- 275Share sekarang!
- Email11
- Facebook264
- Share
Dalam dunia ni, apa jua jawatan pun pasti akan ada pertukaran tempat dari seorang individu kepada individu yang lain sebagai peneraju. Sama ada jawatan menteri, CEO, mahupun boss kat syarikat korang.
Di peringkat kebangsaan atau negara, pertukaran menteri semestinya jadi perhatian. Sebab orang kita siang malam suka sembang politik. Dan mungkin, berita mengenai pertukaran Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ramai tak perasan
Untuk pengetahuan semua, Panglima ATM sebelum ni iaitu Panglima Zulkifli Zainal Abidin dah bersara wajib berkuatkuasa pada 2 Januari 2020. Jadinya, panglima ATM baru dah dilantik iaitu Panglima Tan Sri Affendi Buang. Sebelum kita pergi lebih mendalam, rasanya elok kita tengok dulu apa tugas-tugas utama Panglima ATM serta nak tunjuk kat semua betapa penting dan besarnya tanggungjawab panglima ni.
Merupakan salah satu ahli Majlis Angkatan Tentera Malaysia bersama Majlis Raja-Raja
Mengenai peranan panglima ATM ada disebutkan dalam Perlembagaan Malaysia 1963. Dalam Perkara Fasal 132, Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) terdiri daripada Majlis Raja-Raja, Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan kesemua panglima sama ada Darat, Laut dan Udara.
Tanggungjawab kuasa tertinggi ni adalah memerintah, mengawal dan mentadbir ATM kecuali dalam hal-hal yang melibatkan gerakan keseluruhan. Sebab apa ada pengecualian tugas di situ? Ini kerana tanggungjawab perancangan dan gerakan ATM dah diwakilkan kepada Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) yang dipengerusikan Panglima Angkatan Tentera – sekarang ni Affendi Buang.
Jadinya, JPP yang dipengerusikan panglima ni adalah badan tertinggi profesion ketenteraan yang bertanggungjawab kepada Menteri Pertahanan – sekarang ni Mat Sabu. Disebabkan jawatan panglima angkatan tentera ni adalah jawatan nombor satu ATM serta betapa pentingnya bidang tugas itu, maka pelantikannya bukanlah mudah.
Ia akan ditentukan oleh Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan. Kemudiannya, nama tersebut perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dan dari penerangan proses pelantikan dan peranan besar panglima ni. Kami nak bawakan kepada semua 4 cerita ringkas panglima ATM yang pernah dilantik. Kalau ikut sejarah panjang, ada 21 orang yang pernah menjawat jawatan ni. Tapi cukuplah cerita menarik 4 orang ni untuk korang dapat gambaran betapa besar tugas panglima ATM.
1) Tunku Osman Jewa: Panglima Angkatan Tentera Malaysia pertama
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebenarnya terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Menurut sejarah, ATM pada awalnya dikenali sebagai Angkatan Tentera Persekutuan yang diasaskan oleh tentera British. Selepas Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, nama tadi ditukar menjadi ATM sehingga yang dikenali hari ni.
Pada tahun 1967, pihak British dah menyerahkan sepenuhnya pentadbiran dan pengurusan ATM kepada kerajaan Malaysia. Dari situ ATM ditadbir sepenuhnya oleh anak watan. Dalam proses tu, Tunku Osman merupakan anak watan pertama menjadi Jeneral dan Ketua Turus ATM pada 1 Januari 1964.
Beliau ni bukanlah calang-calang dalam dunia ketenteraan. Ini boleh dilihat dari latar belakangnya yang penuh dengan pengalaman ketenteraan pada era tu. Beliau merupakan pelajar Hutchin School, Pulau Pinang yang menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah. Pada tahun 1935, beliau menyambung pelajaran di Briston Grammar School, England. Waktu di sana, Perang Dunia Ke-2 meletus serta telah menjadikan beliau mula minat dengan dunia ketenteraan.
Sejak tahun 1942, beliau dah memulakan latihan rekrut di luar negara bersama Gloucester Regiment (UK). Hebat tak hebat Gloucaster Regiment ni sampai pernah ada sejarah 650 askarnya, kering hati je lawan dengan 10,000 askar Cina di Sungai Imjin, Korea pada tahun 1951.
Kemudiannya menyertai 70th Gloucester Battalion sebelum ditukarkan ke Recce Regiment dan akhirnya bertukar ke 80th Reconnaissance Regiment. Beliau juga ada menyertai beberapa latihan kadet di sekitar kem ketenteraan di Scotland dan Wales.
Pada tahun 1945 beliau pulang ke Malaya dengan pelbagai latihan dan jasa. Antara latihan yang diterima adalah latihan payung terjun dan risikan di Calcutta, India. Beliau seterusnya diberi mandat untuk memimpin pasukan Gerila Melayu selepas kekalahan tentera Jepun. Setahun lepas tu, beliau ditauliahkan sebagai Leftenan di Batalion Ke-2 Rejimen Melayu Diraja. Beliau juga ditugaskan untuk mengiringi Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi Malaya waktu tu.
Kemudian dinaikkan pangkat sehinggalah pada 1 Januari 1964, beliau dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera selepas persaraan Jeneral Tan Sri Rodney Moore. Maka, beliaulah anak watan pertama yang dilantik pada jawatan tertinggi ATM tu yang kemudiannya bersara pada 24 November 1969.
2) Mohd Anwar Haji Mohd Nor: Panglima ATM pertama dilantik dari Tentera Laut
Selama 50 tahun, jawatan Panglima ATM secara tradisinya dilantik daripada kalangan pemimpin Tentera Darat Malaysia (TDM). Semuanya berubah pada 29 April 2005 apabila beliau dilantik menjadi Panglima ATM. Ini menjadikan beliau sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama yang dilantik ke jawatan tersebut. Pelantikan ini juga bertepatan dengan perubahan keadaan semasa dan konsep rangka kerja Pasukan Angkatan Bersama yang ditubuhkan tahun sebelumnya.
Sepanjang meneraju ATM, beliau banyak menyentuh konsep kebersamaan dalam operasi ATM. Apa yang menarik, beliau tetap meneruskan legasi yang ditinggalkan panglima sebelumnya, Tan Sri Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin.
Sebelum jadi panglima, kepimpinan beliau memang dah terbukti sewaktu di dalam TLDM lagi. Banyak jenis kapal tentera yang beliau ketuai sebagai Pegawai Laksana. Ini termasuklah kapal KD PENDEKAR (Fast Boat Patrol), KD PENDEKAR (Spica ‘M’), KD Kerambit dan KD HANDALAN.
Paling legend sekali apabila beliau pernah jadi Pegawai Laksana KD Hang Tuah yang merupakan kapal tertua dalam TLDM. Sekarang dah jadi kapal muzium. Beliau juga pernah diberikan tugas sebagai Juruiring Laut kepada Seri Paduka Baginda YDPA ke-IX dan X. Dua YDPA tu!
Walaupun sibuk, pendidikan tinggi akademik tidak dilupakan. Buktinya, pada tahun 2005 beliau dianugerahkan Master Of Science in Engineering Management dari Universiti Warwick, UK. Antara universiti yang terkenal dalam dunia kajian.
Sepanjang menjadi panglima ATM (2005-2007), beliau banyak meneruskan legasi panglima sebelumnya termasuk memperkaya ilmu pengetahuan ATM melalui konsep K-Force. Pada 1 Februari 2007, beliau menulis karya yang bertajuk On Command and Leadership yang merangkumi pengalamannya dan petikan ucapan-ucapan sewaktu berkhidmat dengan ATM.
3) Azizan Ariffin: Panglima ATM pertama yang dilantik dari Tentera Udara
Waktu perarakan merdeka, kita mesti tertunggu-tunggu jet pejuang untuk buat persembahan. Sebab benda rare memang kita nak tengok depan-depan. Begitu jugalah rare-nya apabila pemimpin dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diangkat menjadi Panglima ATM ke-15 pada 1 September 2009.
Jauh sebelum tu, semestinyalah kerja dan kepimpinannya dah terserlah lagi. Pada mulanya, beliau menjadi Pegawai Trafik Udara TUDM di beberapa pangkalan termasuk Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang merupakan pangkalan udara tertua beroperasi sejak 1941 sebelum merdeka. Beliau juga bertugas di JATCC Paya Lebar Airport Singapore dan Pangkalan Udara Kuantan.
Kemudian beliau menjadi juruterbang TUDM selepas menerima anugerah Sayap Penerbangan melalui Kursus Asas Penerbangan di Australia pada tahun 1977. Macam-macam pesawat yang beliau dah terbangkan termasuk CT 4s, Aermacchi MB 326H, Bulldog B 100, Cessna 402B, BAe 125, Fokker 28, Pilatus PC 7, Falcon 900 dan juga C130.
Kemudian beliau dilantik ke beberapa jawatan penting dalam TUDM termasuklah Panglima TUDM. Akhirnya menjadi Panglima ATM. Antara tugas besar yang pernah diterajuinya dalam dunia ketenteraan udara adalah apabila menjadi Penasihat Pertahanan bagi Pengarah di Islamabad, Pakistan.
4) Apai: Anak jati Sarawak pertama jadi Panglima ATM
Pelantikan Affendi sebagai Panglima ATM ke-21 merupakan Panglima Tentera Udara (PTU) yang kedua dilantik ke jawatan itu. Tapi, beliau anak jati Sarawak pertama dilantik menerajui kepimpinan tertinggi dalam organisasi ATM. Beliau adalah anak kelahiran Kuching. Dalam kalangan TUDM, beliau dikenali sebagai Apai. Satu gelaran yang sinonim dengan pahlawan Iban terdahulu iaitu Rentap.
Kalau korang nak tahu, beliau adalah juruterbang yang mengasaskan pasukan taktikal aerobatik MiG-29 TUDM. Dia juga merupakan pegawai elit MiG-29 Project Team TUDM pada tahun 1994 serta Pasukan Teknikal MiG-29 TUDM di Rusia.
Kalau korang nak tahu, MiG-29 ni pesawat perang buatan Rusia yang boleh bergerak dengan kelajuan 2,446 km per jam tau! Bayangkan, jarak Perlis ke Johor kalau ikut lebuhraya PLUS baru lebih kurang 821 km.
Apa yang menariknya, pada tahun 1980-an dulu, sewaktu sebelum Parti Komunis Malaya menyerah kalah, beliau antara yang terlibat dengan misi melawan gerila komunis. Kiranya, waktu zaman mencabar dulu pun dia boleh berjuang, apatah lagi zaman Malaysia moden hari ni kan.
Dunia pertahanan tetap menghadapi banyak cabaran
Panglima Angkatan Tentera Malaysia secara lumrahnya akan silih berganti. Setiap legasi ada kelebihannya yang tersendiri. Namun, macam yang kita tahu, dunia pertahanan ni banyak cabarannya. Dan ia tak pernah terhenti.
Jika sebelum ni Dasar Pertahanan Negara (DPN) lebih bersifat tertutup, kini ia bersifat terbuka serta boleh diakses rakyat melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan Mat Sabu. Menurut pakar ia penting agar rakyat faham dasar ATM. Serta kita mengikuti langkah negara maju seperti Australia.
Selain tu, pertahanan negara mempunyai cabaran berterusan dengan konflik China-AS di Laut China Selatan yang memerlukan tentera kita sentiasa bersiap siaga. Begitu juga, cabaran setiap hari di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 646 km tu.
Kita doakan agar pihak Angkatan Tentera Malaysia dari Darat, Udara dan Laut sentiasa diberikan kekuatan menjaga keselamatan negara!
- 275Share sekarang!
- Email11
- Facebook264
- Share