Ada maksud tersendiri? 4 negara dengan perbezaan chopstick yang korang perlu tahu

Beberapa hari lepas, Tun Mahathir tiba-tiba je keluarkan kenyataan (katanya sebagai contoh) pasal orang Cina tak berapa nak berasimilasi di Malaysia sebab masih lagi menggunakan chopstick, dan bukannya guna tangan macam orang Melayu dan India. Perkara tu kemudiannya dipersoal dan diperli bukan setakat  Cina, tapi kaum Melayu dan India sendiri dalam media sosial termasuklah Najib Razak.

Najib kalau perli orang memang #1, kalau bagi alasan pun #1 juga. Imej dari FB Najib Razak.

Tak pasti la kalau Tun Mahathir memang berniat untuk provoke atau itu pendapat dia, tapi nampaknya Pejuang mengatakan isu ni dah disalahtafsir pihak lain.

Yang penting, kita semua tahu yang Cina bukanlah satu-satunya bangsa yang menggunakan chopstick untuk makan. Ia juga digunakan terutamanya di negara-negara budaya Sinosfera, atau Lingkungan Kebudayaan Asia Timur, antaranya adalah China, Jepun, Korea, malah Vietnam.

Meme tak diedit dari Twitter

Tapi korang perasan tak yang setiap chopstick tak sama dan yang membezakannya adalah saiz dan buatan dari bahan berbeza di setiap negara, dengan sebab tertentu.

1. China yang menggunakan chopstick paling panjang

Kalau korang biasa makan di kedai Cina mahupun Cina Muslim, korang mesti la pernah gunakan chopstick juga, kan? Kalau korang perasan, chopstick Cina adalah panjang berbanding mana-mana chopstick yang lain, iaitu lebih kurang  27 cm (11 inci).

Kalau korang nak tahu, orang Cina dah menggunakan chopstick sejak sekurang-kurangnya 1200 B.C, atau 4,000-5,000 tahun yang lalu di China yang pada asalnya digunakan untuk memasak. Tapi disebabkan perubahan zaman, ia kemudiannya turut digunakan sebagai peralatan untuk makan pada 400 A.D, sebelum tersebar ke seluruh Sinosfera menjelang 500 A.D.

Yang menariknya lagi, penggunaan chopstick berlaku disebabkan ledakan populasi di seluruh China yang menyebabkan diorang kekurangan sumber makanan yang membuatkan ramai yang mula memikirkan cara untuk menjimatkan kos. Salah satu idea yang muncul adalah tukang masak mula memotong bahan makanan dengan saiz yang lebih kecil dan memasak menggunakan api yang besar supaya menjimatkan masa. Secara kebetulannya, ketulan kecil makanan ni juga sesuai dengan cengkaman chopstick.

Imej dari Viet World Kitchen

Jadi, sebab tu la masakan Cina biasanya dalam bentuk yang lebih kecil sebab senang nak ambil dan makan. Tambahan pula, ia biasanya digunakan untuk mengambil, dan juga meletakkan makanan dalam mangkuk orang lain sebelum menggunakannya untuk diri sendiri.

Pembuatannya kebanyakannya adalah dari buluh sebab murah, mudah didapati, mudah dibelah, tahan panas, dan tidak mempunyai bau atau rasa yang ketara. Tapi ada juga yang menggunakan kayu, je, logam, porselain, dan juga plastik.

Manakal Dinasti China zaman dulu pula pernah menggunakan set perak yang dipercayai akan terhakis dan menjadi hitam kalau bersentuhan dengan makanan beracun. Tapi sebenarnya, ia bukanlah tindak balas dari arsenik atau sianida, tapi bahan yang ada pada telur busuk, bawang, atau bawang putih juga boleh menyebabkan hidrogen sulfida yang dikeluarkannya menyebabkan chopstick perak berubah warna.

2. Jepun yang pada asalnya lebih banyak menggunakan sudu berbanding chopstick

“SUDU AJAIB”. Imej dari doraemon.fandom.com

Sebenarnya kalau nak diikutkan, orang Jepun lebih banyak menggunakan sudu berbanding chopstick, di mana chopstick selalunya digunakan untuk mengambil makanan sahaja. Tapi ia berubah apabila penggunaan chopstick mula popular di serata Asia.

Chopstick yang digunakan orang Jepun adalah pendek sikit berbanding chopstick yang digunakan China, dan hujungnya lebih runcing dan mempunyai alur lilitan di hujungnya, yang membantu mengelakkan makanan daripada tergelincir.

Kitorang sendiri bari tahu yang kebiasaannya, lelaki akan menggunakan chopstick yang lebih panjang berbanding perempuan, iaitu 8 inci panjang untuk lelaki dan 7 inci panjang untuk perempuan. Pada tahun 1878 orang Jepun menjadi yang pertama mencipta set pakai buang yang kini ada di mana-mana, biasanya diperbuat daripada buluh atau kayu. Manakala pengunjung yang kaya pula boleh makan dengan chopstick versi gading, jed, karang, loyang atau batu akik.

3. Korea yang mencipta chopstick dari logam disebabkan sejarah diorang

Bagi peminat K-drama pulak, konfirm la mesti ada scene diorang makan kan? Kalau korang nak tahu, scene makan ni memang sengaja diadakan sebab macam tu la diorang promote budaya diorang di mata dunia luar. Sebab tu la restoran Korea tumbuh dengan jayanya terutama sekali di Malaysia yang penuh dengan peminat army K-Pop dan K-Drama.

Jaranglah tengok cerita Korea takde scene makan. Gif dari identity-mag.com

Kalau korang perasan, perbezaan chopstick Korea adalah ia diperbuat daripada logam dan biasanya perlu digunakan sekali dengan sudu. Ini kerana Korea mempunyai sejarah yang panjang dalam kecemerlangan dalam kerja-kerja logam yang menjelaskan mengapa chopstick Korea diperbuat daripada logam. Ia juga boleh bertahan seumur hidup dengan penjagaan yang betul, jauh lebih lama berbanding chopstick kayu atau buluh.

Manakala sudu yang dipakai bersama chopstick ni adalah lebih bulat dan selalunya agak panjang berbanding sudu yang biasa digunakan, dan set sudu dan chopstick ni semuanya diperbuat daripada besi dan hari ini daripada keluli tahan karat.

Kemain cantik lagi sudu logam diorang. Imej dari theflyinghanbok

Dari bentuknya pula, chopstick Korea biasanya rata, macam pemegang sudu dan garfu, dan bukannya bulat atau empat segi macam budaya Asia yang lain. Walaupun chopstick Korean rata dan agak nipis, tapi ia sebenarnya agak licin dan berat berbanding chopstick yang digunakan dalam budaya lain. Jadinya, ibu bapa Korea perlukan kesabaran yang tinggi masa nak ajar anak-anak diorang menggunakan chopstick.

4. Vietnam yang menggunakan pangkal chopstick untuk ambilkan makanan

Tak jauh berbeza dengan yang lain, chopstick Vietnam selalunya diperbuat daripada kayu atau buluh. Bentuknya seperti kayu panjang yang meruncing dan tumpul dihujungnya, lebih kurang macam Jepun. Ia biasanya besar dan tebal pada pangkalnya dan lebih nipis pada satu lagi, hujung nipis yang digunakan untuk mengambil makanan. Ia selalunya diperbuat daripada buluh atau kayu lacquered.

Pho yang dimakan menggunakan chopstick. Imej dari recipetineats.com

Sebelum munculnya penggunaan chopstick di Vietnam, diorang banyak menggunakan tangan untuk mengambil makanan. Tapi disebabkan Vietnam merupakan negara pertanian di mana tangan diorang banyak menggunakan tanah dan baja, jadi diorang mula mengadaptasi dan menggunakan chopstick supaya ia lebih bersih dan sopan memandangkan diorang selalu makan bersama keluarga besar.

Lain sikit dengan pengguna chopstick di negara lain, kalau diorang dah separuh jalan makan dan tiba-tiba orang minta letakkan makanan dalam mangkuk, si pemberi ni akan pusingkan chopstick diorang dan ambilkan makanan menggunakan hujung yang bersih.

Penggunaan chopstick ada kaitan dengan kebersihan dan mendahulukan orang lain

Memandangkan kita di Malaysia kebanyakannya adalah Melayu, jadi makan menggunakan tangan memang dah jadi satu budaya dan sunnah terutamanya di mana enzim pada tangan akan membantu dalam penghadaman perut kita. Manakala kaum India pula percaya apabila kita makan menggunakan tangan, manusia boleh berhubung secara terus dengan makanan dari tekstur makanan tersebut. Malah, ia dikatakan berkaitan dengan lima elemen utama kehidupan.

Begitu juga dengan makan menggunakan chopstick. Kalau nak diikutkan, ia ada kaitan dengan kesopanan dengan mendahulukan orang lain apabila kita meletakkan makanan dalam mangkuk orang lain sebelum makan. Manakala hujungnya yang runcing pula memudahkan orang mengambil lauk supaya ia tak terkena sisa kepada orang selepasnya.

Tak kisahlah sama ada nak gunakan tangan, sudu dan garfu mahupun chopstick untuk makan, apa salahnya kita hormati dan raikan saja perbezaan antara kita?