- 234Share sekarang!
- Email24
- Facebook210
- Share
Baru-baru ini, ada satu ciapan yang viral di Twitter mengenai sebuah buku berjudul “Dekad Membaca” oleh Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin. Ia dikatakan mempunyai unsur plagiarisme dan terjemahan kerana perkataan dan bahasa Melayu yang digunakan amat pelik sampaikan nak baca pun buat kepala otak korang pening.
Haa inilah ciapan yang viral tu, (boleh tekan pautan ini):
Ramai peminat buku rasa bengang bila tahu hal itu dan yang menambahkan lagi peliknya – Mejar (B) Qayyum ni boleh pula menang Anugerah Buku Negara 2019 dalam kategori Penerbit Prolifik. Oh ye kalau korang tak kenal siapa dia, mari kami bongkarkan profil dan buku-buku yang pernah ditulisnya.
Mejar (B) Qayyum seorang bekas tentera dan pakar motivasi
Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin merupakan seorang pesara tentera yang telah berkhidmat selama 25 tahun. Antara penglibatan serta jawatannya ketika menjadi tentera ialah:
- Operasi di sempadan Malaysia /Thailand dan di pulau-pulau Sabah.
- Pegawai Latihan di institut pengurusan tentera darat.
- Pegawai Tadbir Pasukan Udara Tentera Darat.
- Pegawai Operasi di markas 8 Briged Kelantan.
- Jurulatih di pusat olah perang serta pegawai operasi dan latihan (oplat) di markas logistic tentera darat.
Qayyum dikatakan berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan pernah mengendalikan ceramah motivasi lebih dari 832 program sejak tahun 2000 lagi. Beliau juga pernah menjadi sukarelawan Majlis Perundingan dan Perwakilan Malaysia (MAPIM) dan terilbat dalam misi kemanusiaan di Malaysia, Gaza dan Mesir.
Kalau pasal penulisan bukunya pula, beliau dikatakan telah menulis sebanyak 80 buah buku. Beliau juga berpegang teguh pada falsafah hidup “biar sedikit tetapi bermanfaat” dan prinsip, “mengubah hidup dengan mengubah cara berfikir”.
Anugerah Buku Negara pun Qayyum ni pernah menang, antaranya:
- Penerbit Prolifik (macam kami sebut di atas).
- Buku paling banyak dan proflifik.
Mengenai anugerah yang dimenangi, kami hanya menjumpai dua sahaja malah menurut Bibliophile Malaysia, beliau pernah dinobatkan sebagai Penerbit Prolifik dalam Anugerah Buku Negara 2019. Tapi, anugerah buku paling banyak dan prolifik itu kami hanya jumpa dalam ciapan Dieyana Ayuni yang menunjukkan gambar muka surat buku Dekad Membaca.
Kenali Penulis 😊✌🏼 pic.twitter.com/AQABuYjJL9
— Kasma Diey 🌸 (@dieyanayuni) November 13, 2020
Namun, di sebalik pencapaian terhebat Qayyum ni, beliau sebenarnya dah menimbulkan kontroversi, apabila…
Penulisan bukunya seperti menggunakan “Google Translate”
Sebenarnya dari dahulu lagi Qayyum ni popular dengan buku-bukunya yang ada unsur plagiarisme sampaikan ramai orang cuba membocorkan sumber yang diambil untuk tulis buku. Tapi kami akan huraikan isu beliau baru-baru ini mengenai buku Dekad Membaca.
Baiklah, sebenarnya apa yang membuatkan buku Dekad Membaca dikatakan mempunyai unsur plagiarisme? Haa, menurut seorang peminat buku di Twitter, Dieyanna Ayuni – buku itu mempunyai ayat yang sangat pelik seperti menggunakan Google Translate.
Malah, seorang lagi peminat buku, Iman Hakim Danial telah membongkarkan kandungan buku itu serta sumber laman web yang diambil. Antaranya:
- How to Develop Your Reading Habit (Wikihow).
- 6 Ways to Cultivate Reading a Regular Habit (Osau).
- 13 Reasons to read daily (I Heart Intelligence).
Qayyum akhirnya mengaku kesilapannya tu dan kata ada enam sumber yang dia ambil dan satunya diambil dari carian Google. Lepas tu, beliau terjemahkannya mengguna applikasi, tapi ayat jadi pelik sebab auto check. (korang boleh tengok video pengakuannya di sini).
Tapi tak lama lepas tu, Dieyanna Ayuni sekali lagi membongkarkan isi kandungan dalam buku penulisan Qayyum, Excellent Secetary. Ia juga mengandungi sumber dari internet yang kandungannya sebiji dan tidak diubah.
Penerbitan buku harus dilindungi dari unsur plagiarisme
Sebelum kami bincang mengenai unsur plagiarisme, mari kami huraikan sedikit mengenai buku dalam Akta Hak Cipta 1987. Baiklah, buku merupakan media lama yang tergolong dalam kategori Karya Sastera dalam Akta Hak Cipta 1987 dan karya ini akan dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan buku itu dihasilkan.
Namun, sekiranya korang mahukan buku atau mana-mana karya korang dilindungi, korang perlu tahu dua perkara yang termaktub dalam Seksyen 7 (3) akta sama:
- Usaha yang mencukupi telah dilakukan untuk menjadikan karya itu bersifat asli.
- Karya itu telah ditulis, direkod atau selainnya dijadikan dalam bentuk bahan.
Tidak dinafikan dalam era kemajuan ni banyak sahaja orang yang cuba mencuri kandungan orang lain dan mengaku itu miliknya. Lihat sahaja di internet banyak sumber yang diciplak tanpa segan silu. Bahkan, dalam penulisan buku pun tak terlepas dari isu sebegini. Sebagai pembaca kita perlu peka dan ambil tindakan sekiranya ada golongan yang menggunakan unsur plagiarisme dalam buku.
Menurut Sekolah Penulisan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil tahu dalam menangani isu sebegini, antaranya:
- Semua karya yang dihasilkan akan dilindungi secara automatik di bawah Akta Hak Cipta 1987 sama ada berbentuk cetak mahupun digital.
- Jika berlaku percanggahan, ia akan melibatkan tindakan ke atas penulis, penerbit dan pencetak secara langsung.
- Mengenalpasti apakah bentuk plagiarisme yang dilakukan. Adakah pada teks, ilustrasi atau imej yang digunakan tanpa kebenaran.
- Membuat rujukan mengenai sumber asal.
- Hubungi pemilik asal bahan yang diciplak sama ada penulis mahupun penerbit.
- Penerbit dan penulis asal boleh membuat tindakan undang-undang.
Konklusinya, korang sendiri sudah nampak betapa rumitnya usaha menulis buku ini dan bukan semudah kita terjemah lepas tu letak dalam buku tanpa rujukan asal. Ia memerlukan rujukan yang mendalam serta pelbagai penyelidikan supaya tiada sebarang unsur plagiarisme. Jadi, apa pendapat korang mengenai isu plagiarisme dalam penulisan buku?
- 234Share sekarang!
- Email24
- Facebook210
- Share