Hagia Sophia: Gereja Kristian Ortodoks atau tanah wakaf Sultan Al-Fateh?

Negara Turki sangat terkenal dengan kawasan pelancongan yang cantik bagi kita rakyat Malaysia. Kadang-kala kita teringin nak pergi naik belon udara panas di Cappadocia atau pun mandi kolam air panas di Pamukkale.

Bagi yang meminati sejarah panjang berkaitan kerjaan Turki-Uthmaniyyah, masjid-masjid di sana pasti menjadi pilihan. Sekurang-kurangnya, bolehlah buat solat sunat kat dalam masjid bersejarah di sana. Dalam banyak-banyak masjid tu, nampaknya ada satu masjid yang sebenarnya statusnya adalah muzium iaitu Hagia Sophia. Bila dah muzium memang takdelah nak solat sunat ke apa.

Namun, peluang itu dah ada apabila kerajaan Turki dah umumkan bahawa muzium Hagia Sophia dah pun ditukar status menjadi masjid berkuatkuasa beberapa hari yang lalu. Tindakan penukaran status ni dah pun membawa satu perbincangan dan kritikan hebat kerana sejarahnya tersendiri. Jadi ini beberapa fakta mengenai Hagia Sophia yang ramai tak tahu.

Perebutan dari gereja Kristian Ortodoks kepada gereja Kristian Katolik

Imej dari AsiaNews

Nama bangunan indah ini adalah Hagia Sophia yang dibina dan dijadikan gereja bagi Kristian Ortodoks dari tahun 532 masihi hingga 537 masihi. Ketika itu dibawa pemerintahan empayar Byzantine Justinian.

Namun, status ini berubah ketika era Perang Salib keempat (1201-1204) apabila para tentera salib menawan Konstatinople serta menubuhkan empayar Latin Konstatinople  (1204-1261). Status gereja ini ketika itu adalah gereja Kristian Katolik.

Tidak lama selepas itu, maharaja Byzantine yang ketika itu berada dalam buangan telah menawan semula kota Konstatinople. Maka, status gereja itu bertukar kembali kepada gereja Kristian Ortodoks. Kiranya, pertukaran ini masih dalam kekuasaan agama Kristian, tapi berlainan aliran.

Imej dari Hurriyet Daily News

Semuanya berubah pada tahun 1453 apabila kebangkitan empayar Uthmaniyyah yang menguasai kota Konstatinopel. Sultan Mehmed II (Al-Fateh) kemudiannya menukarkan status gereja Hagia Sophiya kepada masjid. Ia dinamakan dengan Ayasofya Camii. Beberapa abad selepas itu, selepas jatuhnya empayar Uthmaniyyah dan naiknya pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Hagia Sophia ditukar menjadi muzium.

Hagia Sophia telah menjadi harta peribadi milik Sultan Al-Fateh

Piagam yang ditulis oleh Sultan Al-Fateh yang masih disimpan. Imej dari TRT World

Jika dilihat secara ringkas dari sejarah, Hagia Sophia ini pada asalnya adalah gereja bagi penganut agama Kristian. Kemudian, barulah ia bertukar kepada status masjid dan muzium beberapa abad selepas itu. Jadi, kenapa kerajaan Turki tetap memilih ia menjadi masjid, bukan gereja?

Dewan Negara Turki dah mengambil keputusan dalam kes penukaran status ini berikutan petisyen yang dibuat oleh sebuah NGO bernama Association for the Protection of Historic Monuments and the Environment. Pihak ini menegaskan bahawa bangunan Hagia Sophia itu adalah harta peribadi (private property) Sultan Mehmed II (Al-Fateh) yang diwakafkan. Jadi, ia menjadi tenggungjawab untuk dikembalikan menjadi masjid semula.

Sebuah yayasan telah ditubuh sendiri oleh Sultan Al-Fateh untuk menguruskan masjid ini . Yayasan itu juga telah menyimpan satu surat yang masih tersimpan yang ditulis Sultan Mehmed di atas kulit gazelle.

“Semua perkara yang telah saya jelaskan dan tetapkan di sini telah dinyatakan dalam bentuk bertulis dalam piagam asas dengan cara yang ditetapkan; syarat tidak boleh diubah; undang-undang tidak boleh dipinda; ia mungkin tidak dialihkan dari tujuan asalnya; peraturan dan prinsip yang ditetapkan tidak boleh dikurangkan; gangguan apa pun dalam yayasan dilarang…

Semoga laknat Allah, malaikat dan semua manusia berada pada sesiapa yang mengubah bahkan salah satu syarat yang mengatur asas ini. ” – Tulisan Sultan Al-Fateh, petikan dari TRT World

Penukaran status masjid milik Sultan Al-Fateh kepada muzium telah menyalahi undang-undang

Mustafa Kemal Atarturk bersama isterinya. Imej dari Anadolu Agency

Seperti yang diceritakan di dalam sejarah panjang Hagia Sophia, statusnya hanya bertukar dari tempat ibadah satu agama ke satu agama yang lain. Namun, pada tahun 1934, kabinet di Turki telah bersetuju untuk menukarkan status Hagia Sophia kepada muzium yang telah ditanda tangani Mustafa Kemal Atatürk.

Lebih 50 tahun lepas tu, Hagia Sophia telah disenaraikan oleh UNESCO sebagai salah satu kawasan Tapak Warisan Dunia Istanbul. Oleh kerana Hagia Sophia ini adalah tanah waqaf milik Sultan Al-Fateh, maka penukaran statusnya kepada muzium adalah menyalahi undang-undang menurut Dewan Negara. Maka, ia perlu ditukarkan kepada fungsi seperti yang diwaqafkan pemilik.

Hujah inilah yang digunakan untuk menukar kembali Hagia Sophia kepada masjid serta keputusan yang dibuat pada tahun 1934 adalah tidak sah sama sekali. Dalam keputusan yang dibuat juga, ia juga telah memberi kuasa kepada Presiden Turki untuk menukarkan status muzium itu. Masjid itu juga telah diletakkan di bawah Direktorat Hal Ehwal Agama.

Imej dari Daily Sabah

Selain itu, Presiden Turki, Erdogan berpendapat bahawa negaranya juga mengamalkan hak kedaulatannya untuk menukar status bangunannya.

Walaupun status masjid, penganut agama lain masih boleh datang melawat secara percuma

Isu penukaran status muzium kepada masjid telah pun mendapat bantahan hebat dari pelbagi pihak termasuk Majlis Gereja Dunia yang telah menghantar surat kepada Presiden Turki. Isinya berbunyi begini:

“Sejak mula berfungsi sebagai muzium pada tahun 1934, Hagia Sophia telah menjadi tempat keterbukaan, pertemuan dan inspirasi bagi orang-orang dari semua bangsa dan agama, dan ekspresi kuat dari komitmen Republik Turki terhadap sekularisme dan kemasukan serta keinginannya untuk meninggalkan di sebalik konflik masa lalu.” – Petikan surat kepada Erdogan

Imej dari Amazon

Kegusaran juga timbul kerana aktiviti agama Kristian sering di buat di luar masjid sewaktu ia menjadi muzium. Apa nasib mereka?

Masjid ini akan tetap boleh dilawati mana-mana pengunjung sama seperti masjid-masjid terkenal lain di Turki seperti Masjid Biru, Masjid Fatih dan Masjid Suleyman. Jadinya, tiada lagi bayaran kemasukan seperti ketika berstatus muzium.

“Seperti semua masjid kita, pintu Hagia Sophia akan terbuka luas untuk penduduk tempatan dan orang asing, Muslim dan bukan Islam,” – Presiden Turki, Erdogan, petikan dari BBC

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT