- 577Share sekarang!
- Email9
- Facebook568
- Share
PERBETULAN 4/9/18: Artikel ni tersalah berkata bahawa Maryland merupakan negeri AS yang pertama untuk menghalalkan hubungan LGBT dalam undang-undang mereka pada tahun 1973.
UPDATE 4/9/18: Artikel ni asalnya diterbit pada tarikh 11/8/18, tetapi kini diterbit semula selepas berita terbaharu sebatan pasangan LGBT di Terengganu.
Sejak kebelakangan ni, isu LGBT kembali menghangatkan Malaysia. Akhbar Utusan Malaysia pada awal Ogos lepas, ada melaporkan bahawa – golongan LGBT mewakili 50 peratus kes jangkitan baharu HIV pada tahun 2017.
Beberapa hari lepas tu pulak, Marina Mahathir berkata, golongan LGBT di negara ni nakkan hak yang sama dinikmati rakyat Malaysia lain. Kenyataan Marina tu dah mengundang banyak kecaman dan bantahan. Tak habis dengan tu, dua potret aktivis LGBT yang ada kat Pulau Pinang dah diturunkan atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Marina dalam kenyataan ada kata dia hanya maksudkan hak kesamarataan dari sudut hak asasi manusia yang ada dalam perlembagaan. Hak tu macam pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan perlindungan keselamatan. Apa yang lagi penting, tak ada sebarang diskriminasi terhadap golongan ni dan LGBT tak minta kahwin sejenis pun.
“Kalau mereka sakit takkan nak biarkan saja di tepi jalan? Kalau mereka didera atau dipukul, bukankah mereka ada hak untuk laporkan kepada polis dan dapat tindakan daripada polis seperti kita semua? Itu saja yang mereka minta, bukan lebih daripada itu.” – Marina Mahathir, dipetik dari Sinar Harian.
Baru-baru lagi, bekas Menteri Khairy Jamaluddin telah menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap hukuman sebatan yang telah dijatuhkan ke atas satu pasangan lesbian di Terengganu. Walaupun begitu, isu LGBT ni nak atau tak, dah jadi isu panas sekarang. Banyak pihak yang bagi pandangan dan kritikan terhadap perjuangan pihak LGBT ni, tak kiralah dari pemimpin politik, mufti, pengamal undang-undang dan masyarakat awam.
Oleh itu, SOSCILI kali ni nak bercerita sikit pasal perkembangan isu LGBT, apakah pandangan undang-undang dalam hal ni, dan bagaimana isu ni akan diuruskan dalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya.
Perjuangan hak LGBT secara rasminya dah muncul sejak tahun 1920-an lagi
Seperti mana yang kita tahu, LGBT ni singkatan dari – lesbian, gay, biseksual dan transgender. Rasanya semuanya dah tahu apa maksud di sebalik istilah-istilah ni kan? Walaupun aktiviti LGBT dah wujud lama, tapi pada mulanya ia lebih kepada satu komuniti kecil dan tak memberi kesan kepada masyarakat.
Bagaimanapun, selepas tahun 1900-an, gerakan memperjuangkan LGBT mula muncul aktif dan bergerak berani. Dalam rekod, gerakan memperjuangkan LGBT secara rasmi bermula pada tahun 1924 di Chicago Amerika Syarikat (AS). Walaupun gerakan ni muncul kat AS, tapi ia masih lagi dapat tekanan dari kerajaan AS masa tu.
Sebabnya pada tahun 1952, American Psychiatric Association dah mengkategorikan homoseksual sebagai salah satu gangguan personaliti sosiopatik. Rentetan tu, Presiden Dwight D. Eisenhower dah keluarkan perintah eksekutif mengharamkan golongan ni dari bekerja dengan kerajaan. Alasannya, mereka ni boleh bawa risiko keselamatan.
Tapi mereka tetap tak putus asa dan terus memperjuangkan hak mereka. Sampailah pada Jun 1969, bila polis New York menyerbu Stonewall Inn, sebuah kelab gay kat New York. Tindakan polis tu dah membawa kepada rusuhan yang dikenali sebagai ‘Rusuhan Stonewall’. Rusuhan ni kemudiannya jadi pemangkin dan pemula perjuangan LGBT di AS dan seluruh dunia.
Kesannya, pada tahun 1973, homoseksual dikeluarkan dari senarai penyakit psikiatrik. Perjuangan tu berterusan sampailah ke hari ni apabila AS secara rasminya mengiktiraf hampir kesemua hak LGBT.
Disebabkan perjuangan LGBT di AS dapat pengiktirafan, perjuangan LGBT di serata dunia juga mula bergerak. Malaysia pun tak terlepas dari tempiasnya.
Ada kajian kata – homoseksual berkait rapat dengan faktor genetik
Sebenarnya, banyak kajian yang dibuat untuk memahami dan mengetahui dari mana munculnya perasaan suka sesama jenis jantina ni. Menurut Prof Imelda Balchin, sejak tahun 1930-an, ahli sains dan doktor kesihatan mental dah pun buat pemerhatian tentang hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki lain. Hasilnya, ahli sains dan doktor dapat tahu yang mereka ni ada abang daripada ibu yang sama.
“Sudah ada bukti sejak tahun 1996, bahawa lebih ramai abang daripada ibu yang sama, lebih tinggi lagi kecenderungan seorang lelaki menjadi homosexual. Setiap orang abang meningkatkan sebanyak 33% kemungkinan seorang lelaki menjadi homosexual. Inilah dinamakan Fraternal Birth Order Effect (FBOE).” – Prof Dr Imelda Balchin, Universiti Malaya. Dipetik dari FB-nya.
Jadinya, semakin ramai abang, semakin cenderung untuk seseorang tu jadi homoseksual. Kalau nak lebih faham lagi pasal FBOE, ia sebenarnya dikaitkan dengan masalah kehamilan ibu yang menyebabkan FBOE ni jadi. Ini kerana, masalah kekebalan immune sistem ibu akan bertambah teruk pada setiap kehamilan anak lelaki.
Sebabnya ada satu gene yang dinamakan sebagai neuroligin 4 Y-linked (NLGN4Y) yang ditugaskan untuk membantu pembentukan perhubungan synapse di antara sel saraf otak. Kerosakan gene ni juga pernah dikaitkan dengan Autism Spectral Disorder (ASD).
“Kajian menunjukkan lebih ramai anak lelaki, lebih banyak antibody ibu yang melawan protin NLGN4Y. Kajian juga menunjukkan ibu yang ada anak lelaki homosexual ada lebih banyak antibody ini dalam darah mereka bila dibandingkan dengan ibu yang anak lelakinya bukan homosexual.” – Prof Dr Imelda Balchin, Universiti Malaya. Dipetik dari FB-nya.
Jadinya, kajian ni menunjukkan ada faktor genetik yang boleh menyebabkan seseorang tu menjadi homoseksual. Walaupun begitu, kajian lebih masih lagi diperlukan untuk cari kaedah perubatan yang boleh merawat masalah ni. Tambahan lagi, bila ada ahli perubatan yang tolak kaitan LGBT dengan faktor genetik.
Tak ada satu pun negara Asia Tenggara yang bagi kebebasan penuh kepada golongan LGBT
Walaupun AS jadi antara negara terawal yang memperjuangkan hak-hak golongan LGBT, tapi negara tu bukanlah yang pertama membenarkan perkahwinan sejenis di seluruh negara. Negara pertama yang benarkan perkahwinan sejenis adalah Belanda pada tahun 2001. Dekat AS pulak, hanya pada tahun 2015 perkahwinan sejenis dibenarkan di kesemua negeri AS.
“Pada 26 Jun 2015, Mahkamah dengan majoriti 5-4 memutuskan bahawa berdasarkan Pindaan Keempat Belas (Fourteenth Amendment) semua negeri di Amerika Syarikat diarahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis dan mengiktiraf perkahwinan sejenis yang dijalankan di negeri lain.” – Zainul Rijal, peguam. Dipetik dari Sinar Harian.
Di kalangan negara Eropah pula, hampir kesemua negara di sana mengiktiraf aktiviti LGBT. Bagaimanapun, untuk perkahwinan sejenis, masih ada negara-negara yang tak benarkan macam – Croatia, Switzerland (dalam proses), Latvia, Georgia, dan beberapa lagi.
Berbalik ke Asia Tenggara, secara keseluruhannya dari segi undang-undang, ada beberapa negara di rantau ni yang menerima aktiviti LGBT (tak termasuk perkahwinan sejenis). Antara negara yang undang-undangnya mesra LGBT adalah seperti – Thailand, Filipina, Vietnam dan Cambodia. Antara puncanya, negara-negara ni takde undang-undang khusus pasal LGBT.
Walaupun begitu, masih tak ada satu negara di Asia Tenggara pun yang dah membenarkan perkahwinan sejenis. Maknanya, kebebasan golongan LGBT masih lagi tak sepenuhnya di Asia Tenggara. Sebaliknya, terdapat beberapa negara di rantau ni yang undang-undangnya menentang aktiviti LGBT. Antaranya seperti – Brunei, Singapura, Myanmar, Indonesia dan Malaysia.
Mesti ramai yang tak sangka, Singapura dan Myanmar ada undang-undang yang menghukum kelakukan homoseksual. Sebenarnya, Malaysia, Singapura dan Myanmar ada undang-undang yang agak sama sebab ketiga-tiga negara ni pernah dijajah British. Sebab itulah Malaysia ada Seksyen 377B, Singapura ada Seksyen 377A dan Myanmar ada Seksyen 377 yang menghukum pelaku homoseksual.
Malah, dalam satu kajian yang dilakukan Institute of Policy Studies empat tahun lalu mendapati – majoriti rakyat Singapura menolak LGBT.
“Satu kajian oleh Institute of Policy Studies yang dikeluarkan pada awal tahun ini (2014) mendapati bahawa 78.2 peratus rakyat Singapura merasakan hubungan seksual antara dua orang dewasa sejenis adalah salah, dan 72.9 peratus daripadanya menentang perkahwinan gay.” – Dipetik dari Reuters.
Dekat Malaysia pula, Pew Research Center mendapati 86 peratus rakyat negara ni mengatakan LGBT tak sepatutnya diterima dalam masyarakat. Manakala dekat Indonesia pula, tak ada peruntukan khas undang-undang di peringkat negara yang menghalang aktiviti LGBT. Bagaimanapun, ada ordinan tempatan yang menghalang aktiviti ni, macam apa yang ada dekat – Sumatera Selatan, Kalimantan Selatan, Jawa Barat dan Acheh.
Walaupun begitu, di Myanmar aktiviti LGBT taklah ditekan sangat, walaupun ada peruntukan undang-undang. Malah, laporan media pasal golongan ni bebas dibuat. Di Malaysia pula, tangkapan terhadap golongan ni masih ada, terutamanya dikalangan orang Islam.
Ada golongan LGBT yang kata mereka tak dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa
Seperti mana yang kita tahu, selain dari undang-undang sivil, kita juga ada undang-undang syariah yang diamalkan di setiap negeri. Undang-undang syariah ada peruntukan khas untuk kesalahan melakukan hubungan sejenis, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, lelaki berlagak seperti perempuan, dan sebaliknya.
Bila dah ada undang-undang, sudah pasti ada pelaksanaan. Jadinya, kita akan dengarlah pasal tangkapan terhadap golongan ni, yang kebanyakkannya terhadap trans women atau Mak Nyah. Menurut seorang peguam yang pernah mewakili golongan ni di mahkamah, dia mengakui yang golongan ni ditindas dan didiskriminasi. Sehinggakan, ada anak guamnya (Mak Nyah), meninggal dunia kerana depression.
“Di sepanjang proses pemulihan, kami tidak pernah meninggalkan beliau, tidak memaksa beliau solat dengan memakai kain pelikat atau telekung, yang penting solat! Sokongan dan kasih sayang adalah faktor titik perubahan.
Namun, ketika beliau pulang ke kampung, depression yang dialami semakin teruk. Perubahan beliau tidak diterima masyarakat. Kata-kata nista, maki hamun dan diskriminasi membunuhnya dalam diam.” – Dipetik dari FB Fadhlina Sidek.
Selain tu, Justice for Sisters juga pernah keluarkan satu buku kecil panduan media untuk mengenali identiti gender dan komuniti transgender. Buku kecil tu ada senaraikan macam-macam laporan pasal layan buruk terhadap golongan transgender. Salah satunya begini:
“Mereka kasar. Salah seorang daripada mereka meramas payudara saya. Saya benar-benar telah dimalukan… Mereka melucutkan pakaian saya sehingga saya telanjang sepenuhnya. Salah seorang dari mereka mengambil baton polis dan mencucuk alat kelamin saya. Semua orang melihatnya – lelaki [pegawai jabatan agama] dan juga wanita. Mereka ambil gambar saya secara telanjang.
Mereka layan saya seperti binatang. Saya kata. ‘Kenapa anda layan saya seperti binatang? Saya manusia juga’.” – Victoria, transgender di Seremban.
https://www.youtube.com/watch?v=6lSrumm1lLc
Itu antara salah satu dari banyak keluhan yang diterima dari golongan transgender yang ditahan pihak berkuasa. Apa yang pasti, layanan yang kasar macam ni, sepatutnya tak jadi. Ia lebih-lebih lagi bila golongan ni sepatutnya dibimbing dan bukannya dianiayai. JAKIM dulu pun pernah pesan yang golongan LGBT tak patut dibuli.
“Sikap seperti ini adalah bercanggah dengan semangat kemasyarakatan yang mengutamakan pendekatan nasihat dan menasihati serta berpesan untuk mengikuti kebenaran yang bersandarkan neraca agama.” – Tan Sri Othman Mustapha, bekas Ketua Pengarah JAKIM. Dipetik dari mStar.
Topik hak LGBT jelas masih adalah isu berpolarisasi di Malaysia
Kata aktivis Marina Mahathir, golongan LGBT di Malaysia ni hanya meminta kesamarataan hak asasi manusia tanpa meminta hak tambahan yang mencabar undang-undang. Tetapi bagi Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin pula, kegiatan LGBT ini memang perkara salah yang tak patut diheboh dan dipromosikan.
“Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu. Bahkan kita disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang… Jika maksiat seperti homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan atau terbuka, maka bantahan terhadap maksiat itu perlu dizahirkan.” – Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Malaysiakini.
Isu ini nampaknya melibatkan perbezaan pandangan mengenai kepatutan undang-undang mengawal moral setiap individu. Bagi satu pihak, mereka berpendapat bahawa dosa peribadi yang tidak mendatangkan bahaya kepada pihak lain tidak patut didedahkan bawah undang-undang selagi ia tidak mengancam keselamatan awam. Bagi pihak yang lagi satu pula, persoalaan hak dan privasi individu tidak timbul kerana setiap jenayah patut diambil tindakan dengan tujuan menegakkan undang-undang dan mendapatkan keredaan Allah.
Ia amat jelas bahawa isu hak-hak LGBT merupakan perkara yang hangit di Malaysia buat masa sekarang. Walaupun pihak-pihak kerajaan telah pun menegaskan bahawa golongan LGBT tidak patut didiskriminasi dan dibuli, mereka juga telah berkata bahawa ia tidak akan berkompromi atas isu ini dan tetap akan menolaknya. Jadi apa pendapat korang tentang isu ni pula? Mulakan lah perbincangan tentang isu ini di ruang komen di bawah atau di Fesbuk kami.
- 577Share sekarang!
- Email9
- Facebook568
- Share