4 masalah pasal kahwin di Malaysia yang tak pernah selesai

Isu berkaitan perkahwinan ni tak pernah berhenti. Lepas PRU 14 hari tu pun, terjadi isu had umur kahwin apabila ada pernikahan berlangsung antara seorang lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun. Apa yang mengejutkan, dia adalah isteri ketiga. Menurut Che Abdul Karim, dia hanya nikah gantung dengan kanak-kanak itu. Nanti dah umur 16 tahun baru akan duduk serumah.

Itu bukan anak, tapi isteri cium tangan suami. Imej dari Mstar.

Isu ni dah diperdebatkan oleh semua orang dan benda yang sama sentiasa berulang. Jadi, kali ni kami dari SOSCILI nak senaraikan beberapa benda yang selalu jadi isu dalam perkahwinan di negara kita. Korang rasa mana satu yang nak kena selesaikan dulu?

1) Had umur kahwin untuk muslim dan bukan muslim berbeza

Kalau ikut undang-undang negara, umur sah kahwin bagi negara kita adalah berumur 18 tahun ke atas bagi lelaki dan perempuan. Bagi gadis Muslim pula mesti berumur 16 tahun ke atas. Kalau umur bawah 16 tahun mesti dapatkan kebenaran Makamah Syariah. Untuk gadis bukan Muslim, diorang kena tunggu sampai umur lebih 16 tahun barulah boleh berkahwin.

Kalau nak kahwin juga bawah umur tu, diorang kena ikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) dengan syaratnya kena minta kebenaran bertulis dari Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri tu.

Ingat muka-muka ni kalau nak minta kebenaran kahwin bawah umur tu. Imej dari Berita.my

Walaupun nampak macam susah sebab kena minta kebenaran mahkamah, menteri besar bagai. Nampaknya statistik kahwin bawah umur ni sentiasa meningkat. Pada tahun 2012 je, mahkamah syariah dah terima 1,165 permohonan perkahwinan bawah umur di mana salah seorang pasangan adalah kanak-kanak bawah umur. Daripada jumlah tu 1,022 permohonan dah diluluskan mahkamah. Pada tahun 2010 hingga 2015, seramai 2,775 perkahwinan kanak-kanak melibatkan orang bukan Islam.

Dari apa yang kita tengok tadi, nampaknya had umur kahwin ni tak selaras. Dia ada pengecualian tertentu. Iniah punca kenapa isu kahwin dengan kanak-kanak bawah umur ni sentiasa terjadi. Namun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah bagitahu yang kerajaan tengah gerakkan usaha bagi menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

“Inisiatif itu membabitkan undang-undang seperti Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Turut terbabit, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan pelbagai undang-undang adat kaum peribumi di Sarawak,” – Datuk Seri Wan Azizah, petikan dari Berita Harian.

Di negara Afrika juga mempunyai masalah yang lebih parah. Imej dari Ghana News Agency.

Rundingan akan berlaku melibatkan pakar kanak-kanak, budaya dan syariah dalam hal ni sebab Malaysia ada adat dan budaya tersendiri mengikut kaum dan kepercayaan.

2) Syarat poligami mesti dapatkan kebenaran isteri pertama?

Benda yang selalu jadi isu dalam perkahwinan ni mestilah poligami. Tapi, kami tak nak lah bincang hukum hakam ke, atau pun bab hadith pasal payung emas. Kami nak kongsi apa yang menjadikan poligami ni menjadi isu.

Kalau nak baca pasal status hadith payung emas. Klik pada gambar.

Secara umumnya, perundangan Malaysia dah benarkan poligami tapi ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi. Setiap negeri dah letakkan syarat yang berbeza. Contohnya di Selangor dan KL, suami yang nak berpoligami mesti minta kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

Biasanya syarat-syarat yang diletakkan ni nak pastikan suami tadi betul-betul berkelayakan untuk berpoligami berdasarkan hukum syarak dan undang-undang Islam kat Malaysia. Selain tu, nak elakkan berlaku penganiayaan kepada isteri sedia ada, anak-anak dan bakal isteri kedua dan seterusnya.

Syarat apa yang buktikan suami ni layak? Kita ambil contoh seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen ni bagitahu bahawa permohonan untuk kebenaran berpoligami mesti dikemukakan di mahkamah dengan surat akuan. Surat akuan mesti menyatakan alasan-alasan kenapa patut dan perlu dibenarkan poligami.

Perlu dinyatakan juga maklumat pemohon, pendapatan, bilangan tanggungan sedia ada dan tanggungan bakal isteri. Para isteri mesti suka benda ni sebab akta di Wilayah Persekutuan tetapkan supaya izin atau pandangan isteri sedia ada kena ada. Nak tahu sama ada dia terima atau tak terhadap permohonan tu.

Berbeza pula dengan negeri Perlis dimana kerajaan Perlis siap jemput lagi lelaki yang nak berpoligami boleh datang ke Perlis. Ini kerana syarat yang longgar yang ditetapkan kat negeri tu. Di Perlis, yuran dikenakan rendah dan tak perlu dapatkan tandatangan isteri tua.

Nak poligami. Kena ingat movie ni. Imej dari Ceriterahatiku.

“Rakyat Perlis yang hendak berpoligami dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM750 manakala RM1,000 dikenakan kepada bukan rakyat negeri ini. Kita melonggarkan syarat poligami ini bagi menyekat lelaki di negara ini pergi ke Thailand untuk berkahwin lebih. Kalau boleh datang ke Perlis untuk kahwin satu lagi.”- Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Husein, petikan dari Utusan.

Ini maknanya, setiap negeri ada syarat masing-masing. Ada yang longgar dan ada yang ketat. Maka, kat sinilah ada timbulnya isu isteri pertama rasa dicurangi atau minta cerai bila dah lama baru tahu suami kahwin lagi satu. Itu belum lagi bab-bab nafkah yang sepatutnya diagihkan secara adil.  Disebabkan tu, maka ia dah menyebabka caruman 2% dari KWSP suami untuk diberikan kepada isteri serta bantuan RM50 sebulan kepada isteri oleh kerajaan menjadi iu dan perdebatan. Takkan isteri pertam je dapat kalau suami tu berpoligami?

Sekali lagi, Dr Wan Azizah menjelaskan bahawa caruman KWSP ni hanya kepada isteri pertama sahaja. Kerana ianya bukan elaun sara hidup tetapi untuk tabungan dan dana kecemasan pada masa akan datang. Dia juga menegaskan untuk yang berpoligami semestinya dah mampu untuk tanggung isteri kedua dan seterusnya. Kalau tak, kenapa nak poligami kan?

3) Orang ingat wang hantaran tu segalanya, padahal mas kahwin yang wajib

Kalau PhD palsu macam mana? Imej dari Kosmo.

Masalah ni selalu berlaku bila nak akad nikah. Sampaikan ada kes di mana keluarga pengantin perempuan bertumbuk dengan keluarga pengantin lelaki. Kesnya sebab wang hantaran tak cukup macam yang dijanjikan. Kat sinilah mula timbul kekeliruan antara mas kahwin dan wang hantaran.

Mas kahwin atau mahar ni ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Kadar mahar paling rendah adalah di negeri Johor iaitu sebanyak RM 22.50, manakala paling tinggi adalah di negeri Selangor iaitu sebanyak RM300. Ada juga negeri yang tak letakkan nilai tertentu jadi ia bebas mengikut pengantin macam kat negeri Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Hukum mahar ni adalah wajib seperti yang disebutkan dalam Quran.

“Islam mengiktiraf bahawa mahar merupakan hak eksklusif seorang isteri. Justeru, selagi hak mendapatkan mahar belum ditunaikan oleh suami seperti yang dijanjikan dan dipersetujui bersama, maka isteri berhak untuk menafikan hak dan tanggungjawabnya kepada suami.”- Petikan dari Utusan.

Sentap. Imej dari Zainorothman.

Jadinya, dalam masyarakat Melayu, amalan adat bagi wang hantaran atau belanja hangus mesti dibezakan dengan mahar. Kalau mahar ditetapkan oleh majlis agama negeri, wang hantaran ditetapkan oleh keluarga. Hantaran ni adalah pemberian atau hadiah oleh seorang lelaki kepada wanita waktu majlis akad nikah.

Ia tak ada kaitan dengan akad nikah dan tak disebut pun nilainya dalam akad. Kalau tak diberi, maka ia tak jejaskan akad nikah. Hantaran ni juga dipersetujui waktu majlis meminang atau bertunang. Jadinya, hukum wang hantaran ni tak wajib dan ianya hanya satu adat sahaja.

Sebab itulah wang hantaran ni mestilah bincang elok-elok dan ukur badan di baju sendiri. Apa yang penting wang mahar mencukupi dan wang hantaran diikat dengan janji dengan sepenuh keikhlasan dan amanah.

4) Kahwin secara pindah wali di sempadan Thailand

Tiga masalah sebelum ni juga kalau tak diuruskan akan membawa ke masalah pasangan Malaysia berkahwin di sempadan Selatan Thai macam Pattani, Narathiwat, Golok dan Sutan. Contohnya bila kahwin bawah umur tapi tak lepas dengan mahkamah, maka pasangan ni akan pergi ke sempadan Thai.

Macam tu jugak, nak berpoligami tapi tak lepas kat mahkamah syariah atau isteri tua tak bagi, pasangan macam ni juga akan pergi berkahwin di sempadan. Tak lupa juga, apabila wang hantaran yang diminta terlampau tinggi menyebabkan pasangan tetrekan dan memilih berkahwin di sempadan.

Lain macam tajuk tu. Imej dari Kosmo.

Mengikut statistik dari pejabat Konsulat General Malaysia di Songkla, adanya 7,079 pasangan dah berdaftar dari Januari 2013 sampai Jun 2015. Punyalah banyak. Apa yang menjadi isu semestinyalah wali yang digunakan iaitu wali hakim. Ia juga dipanggil sebagai perkahwinan secara ‘pindah wali’. Menurut Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-52, perkahwinan secara pindah wali ni dah diiktiraf Islam. Tapi, mesti dengan alasan dan keperluan. Contohnya, macam ketiadaan wali atau wali ghaib yang tak dapat dihubungi.

Dalam perbincangan antara sarjana-sarjana Islam, wujud pertikaian mengenai perkahwinan pindah wali ni. Oleh sebab tu, ianya perlu diwujudkan suatu keseragaman undang-undang kekeluargaan Islam di Malaysia dan Thailand agar tak berlaku percanggahan. Perkara ni akan memudahkan masyarakat Islam  menjalankan urusan kahwin menepati syarak dan diiktiraf.

Tapi, perlu diingat bahawa mereka yang kahwin diluar sempadan sebenarnya mencari masalah yang lebih besar apabila pulang ke Malaysia. Banyak tempat atau agensi yang perlu dilalui sebelum perkahwinan mereka disahkan Mahkamah Syariah.

“Antaranya, pejabat agama, jabatan/bahagian pendakwaan, mahkamah syariah dan kembali semula kepada pejabat agama.”-  Dr Ramizah Wan Muhammad, petikan dari Berita Harian.

Kantoi kahwin kat Golok. Imej dari Vebma.

Kalau tak daftar perkahwinan, diorang takkan dapat sijil nikah. Apabila tiada sijil nikah, waktu diorang dapat anak, memang tak dapat nak daftar anak bawah kategori anak sah nikah. Apa yang menyedihkan lagi, kalau berlaku penceraian, mahkamah takkan dapat sahkan penceraian sampailah sijil nikah ditunjukkan.

Kelemahan-kelemahan dalam sistem yang ada perlu diperbaiki

Empat perkara kami senaraikan ni semuanya selalu menjadi masalah yang tak berkesudahan. Kalau nak diikutkan, undang-undang berkahwin yang dibuat di Malaysia adalah untuk memudahkan hidup kita dan juga orang lain termasuk anak kita.

Imej dari Quranic Gen.

Menurut Dr Ramizah Wan Muhammad, berkemungkinan ada prosedur yang kurang difahami masyarakat. Jadi, ini tugas agensi terlibat untuk sampaikan dengan jelas. Pada zaman media sosial ni, sistem e-syariah atau online perlu diperkenalkan kat setiap negeri dan ditambahbaik.

 

.

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT