul yang panjang, malah hampir satu abad. Ia dikatakan sebab usaha Maulana Ilyas ni la, terdapat ramai umat Islam di dunia pada hari ini dan dengan itu, kerja dakwah ini dikatakan akan terus berlaku seiring masa. Lagipun, gerakan ni banyak menumpukan perhatian terhadap keimanan dan amal soleh tanpa mencampurkannya dengan politik, isu-isu kontroversi dan sebagainya.
Bagaimanapun, bekas Mufti WP, Ustaz Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam penulisannya pernah berpesan kepada mereka yang nak join gerakan tabligh ni supaya mengimbangi antara urusan di dunia dan akhirat, dan bukannya mengabaikan urusan dunia semata-mata nak kejar akhirat.
Contohnya adalah tanggungjawab wajib yang mestilah ditunaikan dulu, macam nafkah dan kebajikan keluarga yang lebih besar dan utama jika ingin dibandingkan dengan keperluan berdakwah. Malah, wajib untuk meninggalkan ahli keluarganya dalam keadaan yang baik dan selesa. Takdelah macam kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Pada pendapat korang, kalau gerakan tabligh ni tak sampai di Malaysia lebih kurang 50 tahun yang lalu, rasa-rasanya macam mana kehidupan di Malaysia sekarang ni?
- 52Share sekarang!
- Email2
- Facebook50
- Share