Kedai Aceh port jual ‘rokok seludup murah’. Apa nasib Malaysia?

Di Malaysia ni, selain dari adanya pasaran rokok biasa yang kita selalu nampak di kedai-kedai, ada juga pasaran rokok ‘lain’ yang dikenali sebagai ‘rokok seludup murah’. Boleh dikatakan, pengambilan rokok seludup murah ni memang dah jadi satu perkara normal di negara kita, sampaikan kita sendiri boleh nampak rokok-rokok ni dihisap macam tu je dan kotaknya pulak dibuang merata-rata.

Hakikatnya, masalah rokok seludup murah ni cukup serius di Malaysia, dan boleh terbeliak jugalah biji mata kita kalau baca kajian-kajian yang ada. Mana taknya, kesan dari pasaran dan pengedaran rokok seludup murah ni bukan je beri kesan pada ekonomi, tapi juga pada reputasi dan sosial negara.

Kotak rokok seludup murah yang selalu kitorang jumpa kat area ofis Soscili. Imej dari penulis Soscili yang prihatin.

Contohnya, hasil kajian dari badan analisis antarabangsa, Oxford Economics beberapa bulan lalu sangat mengejutkan, apabila diorang dapati…

1,000 kotak rokok seludup murah dibeli setiap minit dan yang beli tu termasuklah budak sekolah!

Lebih-lebih lagi kalau ada orang jenis macam ni. Imej dari Giphy.

Seperti yang diceritakan awal tadi, pasaran rokok seludup murah ni memang berkembang di Malaysia, sampaikan Oxford Economics kata – 59% pasaran rokok di negara ni adalah rokok seludup murah. Dengan itu, ia dah buatkan Malaysia jadi juara pasaran rokok seludup murah tertinggi di dunia mengalahkan – Brazil, Ecuador, Panama dan UAE (yang kita tak nak sebenarnya).

Lebih mengejutkan, laporan sama juga kata – 1,000 kotak rokok seludup murah dibeli pada setiap minit di negara ni dan ia bersamaan 12 bilion batang rokok seludup murah dihisap setiap tahun! Akibatnya, kerajaan hilang kutipan cukai lebih RM5 bilion pada tahun lepas, iaitu melebihi kutipan cukai kerajaan terhadap rokok sah.

Apa yang membimbangkan, disebabkan berlambaknya rokok seludup murah ni di pasaran, remaja bawah umur pun semakin terdedah. Buktinya, kajian dari Kumpulan Bank Dunia (WBG) melaporkan, perokok dalam kalangan remaja (13 hingga 15 tahun) meningkat dari 9.4% pada 2012 kepada 14.8% pada 2016.

Budak sekolah pun mampu beli rokok sekarang. Imej dari Suara.tv

Kementerian Kesihatan pula dapati – ada pelajar yang dah mula merokok seawal usia 10 tahun, dengan lebih 2/3 daripada pelajar yang ditinjau mengaku pernah cuba merokok sebelum berumur 14 tahun. Ni maknanya, diorang mula hembus asap sebelum ambil UPSR dan PT3 lagi. Diorang ni mampu beli rokok, sebab harga rokok seludup murah ni boleh serendah RM5 atau lebih murah dari itu.

“Kemasukan rokok seludup murah membuatkan anak muda Malaysia berada dalam risiko untuk menjadi mangsa ketagihan (rokok)… rokok seludup murah menarik perhatian generasi muda dan mendorong kebiasaan merokok.” – Dipetik dari laporan WBG.

Hasil temu bual kitorang dengan perokok-perokok juga dapati, kebanyakan daripada diorang mula merokok sejak sekolah rendah lagi atau paling lambat pun sekitar umur 18 ke 19 tahun. Masalah bertambah lagi bila rokok seludup murah ni senang sangat nak dapat, sampaikan budak sekolah pun boleh beli.

“Bagi saya senanglah (nak dapatkan rokok seludup murah), ada di kedai Aceh, kedai jamu, kedai runcit, banyak (rokok seludup murah ini) dijual.” – Kata seorang perokok rokok seludup murah. 

Dulu plastik hitam ni bila beli CD cetak rompak, sekarang beli rokok seludup murah pun sama. Imej dari mStar.

Sebenarnya, rokok seludup murah ni senang je nak dikenalpasti – satunya ia dijual di bawah harga minimum yang dah ditetapkan dan keduanya ia tak ada amaran kesihatan. Tapi dua faktor mudah ini jugalah yang membuatkan ia diterima hebat oleh golongan perokok, dan khususnya di kalangan remaja bawah umur.

Dan hal ni dah pasti merujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kementerian tu bertanggungjawab memastikan setiap produk rokok dijual tak kurang dari harga minimum dan ada amaran kesihatan. Walaupun ia adalah tanggungjawab bersama antara KKM dengan agensi-agensi lain, penguatkuasaan itu tak sepatutnya diserahkan segalanya kepada pihak PDRM ataupun Kastam saja.

Tapi dalam masa sama, hal berkenaan dengan tabiat merokok ni juga penting untuk kita bincangkan, sebab…

Ada perokok yang sanggup berlapar dari tak hisap rokok

Tak ada haiwan yang didera ketika artikel ni ditulis. Imej dari imgflip.com

Disebabkan jumlah perokok di Malaysia ni ramai, kitorang nak tahu juga betapa pentingnya rokok ni kepada diorang. Jadinya, kitorang tanya soalan: Antara berlapar dan merokok, mana satu yang diorang pilih? Apa yang mengejutkan, kebanyakan perokok yang kitorang tanya bagi jawapan yang agak sama iaitu: diorang lebih SANGGUP BERLAPAR DARI TAK HISAP ROKOK.

Sebabnya, kalau lapar tu boleh tahan lagi, tapi kalau merokok susah nak tahan. Kadang-kadang minum air seteguk, terus merokok.” – Kata seorang perokok. 

Dan sebab itulah, kebanyakan dari perokok ni biasanya akan tetapkan bajet bulanan untuk diorang beli rokok. Diorang buat macam tu, sebab senang sikit nak kawal perbelanjaan, lebih-lebih lagi untuk yang dah berkeluarga.

“Saya selalunya hisap satu kotak rokok (seludup murah) setiap hari. Saya beli yang harganya RM6.50 sekotak, jadinya untuk seminggu, saya kena ada duit sekurang-kurangnya RM45.50.” – Yasir, perokok rokok seludup murah. 

Berdasarkan anggaran itu, seorang bujang perlukan sekitar RM18 untuk makan setiap hari. Imej dari KWSP.

Bagi yang lebih tak berkemampuan pulak, diorang pun beli rokok seludup murah, tapi cuba berjimat dengan sekotak untuk dua hari atau minta rokok daripada kawan-kawan. Tapi, untuk yang beli rokok sah, ada yang tetapkan bajet kasar dalam RM480 sebulan untuk sekotak rokok berharga RM15.90 sehari.

Kalau bajet diorang tu lari, diorang akan pilih rokok seludup murah. Malah, ada juga yang kirim dengan kawan-kawan yang pergi melancong, untuk belikan rokok bebas cukai, atau dari mana-mana negara Asia Tenggara lain yang harganya lebih murah.

Kalau ada kawan-kawan saya yang melancong, saya selalu kirim beli rokok. Di situ saja saya dah boleh potong setengah dari bajet saya sebab sekarton rokok boleh tahan dalam masa dua minggu begitu” – Adli, perokok rokok sah. 

Kalau boleh, beli lighter sekali. Imej dari imgflip.com

Jadinya di sini, isu utama kenapa rokok seludup murah jadi pilihan adalah jurang harga yang besar antara dua jenis rokok ni. Walaupun, rokok sah lebih selamat dari segi kesihatan dan undang-undang, tapi jurang harga tu menghalang diorang dari membelinya.

Sebenarnya, diorang ni bersedia je nak beli rokok sah, tapi disebabkan tak ada alternatif dari segi harga, maka rokok seludup murahlah yang jadi pilihan hati. Tapi, itu juga menimbulkan persoalan…

Kalau rokok seludup murah dah tak ada nanti, korang tetap akan cari ke?

Keadaan sejak kerajaan naikkan cukai rokok. Imej dari Oxford Economics.

Seperti yang ditunjukkan di atas, kajian dapati kegiatan merokok masih lagi meningkat sebanyak 5%, walaupun lepas kerajaan naikkan cukai rokok. Hal ni bermakna, kenaikkan cukai tak bagi kesan kepada jumlah pengurangan perokok dan perokok sendiri masih boleh cari alternatif lain, seperti rokok seludup murah.

Tapi, kesan dari pasaran rokok seludup murah dah beri kesan kepada saudara-mara dan rakan-rakan kita, bila ia menyebabkan dua kilang rokok ditutup. Penutupan dua kilang itu melibatkan lebih 5,000 hilang perkerjaan secara langsung dan tak langsung. Malah, jumlah pekerjaan ni juga bersamaan dengan 14% kadar pekerjaan di Putrajaya.

Yang lebih tak sedap tu, nama Malaysia juga semakin dipandang negatif di peringkat antarabangsa, dengan status negara pasaran rokok seludup murah tertinggi di dunia. Apa yang pasti, hakikatnya perokok bersedia saja nak beli rokok sah, kalau alternatif dari segi harga yang berpatutan ada.

Macam pakcik ni, siap ada magic trick lagi. Imej dari gif-finder.

Seperti mana yang dikatakan oleh Oxford Economics, apa yang kita hadapi hari ni bukan kerana penguatkuasaan sahaja, tapi lebih kepada isu polisi kerajaan dalam menetapkan harga rokok. Dan sudah pasti, kementerian yang terlibat perlu memikirkan jalan penyelesaian, sebabnya sampai bila kita nak biarkan perokok beli rokok seludup murah?

Mungkin akan ada pihak yang kata – “tak apalah kalau syarikat rokok tutup dan suka hatilah orang nak nak beli rokok seludup murah”Tapi alternatifnya nanti, akan ada industri rokok yang tak terkawal, tanpa peraturan dan tak ada standard kesihatan. Mana satu yang kita pilih?