Ada orang tawarkan perkhidmatan belajar silat dalam mimpi secara online?

Baca tajuk pun dah pelik apa benda SOSCILI merepek ni, tiba-tiba ilmu belajar silat dalam mimpi. Pening kepala!

GIF dari giphy.

Pelik atau tak tapi sebenarnya belajar silat dalam mimpi tu ternyata wujud. Mesti semua terkejut beruk, kerana mustahil perkara sebegini berlaku. Satu lagi sebabnya ialah macam mana kita boleh rancang mimpi kita untuk bersilat sedangkan mimpi ni berlaku secara random? Haa ni satu lagi, macam mana orang boleh buat bisnes belajar silat dalam mimpi ni?!

Baiklah sabar semua, kami akan menjawab persoalan di atas ni. Mula-mula, kalau betul nak belajar ilmu ni, awak semua…

Perlu memohon kepada Allah jika mahu belajar silat dalam mimpi

Kita semua tahu yang silat ni satu seni mempertahankan diri dari Kepulauan Nusantara. Boleh dikatakan ada pelbagai jenis silat sampaikan nak kira pakai jari tangan dan kaki pun tak cukup.

Dikatakan ilmu belajar silat dalam mimpi ini dari sebuah jenis silat, iaitu ‘Silat Rajawali Padang Gilangan‘ yang berasal dari kerajaan ghaib. Ia juga turun-temurun dari Panglima Alam Gilangan.

Ilmu ini juga perlu memasang niat bersungguh-sungguh kerana ia khas kepada sesiapa yang ingin mewarisinya.

Ia juga dikatakan mempunyai banyak kebaikan jika mempelajarinya, antaranya:

  • Pendinding dari kuasa ghaib.
  • Tidak diganggu makhluk halus.
  • Meningkatkan tenaga.
  • Merawat orang yang terkena kuasa ghaib.
  • Boleh tahu kehadiran makhluk ghaib.

Itu adalah sedikit penerangan mengenai asal-usul ilmu belajar silat dalam mimpi. Sekarang, kami nak cerita satu benda.

Gambar sekadar hiasan. Imej dari Panji Nusantara.

Minggu lepas, staf CILISOS ada terjumpa satu laman web iaitu, Jejak Panglima yang menawarkan perkhidmatan belajar silat dalam mimpi (ia juga dipanggil ijazah jarak jauh). Jika mahu mempelajarinya, kita perlu membayar RM180 sebagai fidyah (yuran) (bukan bayar secara tunai, tapi bayar online! Maju kan?).

Nak tahu, Jejak Panglima mengatakan ilmu ni awak semua boleh belajar pelbagai jenis silat yang dingini. Seni mempertahankan diri selain silat pun boleh belajar juga tau seperti Tomoi!

Inilah laman web Jejak Panglima yang kami cakap tu. Imej dari Jejak Panglima.

Jika mahu mempelajarinya, kita perlu melakukan beberapa perkara:

  1. Selepas membayar fidyah, kita kena berikan gambar, tarikh lahir, nama penuh sendiri dan ibu bapa di WhatsApp.
  2. Perlu menyediakan segelas air masak dan sebiji limau nipis.
  3. Kita perlu hubungi mereka diantara pukul 9.30 malam – 12.30 tengah malam untuk ijazah jarak jauh.

Selepas itu, mereka akan memberitahu arahan seterusnya yang perlu dibuat:

  1. Sebiji limau tadi perlu diperah dalam segelas air masak dan diminum.
  2. Mengambil air wudhu’.
  3. Membaca surah Al-Fatihah sebanyak 3 kali.
  4. Lepas buat semua 3 perkara di atas ni, baring di tempat tidur dalam keadaan Qiam (kaki kanan di atas, kaki kiri bersilang).
  5. Membaca ayat kursi 3 kali.
  6. Beristighfar sampai tidur sambil memasang niat untuk bersilat.

Semasa tidur, sesi belajar silat dalam mimpi akan berlaku.

Apakah hukum kalau belajar ilmu silat dalam mimpi ni?

Secara spesifiknya, kami tak tahu apa hukumnya, tapi mungkin ia boleh dikaitkan dengan hukum mempelajari ilmu ghaib. Kami mengambil pandangan dari Ustaz Azhar Idrus (UAI), cuba tengok video di bawah dahulu, nanti kami huraikan selanjutnya:

Sudah tengok video di atas? Menurut Ustaz Azhar Idrus, kita boleh mempelajari ilmu ghaib kata sesetengah ulama’, hukumnya makruh saja. Apa pendapat awak semua, adakah ilmu belajar silat dalam mimpi tipu atau benar-benar wujud?