Kisah model lukisan Ratu Nusantara yang mati selepas dilukis wajahnya

Setiap bangsa, negeri dan negara sudah semestinya mempunyai legenda dan kisah turun-temurunnya tersendiri. Seperti di Malaysia, kita semua pernah dengar tentang kisah legenda – Naga Tasik Chini, Sumpah Mahsuri, Sang Kelembai dan sebagainya. Walaupun kesahihan kisah-kisah ini masih lagi diperdebatkan, mahu ataupun tak ia sememangnya dah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat kita.

Tapi, kalau kita menoleh ke negara jiran kita Indonesia – nampaknya lebih banyak legenda yang wujud dalam masyarakat. Dan salah satu yang popular adalah Nyi Roro Kidul – Sang Penguasa Pantai Selatan Jawa. Sebenarnya, boleh dikatakan banyak cerita yang dikaitkan dengan sosok mistik ini, tak kiralah tentang asal usulnya, mistiknya, kehebatannya, malah tentang wajahnya.

Oleh itu, apa kata kita tahu sedikit sebanyak tentang legenda Jawa ini…

Nyi Roro Kidul dikatakan telah menunjukkan keanehannya sejak dilahirkan lagi

Nyi Roro Kidul juga dikenali sebagai Ratu Pantai Selatan. Imej dari Boombastis.com

Sebelum kita bincang dengan lebih lanjut, kisah tentang asal usul Nyi Roro Kidul sebenarnya masih lagi misteri dan ada beberapa versi. Salah satunya adalah apabila Nyi Roro Kidul dikatakan anak kepada pemerintah Kerajaan Jawa Barat, Pajajaran. Walaupun begitu, tak dapat dikenal pasti siapakah bapanya yang sebenar.

Sebabnya, ada yang mengatakan bapanya itu adalah Prabu Mundingsari, Prabu Munding Wangi, Prabu Siliwangi ataupun Prabu Cakrabuwana. Selain tu, ada juga sumber yang kata Nyi Roro Kidul adalah puteri kepada Kerajaan Galuh dan anak kepada Ratu Ayu. Dikisahkan setelah baru saja melahirkan, Nyi Roro Kidul dah menunjukkan keanehan apabila boleh berkata-kata.

Dia mendakwa dirinya akan menjadi penguasa lelembut (dunia makhluk halus) di Tanah Jawa dan akan tinggal di Pantai Selatan. Dalam masa sama, dikatakan muncul roh Raja Sindhula dari Galuh yang bertitah – cucunya tu tak akan bersuami untuk menjaga kesuciannya dan kalau bersuami sekalipun nanti – lelaki tu hanyalah raja-raja Islam Jawa.

Lukisan menggambarkan Prabu Siliwangi. Imej dari ajianmacanputih.com

Oleh itu, Nyi Roro Kidul pun menunggu bakal suaminya di Pantai Selatan selama dua abad sebelum munculnya Panembahan Senopati atau Sutawijaya (pengasas Kesultanan Mataram). Dikatakan yang Panembahan pergi ke pantai tu untuk memohon petunjuk supaya diberikan kemenangan melawan Sultan Pajang di Prambanan. Diceritakan, kerana hebatnya doa Penembahan itu, ia dah menggegarkan istana Nyi Roro Kidul di dasar laut sehingga memaksanya muncul ke permukaan lautan.

“Dia tertegun melihat seorang pemuda gagah tengah bersemedi (bertapa). Dia langsung jatuh hati dan bersimpuh di kaki Panembahan Senapati. Setelah bercinta tiga hari tiga malam di istana bawah Laut Selatan, ratu Pantai Selatan pun berjanji akan membantu Senopati memenangkan peperangan.” – Dipetik dari Historia.

Hasilnya, Penembahan Senopati menang dalam peperangan tu. Kisah tentang percintaan antara Penembahan Senopati dan Nyi Roro Kidul ni kemudiannya diangkat menjadi tarian bedhaya oleh cucu Penembahan Senopati, Sultan Agung. Tarian ni juga menjadi tarian sakral dan wajib dipersembahkan ketika upacara pertabalan raja baru.

Setelah itu, kekallah Nyi Roro Kidul  sebagai sebuah legenda paling terkenal di Tanah Jawa sehingga ke hari ni. Malah, ada orang yang berjaya melukis sosok puteri penuh misteri ni.

Wanita-wanita yang menjadi model lukisannya meninggal dunia akibat sakit misteri

Lukisan Nyi Roro Kidul oleh Basoeki Abdullah di Galeri Nasional, Jakarta. Imej dari Historia.

Salah seorang pelukis tersohor Indonesia yang pernah melukis Nyi Roro Kidul adalah Basoeki Abdullah, yang mendakwa dirinya pernah terdengar suara Nyi Roro Kidul ketika berada di Pantai Parangtritis, Yogyakarta.

Dan semasa di sebuah hotel di Pelabuhan Ratu, Sukabumi – dia mendakwa pernah dipanggil dan diajak berbicara oleh Nyi Roro Kidul. Walaupun begitu, dia tak pernah melihat wajah Penguasa Pantai Selatan tu secara jelas, tapi yakin yang ratu tu seorang yang sangat cantik. Jadinya, dia pun pilih seorang wanita dikenali sebagai Nyonya Harahap, untuk jadi model melukis Nyi Roro Kidul.

Lukisan tu kemudiannya menjadi koleksi Presiden Soekarno dan disimpan di Istana Presiden Yogyakarta. Tapi tak lama lepas tu, Nyonya Harahap menderita sakit kronik dan meninggal dunia. Basoeki pada mulanya hanya anggap hal tu cuma kebetulan je dan tetap melukis beberapa gambar Nyi Roro Kidul dengan menggunakan beberapa orang model. Tapi malangnya…

“Semua model yang memerankan Nyi Roro Kidul menderita sakit parah. Bahkan sebagian tak tertolong jiwanya.” – Agus Dermawan T, penulis buku biografi Basoeki Abdullah. Dipetik dari Historia.

Basoeki Abdullah pernah menjadi pelukis rasmi Istana Merdeka Jakarta. Imej dari Tribunnews.com

Setelah peristiwa tu berulang beberapa kali, Basoeki pun berhenti dari menggunakan model dan hanya menggunakan imaginasinya je bila dapat ilham melukis Nyi Roro Kidul. Ada yang kata lepas tu – barulah kanvasnya tak memakan korban lagi.

“Sampai sekarang ada enam lukisan Nyi Roro Kidul yang diciptakan Basoeki. Semua dalam versi yang berlainan. Dan versi bentuk serta pengadeganan itu ditentukan dari bagaimana Basoeki menangkap ‘petunjuk dari sana’,” – Agus Dermawan, dipetik dari Historia.

Basoeki meninggal dunia pada 5 November 1993 pada usia 78 selepas beliau dipukul sehingga mati oleh pencuri yang masuk ke rumahnya. Untuk maklumat, Basoeki memilih untuk masuk Kristian Katolik sejak berumur 18 tahun dan nama baptisnya adalah Fransiskus Xaverius.

Walaupun ramai pihak yang menerima kewujudan Nyi Roro Kidul, ada juga yang hanya menganggapnya sebagai mitos semata-mata, seperti…

Sasterawan Indonesia dakwa kisah Nyi Roro Kidul hanya rekaan pujangga istana

Pengarang besar Nusantara, Pramoedya Ananta Toer (1925 – 2006). Imej dari FMT.

Salah seorang sasterawan tersohor Nusantara adalah Pramoedya Ananta Toer (Pram) yang juga seorang pejuang kemerdekaan Indonesia. Novelnya “Keluarga Gerilya” pernah menjadi novel komponen Sastera (Komsas) untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia.

Dalam satu ucapannya ketika menerima penghargaan Ramon Magsaysay (bekas Presiden Filipina) pada tahun 1988, Pram ada kata yang cerita Nyi Roro Kidul hanyalah mitos semata-mata dan ia sebenarnya dicipta oleh para pujangga Istana Mataram sebagai usaha mengalih perhatian rakyat terhadap kekalahan Sultan Agung ketika menyerang Perusahaan Hindia Timur Belanda (VOC) di Batavia (sekarang Jakarta). Hal itu sekaligus menggagalkan usaha Mataram untuk menguasai jalur perdagangan di Pantai Utara Jawa.

“Untuk menutupi kehilangan tersebut pujangga Jawa menciptakan Dewi Laut Nyi Roro Kidul sebagai selimut, bahwa Mataram masih menguasai laut, di sini Laut Selatan. Mitos ini melahirkan anak-anak mitos yang lain: bahwa setiap raja Mataram beristerikan Sang Dewi tersebut.” – Pram, dipetik dari Historia.

Wajah Sultan Agung diabadikan dalam setem Indonesia. Imej dari Wikipedia.

Dalam masa sama, Pram juga kata – pantang yang melarang orang dari memakai baju berwarna hijau di wilayah Pantai Selatan juga adalah angkara pujangga istana Mataram yang nak memutuskan hubungan warna pakaian tentera VOC yang juga berwarna hijau.

Mitos dan legenda wujud berdasarkan pola kepercayaan masyarakat

Ada sesiapa berani tingga di Bilik 308, Hotel Inna Samudera yang didakwa milik Nyi Roro Kidul ni? Imej dari Detik Travel.

Sama seperti kisah-kisah lagenda di Malaysia, kisah kesaktian dan kehebatan Nyi Roro Kidul juga tetap bertahan di kalangan masyarakat Tanah Jawa. Malah sehingga ke hari ini, masih terdapat upacara-upacara tertentu seperti nyalawena dan syukur pasisiran sebagai salah satu proses ritual penghormatan kepada Nyi Roro Kidul.

Sama ada kisah Nyi Roro Kidul itu cuma mitos atau sebaliknya, ia masih lagi diperdebatkan sehingga ke hari ini. Apa yang pasti, mitos atau legenda tertentu tidak hanya muncul begitu saja, tapi berdasarkan pola kepercayaan yang sememangnya telah wujud dan ia mencerminkan pemikiran masyarakat dengan unsur-unsur animisme ketika itu.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.