Alopecia, penyakit Jada Smith penyebab Chris Rock ditampar di Oscar

Dalam kemeriahan Anugerah Akademi Oscar yang berlangsung beberapa jam tadi, semua orang terkesima apabila Will Smith bertindak bangun dari tempat duduknya dan menampar Chris Rock. 

Sementara tu, ekspresi Lupita Nyong’o yang duduk betul-betul kat belakang Will Smith nampaknya mewakili kita semua:

Will Smith kemudian kembali ke tempat duduknya dan menjerit meminta Chris Rock tak menjadikan imej botak Jada sebagai bahan gurauan, memandangkan Jada agak sensitif dengan penyakit yang dialaminya iaitu…

Alopecia, penyakit auto-imun yang melanda 2% masyarakat dunia

Merupakan sebuah gangguan autoimun, Alopecia memberi kesan kepada folikel rambut, mengakibatkan tompokan botak dan keguguran rambut. Juga, ada 9 jenis Alopecia yang pernah direkodkan.

Ada yang satu tempat je, ada yang bertompok. Imej dari Google

Ia bermula dengan keguguran rambut yang kronik. Kalau korang sikat rambut dan ada yang gugur dalam 10 helai tu, takde masalah lagi la sebab manusia biasanya akan kehilangan dalam 50 hingga 100 helai rambut sehari. Korang mungkin tak berapa perasan sangat sebab dalam masa yang sama, ada rambut baru tumbuh. Tapi dalam kes Alopecia ni, kesemua rambut gugur dan takde rambut baru yang menggantikan rambut gugur tersebut.

Antara sebab boleh terjadinya Alopecia ni adalah disebabkan stress, kemurungan, kebimbangan, dan beberapa penyakit autoimun termasuklah penyakit:

i) tiroid
ii) lupus
iii) vitiligo.

Dianggarkan, sebanyak 2% masyarakat dunia terkesan dengan penyakit ni dalam hidup diorang sama ada secara kekal, atau sementara je.

Dalam kes Jada ni, ia bukanlah sesuatu yang baru sebab sejak beberapa tahun yang lepas, dia dah start selalu pakai turban dan tutup kepala lepas dia sedar yang banyak gumpalan rambut yang jatuh lepas dia mandi. Kemudian pada tahun 2018 dia mengambil keputusan untuk menceritakan masalah yang dihadapinya dalam siri Red Table Talk miliknya.

Jada Pinkett menunjukkan kawasan yang terjejas. Imej dari pagesix.com

Tahun 2021 pula dia akhirnya bertindak untuk botak terus selepas dah cuba pelbagai rawatan termasuklah suntikan steroid untuk mengatasi masalah tompokan botak dikepalanya. Tapi mungkin sebab rawatan tu tak berapa nak berjaya, jadi dia botakkan saja kepala dia supaya sekata.

Jadi, ada cara ke nak elakkan dari terkena?

Walaupun kita ada listkan yang antara penyebabnya adalah disebabkan beberapa penyakit, tapi ia juga boleh jadi disebabkan penyakit keturunan. Tapi, ada beberapa cara mengelakkannya iaitu dengan:

i) Elakkan kekasaran: masa nak sikat rambut, bersyampu, mahupun bermain.
ii) Tanya doktor suplemen dan ubat apa yang mungkin menyebabkan keguguran rambut dan elakkan dari mengguna.
iii) Lindungi rambut korang daripada cahaya matahari dan sumber cahaya ultraviolet yang lain.

Ini hanyalah pencegahan awal yang boleh diambil. Yang paling penting sekali, selalu dapatkan nasihat doktor pakar kalau korang rasa kurang yakin dengan perubahan tubuh badan korang.